Resolusi Persidangan Meja Bulat MyAqsa Ulama Sedunia Mengenai Baitulmaqdis

27 – 28 Januari 2018

“Al-Quds Identiti Ummah”

Dengan izin dan limpah kurnia-Nya, Persidangan ini telah dianjurkan oleh Yayasan MyAQSA, Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan Kesatuan Ulama Palestin Diaspora yang bertemakan “Al Quds Identiti Ummah” di Putrajaya, Malaysia di bawah naungan kerajaan Malaysia pimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah bersepakat dengan resolusi-resolusi berikut:

1. Persidangan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia di atas penganjuran persidangan ini sebagai satu keprihatinan kepada Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa yang berdepan dengan pelbagai ancaman kesan daripada keputusan Amerika Syarikat yang dikeluarkan oleh Presidennya yang telah mengiktiraf Al- Quds sebagai ibu negara Zionis.

2. Persidangan mengecam keganasan dan tindakan melampau yang dibuat oleh Zionis yang menahan dan menyekat para Ulama Palestin untuk hadir ke persidangan ini. Negara-negara Islam diseru supaya menganjurkan pelbagai persidangan dan perjumpaan untuk membantu Al-Quds, Masjid Al-Aqsa serta penduduk Palestin sebagaimana yang telah dilakukan oleh Malaysia.

3. Persidangan menzahirkan penolakan terhadap kenyataan Presiden Amerika yang diibaratkan seperti menjolok sarang tebuan dan bertegas bahawa Al-Quds adalah ibu negara Palestin dan ia adalah hak bagi seluruh umat Islam. Persidangan juga bertegas ke atas kenyataan ini kerana ia adalah kenyataan yang bukan sahaja tidak patuh syariat bahkan melanggar undang-undang serta bercanggah dengan perjanjian- perjanjian dan perundangan antarabangsa kerana ia adalah perjanjian daripada pihak yang tidak berautoriti.

4. Persidangan menghargai pendirian jumhur Ulama yang membantah kenyataan Presiden Amerika berkenaan isu Al-Quds. Persidangan juga menggesa supaya seluruh negara Islam meneruskan pendirian mereka untuk terus melakukan penentangan.

5. Persidangan menegaskan bahawa HARAM bersekongkol dengan sebarang usaha yang dibentuk dengan Kerajaan Zionis dalam apa juga bentuk samada dalam bidang politik, ekonomi, pengetahuan dan juga media samada secara langsung mahupun tidak. Juga persidangan menyeru untuk memutuskan segera sebarang bentuk hubungan yang wujud secara langsung dengan kerajaan Zionis ataupun dengan pihak yang ada hubungkait dengan Zionis dipelbagai peringkat samada bidang politik atau ekonomi serta menyeru untuk menyenaraikan mana-mana individu dan organisasi yang mendapat sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan Zionis seterusnya memberi amaran kepada mereka serta memutuskan hubungan dengan mereka.

6. Persidangan memberi perhatian penuh terhadap Memorandum Ulama Dunia dalam berhadapan dengan normalisasi secara holistik. Persidangan juga menyeru para Ulama, ahli politik dan pihak-pihak yang berautoriti supaya memberi perhatian dan komitmen dari sudut pemikiran, budaya dan pendidikan. Persidangan juga menggesa supaya biro-biro pelaksanaan dibentuk bagi tujuan memboikot normalisasi hubungan Zionis dengan negara-negara Islam.

7. Persidangan menuntut pihak berkuasa Palestin agar bersatu padu dengan gerakan-gerakan pembebasan serta menghentikan segala bentuk hubungan dan perjanjian antara rejim Zionis dan pentadbiran Amerika Syarikat.

8. Persidangan menggesa Negara-negara Islam supaya bersatu padu antara satu sama lain dalam memperkasakan ruang perdagangan dan ekonomi, antaranya menyokong projek wakaf, penempatan, pendidikan dan aktiviti-aktiviti lain.

9. Persidangan menghargai usaha yang dilakukan antara Malaysia - Turki dengan institusi Al-Quds dalam penganjuran pelbagai persidangan ke arah memperkukuhkan usahasama dengan seluruh negara Islam dari segala aspek termasuklah sosial, ekonomi, kebudayaan, agama dan sebagainya.

