DEWAN seminar Hotel Marriott Putrajaya terasa panas membahang walau dialun dengan penghawa dingin kelas lima bintang. Pembentang mengungkapkan dengan penuh simpati dan empati, sarat dengan saranan, mengilas sejarah peta luka umat Islam ini. Arakan adalah Gaza Asia dan Malaysia adalah negara yang diharapkan untuk membantu krisis yang semakin memburuk terutama selepas tragedi pembantaian 2012.

Konferens Antarabangsa mengenai Rohingya yang dianjurkan oleh Yayasan Amal, IPSOM, Kesatuan Ulama SeDunia (IUMS) bertujuan membincangkan dengan teliti solusi membantu muslim Rohingya agar dapat keluar daripada kemelut panjang lebih separuh abad ini.

Konferens Antarabangsa yang menghimpunkan ramai cendekiawan, relawan, pengkaji sosio politik, penjawat awam daripada 13 buah negara ini, bermukim selama tiga hari di sini. Konferens tiga hari ini, setakat ini menjadi mercu tanda kesungguhan rakyat negara ini untuk membantu Muslim Rohingya pasca program "Food Flotilla for Myanmar" bulan Februari yang lepas. Malaysia walaupun agak terlewat memulakan langkah mulia ini, namun paling kurang hari ini disebut di peringkat antarabangsa, menjadi negara paling terkedepan dalam membantu Rohingya, selain kerajaan Turki.

Isu muslim Rohingya perlu digarap dengan berhati-hati, dengan kerapuhan isu agama dan etnik yang sangat mudah memicu kebencian, seterusnya mewabak kepada konflik berdarah di rantau ini. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Kesatuan Ulama melihat isu ini juga jangan sampai membenarkan rantau Asia Tenggara ini bergolak seterusnya mengundang campurtangan Barat. Mengapikan kebencian agama, antara Islam dan Buddha walhal konflik ini boleh diuruskan dengan lebih harmoni.

Setiap negara dalam dunia ini wajib mengambil langkah membantu penduduk Rohingya, memberikan fokus penyelesaian isu penindasan ini. Negara-negara yang menandatangani Perjanjian Hak Asasi atau terlibat dalam konvensyen Geneva, juga negara-negara Islam di bawah payung OIC  serta seluruh aktivis bantuan kemanusiaan wajib mengembleng tenaga untuk menghentikan pembantaian, intimidasi dan perlanggaran terhadap hak etnik minoriti Rohingya.

Kezaliman regim Myanmar sangat sadis apabila separuh daripada muslim Rohingya telah meninggalkan tanah leluhur mereka, ada yang meregang nyawa di lautan atau menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Tiada layanan sebagai warganegara Mynmar kepada muslim Rohingya apabila mereka dinafikan kewarganegaraan. Saya berkongsi kepiluan dengan Ustaz Tarmizi Sulaiman pagi tadi, bagaimana usaha mengusir muslim Rohingya adalah melalui rekayasa pihak regim Mynmar sendiri.

Pada tahun 2012, seorang gadis Buddha kononnya dirogol sehingga mati oleh pemuda Islam Rohingya, kalendar-kalendar dicetak dengan wajah gadis yang dirogol untuk menyalakan api permusuhan antara agama dan etnik. Isu ini digunakan untuk menyulut api perbalahan sehingga muslim Rohingya dibunuh beramai-ramai, pembakaran kampung, pembakaran masjid serta gadis-gadis muslim diperkosa oleh tentera Myanmar.

Peristiwa serangan 9 oktober 2016 oleh kelompok yang kononnya "jihadis" terhadap sebuah kem tentera kerajaan juga akhirnya menjadi alasan untuk serangan balas yang telah mengorbankan ribuan ummat Islam. Segalanya seolah drama terancang untuk menyudutkan orang Islam di kandang orang salah. Lebih setengah juta muslim Rohingya mengungsi ke Bangladesh, sebuah negara miskin yang tak menjanjikan sinar harapan bahagia buat pelarian.

Konferens Antarabangsa mengenai Rohingya ini juga akan menyalurkan resolusi perbincangan kepada kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan efektif serta seruan kepada seluruh dunia untuk bangkit bersuara serta membantu tragedi kemanusiaan terbesar di Asia Tenggara ini. – HARAKAHDAILY 15/3/2017

PRESIDEN MAPIM, Cikgu Azmi telah berucap di UN di Geneva pada 8 Mac 2017 dalam forum khas anjuran Islamic Human Rights Commission (IHRC) yang berstatus perundingan (consultative) di bawah Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial, UN.

