26
Sun, May
38 Artikel Baru

Kerajaan perlu bangun sektor agromakanan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bertitah, kerajaan harus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama sektor swasta dan badan bukan kerajaan dalam isu hal ehwal kepenggunaan dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pihak yang mengeksploitasi harga barangan keperluan pengguna.

Titah baginda, kerajaan perlu terus membangunkan sektor agromakanan tidak hanya sekadar menjamin bekalan makanan malah meningkatkan eksport makanan negara.

"Rakyat harus yakin dengan pelbagai langkah yang diambil kerajaan biarpun kesannya mungkin tidak segera dirasai.

"Rakyat juga perlu realistik dalam meletakkan harapan kepada kerajaan dan terus berusaha memajukan diri ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup," titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Keempat Belas di sini hari ini.

Baginda turut menekankan pengaruh media yang membabitkan penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan ancaman terhadap nilai-nilai murni agama dan menjejaskan prinsip moral masyarakat.

"Beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting kebebasan ini dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan masyarakat," titah baginda.

Baginda turut menyokong usaha kerajaan mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan rahmatan lil 'alamin, namun pendekatan itu harus diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat.

Turut disentuh baginda, rumah mampu milik rakyat, seruan baginda terhadap langkah strategik kerajaan bagi menangani kesan kejatuhan harga komoditi sawit dan hubungan baik Malaysia dengan negara luar tanpa kompromi terhadap isu kedaulatan negara. – HARAKAHDAILY 11/3/2019