10. Persidangan juga memberi penghormatan kepada saudara kami di Palestin yang melaksanakan kawalan di Al-Quds dan Al-Aqsa, serta kepada para mujahidin di Palestin. Dan persidangan juga menzahirkan rasa hormat kepada para tahanan khususnya kepada keluarga Asy- Sheikh Raid Solah yang berada dalam tahanan rejim Zionis. Dan persidangan menegaskan bahawa para Ulama serta para pendakwah berdiri dalam satu saf bersama dengan mereka dalam menghadapi rejim Zionis sehingga mencapai kemenangan dan pembebasan dengan izin Allah S.W.T.

11. Persidangan juga menolak sebarang perjanjian termasuk Perjanjian Oslo dan persepakatan lain yang tidak membawa keuntungan kepada umat Islam.

12. Persidangan menyeru kepada sektor pendidikan di setiap negara untuk menjadikan isu Palestin sebagai sebahagian daripada silibus pengajaran dan pembelajaran serta dibantu oleh saluran penerangan secara holistik dalam mempertingkatkan kesedaran tentang Al-Quds.

13. Persidangan kali ini turut mencadangkan supaya tahun 2018 diisytihar sebagai عام القدس (Tahun Al-Quds) dan menyeru umat Islam menyediakan pelan tindakan untuk membebaskan Palestin melalui pembentukan jawatankuasa bersama di antara badan-badan Ulama dan institusi-institusi mereka untuk melaksanakan pelan tersebut secara menyeluruh.

14. Persidangan menyeru agar dilancarkan program di bawah anjuran para Ulama untuk memberikan kesedaran sehingga terbebasnya Palestin di arena tempatan dan antarabangsa. Persidangan juga turut menyeru supaya satu jawatankuasa bersama dibentuk untuk memastikan segala tindakan dan keputusan ini dapat dijalankan.

Akhirnya, persidangan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada seluruh perwakilan yang terlibat dalam persidangan pada kali ini. Semoga segala amalan kita berada dalam timbangan yang berat di sisi Allah S.W.T.

28 JANUARI 2018

Yayasan MyAQSA
Kesatuan Ulama Islam Sedunia
Kesatuan Ulama Palestin Diaspora

PUTRAJAYA: Umat Islam hari ini belum mencapai tahap yang utuh untuk membebaskan Palestin kerana masih terdapat perselisihan dan perbezaan yang berlaku dalam kalangan umat Islam itu sendiri.
 
Justeru, semua perbezaan tersebut harus dihentikan dan mesti diperkukuhkan demi menyatakan kebersamaan umat Islam di seluruh dunia untuk memastikan matlamat membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis tercapai.
 
Pimpinan ulama Iraq, Syaikh Dr Muthanna adh-Dhari daripada menyebut, walaupun rakyat Iraq sedang berhadapan kemelut peperangan di tempat sendiri, namun isu Palestin tidak pernah dilupakan.
 
"Kami di era ini telah memainkan peranan untuk memastikan isu Palestin tidak dilupakan oleh rakyatnya. Warga Iraq walaupun mereka berdarah setiap hari dan walaupun konspirasi berterusan sehingga pada hari ini, tapi kami tetap meletakkan tuntutan membebaskan Palestin kepada tuntutan yang paling tinggi dalam perjuangan kami," katanya dalam ucapan amanat ulama di perhimpunan MyAqsa, di sini semalam
 
Demikian juga pendirian sama ditegaskan oleh pimpinan ulama India, Maulana Dr Sayyid Salman al-Husaini an-Nadwi yang menyeru umat Islam tidak mudah terpedaya dengan agenda Amerika Syarikat di mana telah memberi gambaran terhadap pejuang-pejuang Islam sebagai teroris.
 
Tegas beliau, musuh umat Islam adalah Amerika, Britain dan sesiapa sahaja yang bersama mereka, termasuk paling kritikal melanda umat Islam ialah musuh Islam yang mengenakan label-label terorisme kepada para pejuang Islam.
 
"Maka kita jangan bertukar, kita mengenali siapa mereka, kita mengenali siapa pejuang Islam dan kita mengetahui apa itu jihad dan kita teruskan perjuangan ini," katanya.
 
Mewakili negara Mauritania, Syaikh Dr Muhammad ad-Diduu menyifatkan himpunan MyAqsa adalah himpunan jelas menggambarkan bahawa umat Islam di seluruh dunia bersatu hati dalam isu Palestin. 
 
Dalam ucapannya, beliau turut menyebut agar rakyat Palestin yang dijadikan tahanan tentera Zionis agar bersabar sehingga usaha membebaskan bumi al-Aqsa tercapai.
 
