TAHUN 2006 ialah titik permulaan episod terkini apa yang berlaku di rantau Asia Barat dan Afrika Utara sekarang ini. Setiausaha negara Amerika Syarikat masa itu, Condoleezza Rice dalam kenyataannya mencadang pembentukan sebuah "new Middle East," menunjukkan yang Lubnan dan Hizbullah menjadi satu sasaran penting untuk dihapuskan supaya realiti politik baharu itu dapat dicapai.

Apa yang dimaksudkan untuk dicapai itu ialah sebuah Asia Barat yang dikuasai oleh Israel, tanpa ada pencabar dan penentang, lebih-lebih lagi yang bersenjata dan menjadi satu proksi Iran yang berkesan seperti Hizbullah di Lubnan.

Negara yang penting selain Lubnan ialah Syria, yang menjadi hab penentangan terhadap Israel telah terjejas teruk akibat perang saudara dan proksi sejak 2011. Syria menyokong dan melindungi Hizbullah dan kumpulan-kumpulan penentang lain, yang membentuk satu paksi bersama Iran di Syam dan Asia Barat.

Kerana faktor peranan Syria itu, hasil kebangkitan digelar "Arab spring," Syria menjadi sasaran untuk dimusnahkan, diubah rejim pemerintahnya supaya dapat diletakkan sekutu Arab, Israel, dan Barat yang boleh memainkan peranan melindungi kepentingan kuasa-kuasa terbabit.

Tahun 2006 juga Hamas telah menang pilihan raya Palestin dan kemudian Fatah terkeluar dari Gaza selepas satu pertempuran ganas antara kedua-dua pihak. Tahun berikutnya, 2007, Hizbullah berperang dengan Israel di Lubnan, yang akibatnya mendorong satu usaha ke arah satu "pakatan Sunni-Israel" yang dicadang antaranya oleh bekas duta AS ke Israel, Martin Indyk.

Tahun 2007 menunjukkan tanda-tanda yang mendorong kepada kemuncak kebimbangan Israel dan sekutu terhadap pengaruh Iran, yang antaranya ditunjukkan oleh keupayaan ketenteraan Hizbullah dan populariti kumpulan ini di Lubnan hasil perang musim panas itu.

Perkembangan tahun 2007 itu juga membenarkan ketakutan terhadap apa yang disifatkan sebagai "bulan sabit Syiah," iaitu kawasan berbentuk seakan bulan sabit dari Syam ke Iraq hingga ke kawasan di timur Semenanjung Arab, kawasan dikuasai Syiah dan Iran.

Sejak itu, usaha menangani pengaruh Iran yang dilihat meningkat itu digiatkan oleh negara-negara Arab diketuai Arab Saudi dan sekutu-sekutu penting seperti Emiriyah Arab Bersatu, yang termasuk melibatkan kerjasama dengan Israel.

Selepas perjanjian nuklear Iran dengan enam negara, Israel dan negara-negara Arab yang berpandangan sama semakin bimbang terhadap Iran, yang dilihat telah tidak dibelenggu oleh sekatan dan akan meningkatkan usaha meluaskan kuasa dan pengaruh di rantau Asia Barat.

Perkembangan sejak Donald Trump menjadi presiden Amerika Syarikat menampakkan pakatan negara-negara Arab dengan Israel ini semakin rapat dan lebih bersedia untuk berdepan Iran.

Trump yang bersikap keras terhadap Iran dan berhubungan baik dengan Israel dan negara-negara Arab berpengaruh kini kelihatan sebagai telah bersedia untuk konflik dengan Iran.

Hubungan baik Trump dan individu tertentu dalam pentadbirannya dengan Israel dan pemimpin-pemimpin Arab bermakna masa sekarang ini ialah yang paling memungkinkan usaha lebih keras dikenakan terhadap Iran.

Laporan penubuhan sebuah "Nato Arab" bersama Israel kelihatan disambut baik oleh Arab Saudi dan negara-negara sekutu, mengukuhkan lagi kerjasama yang telah dijalin secara senyap antara negara-negara tersebut.

Tumpuan dan retorik-retorik panas berhubung pengaruh Iran telah disuarakan dengan lantang sejak kebelakangan ini, sebagai perang propaganda membina dan memanipulasi sentimen anti-Syiah/Iran di dunia Arab dan seluruh dunia Islam.

