PUTRAJAYA: Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia (KUIS), Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menyampaikan ucapan perasmian sempena Sidang Meja Bulat Ulama Sedunia, di sini hari ini.
 
Beliau mengutarakan situasi semasa mengenai isu sikap dunia khususnya Amerika Syarikat terhadap Baitul Maqdis yang telah diisytiharkan kuasa dunia itu sebagai ibu negara Israel.
 
Sehubungan itu, dalam ucapan penuh semangat itu, beliau antara lain mengingatkan umat dan para pemimpin Islam mengenai kepentingan kesatuan ummah ke arah pembebasan Baitul Maqdis.
 
Persidangan khas berkenaan dianjurkan khusus oleh Malaysia bertujuan membincangkan situasi terkini yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin.
 
Hadir sama Mursyid Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin; Setiausaha KUIS, Dr Ali Qurah Daghi dan Dr Nawwaf Takruri sertabeberapa ulama besar dunia yang lain.
 
Sidang Meja Bulat Aqsa itu diadakan sempena Karnival MyAqsa dan kemuncaknya malam ini akan diadakan himpunan serta amanat oleh Tuan Guru Abdul Hadi. - HARAKAHDAILY 27/1/2018

"DALAM kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar.” - Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Februari, 2012
 
Sejak dunia Islam berdepan dengan cabaran geopolitik dan pemikiran yang amat getir lebih lima tahun lalu, peranan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semakin nyata kelihatan dan dirasakan kepentingan dan keperluannya.
 
Kebangkitan rakyat secara besar-besaran di dunia Arab meliputi rantau Asia Barat dan Afrika Utara menimbulkan harapan dan sentimen sokongan dan kebersamaan yang kuat dalam kalangan umat Islam dan gerakan Islam khususnya.
 
Kebangkitan di Mesir pada 2011, yang membuka kemungkinan kepada gerakan Ikhwanul Muslimin muncul di tengah-tengah masyarakat dan menguasai tampuk pemerintahan melalui pilihan raya yang sebenar, mendorong gerakan-gerakan Islam memberikan sokongan sepenuhnya.
 
Prospek pemerintahan zalim Presiden Hosni Mubarak dan pemerintah-pemerintah autoritarian sekular yang lain di rantau Arab dijatuhkan dan digantikan dengan gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin telah mencetuskan kegembiraan dan harapan yang besar.
 
Walau bagaimanapun, selepas satu tempoh, kebangkitan yang dilihat sebagai untuk kepentingan rakyat itu mula memperlihatkan satu haluan yang berbeza, dan kepentingan rakyat bukan lagi menjadi satu matlamat utamanya.
 
Bermula saat itu, Tuan Guru Abdul Hadi telah memperlihatkan perspektifnya yang berbeza daripada kebanyakan pandangan dan pendapat berhubung apa yang disebut sebagai kebangkitan rakyat itu.
 
Hakikat bahawa kuasa-kuasa serantau dan kuasa besar yang berkepentingan telah memperlihatkan bagaimana agenda mereka mula dilaksanakan pada masa itu sukar untuk dikenal pasti oleh banyak pihak termasuk pemimpin gerakan Islam sendiri.
 
Permainan media menetapkan jalan cerita yang dipersembahkan kepada masyarakat dunia terutama ahli-ahli gerakan Islam telah mengaburi pandangan dan menyukarkan usaha penilaian yang rasional.
 
Kelemahan pemahaman umat tentang kesinambungan sejarah dunia Islam terutama di rantau Asia Barat telah menjerumuskan umat ke dalam perangkap yang disusun oleh musuh dan mereka yang bersubahat dengan mereka.
 
Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan pendirian agar umat Islam tidak terperangkap oleh percaturan musuh ini pada awal lagi, iaitu sekitar tahun 2012 semasa konflik di Syria masih di belum sampai pada tahap yang disaksikan pada hari ini, pada masa semua pihak terlibat masih boleh menilai semula pendirian masing-masing.
 
Sikap teliti dan waspada serta mengutamakan pencegahan terhadap perpecahan dan mengelak diambil kesempatan oleh musuh oleh Tuan Guru Abdul Hadi ini ialah sikap yang beliau ambil dalam menilai semua perkembangan politik dunia Islam, lama sebelum pergolakan yang dikenali sebagai Arab Spring bermula lima tahun lalu.
 