"Kami sentiasa bersama kamu dan tunggulah kemenangan pasti akan tiba dan umat Islam masih hidup dengan jihadnya," katanya yang telah diterjemah oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
 
Sementera itu, Malaysia yang diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir  Baharom berkata, Malaysia telah mengambil pendirian yang amat tegas dalam isu Baitul Maqdis. 
 
Jelasnya, kehadiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak pada persidangan khas OIC di Istanbul, Turki menjelaskan bahawa Malaysia akan selamanya tetap mempertahankan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.
 
Himpunan MyAqsa yang berlangsung di Dataran Perbadanan Putrajaya selama tiga hari telah menghimpunkan ratusan sarjana Islam dari 30 buah negara di samping lebih 3000 umat Islam dari seluruh dunia bersama-sama menyatakan solidariti terhadap pembebasan Masjidil Aqsa. - HARAKAHDAILY 28/1/2018

PUTRAJAYA: Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia (KUIS), Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menyampaikan ucapan perasmian sempena Sidang Meja Bulat Ulama Sedunia, di sini hari ini.
 
Beliau mengutarakan situasi semasa mengenai isu sikap dunia khususnya Amerika Syarikat terhadap Baitul Maqdis yang telah diisytiharkan kuasa dunia itu sebagai ibu negara Israel.
 
Sehubungan itu, dalam ucapan penuh semangat itu, beliau antara lain mengingatkan umat dan para pemimpin Islam mengenai kepentingan kesatuan ummah ke arah pembebasan Baitul Maqdis.
 
Persidangan khas berkenaan dianjurkan khusus oleh Malaysia bertujuan membincangkan situasi terkini yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin.
 
Hadir sama Mursyid Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin; Setiausaha KUIS, Dr Ali Qurah Daghi dan Dr Nawwaf Takruri sertabeberapa ulama besar dunia yang lain.
 
Sidang Meja Bulat Aqsa itu diadakan sempena Karnival MyAqsa dan kemuncaknya malam ini akan diadakan himpunan serta amanat oleh Tuan Guru Abdul Hadi. - HARAKAHDAILY 27/1/2018

KONFEREN meja bulat MyAqsa yang berlangsung di Putrajaya menghimpunkan ratusan sarjana Islam, ulama dan pemikir menjadi pemicu kebangkitan kesedaran tentang kepentingan tanah Palestin serta al Quds. Peserta-peserta konferen yang hadir daripada lebih 30 buah negara umat Islam, mewakili perbagai pertubuhan dan gerakan swadaya.
 
Dr Razak al Iskandari dari Pakistan menyentuh kepentingan al Quds dan menjadi milik semua umat Islam. Masjid al Aqsa yang menjadi tempat isra' Nabi SAW dan bagaimana masjid ini yang disebut oleh Allah S.W.T di dalam al Quran (Surah Isra' ayat pertama). Masjid al Aqsa menduduki tempat penting dalam senarai masjid utama Islam, selain masjidil haram dan masjid Nabawi. Tanah ini yang menjadi kiblat pertama ummat Islam sehinggalah berlakunya peralihan kiblat umat Islam pada tahun 2 hijrah.
 
Sheikh Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Dunia Islam membuat penegasan betapa pentingnya Palestin yang menjadi rebutan sejak zaman berzaman. Beliau merungkai sejarah Bani Israel semenjak zaman ar Rasul, seterusnya bagaimana bumi Palestin ini dirancang secara licik oleh gerakan Zionis untuk menjadi tempat berhimpun mereka.
 
Teodl Hezl yang memimpin konspirasi zionis ini meminta Sultan Abdul Hamid (ii) untuk melepaskan Palestin dengan tukaran wang, namun khilafah Uthmaniah yang semenjak pemerintahan Khalifah Uthman Urthugul tetap menjaga setiap inci tanah Palestin. Gerakan Zionis telah berjaya memperalatkan Britain untuk melakukan peluasan kuasa di Palestin sehingga berlaku perang pada tahun 1917 yang dimenangi oleh tentera British. British menjemput migran Yahudi daripada pelbagai pelusuk dunia terutama daripada Eropah selepas daripada Deklarasi Balfour.
 
