BELUM sampai sebulan referendum kemerdekaan Kurdistan Iraq dilaksanakan dan memperolehi sokongan lebih 92 peratus warga Kurdi wilayah itu, satu wilayah yang dipertikai telah mencetuskan pertempuran antara tentera Peshmerga Kurdistan dengan tentera Iraq dan militan Syiah, Hasd al-Shaabi atau Pasukan Mobilisasi Rakyat yang disokong Iran.

Tentera Iraq dan militan Syiah menawan semula Kirkuk dalam pertempuran kurang sehari, memasuki Kirkuk pada Ahad dan menjelang pagi Isnin telah berjaya menguasai lokasi-lokasi strategik di wilayah itu.

Perkembangan ini menjadi satu halangan terkini kepada usaha kemerdekaan Kurdistan Iraq, dan mungkin menjejaskan semangat warga Kurdi di wilayah itu serta menguji kepimpinan Masoud Barzani dan kerajaan wilayah autonomi itu sekarang.

Sejurus Baghdad mengumumkan kejayaan menguasai Kirkuk, meliputi kawasan minyak dan pangkalan tentera, pelbagai komentar muncul berhubung perkembangan ini, tetapi apa yang paling jelas ialah kesan kekalahan Kurdi di Kirkuk ini berpotensi mencetus masalah lebih besar lagi kepada Kurdistan dan paling utama, kepada Barzani yang mengetuai projek kemerdekaan Kurdistan Iraq pada masa ini.

Dalam tempoh kurang seminggu, amaran dari Baghdad, pergerakan tentera, dan pertempuran berlaku dengan pantas, menyaksikan pasukan Peshmerga yang selama ini bertindak cemerlang dalam menewaskan Daesh tewas dengan mudah, berundur dan menyerahkan Kirkuk yang merupakan kawasan kaya minyak yang didiami pelbagai etnik kepada penguasaan Baghdad.

Militia Peshmerga di Kirkuk berada di bawah penguasaan parti saingan Barzani pimpinan kem Talabani dan tidak berpendirian politik yang selari dengan Barzani, dan ini dikatakan mendorong mereka berundur dan menyerahkan Kirkuk kepada tentera Iraq.

Ini bermakna kesatuan Kurdi di wilayah itu tidak kukuh seperti yang mungkin dilihat melalui hasil referendum, dan memberi gambaran tahap sokongan terhadap Barzani yang hingga kini menguasai wacana kemerdekaan Kurdistan di Iraq, dan membuat semua keputusan berdasarkan agendanya.

Kirkuk bukan sebahagian daripada sempadan wilayah autonomi yang ditetapkan dalam perlembagaan 2005 Iraq, tetapi telah dikuasai oleh Kurdi pada Jun 2014 hasil kemaraan dalam kempen memerangi Daesh. Penguasaan Kurdi di Kirkuk, hingga bertindak mengibarkan bendera Kurdistan di bangunan kerajaan, ditentang keras oleh Baghdad.

Kejayaan tentera Iraq - dan juga bantuan Iran - menguasai semula Kirkuk ialah satu kegagalan besar pihak Kurdi, pada masa kegembiraan ekoran referendum yang melonjakkan semangat kemerdekaan Kurdistan Iraq sedang memuncak.

Perkembangan ini menunjukkan kesediaan penentang Kurdi bertindak, termasuk memulakan tindakan ketenteraan yang mungkin lebih sukar dihadapi berbanding militan Daesh.

Sekiranya penentang-penentang Kurdistan, terdiri daripada Iraq, Iran, dan Turki sedia bertindak hingga melibatkan konflik bersenjata, Kirkuk hanyalah gambaran kecil daripada apa yang berpotensi berlaku.

Kurdistan Iraq mendapat sokongan kuat daripada AS sejak perang menentang Iraq di bawah Saddam Hussein bermula 1991. Bermula tempoh itu, Kurdistan Iraq semakin mendapat bantuan AS dan sekutu, menyaksikan pertambahan autonomi dan kebebasan, serta dilindungi daripada tindakan kerajaan di Baghdad.

Bemula 2003 ekoran pemerintahan Baath dijatuhkan, Kurdistan Iraq terus mara dan akhirnya perlembagaan baharu Iraq mengiktiraf autonomi dan sempadan baharu Kurdistan Iraq di utara. Kemudian apabila tercetus kebangkitan di seluruh rantau Arab, Kurdistan terus mendapat manfaat dan meningkatkan usaha untuk merdeka.

Kempen ketenteraan antarabangsa terhadap Daesh di Syria dan Iraq membantu kempen kemerdekaan mereka apabila pasukan bersenjata Kurdi mendapat bantuan persenjataan daripada AS. Walaupun kelihatan tidak sebulat suara, Kurdistan Iraq mendapat sokongan untuk merdeka dari banyak pihak di Washington, yang kini sedang membina sebuah kompleks konsulat bernilai AS$600 juta di Erbil.

Sokongan ini dilihat menyumbang kepada rasa yakin di pihak Kurdi. Kurdistan Iraq atau lebih tepat lagi Barzani dan kerajaannya mula bertindak agresif termasuk dengan menguasai Kirkuk dan menuntut juga Mosul, sebuah lagi bandar strategik.