Tuan Guru telah berperanan dalam mendamaikan konflik antara kumpulan umat Islam di Yaman yang bermula pada 2009, dan mengajak penyatuan politik dalam kalangan parti-parti politik di Indonesia.
 
Dalam satu tulisan pada awal tahun 2012, Tuan Guru menulis, menegaskan agar umat Islam belajar dari sejarah keruntuhan kerajaan Uthmaniyah yang dibenarkan oleh umat Islam sendiri yang terpedaya oleh perancangan musuh, mengikut sentimen etnik dan kaum masing-masing hingga akhirnya pemerintah yang menaungi umat pada masa itu berakhir.
 
Lima tahun sebelum ulangtahun ke-100 kebangkitan Arab dan perjanjian rahsia Sykes-Picot 1916, Tuan Guru telah mula menyebarkan tentang pengajaran daripada perpecahan umat itu, yang menyaksikan umat dieksploit sentimen dan kepentingan masing-masing hingga berperang sesama sendiri, mengakibatkan perpecahan yang kemudian membawa kepada pelbagai kemelut lain.
 
Tanpa menafikan kelemahan pemerintah pada masa itu, tindakan menentang pemerintah Uthmaniyah sehingga meruntuhkan pemerintahan Islam itu akhirnya membuka kepada pelbagai akibat yang ditanggung hingga ke hari ini.
 
Akibat keruntuhan Daulah Uthmaniyah itu, perancangan musuh melalui Perjanjian Sykes-Picot yang membahagikan wilayah Islam kepada kuasa asing terlaksana.
 
Menurut Tuan Guru, dalam tulisan diterbitkan pada Februari 2012 itu: “Umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Uthmaniyah terhadap wilayahnya.
 
“Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu. Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lawrence (of Arabia) dan rakan-rakan Arab dibantu untuk menentang Turki Utmaniyah.
 
“Akhirnya kerajaan Uthmaniyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.
 
“Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing mengikut road map Sykes-Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya.
 
“Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut.
 
“Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.”
 
Sejarah hitam keruntuhan kerajaan Islam itu merupakan satu mesej yang sering diulang-ulang oleh Tuan Guru apabila menjelaskan tentang pergolakan yang berlaku di dunia Arab, menegaskan agar umat Islam belajar dari sejarah.
 
Beliau turut mengutamakan penyatuan antara umat Islam, dengan mengetepikan perbezaan-perbezaan politik atau aliran dalam agama, demi kepentingan perpaduan dan kerjasama yang lebih utama bagi menghadapi cabaran dan gugatan daripada musuh.
 
Perspektif inilah yang menjadi antara tunjang utama sikap Tuan Guru Abdul Hadi dalam mendepani dan menangani isu umat Islam yang sedang mencabar seluruh dunia Islam pada masa kini.
 
Mesej penyatuan dan kepentingan mengambil iktibar dari sejarah sentiasa diberi penekanan oleh Tuan Guru, tanpa teralih perhatian oleh hal-hal yang ada kalanya ditimbulkan dan disebarkan untuk mengeruhkan lagi keadaan.
 
Hal ini menampakkan perspektif jelas dan berbeza Tuan Guru, pada masa semangat untuk menjatuhkan pemerintah zalim dan menggantikannya dengan kumpulan Islam sedang memuncak dan sukar untuk menerima penjelasan selain daripada kepentingan untuk bersegera berjihad menjatuhkan pemerintah zalim itu.
 
Pada masa itu, sentimen perbezaan mazhab telah berleluasa dan diterima ramai, sehingga tercetus pertembungan perspektif yang ketara dalam kalangan gerakan Islam, dengan pembahagian jelas antara sekutu dan musuh.
 
Perspektif Tuan Guru Abdul Hadi ini akhirnya terbukti sebagai satu pandangan paling tepat dalam mengambil sikap terhadap peristiwa yang berlaku di dunia Arab, yang kini sedang dilanda perang saudara, perang proksi dan konflik sektarian yang belum kelihatan hujungnya.
 
Apa yang sedang berlaku inilah yang ingin dielakkan oleh mereka yang memahami pergolakan yang berlaku dengan lebih mendalam, yang bukan hanya memerhatikan apa yang terzahir melalui ucapan-ucapan pihak terlibat dan dibincangkan di media.
 