Negara haram Israel menjadi duri dalam daging kepada ummat Islam , dengan pengusiran dan pembantaian terhadap ummat Islam Palestin. Nakbah Palestin yang berlaku semenjak Mei 1948 terus berterusan memotret luka kepada ummat Islam. Perang Palestin yang melibatkan mujahidin Ikhwan Muslimin pada tahun 1940an dan dengan alasan inilah Ikhwan Muslimin telah diseret ke jeriji penjara pada tahun 1948.
 
Malangnya negara-negara Arab dalam dekad 1950an dan 60an yang berselimut dengan fahaman Baath (Sosialis Arabism), mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga tanah Palestin daripada perampok Zionis. Bahkan dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab Israel 1967 menyaksikan tiga buah negara Arab bernuansa Baath telah dipijak maruah dan dihina dengan kekalahan. Mesir telah kehilangan wilayah Sinai, Jordan dirampas Tebing Barat dan Syria kehilangan Bukit Golan yang strategik. Ketiga negara Arab ini juga telah kehilangan 25 000 anggota tentera yang dibunuh oleh pihak zionis.
 
Cahaya kemenangan hanya muncul bersinar dengan perjuangan berteraskan akidah. Di Gaza, munculnya HAMAS pada tahun 1987 yang meletakkan matlamat untuk membebaskan setiap tanah Palestin yang dirampas oleh Zionis. Sheikh Ahmad Yasin telah memimpin gerakan jihad ini sehingga dilihat HAMAS menjadi pembela utama  Palestin dan gerakan ini telah membayar harga yang mahal dalam usaha menjulang perjuangan pembebasan Palestin.
 
Usaha menyelamatkan al Quds memerlukan usaha yang berterusan, sistematik serta penggarapan seluruh iltizam politik kerajaan umat Islam di seluruh belahan dunia. Malangnya hari ini, keseriusan untuk menyelamatkan al Quds sangat sederhana malah sangat mengecewakan. Contohnya apabila Erdogan melakukan inisiatif menghimpunkan pimpinan negara OIC di Istanbul bulan lepas, sebanyak 23 buah negara tidak menghantar perwakilan. Lihatlah bagaimana sikap negara Teluk terhadap Qatar pada bulan Jun 2017, negara itu dikucilkan oleh negara Teluk yang lain kerana melindungi pimpinan HAMAS.
 
Bagi penulis ,usaha penyelamatan al Quds mestilah paralel dengan usaha membantu Gaza yang sedang terkepung . Dunia Islam mestilah bangkit mendesak agar kerajaan kudeta Mesir membuka pintu sempadan Rafah bagi memudahkan dunia antarabangsa membantu membangunkan kembali Gaza yang diluluhlantak dengan serangan Zionis. Perjuangan membebaskan Palestin adalah milik seluruh umat Islam dan merentasi sempadan politik dan kotak kecil negara bangsa!.
 
(Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 27/1/2018
 
 

DALAM ucapan perasmian berbahasa Arab oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi sewaktu sidang meja bulat Masjid al-Aqsa - Festival MyAqsa di Putrajaya, beliau menyentuh secara ringkas situasi Baitul Maqdis berdasarkan sejarah dan realiti ancaman mendatang hari ini.
 
Apa yang perlu diberi perhatian secara serius, Tuan Guru menyebutkan ancaman terbaharu ke atas Baitul Maqdis yang dikenali sebagai 'Safqah Qurun', atau 'Deal Of The Century'.
 
Apakah itu 'Deal Of The Century'?
 
Ia merupakan projek besar ke arah perluasan negara Zionis yang dikenali sebagai Israel Raya. Perjanjian ini terbocor pada tahun lepas (2017) yang mendedahkan bahawa beberapa pimpinan negara Arab, antaranya Mesir & Saudi terlibat dalam perundingan tersebut yang mengagendakan kepentingan perluasan sempadan Israel. Dikatakan perancangan 'Deal Of The Century' itu disasarkan selama 8 tahun untuk dijayakan.
 
Dari Sungai Furat ke Sungai Nil
 
Mengapakah cita-cita Israel Raya semakin dilihat hampir direalisasikan? Ekoran dari tragedi Arab Spring, memunculkan perang saudara sesama Muslim Arab dan menjadikan negara serantau yang bersempadanan dengan Israel bergolak dengan dahsyat.
 
Hasil dari plot Arab Spring, kepentingan Palestin kian dipandang sepi kerana umat Islam telah dilencongkan fokus mereka untuk lebih memerhatikan isu-isu di negara lain.
 
