BANTUAN kedua PASRelief ke Arakan dalam seminggu ini berjaya disampaikan, Alhamdulillah.

Berbanding senario di kem-kem pelarian di Bangladesh, kehidupan saudara Muslim Rohingya di perkampungan dalam wilayah Arakan lebih parah.

Tekanan sengaja ditingkat dari masa ke semasa untuk memaksa saki baki penduduk Muslim yang tidak melarikan diri ke Bangladesh sewaktu operasi Ogos-Oktober lalu tidak dapat meneruskan kehidupan di kampung halaman mereka.

Kedai-kedai diarah tutup, bekalan makanan tidak dibenarkan dibawa masuk ke kawasan penduduk Muslim.

Kepungan dibuat untuk menyekat pergerakan Muslim Rohingya daripada keluar mencari bekalan makanan.

Semakin hari kehidupan semakin rumit. Kekuatan untuk mempertahankan kampung halaman semakin nipis.

Dua minggu lalu, rangkaian PASRelief di Arakan menemui beberapa pemuda yang sanggup menyeludup masuk bekalan makanan ke kampung-kampung yang dikepung, tetapi tiada jaminan ia akan berjaya 100%.

Dua hari lalu, mereka mengirimkan foto kejayaan membuat agihan kepada beberapa puluh keluarga di sana.

Hari ini satu lagi kiriman foto menunjukkan kejayaan mereka menembusi sekatan untuk menyampaikan makanan hasil sumbangan PASRelief dari dana Tabung Kemanusiaan Antarabangsa (5640 7061 1352 Maybank). Alhamdulillah.

Esok atau lusa akan dibuat satu lagi penghantaran dan agihan bagi menyelesaikan sumbangan kita berjumlah berjumlah RM30,000 semuanya.

Teruskan menyumbang untuk menyelamatkan kumpulan terakhir yang memilih untuk bertahan di tanah air mereka – Arakan - yang semakin hari semakin ‘hilang’.

Penulis ialah Pengarah PASRelief.

Pasrelief1

Pasrelief2

DENGAN dipacu oleh rancangan peralihan kuasa dan sebagai satu strategi bagi mengimbangi pengaruh Iran yang semakin berkembang di dunia Arab maka Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman (MBS) telah mengambil beberapa langkah yang dianggap sebagai melanggar pantang.

Ini termasuklah penahanan berbelas-belas putera dan para menteri dan juga mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki hubungan dengan Israel walaupun sekurang-sekurangnya ia hanya melibatkan sebahagian perkara sahaja.

Tetapi tindakan mengambil langkah-langkah konkrit bagi menghentikan pemulauan dunia Arab ke atas Israel tanpa mencapai penyelesaian yang adil dalam isu-isu rakyat Palestin hanya akan mendatangkan musibah terhadap kedua-dua pihak rakyat Palestin dan Arab Saudi.

Ketua tentera Israel Gadi Eizenkot baru-baru ini ditemuramah buat kali pertama oleh sebuah agensi berita Saudi dan dia mengatakan bahawa Israel bersedia untuk berkongsi maklumat perisikan dengan Arab Saudi berkaitan Iran. Juga untuk kali pertama Israel dan Arab Saudi menaja bersama satu resolusi menentang Syria di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menteri komunikasi Israel Ayoub Kara juga mempelawa Mufti Besar Arab Saudi, Abdul Aziz al-Sheikh untuk melawat Israel atas apa yang disifatkan sebagai komentar baik ke atas negara itu.

Bagi mewujudkan "keabsahan" terhadap tindakan-tindakan yang akan diambil bagi membaik pulih hubungan dengan Israel, maka pihak Arab Saudi telah memanggil presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA) Mahmoud Abbas ke Riyadh baru-baru ini bagi meyakinkannya untuk menerima pelan keamanan yang telah dicadangkan oleh penasihat khas Presiden Donald Trump, Jared Kushner. Kerjasama Saudi-Israel merupakan perkara utama dalam pelan tersebut.

