BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Sebulan yang lepas, dunia dikejutkan dengan berita bahawa seorang ahli parti berhaluan kiri di negara Jerman telah memeluk Islam. Parti tersebut, Alternatif untuk Jerman (AfD) adalah yang ketiga terbesar di parlimen, Bundestag. 

AfD amat terkenal dengan pendirian anti-Islam dan anti-immigrasi dan slogannya ialah tiada tempat untuk Islam di negara Jerman. AfD juga berusaha keras untuk mendapatkan pengharaman semua pembinaan serta perjalanan masjid. 

Parti itu antara lain juga pernah menjalankan kempen iklan berbentuk ala Nazi untuk menakutkan masyarakat terhadap Islam dan cuba mengarahkan agar polis sempadannya menembak semua pendatang tanpa izin yang cuba menyelinap masuk ke negara itu.  

Namun Arthur Wagner, salah seorang dari pemimpin tertinggi AfD, mendapat hidayah Allah SWT dan memilih Islam setelah selalu berinteraksi dengan kelompok masyarakat yang sepatutnya beliau tentangi.

Dalam sebuah temuramah, beliau mengatakan bahawa keputusan untuk memeluk Islam sudah dipertimbang sejak tahun 2015 ketika berada di bandar bermajoriti masyarakat Islam di Ufa, Rusia, namun hanya pada bulan Oktober tahun lepas ianya menjadi rasmi.

Nama Arthur, atau nama Islamnya, Ahmed, kini tiada lagi dalam senarai ahli jawatankuasa partinya.  Dia juga telah meletakkan jawatannya dalam parti atas sebab-sebab peribadi. 

Di dalam sejarah Islam, dari awal ketika zaman Rasulullah s.a.w. lagi, situasi sebegini banyak berlaku. Seseorang yang asalnya berbangsa Quraisy dan amat menentang Islam, akhirnya menjadi antara pejuang Islam yang terhebat.

Saidina Umar Al-Khattab contohnya, sebelum memeluk Islam, boleh dikatakan orang nombor satu Quraisy yang amat anti-Islam. Beliau seorang yang berani dan tegas. 

Pada waktu beliau dalam perjalanan ke rumah Rasulullah s.a.w. dengan hasrat untuk membunuhnya, beliau telah bertemu rakannya yang memaklumkan bahawa beliau perlu bertemu adiknya dahulu kerana adiknya juga telah memilih Islam.

Beliau terus ke rumah adiknya, dan di sana baru dapat mengenali Islam dengan sebenar dan dengan lebih dekat, dan Umar telah memeluk Islam pada hari yang sama.

Kita sebagai ahli sebuah gerakan dakwah dan parti politik Islam, haruslah jangan cepat melatah dan ingin bertindakbalas atas semua provokasi serta serangan dari pihak lain. Janganlah layan sangat perasaan ingin menyelesaikan rintangan dengan seorang diri atau dengan cara tersendiri.

Jika dirasakan sangat tercabar dengan apa yang berlaku, berbincanglah dengan rakan-rakan, ahli jemaah dan keluarga dan cari jalan penyelesaian. Jika masih buntu, bertanyalah pendapat orang-orang yang lebih berilmu dan InsyaAllah pastinya mereka akan dapat memberikan dalil dan nas serta pendapat mereka untuk menguraikan permasalahan yang dihadapi.

Pada awal 90an ketika belajar di MRSM Kuala Terengganu, saya ada beberapa rakan yang disegani dan berilmu tinggi, antaranya Mohd Hazrul Hashim dan Abdul Fattah Abdul Wahab (kini Dr). Antara tip yang mereka kongsikan ialah, apabila sesuatu kisah, pengalaman atau idea yang tidak elok mula masuk ke minda dan cuba merosakkan fikiran, cuba bayangkan kisah atau pengalaman tu dibuang jauh-jauh.

Setiap kali ia cuba masuk kembali ke dalam minda, buang cepat-cepat. Setelah berulang kali dilakukan, insyaAllah, akhirnya kita sendiri akan lupa mengapa kita boleh begitu terkesan pada mula-mulanya.

