27
Mon, May
15 Artikel Baru

Politik sebagai medan dakwah

Berita
Typography
PERJALANAN kehidupan hendaklah seiring dengan penerapan nilai-nilai Islam. Bukan sahaja dalam konteks beribadah, malahan arus politik juga harus selari dengan garis panduan Islam bagi menjamin keharmonian sejagat. 
 
Dengan menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai 'qudwah  hasanah' dalam kehidupan, sebagai seorang Muslim kita hendaklah sentiasa menyeru manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Konsep Amar makruf nahi munkar ini bukan sahaja memberi impak positif kepada umat Islam, malah orang bukan Islam juga turut mendapat kebaikan darinya. 
 
Politik dan medan dakwah tidak dapat dipisahkan, perlu bergerak seiring. Antara asbab penubuhan Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebagai medium menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Dalam pada itu, ahli PAS diterapkan dengan lambakan program ilmiah melalui usrah, ijtimak bulanan, liqa' fiqri, munajat, program kemasyarakatan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, didikan awal usia juga diberikan kepada anak-anak ahli PAS melalui Program Tarbiah Anak-anak PAS (PROTAPAS). 
 
Firman Allah S.W.T:
 
ٱنفِرُوا۟ خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
 
"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." 
(at-Taubah: 41)
 
Sejarah Islam telah membuktikan Rasulullah S.A.W menggunakan politik sebagai medium proaktif mnyampaikan dakwah. Peribadi yang memiliki sifat Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathonah itu telah berjaya melebar luas ajaran Islam ke seluruh pelusuk dunia. 
 
Selamilah akhlak baginda yang sentiasa mengutamakan kepentingan Islam dalam segala hal. Pada saat dan waktu usaha dakwahnya dicaci dan dihina, beliau tetap mempamerkan akhlak yang baik dan tidak membalasnya dengan keburukan. Hal ini menjadi kunci tarikan untuk mereka memilih Islam sebagai ad-Din.
 
Melihat kepada arena politik kini, masyarakat lebih bebas memberi pandangan menurut kehendak masing-masing hingga kadang kala tidak sedar telah mengenepikan adab yang digariskan Islam. 'Kewarasan' sebelum mengulas di media massa hendaklah dititik beratkan. 
 
Kedudukan Islam yang kian tergugat memerlukan kesatuan umat Islam bagi menghadapinya. Isu penghinaan ke atas baginda Nabi S.A.W tidak seharusnya didengari lagi. Umat Islam harus bersatu antara satu sama lain tanpa mengira warna warni politik bagi memastikan kedudukan Islam sejahtera sebagai agama Persekutuan.
 
Berkata Ibnul Qayyim 
 
أعظم الرِّبْح فِي الدُّنْيَا أَن تشغل نَفسك كل وَقت بِمَا هُوَ أولى بهَا وأنفع لَهَا فِي معادها
 
"Keuntungan terbesar di dunia adalah ketika engkau menyibukkan dirimu dalam setiap waktu dengan sesuatu yang lebih utama dan lebih bermanfaat untuk kehidupan akhiratmu."
 
Semoga kita tergolong dengan golongan mereka yang mencintai perjuangan dan memiliki akhlak mulia sesama masyarakat. Berpegang teguhlah dengan ajaran Islam demi mendirikan ummah Islamiah.
 
"Islam Memimpin"
 
YUSMALIZA YUSOF
Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Tambun
Khamis 14 Mac | 7 Rejab 1440 - HARAKAHDAILY 14/3/2019