Menurut akhabar New York Times cadangan tersebut mungkin mengandungi perkara-perkara seperti cadangan membaik pulih hubungan termasuk membenarkan "penggunaan ruang udara bagi pesawat-pesawat penambang Israel, visa untuk para usahawan dan hubungan telekomunikasi" dengan Arab Saudi, Mesir, Jordan dan UAE.

Sekiranya MBS meneruskan rancangan tersebut, kedudukan Arab Saudi sebagai peneraju dunia Islam mungkin akan menjadi tidak sah.

Kerjasama daripada pihak Abbas adalah penting untuk membolehkan proses normalisasi hubungan  antara Saudi-Israel dapat diteruskan. Oleh itu, langkah yang diambil pihak Saudi itu akan dilihat sebagai satu pengkhianatan ke atas pendirian dunia Arab dan dunia umat Islam secara keseluruhannya dalam isu Palestin.

Walaupun tidak banyak perkara yang telah didedahkan tentang apa yang benar-benar berlaku semasa lawatan Abbas ke Riyadh, tetapi sesetengah laporan menyebut bahawa barisan kepimpinan Saudi menekan Abbas supaya menerima apa sahaja rancangan yang akan diketengahkan Kushner. Sekiranya tidak beliau akan dipaksa untuk meletakkan jawatan.

Abbas berada dalam keadaan yang tersepit, memandangkan tekanan ke atasnya pasti akan bertambah apabila pelan Kushner didedahkan dalam masa terdekat ini. Beliau juga memerlukan bantuan kewangan Saudi dan Amerika Syarikat bagi membolehkan PA untuk terus berfungsi.

Walau bagaimanapun, pelan rancangan Kushner tersebut tidak akan memberikan keadilan kepada projek pembangunan negara Palestin walaupun secara minimum. Rancangan tersebut akan memberikan keuntungan strategik kepada pihak Israel seperti berakhirnya pemulauan Arab Saudi, tetapi ia hanya akan memberikan keuntungan taktikal kepada pihak Palestin seperti bantuan kewangan, pembebasan tahanan dan sedikit pembekuan secara senyap-senyap ke atas aktiviti pembinaan rumah-rumah baru bagi pendatang Yahudi di luar kawasan-kawasan petempatan besar yang telah dirampas dan diduduki.

Rancangan Kushner tersebut juga secara praktiknya akan merungkaikan Pelan Keamanan Arab 2002 yang ditaja Saudi sendiri yang telah menawarkan proses pemulihan hubungan dengan Israel secara penuh dengan syarat Israel mengundurkan diri dari tanah-tanah negara Arab yang dijajahnya semenjak 1967.

Tindakan memberi tekanan kepada Abbas untuk menerima rancangan Kushner itu bermaksud pimpinan Saudi kini sedang memperkecilkan inisiatifnya sendiri dengan cara menerima pemulihan hubungan dengan Israel secara terhad, sebagai balasan untuk mengadakan satu gabungan bagi menentang pengaruh Iran.

Lebih jauh daripada itu, rancangan normalisasi hubungan Saudi tersebut juga bakal mendatangkan lebih banyak komplikasi dalam usaha penyatuan politik dalaman Palestin. Demi menyekat pengaruh Iran di Gaza, sekutu rapat Arab Saudi iaitu Mesir telah menjadi orang tengah bagi proses penyatuan politik Palestin yang menyaksikan Hamas menyerahkan kuasa kepada PA. Tetapi sesetengah pihak melihat perkembangan tersebut berlaku kerana Mesir seolah-olah telah memaksa Hamas untuk berbuat demikian.

Bagi mendatangkan tekanan yang lebih jauh lagi ke atas Abbas, maka Arab Saudi dilaporkan telah memanggil pesaing rapatnya iaitu Mohammed Dahlan ke Riyadh pada masa sama Abbas berada di sana. Tujuan tindakan tersebut dikatakan bagi memastikan kedua-dua pihak tersebut dapat berbincang tentang proses "perdamaian" pergerakan Fatah. Tetapi dengan kata lain, Arab Saudi membawa Dahlan untuk turut terlibat supaya ia mempunyai pilihan sekiranya presiden PA tersebut menolak perancangan Kushner. Sesetengah penganalisis di Tebing Barat dan Gaza walau bagaimanapun mengambil perhatian bahawa sebaik beliau pulang ke Ramallah, Abbas mula bertindak untuk mengekang pergerakan-pergerakan para penyokong Dahlan. Para penganalisis berpendapat bahawa perkembangan tersebut adalah petanda bahawa Abbas sedang cuba untuk tidak mengikut telunjuk Saudi.