Kita jangan lupa mengapa kita diturunkan di muka bumi ini, dan teruskan dengan gigih misi dakwah dan menyebarkan mesej Islam. Apa pun dihadapi dan sebagaimana hebat pun cabaran yang dihadapi dari semua sudut, kita akan kekal terus mendukung mesej Islam, dan ingatlah, hanya Allah yang boleh membuka hati-hati manusia untuk menerima hidayahnya. -HARAKAHDAILY 22/2/2018

ANTARA kesan ajaib tsunami Aceh tahun 2004 yang rombongan Assabiqun lawati ialah kubah masjid yang tersadai di tengah sawah di Kampung Gampong Surah beberapa kilometer dari Banda Aceh. Kiri kanan lorong masuk ke tapak kubah kawasan sawah, bahkan sekitar kubah pun orang masih bersawah.
 
Ia sebesar lebih dari dua puluh kaki yang dikatakan beratnya 80 tan. Ia tidak cacat sekalipun masjidnya musnah dan dihanyutkan ke situ dari jarak beberapa kilometer. Saya tidak memastikan ia dari simen atau dari logam apa. Tapi tapak kubah itu kini disimen dan dipagar supaya ia terpelihara.
 
Antara yang ajaib ialah ia dikatakan beratnya 80 tan. Bagaimana sebuah masjid yang jauh dari kota ada kubah seberat itu? Dan apa kaedah yang digunakan oleh jurubina membina kubah seberat itu dan boleh ditampung oleh masjid di bawahnya?
 
Ia adalah dari masjid yang terletak di belah belakang bukit. Ia bukan bukit yang kecil walaupun bukan bukit yang besar sangat. Bukit itu kira-kira dua setengah kilometer dari kubah itu terdampar sekarang.
 
Kejadian yang berlaku begitu cepat sekitar pukul lapan pagi itu hampir tidak disedari oleh ramai justeru terjadi tiba-tiba dengan air melanda terlalu deras. Memang semasa tsunami itu melanda tidak ramai yang dapat menyelamatkan diri. Gelombang yang melanda lebih laju dari kelajuan sebuah motokar.
 
Pemandu pelancong tempat itu seorang ibu 40-an. Dia datang dengan motosikal ke situ sebaik kami sampai, tIada pengunjung lain ke situ masa itu. Dia terselamat kerana dia bersalin di tempat lain. Dia tidak menyaksikan air yang deras itu.
 
Katanya kejadian iu disaksikan oleh imam masjid di kampung itu semasa beliau bekerja di atas bukit. Imam itu baru saja meninggal. Dia menyaksikan air datag dari semua penjuru. Dia nampak kubah itu dibawa air deras terapung dari depan bukit ke kawasasn sawah di depannya.
 
Kubah itu adalah dari masjid Kampung Lam Tengah. Kubah itu mulanya mengeliling bukit itu dulu. Dia hanya sedar ketika ia lalu di depan bukit. Setelah ia dihanyutkan begitu cepat, ia kemudian berpatah ke belakang begitu laju juga hingga tersadai di tempat sekarang.
 
Ia berlaku kurang dari setengah jam. Tsunami yang disaksikan oleh imam di tempat itu tidak sampai setengah jam. Masjid Lam Tengah sendiri musnah oleh bencana itu, tetapi kubah itu tidak cacat. Pada hal gelombang tsunami itu menyapu dan melanggar apa saja objek kecil dan besar dan segala sampah sarap tetapi kubah itu yang terpisah dari masjidnya tidak ada-apa.
 
Ia adalah satu keajaiban. Demikianlah Allah menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Nya. Apa makhluk yang Allah gunakan untuk membawa kubah itu ke situ? Allah saja yang mengetahui. Ia boleh berlaku dengan perintah kun fayakun.
 
Mungkin samalah dengan kejadian Nabi Sulaiman memerintahkan jin memindahkan istana tersergam indah Ratu Balqis dari Sabak ke Palestin dalam sekelip mata. Sebelum sempat Nabi Sulaiman membuka mata istana itu sudah ada di depannya.
 