Beliau diminta berucap mengenai pengelaman dan kesan Food Flotilla for Myanmar. Dalam ucapan lebih 25 minit itu beliau telah menekankan bagaimana komuniti dan agensi dunia gagal mengatasi penindasan ke atas kaum Rohingya sejak lebih enam dekad.

"Ini bukan isu yang kompleks sebagaimana ramai pihak cuba melihatnya. Ia isu yang jelas dan terang. Ia isu penafian hak dan penghapusan etnik," kata beliau di depan wakil pelbagai NGO dan wakil negara.

"Apakah kita nak memberitahu ibu yang diperkosa dan anaknya disembelih oleh tentera Myanmar, bahawa ini isu kompleks dan susah untuk diselesaikan? Sedangkan ia jelas soal keganasan yang didalangi oleh pemerintah Myanmar dan melanggar segala perundangan antarabangsa. Kenapa dunia bertangguh untuk mengambil tindakan ke atas Myanmar yang sudah sekian lama melakukan jenayah ke atas kemanusiaan?" ujar beliau lagi.

Cikgu Azmi telah mendedahkan fakta yang diperolehi dari dalam Maungdaw mengenai keganasan yang telah dilakukan ke atas etnik Rohingya sejak 9 Oktober 2016 di negeri Rakhine/ Arakan utara:
Tentera Myanmar dan Polis Kawalan Sempadan telah melakukan jenayah berikut
•50 perkampungan dibakar
•12,118 rumah dibakar
•118 madrasah dimusnah
•143 masjid dibakar dan dimusnah
•913 kedai muslim dibakar
•1,094 orang (lelaki, wanita, kanak-kanak) hilang
•97,000 orang hilang tempat tinggal
•2,327 orang ditahan
•1,447 orang cedera
•2,287 wanita dan gadis dirogol
•1,234 orang terbunuh
•73,000 melarikan diri ke Bangladesh

"Kami menggerakkan inisiatif flotilla bukan hanya soal menghantar bantuan kemanusiaan semata-mata tetapi adalah untuk menarik fokus dunia. Bahawa jenayah yang dilakukan pemerintah Myanmar tidak boleh dibiarkan berterusan. Dunia mesti melakukan tekanan yang cukup kuat ka atas Myanmar untuk dipaksa menghentikan kezaliman yang dilakukan ke atas minoriti Mulsim Rohingya," tambahnya lagi.

Turut berucap dalam sessi khas itu ialah Pengerusi ARU (Arakan Rohingya Union), Dr Wakaruddin dan Pengarah IHRC, Massoud Sajareh.

"Bangladesh juga tidak boleh dilepaskan? Kesukaran untuk badan kemanusiaan untuk membantu pelarian ke Bangladesh perlu diatasi segera. Anehnya sementara Bangladesh mengatakan ia tidak mampu menerima ratusan ribu pelarian Rohingya, namun ia juga beralasan jika dibenarkan badan antarabangsa membantu pelarian akan mengalakkan lagi pelarian Rohingya memasukki Bangladesh," kata Cikgu Azmi lagi.

Namun bukankah itu isu Bangladesh untuk bersama komuniti dunia menekan Myanmar supaya menghentikan keganasan ke atas etnik Rohingya. Apakah alasan yang sama boleh diberi kepada negara lain yang menerima pelarian Rohingya?

Pengalaman hanya 25 orang sahaja dari 182 orang delegasi Flotilla yang dibenarkan melawat kem pelarian telah menggambarkan pihak Bangladesh keberatan menerima pihak luar membantu pelarian.

"Padahal ini adalah usaha besar Malaysia yang mahu meringankan bebanan Bangladesh," ujar Cikgu Azmi.

Cikgu Azmi mempersoalkan kenapa komuniti dunia gagal bertindak menyelamatkan etnik Rohingya daripada penindasan yang menderita lebih setengah abad. Apa yang menghalang Myanmar daripada diheret ke mahkamah anatarabangsa atau sekatan dikenakan keatas negara tersebut?
 
Dalam ucapan beliau, perkara yang dituntut dilaksanakan oleh pihak Majlis Hak Manusia PBB (UNHRC) ialah mewujudkan Komisi Penyiasatan Antarabangsa (International Commission of Inquiry) atau badan yang seumpama itu untuk menyiasat pelbagai perlakuan ganas tentera Myanmar.