Beberapa hari kemudian, pihak Abbas sekali lagi menerima tamparan kesan perkembangan terbaru itu. Pihak pentadbiran AS mengumumkan bahawa lesen pejabat PLO di Washington tidak akan diperbaharui. Perkara ini tentulah bukan hanya satu kebetulan. Sebaliknya, ia berkemungkinan adalah salah satu petanda jelas bahawa pihak Abbas terus-menerus berusaha untuk menentang tekanan yang diberikan pihak Saudi dan AS. Selari dengan hujah ini, ahli jawatankuasa pusat Fatah, Mohamamad Shtayyeh yang juga salah seorang calon  menggantikan Abbas memberitahu saya bahawa "proses perdamaian tidak akan menjadi satu landasan bagi projek politik serantau yang akan menyebabkan kerugian kepada perjuangan rakyat Palestin."

Syarat-syarat yang dikenakan pihak Saudi menjadikan presiden Palestin berada dalam kedudukan yang sukar, kerana rakyatnya pastinya rata-rata akan menolak syarat-syarat yang terkandung dalam rancangan Kushner. Situasi ini mengingatkan kita terhadap dilema yang dialami pemimpin sebelumnya, Yasser Arafat semasa Perjanjian Kem David pada tahun 2000. Arafat ketika itu berhadapan tekanan AS untuk menerima rancangan Ehud Barak untuk keluar secara tidak sepenuhnya dari Tebing Barat dan Gaza. Sebaik sahaja selepas selepas kemuncak sidang Kem David, Arafat mula diketepikan dan dua tahun kemudian beliau mati secara misteri. Walau bagaimanapun setakat ini tidak diketahui sejauh mana Abbas akan dapat bertahan untuk berhadapan dengan tekanan pihak AS dan Saudi dan kekal menjadi presiden.

Apa yang jelas adalah Arab Saudi akan meneruskan usaha-usaha normalisasi hubungan dengan Israel dengan ataupun tanpa Abbas. Cara MBS menangani proses peralihan kuasa dan persaingan dengan Iran menunjukkan bahawa beliau bersedia mengambil keputusan-keputusan luar jangka.

Tetapi tindakannya berkaitan Israel mungkin tidak akan menjadi seperti dasar-dasar berani lainnya yang telah diambilnya. Sebaliknya, dia mungkin akan akhirnya menerima kesan kesilapan tindakannya. Memastikan rancangan Kushner berjaya bermakna mengambil tindakan yang bertentangan dengan pendirian majoriti penduduk dunia Arab dan dunia Islam, yang menolak proses pemulihan hubungan dengan Israel tanpa dapat terlebih dahulu mencapai penyelesaian yang adil dan saksama terhadap permasalahan rakyat Palestin.

Arab Saudi mungkin menerima sokongan negara-negara seperti UAE, Bahrain, Mesir dan Jordan tetapi tidak daripada baki 57 negara majoriti umat Islam  yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC. Sebagai contoh Kuwait ketika ini sedang mengadakan kempen menentang proses pemulihan hubungan dengan Israel.

Sekiranya MBS meneruskan pelan tersebut, beliau mengambil risiko meletakkan kedudukan Arab Saudi sebagai tidak lagi sah sebagai peneraju dunia Islam. Tuanku ayahnya, iaitu Raja Salman yang menjadi penjaga dua kota suci akan dilihat sebagai berkompromi terhadap kedudukan tempat ketiga tersuci dalam Islam, iaitu Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. - HARAKAHDAILY 29/11/2017


Ibrahim Fraihat adalah Profesor Madya Penyelesaian Konflik Antarabangsa di Pusat Pengajian Sarjana di Institut Doha. Tulisan ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris di al-Jazeera dan diterjemahkan oleh Harakah.