Tiddk retak dan tidak sompek. Sebagaimana istana itu di tapak asalnya, demikianlah ia di sebelah istana Nabi Sulaiman di tapak baharunya. Kubah itu tidak cacat setelah tsunami tiada lagi. Ia hanya terpisah dengan masjidnya. Beberapa gerai didirikan di sebelahnya untuk pengujung membeli cenderahati. - HARAKAHDAILY 16/2/2018

ISRAEL telah melancarkan serangan besar-besaran terhadap Syria selepas pesawat F-16 milik entiti haram itu terhempas dalam misi ke atas negara tersebut. Kerajaan Syria mengaku bertanggungjawab atas insiden tersebut. Beberapa kawasan strategik disasarkan oleh Israel di sekitar Damsyik, seperti kompleks ketenteraan Syria dan pengkalan-pengkalan yang menempatkan fasiliti ketenteraan Iran.
 
Teknologi dron
 
Tindakan nekad Israel tersebut ekoran dron milik Iran telah dikesan memasuki ruang udara Israel sebelum ini. Mengikut laporan pakar, dron tersebut dipercayai menggunakan sistem dron yang direka US, salah satunya ditangkap oleh Iran pada tahun 2011 di ruang udara mereka. Iran memiliki teknologi dron yang boleh dikira maju. Salah satu siri model yang hebat dinamakan sebagai Ababil. Ababil-T memiliki keupayaan mengebom, mengganggu sistem kawalan musuh dan mengumpul maklumat perhubungan dengan kawalan kira-kira 2,000km. Namun menurut jurucakap ketenteraan Iran, ianya bukanlah model tercanggih yang mereka miliki. Sehingga kini, siri-siri Ababil telah digunakan oleh Hamas, Hezbollah, Houthi dan Sudan.
 
Walaupun dron tersebut telah berjaya ditembak jatuh dan dirampas, tetapi ia menjadi satu peristiwa memalukan kerana Israel melalui syarikat Rafael Avanced Defense Systems sebelum ini mengumunkan memiliki teknologi anti-dron yang hebat termasuk drone dome. Mengikut rekod, Israel memiliki sistem pertahanan udara paling hebat di dunia dengan bantuan dana daripada US. Antara yang dibanggakan adalah Iron Dome. Malangnya roket-roket Hamas telah beberapa melewati sistem pertahanan tersebut dengan jayanya.
 
Rekod Israel-Syria
 
Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa bahawa mereka berjaya menghancurkan beberapa premis ketenteraan Syria dan Iran termasuk pusat kawalan dron milik Iran di Damsyik. Penganalisis berkata, serangan ini adalah yang paling besar dilancarkan terhadap Syria sejak Perang Israel-Lubnan tahun 1982.
 
Syria pernah beberapa kali menyerang Israel sejak negara haram itu ditubuhkan. Antaranya pada tahun 1948 sejurus selepas negara haram Israel ditubuhkan. Seterusnga Perang Enam Hari pada tahun 1967 menyaksikan kekalahan memalukan pasukan Arab yang dianggotai Syria, Mesir dan Jordan. Syria kehilangan Bukit Golan dalam peristiwa tersebut. 
 
Tahun 1973, sekali lagi Syria dan Mesir melancarkan serangan terhadap Israel dalam Perang Yom Kippur, perang yang menjadi latar belakang kepada pengasasan sistem Petro-Dollar. Tahun 1982, Syria terlibat membantu Lubnan dalam perang menghadapi penjarahan Israel di wilayah selatan negara tersebut. Perang ni adalah lanjutan kepada serangan Iraq terhadap Iran, sebagai sebahagian daripada agenda US mengekang pengaruh Iran selepas revolusi 1979.
 
Syria juga menjadi hos kepada akitiviti musuh ketat Israel, Hamas di luar negara. Selain menjadi pusat perhubungan Hamas dengan dunia luar, Syria turut dijadikan sebagai tapak latihan dan pembangunan teknologi Briged al-Qassam dan pusat pengumpulan bantuan kebajikan dan ketenteraan. Namun krisis Arab Spring  2011 telah memaksa Hamas menutup operasi mereka di Syria, setelah beberapa kali diancam serangan militan.
 