Operasi Pemusnahan (Clearance Operation) yang dilancarkan oleh tentera Myanmar telah melanggar pelbagai undang-undang hak manusia antarabangsa. Ia termasuk jenayah ke atas wanita dan kanak-kanak, pembunuhan dan penangkapan tanpa bicara, pengusiran, pemusnahan dan perampasan harta benda.

Pejabat UNHRC telahpun mendokumentasikan kes-kes pelanggaran hak manusia oleh tentera Myanmar yang serius terhadap etnik Rohingya ketika operasi tentera Myanmar tersebut yang jelas melakukan jenayah ke atas kemanusiaan. Banyak lagi dokumentasi telah dikumpulkan yang sepatutnya menjadi alasan kukuh untuk mewujudkan badan penyiasatan tersebut.

Pihak Myanmar telah menafikan semua bukti yang dikumpul dan pihak tentera mengguna imuniti berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan 2008 untuk tidak didakwa. Sehingga hari ini tidak ada seorangpun yang didakwa ke atas jenayah yang dilakukan.

Pada Februari 2016, tiga orang pegawai rendah telah dihukum dua bulan penjara dan tiga pegawai tinggi diturun pangkat mengenai kes memukul dan menyiksa tahanan Rohingya yang diviralkan. Sejak Oktober 2016, empat komisi untuk menyiasat ditubuhkan oleh kerajaan Myanar, namun semuanya tidak mempunyai wibawa, kredibiliti, kebebasan dan kepakaran untuk melakukan sisatan yang berkesan dan bebas.

Pada 1 Disember 2016 Presiden Myanmar Htin Kyaw menubuhkan komisi siastan 13 anggota yang dipengerusi oleh Timbalan Presiden,  Myint Swe, seorang bekas jeneral tentera untuk ‘mencari kebenaran’ keganasan tentera. Anggota komisi itu termasuk Ketua Polis Myanmar dan bekas pegawai kerajaan. Rumusan siasatan ialah menafikan sebarang salah guna kuasa oleh tentera Mynamar.

Demikian juga sebuah komisi yang ditubuh oleh parlimen negeri Rakhine pada 24 Oktober 2016 yang dianggotai oleh 11 anggota, namun secara dominan dikuasai oleh etnik Rakhine dari Parti Nasional Arakan (ANP). Komisi ini tidak menyiasat pelanggaran hak manusia, hanya menumpu kepada serangan ke atas pos tentera pada 9 Oktober 2106.

Pengerusi Komisi tersebut seorang ahli Parlimen ANP, Aung Win, menyatakan kepada BBC, bahawa kes merogol wanita Rohingya tidak mungkin terjadi sebab wanita Rohingya adalah "kotor" dan "mereka tidak cantik, jadi tidak ada orang Buddha tempatan mahupun tentera yang mahu merogol mereka". – HARAKAHDAILY 11/3/2017

SEJAK sesi debat calon presiden 2016 lagi, Donald Trump berhasrat untuk meletak senjata nuklear Amerika di Korea Selatan dan Jepun. Kenyataan tersebut mengejutkan Hillary Clinton dan menjadi perdebatan panas antara Trump dan Clinton.

Namun, strategi sebenar tidak diberitahu kepada pihak media. Walaupun beberapa kali pihak media menanyakan soalan kepada Trump mengenai strategi Trump yang beliau pernah perkatakan dalam debat calon presiden. Trump sering mengulangi, “I’m not gonna to tell you what I wanna to do”.

Logiknya, strategi Trump meletakkan senjata nuklear di Jepun dan Korea Selatan sangat besar kesan dan implikasinya di Laut Jepun. Ia bukan hanya menggugat Korea Utara tetapi bakal menggugat Rusia dan China (Lihat peta yang dilampirkan).

Oleh demikian, rasional meletakkan senjata nuklear bakal menimbulkan reaksi panas jikalau benar Amerika berbuat demikian. Melainkan, Amerika mempunyai alasan yang munasabah untuk merasionalkan perlumbaan senjata nuklear di rantau ini.