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memberi perhatian tinggi terhadap nasib umat Islam Rohingya apabila Parlimen Malaysia telah mengadakan lawatan khas langsung ke Kem Pelarian Balukhali, di Cox's Bazar, Bangladesh semalam.
 
Misi lawatan Ahli-ahli Parlimen Malaysia yang turut menyerahkan sumbangan Tabung Kecemasan Rohingya itu diketuai sendiri Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Seri Ronald Kiandee.
 
Sekali gus memberi mesej kepada dunia terhadap komitmen membela nasib Rohingya tertindas itu serta bersama dengan suara menentang kezaliman Myanmar yang diakui badan dunia sedang bertindak ke arah penghapusan etnik.
 
Rombongan itu seramai 51 anggota terdiri dari 12 Ahli Parlimen, Pegawai Kedutaan Malaysia di Dhaka dan para pegawai kerajaan dari pelbagai jabatan serta agensi, termasuk wakil-wakil media.
 
Mereka telah diberi taklimat berhubung perkembangan semasa sejak tragedi hujung Ogos lalu itu serta membuat serahan sumbangan kepada wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Mercy Malaysia dalam satu majlis khas di Tulip Royal Hotel, di sana.
 
Setelah itu, ahli rombongan turut dibawa melihat sendiri keadaan umat Rohingya di kem tersebut menemui 1,001 kisah kesengsaraan diiringi Naib Presiden MAPIM, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.
 
Pada lawatan itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato' Abdul Aziz Khaprawi turut mengetuai perasmian Musolla Malaysia yang disumbangkan kepada pelarian untuk ibadah dan kegiatan mereka di kem itu.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff dari PAS berkesempatan melawat empat yatim piatu, Azizah dan adik-adiknya yang kedua ibu bapa mereka dibunuh pihak Myanmar.
 
Beliau bersama Ahli Parlimen Kuantan, Fauziah Salleh juga menziarahi Nurul Hasan yang masih terlantar kaku akibat serangan strok ketika keluarganya keluar lari dari Maugdaw, Myanmar setelah rumah mereka dibakar. - HARAKAHDAILY 26/11/2017

SEBELUM kemunculan Mohammed bin Salman, (MBS) seorang penggerak dasar luar yang berjaya, Syeikh Mohammed bin Zayed al-Nahyan (juga dikenali MBZ) telah terlebih dahulu membina dan menggerakkan dasar luar Emiriyah Arab Bersatu sehingga mencapai tahap yang dilihat pada hari ini.

Putera mahkota Abu Dhabi itu, yang juga timbalan ketua tertinggi tentera negaranya, telah memainkan peranan seperti yang dilakukan Mohammed bin Salman hari ini.

Malah dalam kerjasama Riyadh-Abu Dhabi, negara jauh lebih kecil itu lebih ke hadapan dalam beberapa hal, termasuk dalam mengukuhkan penguasaan di Mesir dan Yaman, terutama di bahagian selatan Yaman.

Emiriyah menubuhkan Majlis Hukama, sebagai satu instrumen dasar luar menyaingi Kesatuan Ulama Islam Sedunia di Doha, Qatar (yang juga digelar kesatuan ulama Ikhwan Muslimin).

Dua pertubuhan ini masing-masing menjadi instrumen “soft power” bagi kedua-dua kuasa Teluk terbabit.

Majlis Hukama dianggotai agamawan yang berpendirian anti-Ikhwan, terutama dari institusi pendidikan Islam ternama, al-Azhar di Mesir. Majlis ini kini diketuai oleh Dr Ahmad al-Tayeb.

Agamawan terkenal Syaikh Abdallah bin Bayyah meninggalkan Kesatuan Ulama dan kini menganggotai Majlis Hukama, tindakan yang dianggap satu kejayaan bagi Majlis Hukama.

Peranan-peranan seperti ini menjadikan Abu Dhabi sangat penting kepada agenda dasar luar yang digerakkan oleh Arab Saudi pada masa ini. (http://ulamasedunia.org)

KUALA LUMPUR: Pelarian perang Syria dilihat bakal berdepan situasi kecemasan lebih buruk, khususnya ancaman survival menjelang musim sejuk yang bakal tiba di negara itu dan sekitarnya sehingga Mac depan.
 