Kerjasama ketenteraan Iran-Syria
 
Sejak krisis Arab Spring, Syria telah membentuk pakatan dengan Rusia dan Iran bagi menghalang agenda Barat terhadap negara tersebut seperti yang berlaku ke atas Iraq dan Libya. Kekuatan ketenteraan Syria banyak dibiayai dua negara terbabit. Pada 2017, Iran dan Rusia telah mengumumkan akan membina pangkalan tentera di Syria. Israel yang sudah hampa mengharapkan US untuk campurtangan dalam konflik ini, akhirnya bertindak sendiri mengecam hasrat Rusia dan Iran, dan akhirnya bertindak ke atas Syria.
 
Jurucakap Rejimen Al-Quds, sebuah pasukan elit milik Pengawal Revolusi Iran telah membuat kenyataan bahawa mereka telah mengenalpasti semua sasaran-sasaran serangan terhadap Israel di Tel Aviv dan Haifa. Tambah beliau, mereka memiliki peluru berpandu jarak jauh yang boleh sampai ke Israel dalam tempoh 7 minit setengah. Mereka akan bertindak bila-bila masa sahaja sekiranya kedaulatan dan keselematan Iran tercabar. Dipercayai misil tersebut berada di Syria.
 
Di mana negara Islam lain?
 
Sehingga ke hari ini, tiada mana-mana negara Islam yang membuat kenyataan mengecam tindakan Israel terhadap Syria. Berdasarkan pendirian terkini, pemimpin-pemimpin politik Islam mendokong pendiring Rumah Putih bahawa pengganas yang perlu dihapuskan adalah ISIS, Iran dan Syiah seperti resolusi yang dicapai pada Riyadh Summit Mei 2017. Tetapi tiada satupun kenyataan terhadap dikeluarkan dalam program tersebut. Persidangan Kemuncak Liga Arab di Kaherah beberapa bulan selepas itu turut mengulang fatwa US itu, dan membisu terhadap Israel.
 
Pada tahun 2015, Putera Mahkota Saudi Muhammad bin Salman telah menubuhkan Tentera Islam Bersekutu yang dikenali sebagai Nato Arab. Gabungan yang berpusat di Riyadh itu dianggotai oleh tentera dari 41 buah negara Islam.Tujuannya adalah bagi membasmi keganasan di rantau umat Islam. Namun sehingga ke hari ini, pengganas yang ditentang hanyalah sebagaimana yang didefinisikan US iaitu ISIS dan negara di bawah pengaruh Syiah. Tiada langsung agenda memerangi Israel.
 
Pejuang-pejuang Islam yang berperang sesama sendiri di Syria sama ada Kurdis, IS, FSA, Jabhat dan lain-lain juga sehingga kini hanya berdiam diri daripada menyatakan pendirian mereka terhadap musuh utama umat Islam, Israel. Semangat jihad tidak menampakkan tanda-tanda untuk tercetus seperti era Arab Spring dahulu.
 
Masyarakat muslim dunia? Pertubuhan Ulama? Gerakan Islam? Kebanyakan sukar untuk menyatakan pendirian. Ini kerana yang terlibat dalam pertempuran bersama Israel adalah dari kalangan Syiah. Sentimen anti-Syiah sangat menebal dalam penganut Sunni sama ada yang beraliran Salafi/Wahhabis mahupun Sufi/Tradisionalis. Kebanyakannya dilihat buntu kerana mengecam Israel dalam isu ini menggambarkan pengiktirafan terhadap pendirian kerajaan Syria dan Iran, golongan yang sudah dicop terkeluar dari kelompok Islam.
 
25 Jumadal Ula 1439
11 Februari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 12/2/2018

FEBRUARI muncul kembali dan menggamit pelbagai kenangan kepada kita semua. Setahun yang lalu, aku belayar di lautan bersama teman-teman pelbagai NGO daripada pelbagai buah negara, melepasi halangan-halangan birokrasi Myanmar dan juga Bangladesh. Menemui pelbagai ragam manusia dan watak yang berbeda, namun ianya mengkayakan koleksi pengalaman hidup. Aku beberapa kali diberi amanah sebagai pengkuliah dan Khatib Jumaat. Burung-burung camar laut, bayu laut, sesi mentari mengatup dan menaik di dada langit adalah momen-momen indah di atas kapal Nautica Aliya, menggalang misi kemanusiaan "Food Flotilla For Myanmar".