Selepas lebih enam tahun kebangkitan rakyat yang akhirnya membawa kepada satu konflik serantau yang rumit, sudut pandang Tuan Guru melibatkan mengambil iktibar dari sejarah, kewaspadaan terhadap perancangan musuh dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam telah terbukti sebagai perspektif paling tepat dalam melihat dan menangani perkembangan politik dunia Islam. - HARAKAHDAILY 27/1/2018

HULU TERENGGANU: Umat Islam hari ini diingatkan agar lebih berwaspada dengan bentuk serangan pemikiran yang cuba ditanam bagi melemahkan Islam selepas serangan ketenteraan.

Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, musuh-musuh Islam telah melancarkan serangan baharu bagi merosakkan pemikiran umat Islam.

Menurutnya, terdapat beberapa eleman yang cuba diterapkan agar kekuatan umat Islam itu dapat dilemahkan.

"Umat Islam menghadapi serangan baru setelah berlakunya serangan ketenteraan. Mereka (musuh) melancarkan serangan pemikiran.

"Pertama, mereka menjalankan gerakan Tansiriyah; iaitu gerakan menasarakan orang Islam. Dan kedua, gerakan Taghribiyah iaitu membaratkan orang Islam," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtimak Pondok dan Pusat Pengajian Islam Terengganu di Pondok Ibtidai, Batu 22, Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu, di sini semalam.

Katanya, bagi menjayakan misi tersebut pihak musuh-musuh Islam cuba menerapkan kefahaman itu dalam bidang pendidikan dengan membina sekolah-sekolah misionari.

Sekolah-sekolah tersebut ujarnya adalah sekolah Kristian sama ada jajahan Inggeris, jajahan Belanda, jajahan Perancis untuk mengkristiankan orang Islam.

(ikuti kupasan dan pendedahan lanjut tersebut dengan mendapatkan Harakah cetak edisi Isnin di pasaran nanti) - HARAKAHDAILY 26/1/2018

KEDUDUKAN terkini Syria 50 peratus masih dikuasai Kerajaan Syria, termasuk Damascus, 40 peratus dikuasai Kurdi, 10 peratus dikongsi IS dan pejuang revolusi lain.
 
Kalau diikuti sejak 2011, kumpulan yang awal menakluk Syria daripada kerajaan adalah kumpulan-kumpulan revolusi seperti FSA, Jabhat Nusra dan lain-lain. Kemudian datang IS lalu menguasai kawasan tersebut. Kini, hampir semua kawasan yang IS tawan didominasi oleh Kurdi.
 
Kalau masih ingat, beberapa pendedahan membuktikan Saudi dan Qatar terlibat membiayai pejuang revolusi Syria termasuk IS. Hillary Clinton dalam kongres pernah menyatakan mengenai pembiayaan US kepada IS. Emel yang didedahkan Julian Assange semasa kempen pilihan raya Presiden US ada menyatakan Saudi dan Qatar turut terlibat dengan IS. Kini, IS secara terbuka mendokong perjuangan Kurdi.
 
Kesimpulannya, inilah game mereka. Mendanai semua kumpulan di Syria untuk mereka berbantaian sesama sendiri. Mula-mula baton diberi kepada pejuang revolusi. Kemudian baton diserahkan kepada IS. Daripada IS, bertukar ke tangan Kurdi pula.
 
Sekarang kepercayaan Zionis adalah Kurdi. Rancangan pertama US untuk menguasai akses ke Iraq dan Iran sudah berjaya. 100 peratus sempadan Barat Syria yang menghubungkan Iraq sudah dikuasai Kurdi. Kini mereka sedang bergelut di Afrin dengan tentera Turki. Matlamatnya supaya sampai ke perbatasan Laut Mediterenean. Supaya Kurdistan Raya memiliki akses laluan laut. Kempen yang didokong penuh oleh US dan Israel.
 
Kurdistan juga jangan harap akan aman. Selagi mereka bergelar Muslim, lambat laun akan diganggu juga sama seperti nasib Saudi. Walaupun memberi wala' kepada Zionis, mereka tidak akan redha selagi tidak mengikut agama mereka. Matlamat mereka adalah Israel Raya seperti yang dinyatakan Theodore Herzl dan Rabbi Fishcmann, dari Sungai Nil ke Sungai Furat.
 