Apa yang terjadi di Kirkuk ialah susulan dan tindak balas kepada dasar kerajaan Barzani selama ini, yang mungkin terlalu yakin dengan sokongan AS. Kegagalan Kurdi mempertahankan Kirkuk turut dikaitkan dengan kegagalan Washington memberi bantuan kepada Peshmerga, dan disebut sebagai satu kegagalan AS dalam menghadapi kemaraan Iran di Iraq. AS dalam satu kenyataan menyusuli pertempuran di Kirkuk mendakwa kedua-dua Peshmerga dan Iraq sekutunya dan enggan berpihak.

Banyak pihak di AS memainkan naratif perang proksi, memperbesarkan peranan Iran, sebahagiannya untuk mendesak pentadbiran Trump bertindak dan membantu Kurdi.

Kelompok ini mengambil kesempatan atau menuruti pendirian keras terhadap Iran yang disuarakan Trump sebelum tercetus pertempuran Kirkuk.

Sudut pandang perang proksi semata-mata mengabaikan faktor kerajaan Iraq dan Perdana Menteri Haider al-Abadi, yang boleh difahami tidak mahu tempoh pemerintahannya mencatat sejarah buruk perpecahan Iraq.

Kepentingan pada masa kini melibatkan sumber minyak Kirkuk juga sesuatu yang sebenarnya jelas dan memberi motivasi untuk Baghdad bertindak, walaupun dengan peranan dan bantuan pihak luar yang minima.

Dalam hal melibatkan sumber hidrokarbon Kirkuk, kepentingan nasional melibatkan sumber pendapatan sukar untuk diabaikan oleh Baghdad, dan ia tidak boleh menunjukkan sikap bertolak ansur dalam hal ini, sekurang-kurangnya demi menjaga imej.

Kekalahan Kurdi di Kirkuk menunjukkan had sejauh mana kuasa-kuasa asing dapat atau sedia membantu, dan menunjukkan bukan semua kepentingan atau strategi Kurdi selari dengan kepentingan kuasa yang menyokong mereka.

Kirkuk juga menunjukkan imej kesatuan Kurdi yang dibawa oleh Barzani kini terjejas teruk dan berpotensi merebak lagi.

Episod ini juga menimbulkan semula ingatan pengkhianatan terhadap Kurdi yang berulang beberapa kali sepanjang usaha perjuangan kemerdekaan Kurdistan. Kehilangan Kirkuk memberi satu tamparan hebat kepada kebangkitan Kurdistan Iraq. – HARAKAHDAILY 23/10/2017

CERITA kebangkitan "Arab spring" sebahagian besarnya ialah cerita dasar luar Qatar, negara pendukung gerakan Ikhwanul Muslimin yang hampir menyaksikan agenda kuasanya dicapai ekoran kebangkitan massa di seluruh Asia Barat dan Afrika Utara.

Qatar yang menjadi pemilik rangkaian stesen berita al-Jazeera dan pangkalan ilmuan Islam Syaikh Dr Yusuf al-Qaradawi berjaya membentuk perspektif ramai tentang kebangkitan di dunia Arab terutama Mesir dan kemudian Libya.

Dasar luar Doha terlaksana di Mesir apabila Presiden Hosni Mubarak berjaya diguling dan akhirnya - sekurang-kurangnya sehingga tahun 2013 - Ikhwan yang didukung Qatar berjaya menguasai Kaherah.

Di Libya, walaupun jauh dibandingkan dengan pencapaian di Mesir, proksi Qatar berjaya menjatuhkan Muammar Gaddafi dan menguasai ibu negara Libya buat satu tempoh.

Sekiranya Qatar disifatkan sebagai penggerak Arab spring - bersama sekutu rapatnya Turki -  maka Emiriyah Arab Bersatu pula - bersama sekutunya Arab Saudi - menjadi kuasa utama yang menyekat kebangkitan serantau yang digerakkan oleh kepentingan geopolitik ini.

Kisah dasar luar Qatar boleh dikatakan menjadi cerita paling menarik sepanjang kebangkitan Arab, dan kini, dasar luar yang paling penting diperhatikan ialah dasar luar Emiriyah, yang sedang dilaksanakan dan mencapai tahap-tahap baharu dalam meningkatkan profilnya di seluruh rantau Asia Barat.

Tetapi selepas lebih tiga tahun, pencapaian dasar luar Qatar yang diperolehi melalui kebangkitan rakyat dan sekutunya Ikhwanul Muslimin mula disekat dan dihakis oleh Emiriyah dan Saudi.

Dari Yaman hingga ke Libya dan Mesir, Emiriyah kelihatan mencapai matlamat-matlamat penting kuasanya, mengatasi Qatar dan juga kuasa serantau Arab Saudi, yang kedua-duanya telah semakin terhakis pengaruh di Mesir akibat kejatuhan Mohamed Morsi dan Hosni Mubarak sebelumnya.

Pada masa ini, Tanduk Afrika ialah kawasan yang paling menjelaskan perluasan kuasa dan pengaruh Emiriyah yang sedang berlaku ini. Selain kawasan Teluk Parsi yang sentiasa panas, Tanduk Afrika juga menyaksikan persaingan sengit kuasa-kuasa dunia, dengan lokasi di Laut Merah, Bab al-Mandeb, Teluk Aden, Laut Arab, dan Lautan Hindi yang menjadikannya kawasan yang penting untuk dikuasai, atau sekurang-kurangnya memastikan kehadiran di sini.