Bendahari Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), Mohd Adram Musa berkata, konflik yang telah menyebabkan kemusnahan harta benda dan nyawa di Syria itu kini memasuki tahun keenam, di mana tidak menampakkan tanda-tanda pengakhiran.
 
"Lebih lima juta rakyatnya menjadi pelarian di negara jiran seperti Turki, Lubnan dan Jordan. Manakala, tujuh juta lagi menjadi pelarian dalam negara setelah kediaman dan kampung halaman mereka musnah akibat peperangan.
 
"Kini menimbulkan krisis kemanusiaan cukup besar, lebih-lebih lagi untuk menempuh musim sejuk tanpa kemudahan, tanpa pakaian sewajarnya dan mencukupi. Sekali gus akan menyebabkan ancaman nyawa," ujarnya.
 
Bakal menghadapi situasi alam semulajadi boleh menyebabkan maut itu adalah kanak-kanak, warga emas dan wanita yang merupakan kumpulan teramai dalam kalangan pelarian tersebut tanpa makanan, tempat perlindung dan pakaian asas.
 
Sehubungan itu maklum Adram, PASRelief akan menggerakkan misi bantuan kemanusiaan ke Syria pada Disember ini untuk menyampaikan keperluan berupa makanan dan selimut bagi menghadapi cuaca ekstrem tersebut.
 
Rayunya, orang ramai yang prihatin dan bersimpati kepada para saudara terlibat dengan krisis peperangan tersebut diharap dapat turut sama menjayakan misi menerusi sumbangan derma boleh disalurkan untuk tujuan itu.
 
Semua sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 5640 7061 2333 atas nama Tabung  Kemanusiaan  Antarabangsa PASRelief dan maklumkan ke talian 012-596 9220 dengan nota 'Selimut' atau 'Makanan'. - HARAKAHDAILY 26/11/2017

KAMI amat kesal dengan penyenaraian baru yang memasukkan Kesatuan Ulama Sedunia sebagai pengganas oleh empat negara Arab Teluk baru-baru ini.
 
Ternyata konspirasi yang sekian lama telah dilakar oleh beberapa pemimpin Arab dengan kerjasama pergerakan Zionis Yahudi untuk menyenaraihitamkan pergerakkan Islam di rantau Asia Barat, kini semakin jelas.
 
Hanya kerana pertubuhan itu diketuai oleh Dr Yusuf Qardhawi dan pertubuhan itu berpejabat di Qatar, dengan mudah ia dikategorikan sebagai pengganas. 
 
Apa yang jelas sejak 4 negara Arab itu iaitu Saudi Arab, Emirate, Mesir dan Bahrain telah bersepakat memutuskan hubungan dengan Qatar, mereka sebenarnya mensasarkan gerakan Islam Ikhwan Muslimin dan Hamas untuk dihapuskan.
 
Pemimpin-pemimpin negara tersebut telah diperalatkan oleh Israel dan Amerika Syarikat untuk melaksanakan rancangan yang sudah sekian lama diatur demi memastikan agenda Israel untuk menguasai seluruh rantau Asia dapat direalisasikan.
 
Sejarah sebelum ini telah lama merakamkan kerjasama negara imperialis British dengan Saudi untuk menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyyah, sehingga projek melahirkan Israel di bumi Palestin berjaya dilaksanakan. 
 
Sekarang Amerika Syarikat mengambil alih peranan British dengan menggunakan tekanan dan pengaruhnya ke atas negara-negara Arab untuk tunduk kepada agenda Israel.
 
Dengan berselindung disebalik istilah 'Islam Moderat' kononnya untuk membasmi dakwaan wujudnya 'Islam teroris' itulah, negara-negara Arab tersebut telah melancarkan serangan ke atas gerakan Islam.
 
Disebalik istilah 'Islam Moderat' jugalah mereka melancarkan serangan ke atas Yemen yang menyebabkan tercetusnya krisis kemanusiaan terbesar di dunia dan sanggup berbelanja mewah untuk membeli senjata ratusan bilion dolar dari Amerika Syarikat.
 