ولن ترضى عنك اليهود ولا النصارى حتى تتبع ملتهم....
 
6 Jumadal Ula 1439
23 Januari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 23/1/2018

KONFEREN meja bulat MyAqsa yang berlangsung di Putrajaya menghimpunkan ratusan sarjana Islam, ulama dan pemikir menjadi pemicu kebangkitan kesedaran tentang kepentingan tanah Palestin serta al Quds. Peserta-peserta konferen yang hadir daripada lebih 30 buah negara umat Islam, mewakili perbagai pertubuhan dan gerakan swadaya.
 
Dr Razak al Iskandari dari Pakistan menyentuh kepentingan al Quds dan menjadi milik semua umat Islam. Masjid al Aqsa yang menjadi tempat isra' Nabi SAW dan bagaimana masjid ini yang disebut oleh Allah S.W.T di dalam al Quran (Surah Isra' ayat pertama). Masjid al Aqsa menduduki tempat penting dalam senarai masjid utama Islam, selain masjidil haram dan masjid Nabawi. Tanah ini yang menjadi kiblat pertama ummat Islam sehinggalah berlakunya peralihan kiblat umat Islam pada tahun 2 hijrah.
 
Sheikh Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Dunia Islam membuat penegasan betapa pentingnya Palestin yang menjadi rebutan sejak zaman berzaman. Beliau merungkai sejarah Bani Israel semenjak zaman ar Rasul, seterusnya bagaimana bumi Palestin ini dirancang secara licik oleh gerakan Zionis untuk menjadi tempat berhimpun mereka.
 
Teodl Hezl yang memimpin konspirasi zionis ini meminta Sultan Abdul Hamid (ii) untuk melepaskan Palestin dengan tukaran wang, namun khilafah Uthmaniah yang semenjak pemerintahan Khalifah Uthman Urthugul tetap menjaga setiap inci tanah Palestin. Gerakan Zionis telah berjaya memperalatkan Britain untuk melakukan peluasan kuasa di Palestin sehingga berlaku perang pada tahun 1917 yang dimenangi oleh tentera British. British menjemput migran Yahudi daripada pelbagai pelusuk dunia terutama daripada Eropah selepas daripada Deklarasi Balfour.
 
Negara haram Israel menjadi duri dalam daging kepada ummat Islam , dengan pengusiran dan pembantaian terhadap ummat Islam Palestin. Nakbah Palestin yang berlaku semenjak Mei 1948 terus berterusan memotret luka kepada ummat Islam. Perang Palestin yang melibatkan mujahidin Ikhwan Muslimin pada tahun 1940an dan dengan alasan inilah Ikhwan Muslimin telah diseret ke jeriji penjara pada tahun 1948.
 
Malangnya negara-negara Arab dalam dekad 1950an dan 60an yang berselimut dengan fahaman Baath (Sosialis Arabism), mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga tanah Palestin daripada perampok Zionis. Bahkan dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab Israel 1967 menyaksikan tiga buah negara Arab bernuansa Baath telah dipijak maruah dan dihina dengan kekalahan. Mesir telah kehilangan wilayah Sinai, Jordan dirampas Tebing Barat dan Syria kehilangan Bukit Golan yang strategik. Ketiga negara Arab ini juga telah kehilangan 25 000 anggota tentera yang dibunuh oleh pihak zionis.
 
Cahaya kemenangan hanya muncul bersinar dengan perjuangan berteraskan akidah. Di Gaza, munculnya HAMAS pada tahun 1987 yang meletakkan matlamat untuk membebaskan setiap tanah Palestin yang dirampas oleh Zionis. Sheikh Ahmad Yasin telah memimpin gerakan jihad ini sehingga dilihat HAMAS menjadi pembela utama  Palestin dan gerakan ini telah membayar harga yang mahal dalam usaha menjulang perjuangan pembebasan Palestin.
 
Usaha menyelamatkan al Quds memerlukan usaha yang berterusan, sistematik serta penggarapan seluruh iltizam politik kerajaan umat Islam di seluruh belahan dunia. Malangnya hari ini, keseriusan untuk menyelamatkan al Quds sangat sederhana malah sangat mengecewakan. Contohnya apabila Erdogan melakukan inisiatif menghimpunkan pimpinan negara OIC di Istanbul bulan lepas, sebanyak 23 buah negara tidak menghantar perwakilan. Lihatlah bagaimana sikap negara Teluk terhadap Qatar pada bulan Jun 2017, negara itu dikucilkan oleh negara Teluk yang lain kerana melindungi pimpinan HAMAS.
 