Tanduk Afrika terletak di kawasan tegang meliputi Somalia, Eritrea, Ethiopia, Djibouti - dengan Kenya, Uganda, Sudan dan Sudan Selatan berkait rapat - dan di seberang negara yang kini berkonflik, Yaman. Perairannya ialah laluan bekalan minyak mentah dari Teluk Parsi ke Eropah melalui Laut Merah dan Terusan Suez.

Sejak sekurang-kurangnya tahun 2015, kuasa-kuasa serantau didahului Emiriyah mula menumpukan perhatian pada Tanduk Afrika, mencapai perjanjian dua hala menubuhkan pangkalan tentera masing-masing di kawasan strategik ini.

Kawasan ini kini sedang sesak dengan pasukan tentera asing, dan menjadi lokasi pangkalan-pangkalan baharu kuasa-kuasa dunia dan serantau. Amerika Syarikat, Perancis, China, dan Arab Saudi memiliki pangkalan di Djibouti.

Selain Turki yang telah menubuhkan pangkalan tentera di Qatar pada 2015 dan kemudian di Somalia tahun ini, Emiriyah menjadi sebuah lagi negara kuasa serantau yang giat menubuhkan pangkalan tentera di luar negara, dengan tumpuan di negara-negara Tanduk Afrika.
 
Kemasukan Turki dan Emiriyah ini telah menambahkan lagi pangkalan asing di kawasan ini, dan pada masa sama menjelaskan persaingan melibatkan dua kem Turki-Qatar dengan Emiriyah-Saudi, serta meletakkan negara-negara kawasan ini dalam keadaan sukar memilih sekutu paling rapat.

Emiriyah telah pun mempunyai pangkalan tentera di Eritrea (yang membantu operasinya di Yaman) ditubuhkan pada 2015 pada awal operasi tentera di Yaman, dan awal tahun ini menyempurnakan perjanjian untuk membina sebuah pangkalan tentera di Somaliland, negara yang telah mengisytiharkan kemerdekaan tetapi tidak diiktiraf antarabangsa.

Somaliland yang bersempadan dengan Djibouti di sebelah selatan menambahkan kelebihan strategik kepada Emiriyah di Tanduk Afrika. Djibouti ialah lokasi pangkalan tentera Africom Amerika Syarikat, dan tidak jauh dari situ, terletak sebuah pangkalan tentera China.

Sebuah lagi negara, Arab Saudi, juga sedang membina pangkalan di Djibouti, negara yang terletak di laluan paling sempit (choke point), Bab al-Mandeb di antara Tanduk Afrika dan Yaman di Semenanjung Arab.

Selain kedudukan strategik perairannya, Tanduk Afrika juga ialah kawasan hulu Sungai Nil, iaitu hulu Nil Biru di Ethiopia. Ethiopia sedang hampir menyiapkan Empangan Renaissance yang bakal mengurangkan aliran bekalan air Nil ke Mesir.

Belum pun empangan ini disiapkan, ketegangan telah tercetus antara Mesir dengan Ethiopia dan juga Sudan. Mesir telah memulakan langkah drastik menguruskan bekalan air untuk pertanian sebagai persediaan menghadapi kekurangan bekalan air akibat operasi Empangan Renaissance di Ethiopia.

Empangan ini berpotensi mencetuskan masalah pada masa depan, yang memungkinkan pelbagai senario termasuk masalah air di Mesir dan konflik bersenjata sekiranya isu bekalan air gagal diurus dengan baik.

Di kawasan ini, Israel membina hubungan baik dengan kedua-dua Ethiopia dan Sudan Selatan, untuk membolehkan kedua-dua negara membantu dan bekerjasama dengan negara Zionis itu apabila diperlukan nanti.

Negara bersebelahan Kenya pula, Uganda, ialah lokasi kawasan hulu Nil Putih, yang melalui Uganda, kemudian ke Sudan Selatan dan Sudan sebelum sampai ke Mesir.

Pelaksanaan dasar luar Emiriyah kini menjadikannya negara paling berpotensi untuk muncul paling berpengaruh di Somaliland, selain negara yang juga penting kepada Eritrea, kerana perjanjian penubuhan pangkalan ini melibatkan sekali bantuan dan pelaburan membina pelabuhan dan pelbagai infrastruktur lain.

Kemasukan agresif Emiriyah semasa Somaliland amat memerlukan kawan banyak membantu dari segi membina dan mengukuhkan pengaruh. Pada masa sama, hasil strategi yang berbeza selepas bersama memulakan kempen ketenteraan di Yaman, Emiriyah kini membina pengaruh tersendiri di negara seberang Tanduk Afrika itu.

Emiriyah menyaksikan satu strategi dasar luar yang menarik selepas Qatar yang kini tersekat akibat percaturan yang dianggap terlalu agresif sepanjang kebangkitan Arab, apabila menyaksikan pengaruhnya terbina di Eritrea, Somaliland dan di Yaman terutama di bahagian selatan.