Kini, suasana ketegangan di Laut Jepun sangat memuncak apabila Korea Utara melepaskan lima peluru berpandu balistik jarak 1,000 kilometer. Ia sudah menyediakan rasional yang munasabah untuk Amerika bergerak meletakkan senjata nuklear di rantau ini. Empat peluru berpandu sudah dilepaskan ke Laut Jepun dan mengenai zon Jepun. Perlumbaan senjata nuklear sudah tidak dapat dielak.

Sebelum ini, Amerika sudah memberhentikan perjanjian janakuasa Nuklear Iran. Dalam masa yang sama, Emariah Arab Bersatu (UAE) melaungkan bahawa negaranya bakal menjadi negara yang mempunyai senjata nuklear pada tahun 2018.

Begitu juga, Arab Saudi dilaporkan bakal memperolehi senjata nuklear. Tidak syak lagi, kedatangan Raja Salman ke Indonesia dan Malaysia sangat berkaitan dengan langkah bagi menyemarakkan konflik perlumbaan senjata nuklear.

Oleh demikian, ketegangan antara pro-Amerika dan anti-Amerika akan bakal panas dengan perlumbaan senjata nuklear. Semuanya seakan-akan memberi lampu hijau untuk negara-negara pro-Amerika memiliki senjata nuklear yang sangat berbahaya.

Terutamanya Laut Jepun yang sangat membimbangkan dan bakal menjadi zon perang senjata nuklear apabila negara-negara sekitar Laut Jepun tidak meredakan ketegangan. (ulamasedunia)

jepun

DELEGASI PAS tiba di Sittwe, Rakhine State (Arakan) pada jam 6.30 malam waktu Myanmar, setelah berlepas dengan penerbangan domestik dari Yangon pada jam 5 petang.

Sehari di Yangon, delegasi ini yang dianggotai oleh saya, saudara Zaki Mustaffa, Ustaz Ahmad Tarmizi (MAPIM) dan Mohamad Azwan Kamaruzzaman (Rahmat Care) berjaya menguruskan kebenaran memasuki Sittwe dengan pihak berkuasa Myanmar. Proses ini agak rumit tetapi berjaya diselesaikan dengan bantuan kenalan di sini yang berpengalaman.

Pada hari pertama di Sittwe, misi PAS bermula di kampung Thambi Para, yang terletak lebih kurang 25 kilometer dari pusat bandar Sittwe. 100 set bahan makanan yang mengandungi seguni beras, gula, tepung, minyak masak dan lain-lain diagihkan kepada penduduk kampung. Kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT dan perasaan lega terpancar di wajah penerima,  memandangkan penduduk kampung amat jarang dilawati berbanding mereka yang tinggal di kem-kem penempatan.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah kanak-kanak yang menerima ole-ole ais krim dan gula-gula.

Penduduk Thambi Para sangat berterima kasih dengan kehadiran PAS untuk membantu mereka. Terdapat di antara mereka yang terharu sehingga menitiskan air mata. Kami beredar setelah menerima pelukan persaudaraan daripada jemaah masjid yang bersiap menunaikan solat zohor.

Misi berikutnya di Kem Penempatan Thet Kya Pyin yang dihuni 200,000 orang muslim Rohingya di pinggir sebuah kampung yang hanya berkeluasan kira-kira 4.8 kilometer persegi.

Delegasi PAS menyampaikan sumbangan untuk membina tiga buah telaga tiub (tubewell) di sini. Kami turut dibawa melawat rumah-rumah penempatan sementara yang telah uzur dan dibangunkan semula oleh MAPIM dengan kerjasama Baraka City,  sebuah NGO Perancis.

Menurut Saudara Hashim yang mengaturkan kehadiran delegasi PAS ini, keperluan paling mendesak di kem-kem di Sittwe pada masa ini ialah makanan.

Selain merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada keprihatinan PAS kepada Muslim Rohingya, mereka juga memohon PAS untuk turut membantu dalam usaha menguruskan sistem pendidikan anak-anak Muslim Rohingya termasuk program membina bangunan sekolah dan penyediaan guru-guru terlatih.

Ramai daripada kalangan Muslim Rohingya yang berpendidikan tinggi memilih untuk berkhidmat dengan NGO dan agensi bantuan kerana faktor pendapatan dan gaji. Guru-guru sekolah Rohingya tidak bergaji dan berkhidmat secara sukarela.

