18
Thu, Jul
38 Artikel Baru

Ustaz Taliban telah pergi buat selamanya

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: PAS kehilangan seorang lagi pimpinannya apabila Ketua Penerangan Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Norazli Musa menghembuskan nafas terakhir di Madinah al-Munawwarah jam 12:30 pagi waktu tempatan di sana.
 
Almarhum ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah serta menghadiri Majlis Konvokesyen anakandanya, Ustaz Ahmad Syakir Norazli di Universiti Madinah di mana berangkat dari Malaysia sejak 2 Mac lalu.
 
Almarhum juga merupakan Yang DiPertua PAS Kawasan Ipoh Barat, Presiden Persatuan Pendukung dan Pencinta Ulamak atau lebih dikenali sebagai Geng Ustaz, juga Timbalan Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief).
 
Sepanjang hayatnya, Almarhum juga pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Perak selaku Pengurus Pasukan serta Ketua Pemuda PAS Perak, selain aktif menyampaikan ceramah agama di seluruh negara serta bantuan kemanusiaan serata ceruk dunia.
 
Almarhum yang amat masyhur dengan panggilan "Ustaz Taliban" itu sememangnya dikenali sahabat, kenalan serta orang ramai sebagai seorang sangat peramah, ceria dan sering memberi peringatan biarpun berwajah serius dan bersuara garau.
 
Dimaklumkan, sempena pemergian Almarhum dan sebagai menyempurnakan jenazahnya yang akan dikebumikan di bumi Rasulullah S.A.W itu, Geng Ustaz akan mengadakan solat jenazah ghaib di Kompleks Tibbun Nabawi, Shah Alam selepas Maghrib hari ini. - HARAKAHDAILY 12/3/2019