Dua negara yang memperlihatkan strategi pelaburan global dan dasar luar yang hampir sama telah mencatat sejarah sebagai antara negara kuasa baharu yang penting di peringkat antarabangsa pada masa kini.

Walau bagaimanapun, Turki sekutu kuat Qatar yang mempunyai keupayaan ketenteraan paling maju dalam kalangan negara-negara serantau yang bersaing memperlihatkan usaha agresif mengukuhkan kedudukan di Tanduk Afrika melalui penubuhan pangkalan di Somalia, yang merupakan pangkalan terbesarnya di luar negara.

Turki, walaupun berada di kem bertentangan dengan Emiriyah dan Saudi, bersikap pragmatik dengan tidak bertindak sehingga menjejaskan hubungan dengan kedua-dua negara tersebut.

Persaingan di Tanduk Afrika ini dijangka akan terus meningkat, selari dengan perluasan kuasa dan pengaruh negara-negara serantau yang kini mula melaksanakan projeksi kuasa dengan membina pangkalan dan terlibat dalam operasi ketenteraan di negara-negara serantau sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kedudukan geografinya yang strategik menyebabkan negara-negara yang kini sedang bersaing tidak akan melepaskan peluang dan akan memastikan kehadiran di kawasan ini. - HARAKAHDAILY 16/10/2017

COX’S BAZAAR (Bangladesh): PAS melahirkan rasa kebimbangan bahawa penghapusan dan pengusiran etnik Rohingya secara berterusan di Myanmar akan menyebabkan umat Islam pupus dari negara tersebut.
 
Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Ustaz Norazli Musa berkata, kebimbangan terhapusnya umat Islam di bumi Arakan yang kini dikenali Rakhine itu sangat berasas berdasarkan situasi semasa.
 
Katanya, pembunuhan dan pengusiran besar-besaran yang dilakukan oleh tentera Myanmar amat dahsyat terhadap etnit Rohingya hingga mangsa-mangsa pelarian yang ditemui di beberapa buah kem penempatan sementara di sempadan Bangladesh tidak lagi berhasrat untuk kembali ke tanah air mereka.
 
“Kami (PAS) bimbang jika Kerajaan Myanmar berterusan menzalimi, membunuh dan mengusir umat Islam dari etnik Rohingya. Suatu hari tidak akan ada lagi orang Islam di bumi Arakan itu.
 
“Ramai mangsa pelarian yang kami temui dalam misi bantuan kemanusiaan ini, rata-rata mereka tidak lagi mahu kembali ke tanahair kerana takut mati dibunuh.
 
“Jutaan umat Islam Rohingya kini menjadi pelarian dan puluhan ribu yang mati dibunuh atau terkorban dalam masa pelarian itu,” ujarnya kepada Harakah. selepas menyampaikan bantuan dalam Misi Bantuan Kemanusiaan anjuran PASRelief di Kem Balokhali, Cox’s Bazaar, hari ini.
 
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PASRelief turut kesal dengan sikap Pemenang Nobel, Aung Suu Kyi yang membisu apabila kezaliman itu berlaku terhadap umat Islam.
 
Justeru, kata Ustaz Norazli masyarakat antarabangsa wajar mengambil langkah drastik serta memberikan tekanan kepada Kerajaan Myanmar.
 
Delegasi misi itu diketuai oleh Pengarah  PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor dan disertai sama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Selangor dan Pahang, Ustaz Sollehin Mukhyi dan Ustaz Rosli Abdul Jabar serta Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah. - HARAKAHDAILY 12/10/2017
 

SUDAN memiliki satu kedudukan penting dalam dunia Arab dan Islam, salah satu yang utama dalam strategi negara-negara serantau untuk menghadapi Israel, memainkan peranan sebagai pangkalan bagi pelbagai keperluan termasuk pembuatan senjata.

Dari segi geografi, Sudan berada di laluan sungai Nil sebelum aliran ke Mesir, memiliki wilayah yang luas dan bersempadan antaranya dengan Libya dan Mesir di utara, dan Laut Merah di sebelah timur.

Dari segi politik, Sudan sentiasa berada di kedudukan terpinggir, akibat haluan politik antarabangsa yang dipilihnya, terutamanya melibatkan pakatan dengan negara-negara serantau dan global.

Sudan pernah berperanan sebagai kawasan strategik bagi Mesir dalam perangnya dengan Israel, dan sejak lama menjadi satu pangkalan penting bagi Iran untuk membantu sekutunya di Palestin, Hamas di Gaza dengan membekalkan senjata.

Sudan dan Iran meningkatkan kerjasama ketenteraan sejak 2008, dan Iran turut merancang membina pangkalan tentera laut di Pelabuhan Sudan, menjelaskan kepentingan strategik Sudan sebagai negara di "belakang" Mesir, berkedudukan penting di Afrika dan bersempadan Laut Merah.

Tetapi haluan dasar luar Sudan kelihatan menampakkan satu perubahan yang radikal dalam beberapa tahun kebelakangan ini, memberi gambaran kesediaan pemerintah negara ini untuk bersikap lebih pragmatik dan mengutamakan kepentingan rejim dan negara.