Persoalan-persoalan yang timbul hasil perletakan jawatan Perdana Menteri Lubnan Saad al-Hariri yang dipercayai dipaksa oleh Riyadh, dan dengan alasan yang terang-terang bertujuan menghalakan tumpuan pada Hizbullah, sekaligus Iran, menunjukkan satu pelan sedang dijalankan terhadap Lubnan.

Selepas Syria dihancurkan akibat perang yang kini memasuki tahun ketujuh, Lubnan yang menjadi pangkalan Hizbullah ialah sasaran yang bertepatan dengan agenda melemahkan Iran melalui tindakan ke atas proksinya.

Tahun 2017 ini, Syria telah dilemahkan, begitu juga Hizbullah yang telah kehilangan ramai anggota akibat perang. Hab Iran di Syria telah terjejas teruk, dan kelihatan gabungan negara anti-Iran melihat Lubnan kini lebih mudah ditangani.

Masa sama, Hamas dan Fatah telah berdamai dalam satu perjanjian yang nampaknya tidak menyebelahi Hamas. Perang dan sekatan panjang telah melemahkan Hamas, dan ditambah dengan perubahan pendirian politik ekoran kebangkitan Arab yang akhirnya menyebabkannya kehilangan sokongan kuat Iran yang dinikmati sebelum ini.

Presiden Mesir, Abdel Fatah al-Sisi mengatakan perjanjian Hamas-Fatah (yang disokong kuat Mesir, Saudi, dan Emiriyah Arab Bersatu) ialah permulaan untuk usaha ke arah perdamaian Palestin-Israel, memudahkan negara-negara Arab lain meneruskan normalisasi dengan Israel.

Terbaru, Riyadh telah memanggil satu pertemuan Liga Arab untuk membincangkan isu Lubnan. Saudi kini berada dalam posisi yang kuat, mendominasi Liga Arab, dan dijangka pertemuan nanti akan menggerakkan lagi agendanya untuk menyekat dan melemahkan kuasa Iran.

Ancaman kuat terhadap Israel kini ialah Hizbullah yang disokong kuat Iran, selepas Hamas dilemahkan akibat daripada peristiwa sepanjang "Arab spring." Hizbullah di Lubnan kini menjadi satu penghalang terakhir dalam usaha untuk melemahkan Iran. - HARAKAHDAILY 15/11/2017

MAPIM sangat kesal kenyataan Sidang Kemuncak Asean Ke-13 di Filipina baru-baru ini yang mengenepikan sama sekali isu penindasan terhadap etnik Rohingya di mana kini sedang berlaku di Myanmar. 
 
Mengikut laporan media, kenyataan didraf oleh tuan rumah persidangan tersebut iaitu Filipina tidak menyentuh mengenai penderitaan etnik Rohingya yang sedang disaksikan sehingga hari ini.
 
Tidak ada disebut apa-apa mengenai lebih 600,000 pelarian Rohingya yang terbaru melarikan diri ke Bangladesh.
 
Ini adalah suatu pernyataan sangat melanggar semangat keharmonian dan kestabilan di Asean. Malah ia mengkhianati kesepakatan melindungi hak manusia yang dicapai antara anggota pertubuhan tersebut sebelum ini.
 
Apakah Asean kini sedang ditundukkan oleh kehendak Myanmar dalam suatu isu yang jelas sedang mendapat perhatian dunia? Malah Setiausaha Agung PBB, Guteres menggesa Myanmar menerima semula etnik Rohingya untuk pulang ke perkampungan mereka di wilayah Rakhine.
 
Jika alasan yang diberi oleh Aung San Suu Kyi keganasan di Myanmar dianggap urusan dalam negara dan prinsip Asean adalah tidak campur tangan dalam urusan dalam negara, maka jelas Asean sudah tunduk kepada hipokrasi pemenang Keamanan Nobel itu.
 
Pada 1999 ketika beliau berjuang menentang junta tentera Myanmar dan meminta dunia campur tangan atas nama hak manusia dan demokrasi, kini beliau menolak campur tangan luar untuk menghentikan kekejaman tentera Myanmar yang membunuh dan mengusir ratusan ribu etnik Rohingya.
 
Soalnya jika Asean ditegakkan atas nama kesatuan dan kestabilan komuniti Asean, kenapa suatu operasi 'genosid' dan penghapusan etnik yang terang-terangan berlaku di Myanmar tidak mendapat perhatian dalam Sidang Kemuncak Asean Ke-13 tersebut?
 