Rombongan misi bantuan kemanusiaan Flotilla disambut dengan demonstrasi bantahan dan wajah cemberut oleh sekelompok demonstran Myanmar berkain sarung. Media massa di negara berdarah ini lebih sebulan memainkan pelbagai isu berkaitan dengan misi bantuan yang dianggap menceroboh masalah dalaman negara mereka.

"Food Flotilla For Myanmar" memicu perhatian antarabangsa apabila lebih 60 media antarabangsa berhimpun di pelabuhan, pelaporan mereka positif atau negatif tetap memberikan impak yang positif kepada umat Islam yang tertindas. Misi untuk mengejutkan masyarakat antarabangsa bahawa ada negara pariah yang sedang menindas rakyatnya dengan alasan agama dan etnik.

Penampilan bahasa badan dan guratan wajah pegawai-pegawai Myanmar jelas tidak bersahabat dengan anggota misi Flotilla. Ada yang mengacungkan tangan ke arah peserta-peserta misi yang melaungkan takbir. Wajah sombong itu memandang dengan penuh kebencian terhadap kapal yang menjadi lambang kemenangan usaha rakyat pelbagai negara untuk membantu saudara mereka Muslim Rohingya.

Peserta-peserta bahu membahu membantu mengangkat barang untuk diserahkan pada pihak berkuasa Myanmar dan mereka memberikan persetujuan untuk acara agihan barangan di Sitwea dipantau oleh wakil Malaysia. Perjalanan ke Chitaggong Bangladesh tertangguh hampir sehari kerana keadaan sungai Yanggon yang surut.

Rombongan Flotilla telah mengadakan Solat Jumaat di atas kapal dan menurut Kapten Firdaus itulah solat Jumaat kali pertama diadakan di atas Nautica Aliya. Khutbah Jumaat dengan tajuk kewafatan Rasulullah s.a.w mengimbau kembali peristiwa penting sebelum kewafatan iaitu himpunan paling ramai dalam sejarah dakwah Nabi iaitu Haji Widak, seterusnya peristiwa selepas kembalinya daripada Haji Widak sehingga kewafatan baginda. Jemaah Solat Jumaat diingatkan bahawa tanggungjawab membantu umat Islam ialah sebahagian arahan ar Rasul s.a.w, qudwah yang dicintai dan menjadi keteladanan di sepanjang jalan dakwah.

Perjalanan ke Chittagong melalui jalan laut mengambil masa lebih tiga hari dan Flotilla telah dihentikan oleh pihak keselamatan Bangladesh untuk diadakan perbincangan di tengah laut. Persetujuan dicapai untuk misi bantuan meneruskan bantuan ke Chittagong walaupun pada asalnya ada cadangan supaya misi Flotilla terus ke Cox Bazaar melalui pelabuhan kecil dan pihak marin Bangladeh memberikan iringan keselamatan.

Tiba di Chittagong, rombongan Flotilla menghadapi muara sungai yang cetek, kelihatan kapal-kapal besar di atas beting pasir. Untuk memasuki ruang pelabuhan Chittagong seorang kapten tempatan menakhodai kapal Nautica Aliya yang dibina dengan kos 100 juta itu. Perbincangan terakhir akhirnya berlangsung di atas kapal diantara wakil Flotilla dengan pihak berkuasa Bangladesh. Pada asalnya mereka hanya mahu barang bantuan diturunkan dan relawan tidak dibenarkan ke kem pelarian, namun setelah asakan wakil Flotilla maka mereka bersetuju hanya 25 wakil turun untuk ke kem pelarian Cox Bazaar dan barangan diserahkan kepada IOM (International Organization of Migrant) dengan persetujuan pengagihan berikutnya dipantau daripada dekat oleh wakil-wakil Malaysia.

Ada relawan yang bersedih kerana tidak dapat mengagihkan sendiri barangan bantuan ke kem pelarian, namun pihak Bangladesh memberikan alasan-alasan keselamatan dalam kem yang juga berlaku infiltrasi daripada pihak agen Myanmar. Ustaz Tarmizi daripada MAPIM menerangkan bahawa IOM mempunyai jadual pengagihan mingguan, maka NGO Malaysia mempunyai peluang untuk turun bersama mereka. Setiap barangan dihitung dan diaudit oleh IOM tentang tarikh lupus, produk halal dan sebagainya, mereka mempunyai reputasi yang baik dalam membantu pelarian-pelarian di seluruh dunia.