Jumaat 6 Oktober lalu, Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump mengumumkan secara rasmi menamatkan beberapa sekatan yang dikenakan ke atas Sudan - walaupun masih melabel Sudan sebagai negara penaja keganasan - meneruskan satu dasar baharu yang dimulakan semasa tempoh pentadbiran Obama.

Rundingan antara Sudan dengan AS bermula semasa tempoh Obama, yang kini diteruskan dan ditingkatkan di bawah Presiden Donald Trump.

Perkembangan ini memberi satu isyarat perubahan yang besar, selepas siri perkembangan yang agak luar biasa sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Jabatan Negara AS, Khartoum telah menunjukkan kesediaan untuk memulihkan keadaan dalam negara dan membantu dalam kestabilan serantau, dan perubahan lebih positif bakal menyusul apabila sikap yang dikehendaki ditunjukkan.

Sudan telah lebih dua dekad berdepan tekanan AS dan sekutu, ekoran hubungan Khartoum dengan individu dan kumpulan yang dikait dengan keganasan, dan tekanan ini terus meningkat ekoran beberapa isu termasuk Darfur dan hubungan dengan Iran.

Sebahagian besar perubahan ini boleh dikaitkan dengan tekanan dihadapi Presiden Sudan Omar Hassan Ahmad al-Bashir kelihatan membuat beberapa pilihan sukar akibat kedua-dua tekanan politik dalaman dan luaran.

Sudan berdepan masalah ekonomi akibat sekatan dikenakan, dan ditambah dengan pemisahan Sudan Selatan yang kaya minyak pada Julai 2011, mengurangkan sumber pendapatan kritikal Sudan.

Omar Bashir juga telah didakwa bertanggungjawab atas pembunuhan di Darfur sejak 2003, dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap ke atas beliau.

Khartoum hanya terselamat hasil hubungan baiknya kebelakangan ini dengan Arab Saudi, Qatar dan negara-negara Arab di Teluk Parsi, yang merupakan kuasa-kuasa berpengaruh di dunia Arab dan juga sekutu kuat AS.

Sebelum 2015, Sudan tidak menikmati hubungan baik dengan Saudi dan negara-negara Arab, yang berpunca daripada sikap Khartoum tidak bersama pakatan Saudi semasa Perang Teluk awal 1990-an.

Sudan pada hujung 2015 dilaporkan menerima lebih AS$2 bilion daripada Riyadh dan Doha, bantuan yang boleh disifatkan sebagai ganjaran kepada Khartoum yang memilih untuk bersama kem Saudi dan sekutu, mengorbankan hubungan dengan sekutu lama, Iran.

Sudan juga menjangka pelaburan-pelaburan baharu daripada Arab Saudi ekoran pemulihan  hubungan ini.

Sudan pada masa itu juga telah terlibat menyertai kempen ketenteraan diketuai Saudi di Yaman, yang dianggap sebagai satu perang untuk menyekat kemaraan pengaruh Iran di dunia Arab.

Hubungan baik Sudan-Iran ini mencetuskan kebimbangan AS, Israel dan negara-negara Arab yang berhubungan baik dengan negara-negara tersebut.

Melalui kemudahan dimiliki Iran di Sudan, Hamas dapat dibantu dengan pembekalan senjata dalam konflik bersenjata dengan pihak Zionis.

Pada 2012, Israel telah menghantar pesawat tentera mengebom sebuah kilang senjata di Sudan, yang dipercayai dimilik Iran, bagi memenuhi keperluan persenjataan di Palestin yang dibekalkan melalui penyeludupan melalui Mesir.

Satu perkembangan yang memulakan perubahan hubungan Khartoum-Tehran berlaku pada 2014, apabila kerajaan Sudan menutup pusat kebudayaan Iran di negara itu, memberi alasan penyebaran Syiah.

Sejak itu, hubungan Sudan dengan sekutu lama itu semakin terjejas, ditambah dengan kenyataan-kenyataan Omar Bashir mengkritik Iran dan menuruti pendirian Riyadh dalam isu serantau, memperlihatkan kesungguhan Khartoum untuk membebaskan diri dari peminggiran dan meraih bantuan kewangan, pelaburan dan sokongan politik negara-negara Arab kaya dan berpengaruh.

Akhirnya, pada Januari 2016, mengambil kesempatan daripada isu hukuman mati ulama Syiah di Arab Saudi, Khartoum mengumumkan memutuskan hubungan dengan Tehran, dengan pasti memasuki kem Saudi.

Satu lagi perkembangan penting ialah kenyataan dari Khartoum tentang normalisasi hubungan dengan Israel, yang dibincangkan satu jawatankuasa hubungan luar Sudan pada Januari 2016.

Ogos lalu, menteri pelaburan Sudan, Mubarak al-Fadil al-Mahdi menggesa pemulihan hubungan dengan Israel, sambil mengatakan pandangan berbaik dengan Israel itu dikongsi oleh elit pemerintah Sudan pada masa kini.

Kenyataan menteri Sudan itu ialah kenyataan paling jelas menampakkan perubahan dasar luar Sudan, yang dimulakan melalui kemerosotan hubungan dengan Iran pada 2014 dan peningkatan dramatik hubungan dengan Saudi dan Arab Teluk pada tahun berikutnya.

