17
Wed, Jul
47 Artikel Baru

Diseru 'berhimpun' dalam PAS laksana agenda agama

Berita
Typography

KUALA  KANGSAR: Anak muda perlu menunaikan kewajiban menegakkan agama Allah S.W.T dan mengajak manusia melaksanakan amar makruf nahi munkar dengan menghimpunkan diri bersama di dalam PAS.

Seruan tersebut dilaungkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar Kali Ke-31.

Penyataan itu dikemukakannya sebagai menegaskan kepentingan PAS dalam politik negara berdasarkan ayat 102 hingga 104 surah Ali Imran pada majlis di Safari Resort, di sini kelmarin.

Katanya, PAS tidak lahir dan dibentuk untuk pembinaan diri individu, tetapi peranan lebih besar iaitu membina takwa pada individu, masyarakat hingga tertegak kewajipan agama dalam negara.

Jelas beliau, individu yang kukuh bersaudara dalam masyarakatnya dengan takwa dan melaksanakan agenda amar makruf nahi munkar pasti menempuh halangan besar.

"Bertembung dengan manusia yang cintakan dunia. Pertembungan inilah akan mewujudkan satu amal lebih tinggi iaitu al-jihad fi sabilillah. Sebab itu kena masuk PAS, kerana nak buat kerja besar.

"Ia lebih besar selepas (dari) kita membesarkan kerja membina diri kita sendiri. (Kalau) nak bina diri tak perlu tubuh PAS. Cukup dengan ustaz-ustaz mengajar di masjid, berguru dengan kitab. Masing-masing boleh bina diri, balik rumah ajar anak isteri.

"(Jadi) Mari ustaz-ustaz yang mengajar di masjid, anak muda yang buat kerja cari rezeki halal, (yang) main tengah padang, (yang) main muzik. Mari berhimpun dalam PAS," pelawanya penuh semangat dan menyebut ganjaran golongan berjihad.

Perasmian mesyuarat tersebut turut diserikan oleh persembahan kumpulan Da'i Buskers pimpinan Abdul Karim Abdul Rasid dari Padang Rengas yang ironinya mereka dinamakan oleh Ustaz Nik Abduh beberapa tahun lalu.

Hadir sama menyaksikan majlis tahunan gilang-gemilang itu adalah tetamu jemputan khas iaitu Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Kangsar, Mustafa Shah. - HARAKAHDAILY 11/3/2019