Apa yang diisytiharkan oleh Thedor Herzl selaku pemimpin Zionis lebih 100 tahun lalu, bahawa mereka bercita-cita menguasai kawasan dari sungai Furat hingga ke sungai Nil untuk dibina wilayah Israel yang luas. Inilah bayangan kepada konflik berpanjangan yang berlaku hari ini, yang membabitkan negara-negara antara dua batang sungai milik umat Islam terebut.
 
Perkembangan Kemaraan Israel
 
Kini kita dapati agenda penubuhan negara Kurdistan Raya yang membabitkan keratan dari sebahagian Iraq, Syria dan Turki semakin berjaya. Contohnya kawasan-kawasan di Syria yang dahulunya dikuasai oleh ISIS, kini bertukar tangan kepada puak Kurdi. Mereka dibela oleh tuan yang sama, iaitu AS. Sekaligus kedudukan Kurdistan itu bakal menguasai pangkal sungai Furat dan Tigris yang merupakan nadi ikhtiar hidup di rantau tersebut. Netanyahu mengisytiharkan bahawa Israel mendukung aspirasi Kurdistan, kononnya demi mengulangi era keemasan bangsa Kurdi pimpinan Salahuddin Ayyubi satu ketika dahulu. Wayang yang lucu, namun cukup mengelirukan.
 
Sementara itu projek menguasai sungai Nil melalui pembinaan Empangan Reinassance yang dibiayai oleh IMF di Ethiopia sedang berjalan. Ia dijangkakan siap 5 tahun lagi. Ethiopia merupakan sekutu kuat Israel. Penguasaan ke atas Nil ini pasti memberi masalah yang besar terutamanya ke atas Mesir selaku negara yang paling banyak bergantung dengan sumber air sungai tersebut.
 
Isyarat dari Trump
 
Pada akhir tahun lepas (2017), Trump bertegas mahu memindahkan kedutaan AS ke Baitul Maqdis. Selain dari melunaskan janji ketika pemilihan presiden AS yang lalu, Trump dilihat serius bagi menjayakan usaha penguasaan Israel ke atas Baitul Maqdis. Sementara itu terdapat cadangan dari AS agar dipindahkan penguasaan kedaulatan Palestin dari Timur Jurusalem ke Abu Dis. Ini diikuti sokongan dari pemimpin negara-negara Arab yang sanggup bersekongkol dengan Israel.
 
Tuan Guru Abdul Hadi Awang ada menceritakan bahawa dahulu Theodor Herzl sendiri yang menawarkan rasuah kepada Sultan Abdul Hamid II agar Uthmaniyyah menyerahkan sebahagian Palestin kepada Zionis. Sultan menolak pelawaan tersebut dengan tegas.
 
Kini 100 tahun selepas itu, ada pula segelintir pemimpin-pemimpin Arab yang tidak berjatidiri berperanan memujuk Palestin dengan rasuah berbilion dollar agar mengalah dan bersetuju dengan plan pemindahan keluar dari Jurusalem. Buat masa ini pemimpin Palestin samada dari kumpulan Islam mahupun sekular, tegas menolak plan jahat tersebut.
 
Kita perlu serius untuk sedar
 
Betapa segala apa yang telah dan sedang berlaku ke atas dunia Islam hari ini amat berkait dengan kepentingan agenda Israel. Mereka meniupkan api sektarian mazhab untuk menjayakan perang saudara sesama ahli kiblat. Secara langsung konflik tersebut meranapkan negara- negara umat Islam di rantau yang bersempadanan dengan Israel. Kesannya, Israel kini semakin selesa ke arah menjayakan cita-cita Israel Raya mereka.
 
Kita perlu sedar bahawa sejak Arab Spring, kita sebagai umat Islam telah terlalai dari memikirkan soal Baitul Maqdis.
 
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
28 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 28/1/2018

"DALAM kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar.” - Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Februari, 2012
 
Sejak dunia Islam berdepan dengan cabaran geopolitik dan pemikiran yang amat getir lebih lima tahun lalu, peranan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semakin nyata kelihatan dan dirasakan kepentingan dan keperluannya.
 
Kebangkitan rakyat secara besar-besaran di dunia Arab meliputi rantau Asia Barat dan Afrika Utara menimbulkan harapan dan sentimen sokongan dan kebersamaan yang kuat dalam kalangan umat Islam dan gerakan Islam khususnya.
 