Sudan telah berada di kedudukan sukar ekoran persaingan kuasa di dunia Arab, terutama melibatkan blok negara-negara pro-AS dan Saudi dengan kelompok negara pro-Iran.

Tekanan kuat dihadapi Sudan sejak dua dekad lalu dan semakin hebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mendorong Khartoum mengambil langkah pragmatik demi kepentingan tersendiri.

Iran berdepan satu kerugian besar ekoran kehilangan Sudan dari senarai sekutu pentingnya, ekoran peranan strategik Sudan dan kedudukan yang telah dibina sejak sekurang-kurangnya hampir 10 tahun lalu.

Dasar luar baharu Sudan ini menunjukkan siri perkembangan terkini serantau, termasuk pengukuhan Kurdistan Iraq yang memberi kelebihan kepada Israel, hasil perubahan sikap terhadap negara Zionis, perpecahan negara Islam dan potensi ketidakstabilan yang boleh memberi kelebihan kepada Israel.–HARAKAHDAILY 11/10/2017

PERSEFAHAMAN perdamaian dan penubuhan kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah di Kaherah mengandungi dua sisi yang penting, iaitu pengukuhan pengaruh Emiriyah Arab Bersatu, Mesir dan Arab Saudi dalam isu Palestin mengatasi Qatar dan sekutunya Turki, dan sikap Hamas yang semakin pragmatik menangani masalah Gaza dan kedudukan politiknya menangani Fatah dan Pihak Berkuasa Palestin.

Sejak 2006, tahun Hamas menang besar dalam pilihan raya Palestin, Qatar telah berusaha menyatukan Hamas dan Fatah dalam sebuah kerajaan perpaduan, menamatkan persengketaan kedua-dua kumpulan dan mewujudkan sebuah Palestin yang bersatu.

Walaupun sukar dan berdepan pelbagai cabaran, Qatar kekal sebagai kuasa berpengaruh di Gaza yang sukar diatasi oleh kuasa serantau lain, sama ada dalam bentuk bantuan kewangan dan juga sokongan politik, pada masa sama meneruskan usaha menyatukan Hamas dan Fatah.

Kebangkitan serantau digelar "Arab spring" akhirnya mengukuhkan lagi kedudukan Doha dalam isu Palestin, apabila kepimpinan Hamas meninggalkan pangkalan di Syria pada awal 2012 dan berpindah ke Qatar dan Mesir - yang pada masa itu di bawah pengaruh Qatar - mengiktiraf peranan Doha sebagai penaung baharu Hamas.

Pada 2014, emir Qatar pada masa itu mencetuskan kejutan apabila melawat Gaza, sesuatu yang tidak pernah dilakukan pemimpin serantau lain, dan menjanjikan bantuan pembangunan sebanyak AS$400 juta.

Gaza pada masa itu dilihat bakal terbela dan pelbagai masalah yang membelenggu boleh dapat diselesaikan dengan bantuan Qatar dan juga sekutunya Turki.

Kemaraan Qatar ekoran kebangkitan serantau, terutama dengan menguasai Gaza dan Mesir walau bagaimanapun tidak berlangsung lama, apabila pakatan Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan rejim lama Mesir diwakili Abdel Fatah al-Sisi pada 2013 menggulingkan Presiden Mohamed Morsi dan menamatkan penguasaan Ikhwanul Muslimin dan Qatar ke atas Mesir.

Hamas turut menerima kesannya apabila harapan untuk Mesir yang dikuasai Ikhwan dan berpotensi membantu dan menamatkan dasar-dasar lama terhadap Gaza berakhir dan Mesir dikuasai oleh pemimpin yang memusuhi Ikhwan dan sekutu.

Kemudian, pada masa pengaruh serantau Doha semakin lemah, Emiriyah, Arab Saudi dan Mesir dan sekutu-sekutu mengenakan sekatan ke atas Qatar, dengan senarai tuduhan termasuk mengaitkannya dengan membantu teroris.

Pada masa kepungan ini berjalan, Abu Dhabi telah pun membina hubungan yang rapat dengan Kaherah, terutama melalui bantuan kewangan berbilion dolar dan mempunyai pengaruh yang cukup untuk mempengaruhi pembuatan keputusan dalam dasar luar Mesir.

Rundingan peringkat akhir yang akhirnya membawa kepada persetujuan antara Hamas dengan Fatah untuk melaksanakan persetujuan tahun 2011 menubuhkan kerajaan perpaduan - yang juga dicapai di Kaherah - dan Hamas melepaskan pentadbiran di Gaza dan sempadan dengan Mesir berlaku semasa Qatar berdepan tekanan kuat pakatan Emiriyah-Saudi-Mesir.

Qatar yang sejak lebih sedekad lalu menjadi tuan rumah dan rujukan dalam usaha mendamaikan Hamas dengan Fatah kelihatan telah kehilangan pengaruh pentingnya, dan Kaherah disokong kuat Emiriyah muncul sebagai broker dan menjadi lokasi persefahaman Hamas-Fatah dicapai.

Bermula awal tahun ini, Mesir telah berunding dengan Hamas dan Mohammed Dahlan, seorang pemimpin Fatah dalam buangan yang juga pesaing pemimpin Fatah, Mahmoud Abbas yang kini semakin tidak popular.

