2018 dan masa depan umat Islam (Bah.1)
HAMAS: 30 tahun kukuhkan perjuangan bebas Palestin
"Al-QUDS, kami akan datang dengan jutaan syuhada. Al-Quds adalah ibukota Palestin. Kami tidak mengiktiraf Israel...tidak mengiktiraf pengisytiharan Trumps...biar kepala kami terpisah daripada jasad, Al-Quds adalah segala-galanya," jerkah Sheikh Ismail Haniyeh dengan kobaran api semangat perlawanan.
Gaza menggema dengan laungan takbir, sahut menyahut lautan manusia ratusan ribu yang menyambut ulang tahun ke-30 pergerakan HAMAS. Sheikh Ismail Haniyeh memanaskan podium ceramah dengan penuh semangat dan respons bergemuruh daripada khalayak yang hadir. Himpunan ini sangat bersejarah kerana kurang daripada seminggu, Ismail Haniyeh mengumumkan intifada ketiga umat Islam Palestin terhadap penjajah Israel. Gaza diserang oleh tentera zionis dengan tembakan jauh yang juga telah membunuh beberapa orang dan mencederakan ratusan yang lain. Manakala umat Islam di seluruh dunia telah bangkit menyuarakan bantahan kepada Trump dan Zionis dalam isu al Quds, kecuali umat Islam yang ditindas suara rejim negara Teluk.
Kelmarin dahulu, OIC dalam sidang pertemuan di Istanbul atas inisiatif Erdogan telah mengisytiharkan al Quds adalah tetap ibu negara bagi Palestin. Bendera Palestin berkibar di seluruh dunia, kebencian kepada Amerika sedang membuncah, dukungan serta doa pada HAMAS di seluruh peta dunia Islam maka tidak pelik sambutan 30 tahun HAMAS sangat signifikan dan memancing pesona masyarakat antarabangsa. Saudi dan sekutunya sejak Jun yang lepas telah mengenakan tekanan dan pengucilan kepada Qatar yang melindungi pemimpin HAMAS serta Ikhwanul Muslimin. Apa yang dilakukan Saudi tidak sedikit pun mengurangkan rasa kasih masyarakat Islam antarabangsa kepada pergerakan paling utama menentang rejim zionis ini.
Dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an perjuangan menentang penjajahan Israel lebih terarah kepada kelompok sosialis dan kebangsaan Arab yang sempit. Ternyata ideologi Barat ini tidak mampu untuk menggerunkan Israel yang hanya mampu memahami bahasa bom dan senapang. Kini sudah tiba masanya mereka kembali kepada perjuangan Islam seiring dengan kebangkitan Islam yang sedang bergelora di seluruh dunia.
Kembali kepada nuansa perjuangan yang berteraskan kepada Islam, berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, maka pada bulan Disember tahun 1987 Sheikh Ahmad Yasin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendukung Ikhwanul Muslimin di Gaza) mengasaskan Pergerakan Kebangkitan Islam (HAMAS) atau dalam Bahasa Arab disebut Harakat al-Muqawwamat al-Islamiyyah.
Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas dasar Islam dan menentang penjajahan Yahudi di Palestin. Sheikh Ahmad Yasin sendiri dipilih sebagai pemimpin tertinggi dan beliau merupakan ideologue gerakan ini yang terkenal dengan sifat warak, berani, lantang berpidato, sedia berkorban dan mempunyai aura kepimpinan.
Citra perjuangan HAMAS dinyatakan di dalam perlembagaannya yang diisytiharkan pada 18 Ogos 1988. Antaranya ialah:
1. Dasar dan manhaj HAMAS ialah Islam yang lengkap.
2. HAMAS adalah gerakan kemanusiaan yang mengambil kira toleransi Islam yang membenarkan penganut agama lain tinggal bersama masyarakat Islam.
3. Palestin adalah tanah Islam sejak turun temurun hinggalah hari kiamat. Ia tidak boleh dibelah bahagi atau diserahkan kepada pihak lain. Ia bukan milik mana-mana individu, pertubuhan ataupun raja dan presiden negara-negara Arab. Ia adalah milik Islam yang mesti dipertahankan.
4. Jihad menentang kezaliman Yahudi adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan. Dalam hal ini, wanita yang keluar berjihad tanpa izin suaminya adalah tidak berdosa.
5. HAMAS menolak usaha melengah-lengahkan kemenangan seperti perjanjian damai, persidangan-persidangan dan sebagainya. Hanya jihad sahaja jalan penyelesaian bagi isu Palestin.
6. Kelompok wanita memainkan peranan besar dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin.
Mereka perlu berperanan melatih, mentarbiah dan mendidik serta melahirkan generasi yang faham Islam dan berakhlak mulia serta bersemangat tinggi untuk membebaskan tanah air mereka.
7. HAMAS menghormati pandangan gerakan-gerakan Islam yang lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam. Ia juga turut menganggap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasser Arafat sebagai ‘sahabat’, tetapi menolak fahaman sekular gerakan itu.