Kebangkitan di Mesir pada 2011, yang membuka kemungkinan kepada gerakan Ikhwanul Muslimin muncul di tengah-tengah masyarakat dan menguasai tampuk pemerintahan melalui pilihan raya yang sebenar, mendorong gerakan-gerakan Islam memberikan sokongan sepenuhnya.
 
Prospek pemerintahan zalim Presiden Hosni Mubarak dan pemerintah-pemerintah autoritarian sekular yang lain di rantau Arab dijatuhkan dan digantikan dengan gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin telah mencetuskan kegembiraan dan harapan yang besar.
 
Walau bagaimanapun, selepas satu tempoh, kebangkitan yang dilihat sebagai untuk kepentingan rakyat itu mula memperlihatkan satu haluan yang berbeza, dan kepentingan rakyat bukan lagi menjadi satu matlamat utamanya.
 
Bermula saat itu, Tuan Guru Abdul Hadi telah memperlihatkan perspektifnya yang berbeza daripada kebanyakan pandangan dan pendapat berhubung apa yang disebut sebagai kebangkitan rakyat itu.
 
Hakikat bahawa kuasa-kuasa serantau dan kuasa besar yang berkepentingan telah memperlihatkan bagaimana agenda mereka mula dilaksanakan pada masa itu sukar untuk dikenal pasti oleh banyak pihak termasuk pemimpin gerakan Islam sendiri.
 
Permainan media menetapkan jalan cerita yang dipersembahkan kepada masyarakat dunia terutama ahli-ahli gerakan Islam telah mengaburi pandangan dan menyukarkan usaha penilaian yang rasional.
 
Kelemahan pemahaman umat tentang kesinambungan sejarah dunia Islam terutama di rantau Asia Barat telah menjerumuskan umat ke dalam perangkap yang disusun oleh musuh dan mereka yang bersubahat dengan mereka.
 
Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan pendirian agar umat Islam tidak terperangkap oleh percaturan musuh ini pada awal lagi, iaitu sekitar tahun 2012 semasa konflik di Syria masih di belum sampai pada tahap yang disaksikan pada hari ini, pada masa semua pihak terlibat masih boleh menilai semula pendirian masing-masing.
 
Sikap teliti dan waspada serta mengutamakan pencegahan terhadap perpecahan dan mengelak diambil kesempatan oleh musuh oleh Tuan Guru Abdul Hadi ini ialah sikap yang beliau ambil dalam menilai semua perkembangan politik dunia Islam, lama sebelum pergolakan yang dikenali sebagai Arab Spring bermula lima tahun lalu.
 
Tuan Guru telah berperanan dalam mendamaikan konflik antara kumpulan umat Islam di Yaman yang bermula pada 2009, dan mengajak penyatuan politik dalam kalangan parti-parti politik di Indonesia.
 
Dalam satu tulisan pada awal tahun 2012, Tuan Guru menulis, menegaskan agar umat Islam belajar dari sejarah keruntuhan kerajaan Uthmaniyah yang dibenarkan oleh umat Islam sendiri yang terpedaya oleh perancangan musuh, mengikut sentimen etnik dan kaum masing-masing hingga akhirnya pemerintah yang menaungi umat pada masa itu berakhir.
 
Lima tahun sebelum ulangtahun ke-100 kebangkitan Arab dan perjanjian rahsia Sykes-Picot 1916, Tuan Guru telah mula menyebarkan tentang pengajaran daripada perpecahan umat itu, yang menyaksikan umat dieksploit sentimen dan kepentingan masing-masing hingga berperang sesama sendiri, mengakibatkan perpecahan yang kemudian membawa kepada pelbagai kemelut lain.
 
Tanpa menafikan kelemahan pemerintah pada masa itu, tindakan menentang pemerintah Uthmaniyah sehingga meruntuhkan pemerintahan Islam itu akhirnya membuka kepada pelbagai akibat yang ditanggung hingga ke hari ini.
 
Akibat keruntuhan Daulah Uthmaniyah itu, perancangan musuh melalui Perjanjian Sykes-Picot yang membahagikan wilayah Islam kepada kuasa asing terlaksana.
 
Menurut Tuan Guru, dalam tulisan diterbitkan pada Februari 2012 itu: “Umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Uthmaniyah terhadap wilayahnya.
 
“Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu. Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lawrence (of Arabia) dan rakan-rakan Arab dibantu untuk menentang Turki Utmaniyah.
 