Apabila ada peluang lebih baik untuk mencari wang untuk menyara kehidupan,  mereka terpaksa meninggalkan sekolah untuk bekerja di tempat lain. Akibatnya, anak-anak mereka tidak mendapat didikan daripada guru yang memiliki kemahiran, kini bergantung kepada guru berpendidikan rendah dan berkhidmat secara sukarela.

"Saya melihat masa depan kami dan anak-anak yang sangat gelap dengan situasi yang ada pada masa ini." ujar beliau.

Misi seterusnya adalah di beberapa kem penempatan dan beberapa buah kampung yang memakan masa perjalanan 4 hingga 5 jam dari bandar Sittwe.

Sumbangan untuk program bantuan untuk Muslim Rohingya boleh disalurkan ke akaun Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 (Maybank). – HARAKAHDAILY 8/3/2017

Catatan Muhammad Sanusi Md Nor dari Sittwe (Arakan) Myanmar.

sitwe 10

sitwe 11

sitwe 6

sitwe 3

sitwe 1

PAS sampai di Kampung Perling & Kampung Shan Taung di Mrauk-U, semakin menghampiri Maungdaw.

Misi hari kedua di Arakan adalah di dua perkampungan Rohingya Muslim di Daerah Mrauk-U,  di timur-laut Sittwe. Ia boleh dihubungi melalui jalan darat ataupun separuh jalan dengan bot menyusuri sungai.

Perjalanan ke Mrauk-U dengan van dari Sittwe mengambil masa 4-5 jam, kami bertolak pada jam 7.00 pagi,  dan sampai balik ke penginapan jam 7.00 malam.

Pemandu dan pengurus perjalanan kami daripada etnik rakhine beragama buddha, kedua-duanya baik dan ramah berbahasa 'Inggeris Burma'. Tiga kali diulang,  belum tentu difahami.

Membawa amanah PAS untuk menyampaikan sumbangan di wilayah bergolak seperti Arakan (Rakhine State) tidak semudah sangkaan. Selain perlukan visa dan permit khas dari Bahagian Keselamatan dan Sempadan, penampilan diri yang Islamik dan istilah paling sensitif bagi Myanmar –ROHINGYA - wajib dielakkan. Hampir saja pelekat pada barangan sumbangan tidak boleh digunakan kerana ada istilah itu.

Hanya organisasi berpengalaman dan punyai hubungan baik dengan agensi dan NGO tempatan seperti MAPIM mampu menguruskan pergerakan di sini. Kami beruntung kerana Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (Naib Presiden MAPIM) ada bersama.

Beliau sangat dikenali di kalangan penggerak bantuan untuk Muslim Rohingya di sini. Ini kali ke-9 beliau ke Sittwe.

Kira-kira empat ribu keluarga mendiami Kampung Perling, di kelilingi perkampungan penganut Buddha di sekeliling mereka. Dan 750 keluarga mendiami Kampung Shan Taung, 100 peratus adalah Rohingya Muslim.

Orang Perling dan Shan Taung bersawah padi, tanaman setahun sekali, menternak lembu dan menjadi nelayan. Kami temui 4 orang yang boleh berbahasa melayu dengan baik,  kerana pernah menjadi buruh di Malaysia.

Walaupun kekal di kampung sendiri, kehidupan mereka seperti Rohingya Muslim di tempat lain,  terkurung dalam penjara terbuka, dokumen kerakyatan yang 'dirampas', terhapus semua hak sebagai warganegara, semakin dihimpit dalam kepayahan, dan hari-hari mendatang  penuh ranjau.

Kanak-kanak membesar dalam serba kekurangan dan halangan, hanya proses pendidikan paling minimum, atas inisiatif komuniti mereka sahaja yang ada untuk membentuk diri mereka menjadi dewasa.

Suasana kehidupan mereka seolah-olah di luar bandar Malaya pada tahun 50-an atau 60-an, terhimpit dan terkurung pula. Belum lagi diambilkira hal sanitasi, zat pemakanan, imunisasi, kesihatan, kadar kelahiran dan kematian,  kesihatan bayi dan ibu mengandung, pergigian, penyakit kronik dan rawatan.

Sebahagian yang mendiami kem penempatan lebih rela memilih mati di rumah berbanding menerima rawatan di hospital.

Pergerakan mereka terhad, tidak dibenarkan ke bandar, ke sekolah atau bekerja di luar lingkungan yang dikawal tentera dan polis. Hanya beberapa premis diperbuat daripada buluh, menjual barangan runcit dan keperluan asas harian.

