27
Mon, May
15 Artikel Baru

PAS sudah lama mendahului di Alor Setar

Berita
Typography
KUALA  LUMPUR: Bandar Alor Setar telah diasaskan oleh Almarhum Sultan Muhammad Jiwa pada tahun 1735 dan kini berusia 284 tahun, yakni 40 tahun lebih awal dari kewujudan Bandar Washington.
 
Bahkan sejarah pernah mencatatkan Kerajaan Melayu Islam yang wujud di Utara Tanah Melayu ini di mana bandarnya adalah Alor Setar turut pernah diserang Kerajaan Bugis dan berada di bawah jajahan Siam.
 
Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Kawasan Alor Setar, Zulkifli Che Haron, ia menjadi bukti pendudukan dan ketamadunan Melayu-Islam di bandar tersebut, sedangkan kewujudan kaum Cina hanya bermula sekitar tahun 1920.
 
Malah dari sudut politik demokrasi katanya, Yang DiPertua PAS Pusat, Almarhum Ustaz Yusof Rawa pernah menewaskan Dr Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum di Parlimen Kota Setar itu.
 
"Parlimen Kota Setar bertukar nama kepada Parlimen Alor Setar adalah pada tahun 1982. Walaupun Parlimen Alor Setar sentiasa berubah sempadan pilihan rayanya, namun jumlah pengundi Melayu tetap mengatasi jumlah pengundi bangsa lain. 
 
"Sejak tahun 1982, PAS dan Semangat 46 pernah meletak calonnya. Malangnya calon Melayu tidak pernah menang di situ. Saya tidak pasti bagaimana mentaliti sebahagian besar orang Melayu Alor Setar, begitu juga dengan parti Melayu pada masa itu. 
 
"PRU14 tahun 2018, PAS masih meletak calonnya bertanding di situ, kerana di situ bagi PAS ada tanggungjawab yang sangat besar kepada umat Islam serta bangsa Melayu bahawa Alor Setar adalah bumi warisan orang Melayu-Islam yang perlu dijaga.
 
"PAS sudah lama berada di hadapan dan sentiasa di hadapan dalam agenda memastikan Melayu Islam mewakili Parlimen Alor Setar," terang beliau.
 
Kemukanya juga, tokoh ulamak sosiologi dan tamadun Islam, Ibnu Khaldun telah lama mengilmukan umat Islam akan kepentingan membangunkan bandar sebagai asas perkembangan masyarakat dan negara.
 
Tambah beliau, pasca PRU14 telah memberi isyarat yang sangat jelas bahawa umat Melayu-Islam perlu kepada penyatuan dan khususnya kepada generasi muda perlu mengetahui sejarah bumi Alor Setar.
 
Hal tersebut terangnya, supaya sejarah perjuangan PAS Alor Setar tidak dipadamkan, selain ia menjadi asas serta bukti dan justifikasi bagi setiap langkah di masa depan yang bakal ditentu corakkan. - HARAKAHDAILY 13/3/2019