“Akhirnya kerajaan Uthmaniyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.
 
“Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing mengikut road map Sykes-Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya.
 
“Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut.
 
“Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.”
 
Sejarah hitam keruntuhan kerajaan Islam itu merupakan satu mesej yang sering diulang-ulang oleh Tuan Guru apabila menjelaskan tentang pergolakan yang berlaku di dunia Arab, menegaskan agar umat Islam belajar dari sejarah.
 
Beliau turut mengutamakan penyatuan antara umat Islam, dengan mengetepikan perbezaan-perbezaan politik atau aliran dalam agama, demi kepentingan perpaduan dan kerjasama yang lebih utama bagi menghadapi cabaran dan gugatan daripada musuh.
 
Perspektif inilah yang menjadi antara tunjang utama sikap Tuan Guru Abdul Hadi dalam mendepani dan menangani isu umat Islam yang sedang mencabar seluruh dunia Islam pada masa kini.
 
Mesej penyatuan dan kepentingan mengambil iktibar dari sejarah sentiasa diberi penekanan oleh Tuan Guru, tanpa teralih perhatian oleh hal-hal yang ada kalanya ditimbulkan dan disebarkan untuk mengeruhkan lagi keadaan.
 
Hal ini menampakkan perspektif jelas dan berbeza Tuan Guru, pada masa semangat untuk menjatuhkan pemerintah zalim dan menggantikannya dengan kumpulan Islam sedang memuncak dan sukar untuk menerima penjelasan selain daripada kepentingan untuk bersegera berjihad menjatuhkan pemerintah zalim itu.
 
Pada masa itu, sentimen perbezaan mazhab telah berleluasa dan diterima ramai, sehingga tercetus pertembungan perspektif yang ketara dalam kalangan gerakan Islam, dengan pembahagian jelas antara sekutu dan musuh.
 
Perspektif Tuan Guru Abdul Hadi ini akhirnya terbukti sebagai satu pandangan paling tepat dalam mengambil sikap terhadap peristiwa yang berlaku di dunia Arab, yang kini sedang dilanda perang saudara, perang proksi dan konflik sektarian yang belum kelihatan hujungnya.
 
Apa yang sedang berlaku inilah yang ingin dielakkan oleh mereka yang memahami pergolakan yang berlaku dengan lebih mendalam, yang bukan hanya memerhatikan apa yang terzahir melalui ucapan-ucapan pihak terlibat dan dibincangkan di media.
 
Selepas lebih enam tahun kebangkitan rakyat yang akhirnya membawa kepada satu konflik serantau yang rumit, sudut pandang Tuan Guru melibatkan mengambil iktibar dari sejarah, kewaspadaan terhadap perancangan musuh dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam telah terbukti sebagai perspektif paling tepat dalam melihat dan menangani perkembangan politik dunia Islam. - HARAKAHDAILY 27/1/2018

HULU TERENGGANU: Umat Islam hari ini diingatkan agar lebih berwaspada dengan bentuk serangan pemikiran yang cuba ditanam bagi melemahkan Islam selepas serangan ketenteraan.

Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, musuh-musuh Islam telah melancarkan serangan baharu bagi merosakkan pemikiran umat Islam.

Menurutnya, terdapat beberapa eleman yang cuba diterapkan agar kekuatan umat Islam itu dapat dilemahkan.

"Umat Islam menghadapi serangan baru setelah berlakunya serangan ketenteraan. Mereka (musuh) melancarkan serangan pemikiran.

"Pertama, mereka menjalankan gerakan Tansiriyah; iaitu gerakan menasarakan orang Islam. Dan kedua, gerakan Taghribiyah iaitu membaratkan orang Islam," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtimak Pondok dan Pusat Pengajian Islam Terengganu di Pondok Ibtidai, Batu 22, Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu, di sini semalam.

Katanya, bagi menjayakan misi tersebut pihak musuh-musuh Islam cuba menerapkan kefahaman itu dalam bidang pendidikan dengan membina sekolah-sekolah misionari.

Sekolah-sekolah tersebut ujarnya adalah sekolah Kristian sama ada jajahan Inggeris, jajahan Belanda, jajahan Perancis untuk mengkristiankan orang Islam.

(ikuti kupasan dan pendedahan lanjut tersebut dengan mendapatkan Harakah cetak edisi Isnin di pasaran nanti) - HARAKAHDAILY 26/1/2018

More Articles ...

Page 1 of 4