Di sini, barangan yang bernilai RM100 boleh meningkat menjadi RM200 kerana mereka hanya berharap ada yang sanggup datang menghantar pesanan. Wang mereka hanya berputar sesama mereka sahaja.

Saya dapat perhatikan dari dalam van yang sedang bergerak, seorang ibu menggendong anak kecil berusia kira-kira 5 bulan, berjalan kaki merentasi sawah di tengah panas,  beberapa kilometer jaraknya, hanya untuk membeli garam. Ketika sedang makan,  saya dapat melihatnya telah sampai ke 'pekan'. Sambil mundar mandir ke sana sini memerhatikan barangan di beberapa 'kedai',  dia meminta garam di kedai sebelah tempat kami mengalas perut. Muka mereka berdua basah disimbah peluh-panas.

Alangkah sukarnya kehidupan yang sedang dijalani. Dengan bantuan penterjemah,  saya bertanya beberapa soalan, dijawab dengan selamba, 'tanpa rasa' sambil tercungap kepenatan. Anaknya 5 orang, suaminya buruh kasar menggali parit di sawah.  Dia kemudian tersenyum dalam kehairanan menerima jariah  MK5000 (RM15) daripada kami. Dia langsung beredar dengan bungkusan garam di tangan.

Di Kampung Perling, kami melawat sebuah surau yang juga menjadi sekolah 150 kanak belajar menulis dan mengaji. Solat Jumaat juga dilakukan di surau itu. Lantai dan dindingnya daripada anyaman buluh yang kian reput, atapnya daun nipah yang telah usang. Ia perlu dibaiki segera. Mereka memandang penuh harapan.

Di kampung sebelah (saya terlupa mencatat nama kampung itu), MAPIM telah menguruskan pembinaan sebuah sekolah beberapa tahun lalu. Hari ini kami dibawa melawatinya.

Di Shan Taung, juga terdapat bangunan yang diuruskan pembinaannya oleh MAPIM, dana disumbangkan oleh muslim China (Laila dan rangkaiannya)  dijadikan sekolah.

Hari ini kami mengagihkan keperluan makanan berupa beras, gula dan tepung. Sebahagian beras dalam guni 25kg terpaksa dibuka untuk mencukupkan agihan. Bagi yang terlalu dhaif, mereka menerima seguni beras dan barangan dapur. Mata mereka berkaca, wajah mereka terpancar kegembiraan dengan kehadiran dan sumbangan yang disampaikan oleh delegasi PAS pada kali ini.

Kami menanam azam untuk kembali lagi ke sini membawa lebih banyak sumbangan daripada ahli-ahli PAS dan rakyat Malaysia untuk membina semula surau, bangunan sekolah, membaiki madrasah tahfiz, membaiki masjid,  kediaman yang usang, menyarungkan baju dan seluar kepada kanak-kanak yang terlanjang.  

Besarlah harapan agar PAS dapat terus menghulurkan sumbangan untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka di sini, kalaupun tidak berupaya mencapai selesa seperti kita, cukuplah sekadar mereka berasa selamat. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 (Maybank). Inilah nyalaan obor Islam buat mereka yang tertindas dan dizalimi. – HARAKAHDAILY 9/3/2017

Catatan Muhammad Sanusi Md Nor dari Sittwe, Arakan, Myanmar.

BantuR 5

BantuR 2

BantuR 1

KEKUATAN umat Islam yang dilindungi oleh kuasa politik kekhalifahan semenjak 632 Masehi telah berakhir dengan pembubaran Khilafah Othmaniyah pada 3 Mac 1924. Kejatuhan Khilafah Othmaniyah menandakan berakhirnya kekuasaan politik umat Islam selama 1,342 tahun semenjak Nabi Muhammad SAW berhijrah meninggalkan Mekah untuk mendirikan negara Islam yang pertama di Madinah pada tahun 622 Masehi. Dengan kejatuhan Khilafah Othmaniyah ini, para ulamak telah bangkit memimpin umat Islam dengan menubuhkan gerakan-gerakan Islam di tempat masing-masing bagi memperjuangkan tertegak semula kekhalifahan umat Islam.