Dahlan memainkan peranan penentu dalam mencapai persefahaman dengan Hamas di Gaza, dalam rundingan yang bermula sejak awal tahun ini di Kaherah.

Rundingan ini menghasilkan persetujuan perkongsian kuasa seperti yang diumumkan Dahlan pada hujung bulan Julai lalu, dan mendorong kepada rundingan akhir mencapai persefahaman yang dicapai di Kaherah baru-baru ini.

Pada 12 Oktober lalu, di Kaherah, Hamas dan Fatah akhirnya bersetuju untuk berdamai, bekerjasama menyelesaikan krisis kemanusiaan Gaza akibat kekurangan air dan tenaga, kegawatan ekonomi, kemusnahan infrastruktur, dan peminggiran Gaza dari masyarakat dunia.

Dahlan, seorang broker antarabangsa yang berpangkalan di Abu Dhabi dan mempunyai hubungan baik dengan elit pemerintah Emiriyah dan Mesir telah mengukuhkan kedudukannya melalui pelbagai cara termasuk berunding dan menawarkan ganjaran kewangan kepada pihak terlibat konflik antara Hamas dan Fatah pada 2006-2007 dan mangsa perang 2014.

Tahun ini, Dahlan kelihatan telah mencapai matlamatnya apabila persetujuan dengan Hamas dicapai, walaupun beliau sebelum ini dalam peranannya sebagai pegawai keselamatan Fatah di Gaza, terlibat bertindak ganas terhadap Hamas.

Dahlan mempunyai hubungan baik dengan Yahya Sinwar, ketua Hamas di Gaza dan telah memulakan rundingan dengan Hamas hasil hubungan baik ini, ditambah dengan faktor tekanan ke atas Gaza dan permusuhan dengan Abbas.

Melalui pengaruh Dahlan di Abu Dhabi, jutaan dolar diperolehi daripada Emiriyah, penyumbang program bayaran ganti rugi ini, dan ratusan ribu dolar telah diserahkan kepada mangsa yang terlibat dalam perang 2014 pada September lalu.

Gaza juga dikatakan menerima jutaan dolar bantuan kewangan dari Emiriyah hasil persefahaman dengan Dahlan, mengatasi bantuan dari Qatar.

Emiriyah juga dilaporkan telah bersetuju membiayai stesen janakuasa bernilai AS$100 juta yang bakal dibina di Mesir bagi membekalkan kuasa ke Gaza.

Menjelang Aidilfitri lalu, Dahlan telah menggunakan pengaruhnya, melalui bantuan sejuta liter bahan bakar dari Mesir - dengan bantuan Emiriyah - ke Gaza, yang berdepan masalah ekoran pemotongan sebanyak 40 peratus bekalan elektriknya oleh Israel atas permintaan Pihak Berkuasa Palestin di bawah Presiden Abbas.

Di pihak Hamas, kumpulan ini telah menamatkan kerajaan bayangannya di Gaza setelah mencapai persetujuan dengan Dahlan, dan telah wujud satu kerjasama politik antara Hamas dan kumpulan Dahlan dalam Fatah.

Hamas kini telah bersetuju berkongsi kuasa mentadbir Gaza dengan Fatah, dan Dahlan dan kelompoknya dijangka bakal muncul sebagai antara pihak yang paling menang hasil rundingan ini, sekaligus meminggirkan Abbas.

Kedua-dua Hamas dengan Dahlan telah terlibat dalam konflik ganas pada 2007, tetapi mencapai satu persefahaman untuk berdepan Abbas, yang bertanggungjawab menyukarkan lagi keadaan di Gaza.

Walaupun menafikan cita-cita untuk menggantikan Abbas, Dahlan kini muncul sebagai seorang tokoh berpengaruh dan kerjasamanya dengan Hamas dan sokongan Abu Dhabi dan Kaherah bakal terus mengukuhkan pengaruhnya di Gaza dan juga dalam Fatah dan Pihak Berkuasa Palestin.

Perkembangan terbaru ini menunjukkan satu perubahan besar aturan kuasa serantau, menyaksikan pengukuhan kedudukan Mesir yang disokong Emiriyah dan juga Arab Saudi, dan bagaimana kesan-kesan politik "Arab spring" dan perang serta krisis di Gaza akhirnya memberi kesan pada Hamas.

RAMAI pelarian Rohingya yang baru tiba masih tidak mempunyai khemah sementara untuk mereka berlindung.

“Kita rasa sangat terharu dengan situasi yang berlaku terutama apabila kita bertemu dengan anak-anak kecil yang sangat lapar.

“Masing-masing berebut (makanan) dan menadah tangan di sepanjang jalan yang kita jumpa mereka. Sebahagian mereka itu baharu tiba dan tidak tahu ke mana nak pergi,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan awal di sepanjang jalan Teknaf melalui tiga buah penempatan pelarian di Kem Balukhali, Camp Putupalong dan kem Thaingkhali di Cox’s Bazaar, Bangladesh, kelmarin.

Katanya, banyak badan bukan kerajaan (NGO) termasuk UNHCR datang membantu tetapi masih belum mencukupi keperluan semasa.

Malah, katanya berita kesedihan mengenai pelarian etnik Rohingya yang menjadi pelarian itu ada yang tidak mempunyai tempat berteduh.