Bagi penulis ,usaha penyelamatan al Quds mestilah paralel dengan usaha membantu Gaza yang sedang terkepung . Dunia Islam mestilah bangkit mendesak agar kerajaan kudeta Mesir membuka pintu sempadan Rafah bagi memudahkan dunia antarabangsa membantu membangunkan kembali Gaza yang diluluhlantak dengan serangan Zionis. Perjuangan membebaskan Palestin adalah milik seluruh umat Islam dan merentasi sempadan politik dan kotak kecil negara bangsa!.
 
(Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 27/1/2018
 
 

PENYELESAIAN masalah Palestin dan konflik Arab-Israel sedang dikejar dari berbagai sudut. Salah satu sudut yang paling penting yang mungkin kurang ditangani sejauh ini, adalah untuk menyelesaikan masalah ini dengan perang ekonomi.
 
Menurut al-Akhbar yang diterbitkan oleh Beirut dalam sebuah memorandum bertajuk Ekonomi Politik Penyelesai Masalah Palestin dan Konflik Arab-Israel, mengkaji salah satu aspek yang paling penting dalam isu Palestin yang selama ini telah diabaikan.
 
Penulis laporan itu, Mohammad Delbah, menuliskan, ketika Perjanjian Oslo yang ditandatangani pada tahun 1990 oleh Yasser Arafat, ketua Pihak Berkuasa Palestin dengan Yitzhak Rabin, ketua kabinet rejim Zionis, kerajaan Amerika Syarikat yang diketuai oleh Bill Clinton, merancang untuk melaksanakan sebuah rancangan dan dia mula melaksanakannya. Rancangan Amerika-Israel yang bertujuan untuk mewujudkan Ketenteraan Moden di Asia Barat.
 
Dalam memorandum ini ditulis, “Untuk memenuhi permintaan ini, persidangan antarabangsa yang pertama bertajuk Sidang Kemuncak Ekonomi di Asia Barat dan Afrika Utara telah diadakan di Maghrib, di Bandar Dar al-Bayda pada akhir Oktober 1994, tiga tahun selepas Persidangan Madrid."
 
Selepas persidangan di Dar al-Bayda, sidang ini diadakan tiga kali lagi dari 1995 hingga 1997 di Kaherah, Amman dan Doha. AS menggambarkan pertemuan-pertemuan ini sebagai peluang untuk menghadapi perubahan dramatik di rantau ini, serta peluang terbaik bagi pelabur asing untuk mempelajari kemampuan ekonomi serantau yang memiliki 300 juta pengguna.
 
Selepas perjanjian Oslo telah menetapkan asas normalisasi hubungan antara Pertubuhan Pembebasan Palestin dan Jordan dan sebelum itu Mesir dengan rejim Zionis, serta persetujuan beberapa negara Arab seperti Tunisia, Maghribi, Qatar, Oman dan Bahrain untuk mewujudkan hubungan politik dan membuka pejabat koordinasi dengan rejim Zionis, kenyataan terakhir sidang kemuncak itu secara rasmi mengumumkan 'kemasukan' dua tahap politik dan ekonomi dalam hubungan Arab-Zionis.
 
Kesemua pertemuan dan inisiatif praktikal yang digunakan dalam hubungan Arab-Israel ditumpukan kepada penubuhan komunikasi yang strategik dan bertaktik antara negara-negara Arab, terutamanya sheikh-sheikh Arab di Teluk Parsi dengan rejim Zionis dalam rangkaian hubungan ekonomi yang luas di semua bidang.
 
Matlamat dari rangkaian dan hubungan seperti ini adalah membina ekonomi dan politik bersama antara Arab dan Israel, yang mana sudah pasti rejim Zionis yang akan mendapat manfaat yang paling banyak darinya sementara saham-saham yang didapatkan oleh negara-negara Arab tidak lain hanyalah akibat dan kesan dari kemunduran ekonomi.
 