Misi Flotilla mencapai sasaran yang pertama iaitu menghebahkan pada dunia tentang sebuah sketsa kezaliman bumi Arakan yang digelar "Gaza Asia", media massa dalam dan luar negara melaporkan perkembangan misi pertama membantu muslim Rohingya dalam skala besar. Mesej yang jelas, semua negara umat Islam wajib bangkit membantu bukan menjadi pemerhati bisu.

Dalam setahun ini, pasca misi Food Flotilla yang membuka mata dunia, lebih seribu tubewell, madrasah agama, masjid pengungsi, klinik medan dan pelbagai bantuan telah digerakkan ke khemah-khemah pelarian Rohingya di Bangladesh. Kawasan Cox Bazaar, Khutupalong, Teknaf, Thankhali dipadati lebih 1.2 juta pelarian dengan keadaan yang amat dhaif. Bertindak adalah jauh lebih bermanfaat daripada menghujam kata-kata nista!. Ayuh,kita membantu saudara akidah kita.

(Penulis ialah Aktivis bantuan tanpa sempadan, Penulis dan Pendakwah)-  HARAKAHDAILY 8/2/2018

MASYARAKAT Islam di Malaysia hari ini terpengaruh dengan satu teori berkait dengan Rukun (sudut) Kaabah. Teori ini menyatakan bahawa Tanah Melayu akan menjadi tempat kebangkitan Islam berdasarkan petunjuk arah rukun Hajarul Aswad. Ini kerana jika diteliti semua rukun-rukun lain iaitu rukun Iraqi, Syami dan Yamani, kesemuanya telah dihuru-harakan oleh Zionis laknatullah. Hanya kawasan arah Rukun Hajarul Aswad sahaja yang masih selamat.
 
Berdasarkan reaksi di media sosial, ramai juga yang mempercayainya. Setakat saya menyampaikan kuliah yang berkait dengan eskatologi, ramai juga jemaah yang bertanya berhubung teori ini. Tidak kurang yang menghubungi melalui talian elektronik.
 
Saya belum pernah menemui teori ini di alam pengajian mahupun sekarang. Justeru bagi saya, teori ini amat lemah kerana ia hanya berdasarkan telahan akal semata-mata tanpa disokong oleh sebarang nas. Perkara yang melibatkan akidah (kepercayaan) sama ada yang usul mahupun furu' perlu kepada nas. Nas pula mestilah difahami mengikut kaedah yang betul. Syarat-syaratnya begitu ketat sehingga memerlukan ilmu-ilmu asas yang banyak sebelum layak berpendapat ke atas sebarang nas.
 
Mengukur ketepatan arah Rukun Hajarul Aswad satu perkara yang perlu dipertikaikan.  Jika dilihat pada rukun Yamani, ia tidak menunjukkan arah Yaman secara tepat. Yaman di sebelah tenggara Kaabah sedangkan rukun Yamani di sebelah Selatan. Rukun Syami lebih jauh dari arah Syam kerana ia menunjuk ke arah Barat sedangkan Syam di arah Utara Kaabah. Lalu bagaimana kita boleh menganggap Rukun Hajarul Aswad memaksudkan Tanah Melayu dengan alasan ianya menunjukkan ke arah Nusantara ini secara tepat?
 
Walaubagaimanapun, memang terdapat hadis di akhir zaman bahawa panji hitam akan bangkit dari arah Timur, tetapi tidak semestinya Tanah Melayu. Dalam hadis yang lain, ada menyebut mereka dari wilayah Khurasan, nama bagi kawasan yang dikongsi oleh Iran, Pakistan dan Afghanistan. Dalam hadis yang lain juga, dinyatakan juga mereka adalah dari keturunan Bani Tamim. Keturunan Bani Tamim menjadi pemerintah Qatar pada hari ini, dan negara tersebut juga berada di sebelah Timur Kaabah, arah rukun Rukun Hajarul Aswad.
 