“Cuma saya lihat, selain dari keperluan makanan yang kita bahagi agaknya ada keperluan kewangan yang mereka perlukan. Sebab, saya tengok dari segi keperluan ada dijual di kedai-kedai. Maknanya, jika mereka ada duit mereka boleh belilah.

“Selain dari kita beri keperluan makanan asas seperti beras, minyak masak, gandum dan sebagainya mungkin ada keperluan mendesak seperti susu yang mereka terpaksa beli sendiri,” jelasnya.

Menurutnya, maklumat yang diperolehi melalui PASRelief bahawa jumlah pelarian etnik Rohingya itu seramai 1.3 juta orang.

Katanya, setiap hari berlaku kemasukan dan kehadiran pelarian baharu yang hidup tanpa tempat tinggal untuk berteduh.

“Hari ini kami lihat sendiri kaum-kaum ibu yang berdiri di tepi jalan, menadah tangan minta simpati orang yang lalu-lalang.

“Nampaknya, mereka sangat terdesak untuk dapat menginapan. Kem-kem pelarian yang disediakan Bangladesh tidak mencukupi untuk menampung.

“Setiap hari ada pelarian yang baharu tiba dari menyeberang. PASRelife yang kita usahakan ini dapat menyediakan beberapa penempatan dan keperluan kepada air bersih (tubewell) untuk minum dan membersih diri,” jelasnya.

Screenshot

KEJATUHAN Abbasiyyah merupakan sejarah yang memalukan umat. Tersimpan pelbagai pengajaran akibat tersampuk penyakit leka yang berpanjangan.
 
Ejen Tatar
 
Pemerintah Tatar, Hulagu Khan berjaya menanam ejennya yang bernama Muayyidduddin al-Alqami ke dalam kerajaan Abbasiyyah dalam tempoh masa yang lama. Sehingga Alqami diberi kepercayaan sebagai orang paling kanan khalifah. Ramai yang tidak sedar hal ini kerana telah lama didoktrin agar jangan sibuk hal ancaman ke atas khilafah. Mereka diprogramkan untuk kekal lalai.
 
Petualang
 
Alqami amat dipercayai ketika itu. Namun, dia jugalah yang kerjanya memujuk khilafah agar menyerah diri beralasankan perundingan 'win win situation'.
 
Dia sentiasa mempengaruhi khilafah supaya akur terhadap segala arahan Tatar. Kesan dari itu, kewaspadaan khilafah semakin tumpul dan tentera dibiarkan 'lemau' tanpa persiapan rapi.
 
Alqami juga berperanan mendedahkan data maklumat Abbasiyyah kepada Tatar. Di khalayak umum, dia dianggap sebagai orang kepercayaan dan harapan Abbasiyyah. Namun hakikatnya, dia adalah perisik Tatar.
 
Mujahiduddin Aybak dan Sulaiman Shah
 
Ketika itu, muncul insan yang sedar dengan keanehan yang berlaku ke atas Abbasiyyah. Walaupun telah terlewat, Mujahiduddin Aybak mempersiapkan tentera Abbasiyyah yang masih lagi berbaki kesedaran. Diikuti oleh Sulaiman Shah.
 
Percikan api kesedaran umat untuk bangkit berjihad merupakan signal bahaya ke atas Tatar. Api tersebut mesti segera dipadamkan.
 
Plot
 
Menyedari perkembangan tersebut, Hulagu mengarahkan Alqami agar cepat membunuh Aybak dan Sulaiman. Ketika itu, Alqami amat dipercayai dan dianggap sebagai jurucakap Abbasiyyah.
 
Lantas Alqami mewartakan bahawa Aybak dan Sulaiman bersama tentera mereka merupakan puak merbahaya yang mengancam keselamatan Abbasiyyah. Realitinya Tatar yang terancam. Sedangkan bangkitnya mereka adalah untuk melawan Tatar, semata-mata mahu membela Abbasiyyah.
 
Namun malangnya, kata-kata Alqami lebih dipercayai. Maka mereka dihukum bunuh atas tuduhan kononnya menderhaka dan memberontak. Hakikatnya merekalah hero Abbasiyyah. Hulagu puas melihat jentera Kerajaan Abbasiyyah diperalatkan untuk membunuh orangnya sendiri.
 
Kesal
 
Setelah dari tragedi tersebut, Tatar selesa menawan Abbasiyyah tanpa tentangan. Baghdad tumbang dalam keadaan bogel tanpa maruah. Kota mengalirkan darah hanyir. Pembesar-pembesar dibunuh sekaligus. Khalifah digulung dalam permaidani, kemudian dipijak hingga mati. Masing-masing menanggung akibat atas kelalaian sendiri. Sejarah yang memalukan, kebodohan dan kealpaan umat menatijahkan jatuhnya sebuah empayar yang asalnya dibanggakan maju dan berpengaruh.
 
Waspada Adalah Hikmah
 
Tercatat pada anak panah tentera Tatar, sebaris jampi politik:
 
"Sekiranya Tuhan hendak menyempurnakan takdirnya, Dia berupaya membodohkan akal orang yang sepatutnya berakal"
 
USTAZ ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang - HARAKAHDAILY 10/10/2017

More Articles ...

Page 2 of 4