Kami sangat kecewa tidak ada seorangpun pemimpin anggota Asean dalam ucapan mereka yang menyentuh mengenai isu Rohingya.
 
Adakah ini suatu kompromi untuk memastikan Myanmar tidak memboikot persidangan tersebut di atas penganiyaan ratusan nyawa Rohingya yang dizalimi oleh negara itu?
 
Setiap pemimpin Asean sepatutnya peka dengan perhatian dunia yang kini memberi fokus kepada suatu operasi penghapusan etnik di Myanmar terbesar di dunia. Tidak mungkin ini boleh dianggap urusan dalaman Myanmar sehingga tidak boleh dikritik oleh masyarakat dunia amnya dan Asean khususnya.
 
Asean kini boleh dianggap hanya badan yang mandul dan tidak boleh mempertahankan hak manusia dan membela hak etnik minoriti di rantau ini seperti yang disepakati sebelum ini.
 
Kami mendesak supaya Asean menyatakan sikap tegas terhadap isu tentera Myanmar menindas etnik Rohingya dan bertindak sesuai dengan undang-undang antarabangsa terhadap hak minoriti. 
 
Jika ini tidak boleh ditunjukkan oleh Asean maka kewujudannya tidak ada erti kepada golongan minoriti dan ia bertukar menjadi sebuah forum retorik semata-mata dan hanya bertumpu kepada kepentingan golongan majoriti yang berkuasa.
 
MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia
14 November 2017 - HARAKAHDAILY 14/11/2017

BADAN Statistik Palestin melaporkan jumlah bayi yang dilahirkan di Semenanjung Gaza sepanjang bulan Oktober lalu adalah sebanyak 5,058 bayi, atau kira-kira 163 bayi sehari atau enam bayi setiap jam.

Jumlah kelahiran baharu meningkat sebanyak 541 bayi pada September lalu, di mana 4,517 bayi baharu lahir di Semenanjung Gaza.

Menurut statistik, 51 peratus bayi yang baharu lahir adalah laki-laki dan 49 peratus daripada mereka adalah perempuan iaitu 2,549 laki-laki dan 2,509 perempuan, lapor portal Eramuslim.

Bandar Gaza menduduki tempat pertama kelahiran terbanyak dengan 1.883 bayi, disusul Khan Younis (982), Gaza bahagian utara (835), Gaza Tengah (697) dan Rafah (661).

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Palestin mencatatkan 242 kematian pada bulan yang sama, di mana 121 bayi perempuan dan 211 lelaki.

Statistik tahun 2016 menunjukkan bahawa kadar pertumbuhan penduduk di Gaza adalah 2.39 peratus, dengan tahap kelahiran 32.3 daripada 1,000 dan kadar kematian pula 3.2 daripada 1000.

Semoga bayi yang baru lahir akan menjadi pejuang untuk pembebasan Palestin di masa depan.

MARANG: Dunia bertindak tidak adil terhadap Islam apabila membisu terhadap kezaliman termasuk pembunuhan ke atas umatnya, tetapi menuduh Islam sebagai pengganas apabila mempertahankan diri.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Ustaz Dato' Hussien Awang berkata, apabila berlaku tindakan tegas orang Islam terhadap pemimpin zalim, maka ia dikatakan pengganas dan Islam dituduh mengajar keganasan dan pelampau.
 
Sebaliknya, pembunuhan umat Islam di Bosnia-Herzegovina, Palestin, Filipina, Pattani dan Arakan, tidak ada pemimpin dunia menyatakan penyerang sebagai golongan pengganas.
 
"Inilah nilai sedang dilakukan masyarakat antarabangsa terhadap agama kita, terhadap umat kita. Semua ini semata-mata kerana tidak mahu melihat Islam kembali menjadi satu dasar hidup.
 
"Kerana itu ianya menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menegakkan Islam dan melaksanakan syariat Allah S.W.T di atas muka bumi ini," ujarnya pada Malam Untukmu Rohingya di Masjid Rusila, di sini semalam.
 
Menurutnya, hanya Islam dengan segala perundangan dan tata sosialnya yang dapat memberi jaminan keselamatan kepada seluruh manusia.
 
Katanya, penindasan dan aniaya oleh golongan kufar dan zalim harus menyedarkan umat Islam serta berdoa agar para mustad'afin diberi kekuatan iman dan keyakinan kepada Allah.
 