Idea awal pelan ini adalah mewujudkan pasaran di serantau Asia Barat di mana semua perhubungan organisasi dan organik negara-negara Arab akan dikumpulkan di dalamnya walaupun setakat ini, kegagalan perhimpunan tersebut telah terbukti kerana perbezaan, konflik dan persaingan antara negara-negara Arab untuk menandatangani perjanjian damai dengan rejim Zionis.
 
Setelah berakhirnya 'Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab' berikutan pencerobohan ketenteraan Iraq ke Kuwait pada Mei 1990 dan penggantungan aktiviti 'Arab Maghreb Union' kerana perselisihan antara Maghreb dan Algeria mengenai Sahara Barat, sekarang ia adalah giliran bagi 'Majlis Kerjasama Negara-negara Arab' mengalami perubahan kerana pengepungan yang dilakukan oleh separuh ahli majlis terhadap Qatar dan bertambahnya petunjuk bahawa Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Bahrain telah membangun dan meluaskan hubungan dengan rejim Zionis.
 
Walaupun 20 tahun telah berlalu sejak terhentinya persidangan-persidangan terbukan normalisasi hubungan ekonomi, namun impian lama Israel iaitu komunikasi yang efektif dan penyelesaian umum dalam lingkaran ekonomi Arab, masih belum tercapai. 
 
Walaupun gagal mencapai matlamat tersebut, mereka tetap tidak berhenti dari berusaha mencapainya bahkan mereka sentiasa berusaha melaksanakan pelan ini pada runtuhan yang tinggal dari kejatuhan identiti dan sifat negara-negara Arab. 
 
Kerana ia adalah salah satu projek yang telah dibuat sejak zaman Theodor Herzl pada akhir abad ke-19, yang telah memberikan pelan pembentukan Persatuan Arab-Yahudi sehingga kurun kesembilan abad kedua puluh, dan perubahan politik, serantau dan antarabangsa yang telah dilaksanakan dengan kekuasaannya Amerika. 
 
Semua negara-negara di rantau ini didorong untuk menerima pelan tradisional Israel bagi mewujudkan pasaran rantau Asia Barat untuk menghadapi cabaran-cabaran yang ada, dan pemimpin Israel, Shimon Perez percaya bahawa pertumbuhan dan kemajuan wilayah itu akan menyelesaikan masalah tersebut.
 
Apakah yang akan dihasilkan dengan perjanjian Oslo dalam bidang ini? Selain memperkenalkan pakar ekonomi dan penyelidik-penyelidik seperti Elias Toma, Stanley Fisher dan Youssef al-Sayyagh, yang mempercayai bahawa perjanjian Oslo akan membawa kepada perjanjian-perjanjian selanjutnya yang akan menjadikan ekonomi Palestin lebih bergantung ekonomi Israel berbanding sebelumnya.
 
Adakah wujud hasil selain dari terputusnya hubungan perdagangan dan perniagaan rejim Israel dengan rakyat Palestin yang tinggal di Jordan dan di tempat lain di dunia Arab (sebelum Oslo), hasil yang hanya akan menambahkan kekuatannya sendiri dan mengurangkan harapan Palestin untuk mencapai koordinasi ekonomi dengan pasaran Arab yang lebih luas dan pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh dunia pada masa depan.
 
Oleh itu, protokol-protokol ekonomi seperti protokol Paris, yang mempunyai sokongan luas dari negara-negara Barat, terutama yang menyumbang kepada Palestin dan institusi dan institusi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, memberikan kesempatan kepada Israel untuk menggunakan prinsip-prinsip ekonomi yang akan membuatkan Palestin bergantung kepada mereka dan menyekat mereka sebagai jambatan untuk menembusi pasaran Arab.
 
Oleh itu, Mahmoud Abbas, Presiden Palestin dan timbalannya yang sepatutnya menyediakan ruang yang lebih untuk meningkatkan pertahanan dan muqawamah terhadap penempatan Zionis dalam rancangan mereka, sebaliknya dia membuka jalan bagi pelaksanaan rancangan ekonomi politik Zionis dengan memudahkan normalisasi hubungan dengan rejim Zionis dengan mengundang negara-negara Arab untuk melawat Tebing Barat dan Baitulmaqdis dengan slogan “Melihat Penjara Tanpa Banduan."
 