Sepanjang sejarah umat Islam, setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 632, kepemimpinan umat Islam telah digantikan oleh Khulafa ur-Rasyidin sehingga 662. Setelah itu kekhalifahan Islam disambung oleh Daulah Umaiyyah (622-750), Daulah Abbasiyah (750-1512) dan Daulah Othmanitah (1512-1924). Pada zaman Daulah Othmaniyah, wilayah umat Islam terbentang dari barat Afrika hingga ke tenggara Asia, di mana terdapat empat kerajaan utama yang bernaung di bawah Daulah Othmaniyah iaitu Dinasti Saadi (1554-1659) di barat Afrika, Dinasti Safawi (1501-1736) bermazhab Syiah di Parsi dan Asia Tengah, Dinasti Mughal (1526-1857) di Asia Selatan dan Kesultanan Aceh (1496-1903) di Nusantara, selain Daulah Othmaniyah yang menguasai Afrika Utara, Semenanjung Arab, Syam, Anatolia, Balkan dan Eropah Timur.

Kejatuhan Granada pada tahun 1492 telah membuka ruang kepada penjajahan Barat pada abad ke-16 di mana wilayah-wilayah Afrika dan Asia mulai dijajah secara berperingkat terutama selepas penaklukan Portugis ke atas Goa di India pada 1510 dan Melaka pada 1511. Setelah itu, kuasa-kuasa Barat yang lain termasuk Belanda, Perancis, Itali, British dan lain-lain telah menguasai wilayah-wilayah Islam di seluruh dunia terutama wilayah yang jauh dari Istanbul bagi melaksanakan agenda "God, Glory and Gold," yang pada hakikatnya mereka berusaha meruntuhkan kekuasaan politik Islam. Kemuncak kepada proses penjajahan ini, Barat bukan sahaja menguasai perdagangan Timur-Barat, tetapi telah menjatuhkan kerajaan-kerajaan Islam yang wujud di seluruh dunia selepas berjaya menjatuhkan Granada (1492), Goa (1510) dan Melaka (1511).

Kesan dari gerakan melumpuhkan kekuasaan politik Islam ini, menjelang abad ke-20, kuasa-kuasa politik Islam mulai runtuh bermula dengan runtuhnya Daulah Mongol di India pada 1857, diikuti oleh kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam di Afrika antara 1850 hingga 1900 seperti Toro (1861), Gomma (1886), Harrar (1887), Kong (1894), Jallon (1896), Wassoulou (1898) dan lain-lain. Di Nusantara, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah berjaya memecahkan Kesultanan Johor Riau dan Kesultanan Aceh, sebelum Kesultanan Maguindanao dilumpuhkan pada 1888. Kekuasaan politik Islam di Nusantara berakhir dengan jatuhnya Kesultanan Pattani (1902), Aceh (1903), Tidore (1904) dan Banjar (1905). Kemaraan Revolusi Bolsheviks pada 1917 pula meruntuh saki-baki kerajaan Islam di Asia Tengah apabila Kerajaan Khiva dan Bukhara jatuh pada 1920.

Di wilayah Arab, pendudukan British di Mesir pada 1882 menggantikan Perancis dan penaklukan wilayah Utara Afrika oleh Itali pada 1911 dan Perancis pada 1912 telah melumpuhkan wilayah Khilafah Othmaniyah di Afrika, sedangkan kekuasaan Islam di Afrika Barat berakhir dengan jatuhnya Kerajaan Dendi (1901) dan Sokoto (1903). Kemuncak penguasaan mereka adalah berlakunya perjanjian Sykes-Picot pada 1916 yang memecahkan wilayah Syam dan Iraq sehingga membawa kepada terbentuknya kesultanan baru yang pro Barat dalam usaha memecahkan Khilafah Othmaniyah seperti Hashimiyah Jordan dan Iraq (1921) serta Saudiyah di Semenanjung Arab (1932). Keupayaan Barat menguasai wilayah Arab ini berkait rapat dengan peranan golongan sekular yang melakukan Revolusi Turki Muda pada 1908 sehingga membawa kepada kejatuhan Sultan Abdul Hamid II.