Kutipan sebanyak RM535,107.75 untuk disumbang kepada pelarian Rohingya telah berjaya dikumpul dan diumumkan pada majlis tersebut, sekali gus menjadikan PAS Terengganu penyumbang terbesar tabung tersebut. - HARAKAHDAILY 10/11/2017

SEORANG kanak-kanak lelaki Palestin tiba-tiba terkenal di seluruh dunia melalui gambar keberaniannya terhadap Israel. Gambar itu menjadi yang pertama dan terakhir, di mana seorang budak yang berani membawa batu ke kereta kebal Israel.

faris audahItulah Faris Audah, kanak-kanak kecil yang sebagai wujud jelmaan dari makna hakiki sebuah cengkaman terkenal "kepalan tangan menumbuk batu." Ketika itu, kamera media massa memotretnya dengan membawa batu mencabar sebuah kereta kebal Israel yang menyerang Semenanjung Gaza pada 2000.

Pada masa itu, Faris sedang pergi ke sekolahnya selepas pencerobohan Israel ke Semenanjung Gaza pada 2 November 2000. Namun Faris bersama teman-teman sekolahnya mengambil jalan lain menuju penempatan Yahudi yang dibina di bekas tanah warga Palestin di Semenanjung Gaza iaitu "Netsarem."

Faris bukan anak biasa seperti mana kanak-kanak lain yang kembali ke sekolah setiap hari. Tetapi berhampiran sekolahnya, dia menyembunyikan beberapa pakaian lain yang digunakan semasa pertempuran dengan pasukan pendudukan Israel. Selepas terlibat dalam pertempuran, dia menggantikannya dengan pakaian yang bersih yang biasa dia pergi ke sekolah pada keesokan harinya.

IBUPALESTINA"Faris salah satu daripada anak-anak yang bertekad untuk berdoa terutama pada waktu solat subuh di masjid. Pada hari kesyahidan beliau, beliau turun dari tangga masjid dan kembali ke tiga kali teratas. Saya sebagai ibunya melihat pada perpisahan matanya, terutama setelah menangkap bunga dan gambarnya dalam konfrontasi dengan Israel," kata ibu Faris.

Suatu pagi, pada 8 November pukul 9.30 pagi, pihak sekolah menghubungi ibu Faris dan memaklumkan kepadanya bahawa anaknya tidak menghadiri sekolah.

Pada saat itu, Faris terkena tembakan pasukan Israel dengan peluru berat yang menembus lehernya yang terus mengalami pendarahan. “Tiga orang kawannya membawanya dan kata-kata terakhirnya, “Ibu mana ibu”.

Faris adalah anak keenam daripada 9 saudara kandung. Adik-beradiknya juga menjadi sasaran tembakan Israel tiga bulan selepas Faris meninggal dunia. Selepas kejatuhan Faris sejumlah puisi dan tulisan dibuat dalam kesusasteraan perjuangan. (Islampos)

MARANG: Umat Islam di negara ini diingatkan agar tetap teguh istiqamah dengan Islam sekali pun mereka berada dalam keadaan lemah dan daif.
 
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam hari ini berada dalam keadaan sangat lemah ditindas oleh musuh-musuhnya.
 
Justeru katanya, situasi itu mengingatkan umat Islam dengan pesanan Nabi Muhammad S.A.W mengenai nasib umat Islam di akhir zaman.
 
"Kita menghadapi suasana orang Islam dalam keadaan yang sangat lemah. Keadaan yang pernah disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis. 
 
"Orang-orang lain akan mengelilingi kamu umat Islam seperti mereka mengelilingi hidangan yang lazat. Mereka mencubit, memamah, mengigit dan menelan makanan yang lazat.
 
"Adakah ketika itu umat Islam sedikit. Jawab Rasulullah S.A.W, tidak jumlah mereka (orang Islam) ramai tetapi banyaknya seperti buih dan sampah-sarap di lautan. 
 
"Itulah yang akan diperlakukan kepada orang Islam di akhir zaman. Mereka dikelilingi oleh musuh-musuh mereka macam orang ramai yang mengelilingi hidangan yang lazat," ujarnya. 
 
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Malam Untukmu Rohingya di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini semalam.
 
Kata Dato' Seri Abdul Hadi, itulah yang berlaku terhadap umat Islam di seluruh dunia termasuk Palestin, Afrika Tengah dan Rohingya hari ini.
 
Menurutnya, Allah S.W.T telah mencabut rasa gerun dan kehebatan umat Islam kepada musuh setelah mereka dilanda penyakit al-wahn iaitu kasihkan dunia dan takutkan mati.
 