Kesimpulannya, teori ini tiada sokongan dalil naqli dan tidak kukuh dari sudut aqli. Tetapi tidaklah menafikan kalau benar bangsa Melayu boleh menjadi watak utama di akhir zaman nanti. Tuhan boleh menjadikan mana-mana kaum mulia dan hina dengan izin-Nya. Sejarah merekodkan panji Islam sering bertukar tangan daripada Arab, Parsi, Rom, Kurdis dan Turkis. Hanya Allah yang mengetahui bangsa manakah yang seterusnya layak menerima kemenangan Islam.
 
Wallahualam..
 
30 Jumadal Ula 1439
16 Februari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 16/2/2018

KUALA  LUMPUR: Umat Islam etnik Rohingya yang masih terkepung dan tinggal bertahan di kampung-kampung mereka di dalam Wilayah Arakan, Myanmar kini sedang berada dalam situasi kecemasan.
 
Ini berikutan serangan dan tindakan ekstrem terbaharu pihak pelampau Myanmar yang menyerang dan membakar kampung halaman penduduk serta sekatan bantuan ke atas mereka terutama di Maungdaw, Bathidung dan Rathidung.
 
Berikutan kejadian itu yang tercetus semula sejak 29 Januari baru-baru ini, penduduk Islam Rohingya berada dalam situasi kemungkinan kebuluran setelah sebarang usaha mendapatkan makanan dan keperluan asas terhalang.
 
Sehubungan itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membuat 'panggilan kecemasan' kepada seluruh dunia agar segera bertindak membantu meleraikan situasi tersebut.
 
Naib Presiden MAPIM, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sekurang-kurangnya kini dunia khususnya dari umat Islam sendiri mesti bertindak menghantar bantuan berterusan kepada Rohingya.
 
"Selain mereka yang di Arakan tekad mempertahankan diri, maruah dan kedudukan, jumlah dan keperluan pelarian di kem-kem pelarian terutama di Bangladesh amat mendesak.
 
"Makanan, perubatan, pakaian dan tempat tinggal perlu disedia serta mengelak risiko lebih buruk seperti jangkitan penyakit, kematian dan sebagainya.
 
"Oleh itu MAPIM merayu seluruh dunia segera menghulurkan sumbangan untuk kami usahakan penyaluran bantuan kepada mereka terutama yang masih bertahan di dalam Arakan," serunya.
 
Semua sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Baitul Rahmah-MAPIM 5520 9522 4432 dan kodkan 'Food4Arakan' dan sebarang pertanyaan hubungi Shukri (019 758 5658). - HARAKAHDAILY 11/2/2018 

RANTAU Asia Barat dan Afrika Utara telah mencatat sejarah tersendiri apabila kekal sebagai kawasan paling menyaksikan persaingan sengit di dunia, mengatasi rantau-rantau lain sepanjang berdekad lalu.

Sejak pembahagian menurut peta baharu Sykes-Picot, penubuhan Israel, hingga ke perang yang dicetus oleh kebangkitan Arab Spring, rantau Asia Barat dan Afrika Utara tidak pernah sunyi daripada krisis.

Pertembungan Turki dengan Arab, Arab dengan Parsi, sekular dengan Islamis, dan sebagainya, terus menjadi satu ciri utama persaingan di rantau penting dunia Islam ini, yang dipanaskan lagi oleh percaturan kuasa-kuasa besar yang bersaing.

Selama ini, sejak kejatuhan Soviet, hanya Amerika Syarikat yang mendominasi rantau ini, tetapi kini Rusia melalui kuasa politik, China melalui kuasa ekonomi merancakkan lagi politik serantau di sebelah sini.

Lima pertembungan ini kekal menjadi ciri utama rantau ini, rantau utama persaingan kuasa-kuasa dunia, dan semakin menghampirkan rantau ini kepada satu konflik berskala besar.