HAMAS mempunyai sikap yang tegas terhadap penubuhan pemerintahan Islam, tanpa kompromi maka gerakan ini menolak perjanjian damai sementara antara Israel dan Palestin pada tahun 1993-1994. Mulai tahun 1994 HAMAS telah memulakan serangan berani mati terhadap Israel, fenomena ini menjadi igauan paling buruk bagi orang Yahudi. Dalam tahun 1996 sahaja empat serangan bom dalam musim bunga telah diadakan menyebabkan 60 orang penduduk Israel telah terbunuh.
Kebangkitan kedua Palestin selama empat tahun setengah telah menyaksikan seramai 3,500 rakyat Palestin terbunuh dan 1,000 penduduk Israel terkorban.
Dengan menubuhkan HAMAS, rakyat Palestin yang selama ini tanpa arah yang jelas mencari jalan perjuangan, kini bergabung tenaga melakukan satu kebangkitan menyeluruh atau lebih dikenali sebagai INTIFADHAH.
Peristiwa yang menyebabkan tercetusnya kebangkitan (intifadhah) ini ialah tindakan sebuah lori besar milik Yahudi yang sengaja melanggar dua buah lori kecil milik umat Islam menyebabkan 4 orang terbunuh dan yang lain cedera. Peristiwa ini adalah faktor sementara bukan faktor mutlak, kerana terdapat faktor-faktor lain yang merangsang fenomena ini.
Bermulalah intifadhah dan penentangan terbuka rakyat Palestin dengan melontar batu, membakar tayar di jalanan bagi menghalang kenderaan tentera Israel dan melempar molotov cocktail ke arah musuh. Rakyat Palestin gagal mendapatkan senjata api kerana sempadan negara ditutup dan dikawal ketat oleh pihak Israel dan Negara-negara Arab yang bersempadan namun gerakan HAMAS berjaya mendapatkannya secara sulit dan menyimpannya dalam gudang khas mereka seperti stor bawah tanah.
Bagi penduduk awam Palestin walaupun tidak memiliki senjata api, mereka keluar ke jalan-jalan raya melontar batu dan melastik pasukan tentera Yahudi. Bagi tentera Yahudi (dalam sejarah Yahudi adalah penakut, suka melakukan secara sembunyi: lihat kisah Rasulullah SAW dalam peristiwa Bani An-Nadhir pada bulan Rabiul Awwal tahun keempat hijrah), walaupun mereka tidak berhadapan dengan senjata api, namun batu-batu itu begitu menggerunkan mereka.
Kebangkitan rakyat Palestin sangat membimbangkan rejim Israel. Pada bulan Ogos 1988, tentera Israel menceroboh rumah Sheikh Ahmad Yasin dan melakukan pemeriksaan serta mengugutnya untuk dibuang negeri ke Lubnan bagi mengganggu kebangkitan umat Islam. Namun ugutan itu tidak diendahkan Sheikh Ahmad Yasin dan penyokongnya yang mendambakan mati syahid sebagai citra perjuangan. HAMAS telah meningkatkan operasi membunuh tentera pengganas Israel dengan laungan takbir yang semakin meriah sahut-menyahut di bumi Palestin. Mata-mata Israel dari kalangan bangsa Arab Palestin turut dibunuh oleh pejuang HAMAS yang menganggap mereka sebagai musuh paling merbahaya bagi rakyat Palestin.
HAMAS terus gagah berdada dengan kezaliman rejim zionis serta mendapat dukungan kuat ummah.
Pimpinan mereka ramai yang telah menjadi syuhada seperti Sheikh Ahmad Yasin, Solah Syahadah, Dr Abdul Aziz Rantisi, Dr Nizar Abdul Kader Rayyan dan yang lain-lain. Harakah Islam yang berkubu di Gaza ini kini mencapai usia 30 tahun dan mempunyai hubungan akrab dengan seluruh gerakan Islam termasuk PAS. Nuansa perjuangannya jelas, akidah Islam mestilah menunjangi perjuangan dan tiada noktah henti sehinggalah dimerdekakan setiap inci tanah Palestin yang dijarah Zionis semenjak tahun 1948. - HARAKAHDAILY 16/12/2017
Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.
Bersatu tangani pencabulan ke atas Islam - Dr Temel
Sepatutnya Israel ranap seperti Nazi
Jangan lupakan tangisan Syria
PETA luka umat Islam seperti tiada pancingan pesona buat warga dunia, darah yang tumpah seperti darah kerbau yang tiada nilainya. Bertempiklah sehingga bergegar dunia, bagi yang tak peduli mereka tetap tak kisah. Gaza yang merintih, Al-Quds yang dijajah, Rohingya yang disembelih, Bosnia yang rawan atau Kashmir yang disergap kesakitan. Peta luka umat Islam memerlukan kepedulian ummat, tidak cukup kita mengeluh dan berpeluk tubuh di hadapan kaca TV.
Kemuncak musim sejuk dengan suhu di bawah paras minus sangat mendera para pengungsi yang tidak pasti bilakah kubangan darah di tanah air mereka akan berhujung. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah-olah berada di Kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian.
Pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan pimpinan Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian. NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian. Rejim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah-olah campur tangan dalam soal pengungsi dari Syria.
Penulis berpeluang belasan kali mengikuti misi bantuan Muslim Care ke sempadan Turki dan juga Jordan yang merupakan jiran Syria. Kali ini rombongan Muslim Care membawa bantuan musim sejuk seperti makanan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa peperangan yang menghuni dalam khemah dan juga bantuan untuk sekolah Muslim Care.
Rombongan misi bantuan musim sejuk pelarian Syria kali ini agak menarik kerana penglibatan kumpulan nasyid nombor wahid tanah air, UNIC. Tiga anak muda berhati emas yang bukan sekadar popular di media sosial, kaca TV dan corong radio. Mereka telah mengutip dana sumbangan untuk diberikan kepada pelarian Syria yang mengungsi di sempadan Syria Turki iaitu di Rayhanli. UNIC dan Presiden Muslim Care, Haji Zulkifli Wahijan telah singgah di Jordan untuk mengadakan persembahan khas untuk dana bantuan musim sejuk. Konsert khas yang diselang seli dengan tazkirah di Irbid Jordan telah memancing kehadiran ramai anak-anak Malaysia yang bermukim ilmu di tanah Urdun. Pelajar-pelajar daripada pelbagai latar belakang bidang pengajian bukan sahaja merespons dengan baik persembahan UNIC tetapi turut menyumbangkan derma untuk mangsa peperangan yang telah masuk tahun keenam itu.
Misi Muslim Care terus bergegas ke Istanbul, usai berprogram di Jordan, rombongan bersama anak-anak seni ini menggalas harapan besar. Impian Fakhrul, Bazli, Najdi ialah ingin menghadirkan senyuman kepada anak-anak pelarian yang menjadi mangsa kepada peperangan. Kami tiba di Hatay, disambut hangat oleh teman-teman NGO tempatan yang diketuai oleh Muhamad Khatib. Beliau bertanggungjawab menguruskan lapan buah sekolah tajaan Muslim Care untuk anak-anak Syria. Tiga di sempadan Syria Turki manakala lima buah di dalam negara Syria yang sedang diselimuti api peperangan.
UNIC mengadakan persembahan khas untuk anak-anak pelarian Syria di dua buah sekolah Muslim Care dengan sambutan luar biasa. Menurut Muhammad Khatib, inilah satu rekod baru yang dicapai kerana semua warga sekolah bergembira. Ada kalangan tenaga pengajar muslimah ialah kalangan isteri syuhada, begitu juga ramai kalangan pelajar ialah anak-anak yatim. Fakhrul UNIC menggunakan kepakarannya dalam bidang tajwid dan taranum mengajar dalam keadaan santai, anak-anak ini tidak segan untuk sama-sama bernasyid dan berkomunikasi dua hala dengan penasyid yang boleh berbahasa Arab ini.
Memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada pihak sekolah dan anak-anak pelarian, maka UNIC bercadang untuk bertandang lagi pada penghujung bulan Januari 2018. Seorang hartawan di Rayhanli begitu teruja dengan cadangan mengadakan persembahan khas yang menggabungkan banyak lagi sekolah dan masyarakat awam di Rayhanli. Rombongan Muslim Care juga melawat dan memberikan bantuan di khemah pelarian sempadan Syria, di mana keadaan mereka sangat melarat dengan musim sejuk di bawah suhu 8 darjah celcius. Rayhanli sahaja diduduki oleh lebih 200,000 pelarian, kehadiran mereka kini telah melebihi penduduk tempatan. Kerajaan Turki telah membuka banyak peluang kehidupan kepada pelarian Syria sama ada peluang kerja atau pendidikan. Penulis juga menjadi saksi mata dalam tempoh enam tahun ini bagaimana bangunan-bangunan kediaman baru muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Pihak keselamatan Turki juga mengawal ketat pintu sempadan Turki-Syria ekoran ianya menjadi laluan pihak IS, kami diperiksa dengan teliti semenjak ketibaan di Lapangan Terbang Hatay. Pihak keselamatan berpuas hati apabila diberitahu oleh Saudara Hamzah (pengiring kami) bahawa anggota Muslim Care melawat sekolah mereka di Rayhanli. Sekolah Muslim Care mendapat pengiktirafan UNICEF dan juga Kerajaan Turki sendiri.
Muslim Care yang kini mempunyai lapan buah sekolah pelarian Syria akan terus memberikan komitmen berterusan untuk membantu saudara akidah terutama di musim sejuk yang sangat menggigit tulang. Bantuan rakyat Malaysia sangat besar maknanya kepada mereka, luka dan sakit mereka adalah nestapa kita yang pasti dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil. Jom, kita membantu!
Bantu saudara kita di Syria yang menderita “survival aid”.
Sumbanglah melalui akaun MUSLIM CARE MALAYSIA:
Maybank: 564490413882
Bank Islam: 14014010147470
Bank Muamalat: 14010007654717 - HARAKAHDAILY 15/12/2017