"Inilah penyakit yang melanda umat Islam di akhir zaman. Kasihkan dunia tanpa mengira halal dan haram. Takutkan mati kerana banyaknya dosa-dosa dan maksiat yang dilakukan," jelasnya.
 
Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengingatkan umat Islam agar tetap bersama dengan Islam sama ada dalam keadaan lemah atau kuat.
 
"Oleh itu, sama ada rebah dan bangun, tenggelam dan timbul kita mesti bersama dengan Islam, bersama dengan umat Islam. 
 
"Kalau kita kuat, bertindak dalam keadaan kuat. Kalau kita lemah, kita tidak putus hubungan antara satu sama lain.
 
"Walaupun orang Islam dalam keadaan yang dhaif dan lemah. Allah menyuruh mereka bertindak mengikut kemampuan yang ada pada mereka. 
 
"Sekiranya, mereka bertindak mengikut kemampuan yang ada pada mereka, dan Allah hendak menunaikan kemenangan kepada Islam selepas itu adalah pertolongan daripada Allah yang tidak boleh dikalahkan oleh sesiapa sahaja," tegasnya.
 
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah PASRelief Pusat, Muhammad Sanusi Mohd Nor, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Husain Awang dan ramai lagi pimpinan PAS Terengganu. - HARAKAHDAILY 10/11/2017

DI Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman sedang segera mengukuhkan kuasanya dalam persediaan untuk menjadi raja menggantikan bapanya Salman bin Abdul Aziz - yang kini dilihat sedang menghabiskan hari-hari terakhirnya sebagai raja - melalui tindakan terbaru menahan pesaing dan pencabarnya atas alasan berkait korupsi.

Kemaraan pantas Mohammed ini telah dijangka, tetapi kepantasannya kebelakangan ini dan tindakan-tindakan berani yang dilaksanakan tetap mengejutkan, apabila nama-nama besar berpengaruh di Arab Saudi dan mempunyai hubungan peringkat antarabangsa yang luas turut ditahan.

Tindakan terkini Mohammed ini menyempurnakan pengukuhan kuasa sebagai bakal pengganti raja selepas sejak awal Salman ditabalkan sebagai raja, adat dan konvensyen yang telah berjalan untuk mengimbangi kuasa antara kelompok anak-anak Abdul Aziz selama ini telah diabai dan dilanggar.

Beberapa bulan lalu pada bulan Jun, Mohammed bin Nayef disingkir daripada kedudukan putera mahkota memperlihatkan dengan jelas lagi yang laluan untuk Mohammed bin Salman sedang dimudahkan malah dipercepatkan, selepas kedudukannya sebagai timbalan putera mahkota itu sendiri telah menunjukkan apa yang boleh dijangka bakal berlaku dalam masa yang tidak begitu lama.

Mohammed kini sedang menggerakkan agendanya sebagai persediaan untuk menjadi raja dan lebih penting daripada itu, mengepalai sebuah Arab Saudi yang baharu, yang sedang melaksanakan perubahan-perubahan drastik daripada usaha pembangunan teknologi kepintaran buatan, reformasi menuju ekonomi pascakarbon, hingga ke liberalisasi sosial yang kini kebebasan wanita sedang menjadi tumpuan utamanya.

Mohammed dilihat mahu mengemudi Arab Saudi memasuki satu era baharu, dan mahu memusatkan kuasa pada dirinya untuk lebih dapat menguasai dan memandu perubahan-perubahan yang dilaksanakan, yang secara langsung atau tidak akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ketua negara.

Pewaris takhta ini, yang juga menjawat jawatan menteri pertahanan, telah memegang pusat-pusat kuasa utama yang boleh menjadi ancaman kepadanya, apabila Mohammed bin Nayef yang memegang kementerian dalam negeri disingkir, dan terbaru menguasai semua cabang pasukan keselamatan termasuk Pengawal Kebangsaan Arab Saudi.

Kemudian, beliau mengetuai jawatankuasa membanteras korupsi, yang menjadi senjata membolehkan tangkapan berpuluh tokoh berpengaruh termasuk pesaing-pesaing daripada kalangan putera lain termasuk Mutaib bin Abdullah dan putera bilionair al-Waleed bin Talal.

Tangkapan yang dilakukan jelas menampakkan persediaan awal dengan cara menghapuskan pesaing, tetapi juga memperlihatkan ketidakpastian apabila ada individu yang dianggap tidak menampakkan ciri pesaing turut ditahan.