Arab Saudi dengan Iran

Takdir geografi telah meletakkan Arab Saudi dengan Iran berseberangan dalam perkiraan di rantau ini, lebih-lebih lagi selepas Iran dikuasai Syiah pada 1979, dan Saudi kekal dalam orbit AS. Persaingan kedua-dua negara meliputi kuasa melibatkan wilayah - paling utama Teluk Parsi yang dinamakan Teluk Arab oleh negara-negara Arab - aliran agama dan ideologi politik, dan segala isu yang berkaitan. Riyadh berjaya menguasai kepimpinan dunia Islam Sunni melalui kedudukan Makkah dan Madinah, dan sehingga kini dapat menyatukan banyak negara Islam di bawah satu agenda dipimpinnya. Walau bagaimanapun, Saudi semakin tercabar oleh Iran yang meningkatkan pengaruh selepas 1979 dan sekitar sedekad kebelakangan ini, pada masa sama Saudi merasakan semakin resah dengan perkembangan serantau.

Israel dengan Palestin

Israel menerima sokongan kuat kuasa besar dunia AS, manakala Palestin terpecah kepada dua kumpulan besar, Fatah dan Hamas. Sejak penubuhan Israel pada 1948, wilayah dikuasainya bertambah dan kini semakin menghampiri satu impian 'Israel Raya' dan pada masa sama mula membina hubungan baik dengan beberapa negara Arab. Sejak tahun lalu, Palestin berdepan cabaran yang semakin getir, apabila Gaza yang dikepung semakin lemah dan Hamas yang menguasainya terpaksa berkompromi dengan Fatah dan Mesir yang berhubungan baik dengan Israel. Akibat perkembangan sepanjang kebangkitan Arab, perjuangan pembebasan Palestin semakin terpinggir akibat hab di Syria yang digugat, pada masa sama AS meningkatkan sokongan kepada Israel.

Kurdistan lawan Turki, Parsi, Arab

Perjuangan kemerdekaan Kurdistan mencapai kemuncaknya pada tahun 2017, apabila Wilayah Autonomi Kurdistan di Iraq melaksanakan referendum untuk merdeka. Kurdistan Iraq juga semakin bertindak sebagai sebuah negara berdaulat walaupun tidak diiktiraf secara rasmi oleh mana-mana negara. Ekoran kebangkitan dan perang di Syria, Kurdi Syria yang berhubungan baik dengan militan berhaluan kiri Parti Pekerja Kurdistan, PKK, telah menguasai beberapa kawasan di sepanjang sempadan Syria-Turki, memperlihatkan potensi satu wilayah Kurdistan yang bersambung dan membina sebuah Kurdistan meliputi Iraq dan Syria hingga ke Laut Mediterranean. Kurdi juga menerima sokongan dan bantuan daripada AS, dengan alasan untuk memerangi ISIS.

Arab Saudi-UAE dengan Turki-Qatar

Dua pakatan ini selama ini telah menunjukkan perbezaan yang ketara dalam banyak isu di rantau Asia Barat dan Afrika Utara. Walaupun kesemuanya sekutu rapat Washington, perkembangan sejak setahun dua lalu terutamanya telah meletakkan Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi bertembung hebat dengan Qatar, pendukung utama Ikhwan Muslimin. Tahun lalu, Turki menunjukkan kesediaannya membantu Qatar, dan menjadikan persaingannya dengan Saudi dan Emiriyah semakin terbuka. Kedua-dua Emiriyah dan Turki juga bersaing dalam melaksanakan projeksi kuasa di seluruh rantau Asia Barat hingga ke Tanduk Afrika. Terbaru, ekoran episod cubaan rampasan kuasa di Turki dan kepungan terhadap Qatar, persaingan ini menjadi semakin sengit.


Militan dengan Syria

Sejak 2011, kumpulan-kumpulan militan dan pemberontak telah terlibat dalam perang terhadap kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad. Didukung oleh Arab Saudi, Qatar, dan Turki - dan kuasa besar AS - kumpulan-kumpulan militan ini muncul sebagai kuasa penting di Syria pada masa ini, hasil gerakan mereka sejak tujuh tahun lalu. Walaupun kuasa yang menyokong ada yang telah menarik atau mengurangkan sokongan, Turki pada masa ini kelihatan meningkatkan semula sokongan untuk menguasai wilayah sempadan Syria-Turki. Melalui operasi memerangi militan Kurdi YPG di Syria, Turki menggunakan kumpulan-kumpulan militan yang disokong untuk membantu kempen. Kumpulan-kumpulan ini kini kembali berusaha membina kedudukan di Syria.-HARAKAHDAILY 8/2/2018

More Articles ...

Page 1 of 4