Pemecatan Sultan Abdul Hamid II sebagai khalifah pada 1909 telah mengubah dasar Khilafah Othmaniyah menjadi sekular pada era tiga pemerintah terakhirnya. Disebabkan penglibatan Khilafah Othmaniyah dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), berlakunya Perjanjian Sykes-Picot 1916 yang memecahkan wilayah Arab dan Perjanjian Belfour 1917 yang memulakan pembentukan negara Yahudi di Palestin. Pada 1923, menerusi Perjanjian Lausanne, Sultan Abdul Majid II dipaksa menerima Persyaratan Curzon untuk menghapuskan kekhalifahan dan seterusnya menghapuskan perlembagaan negara berasaskan al-Quran dan Sunnah. Bertolak dari Perjanjian Lausanne 1923 ini, pada 3 Mac 1924, Mustafa Kamal Atarturk telah membubarkan kekhalifahan Othmaniyah yang berdiri sejak 1299, sekali gus meruntuhkan kekuasaan politik Islam di seluruh dunia.

Antara faktor utama pecah dan runtuhnya kekhalifahan Islam adalah kerana penyebaran fahaman sekular (pemisahan politik dari agama) dan nasionalisme (kebangsaan) di kalangan orang Islam. Menangani perpecahan ini, pada 1870-an, Sultan Abdul Hamid II telah melancarkan Pan-Islamism (al-Wehdah al-Islamiyah) untuk menyatukan umat Islam di bawah negara Islam yang dipimpin oleh khalifah. Semangat Pan-Islamism di Nusantara digerakkan oleh Jam'iyatul Khairiyah yang ditubuhkan di Jakarta pada 1905, diikuti oleh Pergerakan Khalifat di India pada 1919 ekoran kemerosotan Khalifah Othmaniyah. Lebih menonjol dari pergerakan ini ialah munculnya gerakan politik Islam yang memperjuangkan tertegak semula khilafah Islamiyah dengan munculnya Sarekat Islam di Indonesia (1905) dan All Indian Muslim League di India (1906), Tanzhim Ittihad Muhammadi di Istanbul (1909) dan Ikhwanul Muslimin di Mesir (1928). Setelah itu, berlaku metamorfosis dengan tertubuhnya Istiqlal di Maghribi (1937), Jamaat Islami di India (1941), Masyumi di Indonesia (1943), serta Hizbul Muslimin (1948) dan PAS (1951) di Tanah Melayu.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Mac 2017

RAKYAT Palestin mengadakan tunjuk perasaan selepas pasukan keselamatan Israel membunuh seorang aktivis mereka Isnin lalu.

Penunjuk perasaan telah berarak di Ramallah Tebing Barat sambil menyeru keadilan diberikan terhadap mereka.

Demikian menurut Al-Jazeera yang melaporkan aktivis Palestin berusia 31 tahun, Basil al-Araj telah dibunuh di sebuah rumah yang terletak di kawasan al-Bireh, pinggir Ramallah.

Selain itu, hospital Palestin memaklumkan dua rakyat Palestin turut cedera akibat tembakan dalam pertempuran berikutnya dengan pasukan keselamatan Israel.

Aktivis Palestin, Mustafa Barghouti selaku ketua parti politik Inisiatif Kebangsaan Palestin, memberitahu Al Jazeera bahawa kematian Araj adalah merupakan satu tindakan di luar undang-undang.

Namun demikian, polis Israel berkata pihak mereka berada di sana untuk menangkap Araj dan kemudian mendapati dua senjata api di dalam rumah tersebut.

Hal demikian menyebabkan tentera Israel menganggap Araj pengganas.

Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld, melalui laman Twitternya menuduh Araj telah merancang serangan terhadap orang awam dan pasukan keselamatan.

Manakala, seorang lagi jurucakap polis Israel berkata, Araj adalah ketua yang merancang serangan serangan terhadap Israel.

Walau bagaimanapun, bapa saudara mangsa, Khalid al-Araj menafikan tuduhan tersebut.

Beliau berkata anak saudaranya adalah seorang intelektual yang menumpukan banyak masa untuk membaca dan membuat kajian, terutama tentang sejarah dan geografi Palestin.

Sementara itu, ahli politik Palestin, Barghouti telah melawat rumah di Ramallah di mana pertempuran tersebut berlaku dan mendapati rumah itu dihujani peluru Israel.

“Terdapat pertarungan dan pertembungan antara mereka, tetapi apa yang saya dapati adalah bahawa satu-satunya pasukan yang menembak adalah Israel

“Jika Araj mempunyai sebarang peluang untuk menembak, dia tidak akan dapat untuk menembak lebih dari satu peluru,” katanya kepada Al Jazeera.

Sejak Oktober 2015, lebih daripada 265 rakyat Palestin terbunuh menurut angka rasmi Palestin. (ulamasedunia)

More Articles ...

Page 4 of 4