Apa yang dilakukan juga dilihat sebagai satu pertaruhan yang berisiko kerana meramaikan lagi musuh, dan daripada kalangan yang berpengaruh di Arab Saudi sendiri, yang akan menyertai Mohammed bin Nayef dalam kalangan mereka yang disingkirkan dengan cara yang tidak terhormat.

Tindakan Mohammed juga telah mencetuskan kejutan dalam kalangan pelabur dan rakan bisnes lain, kerana tindakannya menahan puluhan individu terbabit mencetuskan satu keadaan ketidakpastian yang tidak disenangi komuniti bisnes dan pelabur.

Selepas ini, Mohammed memerlukan lebih lagi kekuatan dan kuasa koersif untuk meneruskan agendanya menguasai Arab Saudi, terutama menangani hal dalaman yang bakal muncul lagi selepas episod tangkapan beramai-ramai ini.

Selain isu dalaman, apa yang penting untuk diperhatikan kini ialah hala tuju dasar luar Riyadh kini, yang telah berjalan dengan lebih kepastian di bawah kawalan Raja Salman dan Mohammed sendiri sebagai pemain penting kerajaan bapanya.

Perubahan dan susunan dalaman yang dilakukan boleh dianggap sebagai satu persediaan untuk menggerakkan satu agenda dasar luar yang lebih agresif, dengan sekutu-sekutu rapat termasuk Amerika Syarikat, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir dan juga Israel.

Dari Lubnan hingga ke Teluk Parsi dan seluruh dunia Islam, perkembangan ini akan memberi kesan yang meluas, yang kemungkinan akan mengulangi suasana sepanjang kemuncak kebangkitan Arab dan khususnya konflik di Syria, dengan sentimen sektarian yang ganas menguasai dunia Islam.

Mohammed bin Salman ialah menteri yang bertanggungjawab dalam memulakan operasi ketenteraan di Yaman pada 2015, yang dimulakan beberapa hari selepas Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu berucap di Kongres AS mendesak tindakan menangani apa yang dikatakan perluasan pengaruh Iran di Yaman.

Perkembangan di seluruh rantau Arab pada masa yang sama memberikan gambaran besar tentang agenda serantau Arab Saudi, bermula dengan perletakan jawatan Perdana Menteri Lubnan, Saad al-Hariri dalam keadaan yang mencetuskan tanda tanya, ekoran pengumuman dibuat di Riyadh dengan tergesa-gesa dan alasan ancaman Iran yang terlalu mudah dan kelihatan bertujuan mengesahkan naratif Saudi.

Sejurus itu, Menteri Hal Ehwal Teluk Arab Saudi, Thamer al-Sabhan menambah dengan mengatakan Lubnan telah mengisytiharkan perang ke atas Arab Saudi ekoran apa yang dilakukan oleh Hizbullah dan Iran di negara Syam itu, tindakan yang meningkatkan lagi tumpuan pada Hizbullah, Syria, dan Iran.

Tempoh pemerintahan Raja Salman menyaksikan hubungan dengan AS dan sekutu-sekutu serantau yang sehaluan terus rapat dan mengukuh, dengan semuanya kelihatan mencapai kata sepakat dalam hal menangani pengaruh Iran dan juga negara lain yang tidak sehaluan seperti Qatar.

Selepas Presiden AS Donald Trump dilaporkan berusaha menubuhkan satu pakatan ketenteraan anti-Iran yang turut disertai Israel, sekutu-sekutu Arab menunjukkan persetujuan, termasuk melalui kenyataan Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir yang mendakwa Iran sebagai penyokong utama terorisme.

Pada awal 2016, Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas Nimr al-Nimr, agamawan Syiah di negara itu sehingga mencetuskan protes besar-besaran di Arab Saudi sendiri dan negara-negara lain.

Mohammed kini dalam keadaan yang bersedia untuk melancarkan agenda dasar luarnya yang pasti melibatkan usaha menangani Iran dan sekutu, berdasarkan perkembangan terkini seperti disaksikan di Lubnan, dan kenyataan-kenyataan dari Riyadh sendiri.

Kesan daripada apa yang bakal terjadi, yang berpotensi melibatkan juga negara serantau dan sekutu lain, dunia Islam kini perlu bersedia berdepan satu suasana yang mencabar. – HARAKAHDAILY 8/11/2017

More Articles ...

Page 2 of 4