Ekonomi politik 'perdamaian' dari perspektif AS-Israel tidak lain hanyalah untuk merealisasikan kehendak-kehendak ekonomi dan politik AS dan Israel, yang akan dihasilkan sepenuhnya dalam kerangka ekonomi liberal kejam, ekonomi pasar bebas dan dominasi institusi ekonomi besar.
 
Di sini, ekonomi sahaja akan menjamin perubahan politik, dan akibat darinya perubahan politik akan bertanggungjawab untuk menukar pemikiran dan minda. Jadi, rejim Zionis sedang berusaha supaya ekonomi Arab akan terus berhadapan dengan ekonomi yang disokongnya dari AS-Eropah dan menarik serta menyerap ekonomi Arab ke dalam ekonomi Israel dengan mewujudkan ketergantungan kepada mereka.
 
Ini adalah makna sebenar 'campur tangan' dan penjajahan ketenteraan Iraq oleh AS dan pemusnahan ekonomi Arab atas nama apa yang dipanggil 'Revolusi Arab' hanyalah bertujuan untuk memusnahkan ekonomi negara-negara besar Arab demi kepentingan ekonomi rejim Zionis.
 
Sebelum itu, Hayim bin Shar seorang penulis Israel berkata bahawa pertumbuhan dan perkembangan rangkaian hubungan ekonomi antara Arab dan Israel akan meningkatkan kos pemisahan daripada rangkaian bagi pihak-pihak Arab yang ingin keluar dari lingkaran pengaturan wilayah baru, khususnya apabila matlamat rejim Zionis adalah untuk 'beralih dari tahap membina kedamaian ke peringkat pengukuhan dan menguatkannya di rantau ini.' - HARAKAHDAILY 25/1/2018

ZAINAB Ansari, kanak-kanak perempuan warga Pakistan, yang berusia 7 tahun dalam perjalanan pulang mengaji dilaporkan hilang selama 4 hari dan ditemui mati di tempat pembuangan sampah dalam keadaan yang melampaui batas manusiawi. 
 
Bedah siasat menunjukkan adik Zainab menjadi mangsa kerakusan nafsu dan kedangkalan akal manusia sebelum dicekik sehingga mati dan dicampak begitu sahaja.
 
Lebih malang lagi, kisah tragis Zainab tiada pembelaan dan keadilan pihak yang sewajarnya. Rententan itu, para demonstran di Pakistan mula bangkit dan protes di jalanan sehingga melibatkan 2 kematian dan beberapa orang tercedera. 
 
Masyarakat dalam usaha menarik perhatian pihak berwajib dan masyarakat dunia mula menyebarkan kempen “Justice for Zainab, safety for other Zainab”, laung mereka dalam demonstrasi di Kasur, Pakistan. 
 
Ini bukan sekadar kisah kematian ‘seorang Zainab’ yang mereka perjuangkan, yang mereka bimbangkan bagaimana keselamatan dan nasib masa depan anak-anak perempuan di Pakistan, sebuah negara Islam jika berterusan segala salah laku terhadap wanita dan kanak-kanak didiamkan. 
 
Ameerah Negeri Sembilan mengutuk kekejaman yang dilakukan pada adik Zainab dan mahukan keadilan buat Zainab ditegakkan. Ameerah Negeri Sembilan juga bersama-sama dengan kempen Justice4Zainab
 
Kejadian yang menimpa adik Zainab benar-benar menimbulkan refleksi kepada kita akan sejauh manakah pula keselamatan anak-anak perempuan di negara kita? Jika berterusan budaya pornografi dan segala sumber yang menjurus kepada jenayah rogol, cabul dan berbagai isu lain tidak ditangani habis habisan, maka sampai bilakah ketakutan dan kerisauan terhadap keselamatan akan membelenggu anak-anak kita? 
 
Hakikatnya, berbaliklah pada cara hidup Islami,dalam segenap bidang kehidupan, bermuamalat, berpolitik, hiburan, ekonomi, pendidikan kerana segalanya telah digariskan di dalam Islam. Hanya tinggal kita utk ambil dan laksanakan. Selamatkan anak-anak kita, generasi pewaris agama dan negara yang kita cintai ini.
 
FARAH HANI MUHAMMAD FAUZI
Pengarah Ameerah Negeri Sembilan - HARAKAHDAILY 21/1/2018

More Articles ...

Page 1 of 4