Dengan mengharamkan pertubuhan dan gerakan Islam secara terpilih ini, mereka mengharapkan mendapat dokongan penuh dari Amerika Syarikat dan negara Barat. 
 
Padahal strategi imperialis Barat dari dahulu lagi telah memperalatkan pemimpin-pemimpin Arab sehingga berjaya melahirkan Israel.
 
Kami ingin mengingatkan bahawa pemimpin-pemimpin negara Arab kini sudah hilang integriti, akibat keangkuhan mereka mengkhianat kepercayaan umat untuk mengembalikan maruah umat Islam. 
 
Temuramah Jeneral tentera Israel baru-baru ini dengan akhbar Arab jelas menyatakan bahawa Israel siap bekerjasama dengan Saudi untuk berkongsi maklumat perisikan bagi berdepan dengan 'musuh bersama'. Jelas persekongkolan dua negara ini akan terdedah dan umat Islam akan mulai mengenali sikap pemimpin-pemimpin negara Arab yang sebenar.
 
Semakin rapat mereka mendampingi Israel dan Amerika Syarikat, semakin hilang kepercayaan umat Islam terhadap mereka. Pendekatan pemimpin-pemimpin Arab ini yang bergantung kuasa dan pengaruh mereka kepada petro-dolar akan pasti lenyap bila Israel dan Amerika Syarikat melihat mereka kehabisan dana.
 
MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden - HARAKAHDAILY 26/11/2017

ALHAMDULILLAH, rombongan PASRelief Terengganu seramai 10 orang delegasi diketuai Tuan Haji Yahaya Ali bersama Pengerusi PASRelief Malaysia, Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor telah berjaya melaksanakan beberapa projek kemanusiaan untuk membantu umat Islam Rohingya.

Bantuan disampaikan sendiri kepada mereka di kem-kem seperti kem Balukhali, Kem Thengkhali, Kem Palungkhali, Kem Kuthupalong dan Kem Chakmakul.

Sebahagian projek seperti agihan makanan, selimut dan pakaian sekolah untuk anak-anak Rohingya telah dilaksanakan dan sebahagian lain telah diserahkan duit kepada NGO tempatan iaitu Coperation Of Humanity Activities (CHA).

Wakilnya, Selimullah Musted Ahmad bertanggungjawab merealisasikan semua projek tajaan PASRelief dan akan memantau serta memberikan laporan untuk semua perkembangan semua projek itu, sehingga siap, insya Allah.

Projek-Projek yang dilaksanakan oleh Pasrelief Terengganu adalah seperti berikut:

1. Bantuan Makanan (Food Package) – 5,000
2. Khemah Perlindungan (Shelter Home) – 51 buah
3. TelagaTiub (Tubewell) – 44 unit
4. Tandas dan Bilik Mandi Wanita (Toilet For Women) – 20 unit
5. Selimut (Blanket) – 500 keluarga
6. Pakaian (Clothes For Students) – 333 unit
7. Sekolah (School) – 10 unit termasuk peralatan buku teks
8. Masjid – 3 buah
9. Gaji Guru – 10 orang guru selama 7 bulan

Semua projek yang bernilai RM500,000 itu telah disumbangkan oleh Rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu.

Rombongan kami juga telah dibawa melihat sendiri projek ‘shelter home’, tubewell’, masjid yang telah dilaksanakan oleh PASRelief sebelum ini.

Insya Allah semua projek itu akan dipantau dari masa ke semasa untuk memastikan ia siap bagi menampung keperluan pelarian Rohingya.

Kami akan laporkan kepada penderma sekalian akan perkembangannya insya Allah.

Jazakumullah Khairan Kathira kepada semua penyumbang.

Wan Sukairi Wan Abdullah
Pengarah Tabung Kemanusiaan Rohingya
PASRelief Negeri Terengganu
Hazrat Shah Jalal International Airport,
Dhaka, Bangladesh.
17 November 2017 

tr2

tr1

tr3

More Articles ...

Page 2 of 4