TANGGAL 22 Mac 2004 ialah tarikh yang diingati oleh semua penyokong perjuangan pembebasan bumi Palestine. Jasad insan yang telah renta dibunuh dengan dasyat oleh regim zionist. Sosok pemberani yang inspiratif ini berkerusi roda, seolah mencium bau kesyahidannya, keluar daripada masjid yang berhampiran rumahnya pagi itu, bergegar dengan tembakan roket daripada helikopter musuh sehingga tercabik jasadnya. Wajahnya tersenyum dalam kubangan darah yang mewangi. Beliau ialah pendiri HAMAS dan seorang tokoh pejuang yang lama terpenjara dalam jeriji besi Israel.

Penentangan berdarah terhadap negara haram Israel tidak pernah berhenti kerana regim ini sentiasa dahagakan darah orang beriman seperti kes pembunuhan di Shabra dan Shatila, pembunuhan di Masjid Ibrahimi Hebron dan ratusan lagi kes pembunuhan kejam yang mewarnakan bumi ini dengan warna merah darah penindasan.

Dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an perjuangan Israel lebih terarah kepada kelompok Sosialis dan Kebangsaan Arab yang sempit. Ternyata ideologi Barat ini tidak mampu untuk menggerunkan Israel yang hanya mampu memahami bahasa bom dan senapang. Kini sudah tiba masanya mereka kembali kepada perjuangan Islam seiring dengan kebangkitan Islam yang sedang bergelora di seluruh dunia.

Kembali kepada nuansa perjuangan yang berteraskan kepada Islam, berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, maka pada bulan Disember tahun 1987 Sheikh Ahmad Yasin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendokong Ikhwanul Muslimin di Gaza) mengasaskan Pergerakan Kebangkitan Islam (HAMAS) atau dalam Bahasa Arab disebut Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah.

Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas dasar Islam dan menentang penjajahan Yahudi di Palestin. Sheikh Ahmad Yasin sendiri dipilih sebagai pemimpin tertinggi dan beliau merupakan ideologue gerakan ini yang terkenal dengan sifat warak, berani, lantang berpidato, sedia berkorban dan mempunyai aura kepimpinan.

Ideologi perjuangan HAMAS dinyatakan di dalam perlembagaannya yang diisytiharkan pada 18 Ogos 1988. Antaranya ialah:
1.Dasar dan manhaj HAMAS ialah Islam yang lengkap.
2.HAMAS adalah gerakan kemanusiaan yang mengambil kira toleransi Islam yang membenarkan penganut agama lain tinggal bersama masyarakat Islam.
3.Palestin adalah tanah Islam sejak turun temurun hinggalah hari kiamat. Ia tidak boleh dibelah bahagi atau diserahkan kepada pihak lain. Ia bukan milik mana-mana individu, pertubuhan ataupun raja dan presiden Negara-negara Arab. Ia adalah milik Islam yang mesti dipertahankan.
4.Jihad menentang kezaliman Yahudi adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan. Dalam hal ini, wanita yang keluar berjihad tanpa izin suaminya adalah tidak berdosa.
5.HAMAS menolak usaha melengah-lengahkan kemenangan seperti perjanjian damai, persidangan-persidangan dan sebagainya. Hanya jihad sahaja jalan penyelesaian bagi isu Palestin.
6.Kelompok wanita memainkan peranan besar dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin.
Mereka perlu berperanan melatih, mentarbiah dan mendidik serta melahirkan generasi yang faham Islam dan berakhlak mulia serta bersemangat tinggi untuk membebaskan tanahair mereka.
7.HAMAS menghormati pandangan gerakan-gerakan Islam yang lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam. Ia juga turut menganggap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasir Arafat sebagai ‘sahabat’, tetapi menolak fahaman sekular gerakan itu.

HAMAS mempunyai sikap yang tegas terhadap penubuhan pemerintahan Islam, tanpa kompromi maka gerakan ini menolak perjanjian damai sementara antara Israel dan Palestin pada tahun 1993-1994. Mulai tahun 1994 HAMAS telah memulakan serangan berani mati terhadap Israel, fenomena ini menjadi igauan paling buruk bagi orang Yahudi. Dalam tahun 1996 sahaja empat serangan bom dalam musim bunga telah diadakan menyebabkan 60 orang penduduk Israel telah terbunuh.

Kebangkitan kedua Palestin selama empat tahun setengah telah menyaksikan seramai 3500 rakyat Palestin terbunuh dan 1000 penduduk Israel terkorban.

Dengan menubuhkan HAMAS, rakyat Palestin yang selama ini tanpa arah yang jelas mencari jalan perjuangan, kini bergabung tenaga melakukan satu kebangkitan menyeluruh atau lebih dikenali sebagai INTIFADHAH. (Ibnu Ismail: 2004).

Peristiwa yang menyebabkan tercetusnya kebangkitan (intifadhah) ini ialah tindakan sebuah lori besar milik Yahudi yang sengaja melanggar dua buah lori kecil milik umat Islam menyebabkan 4 orang terbunuh dan yang lain cedera. Peristiwa ini adalah faktor sementara bukan faktor mutlak, kerana terdapat faktor-faktor lain yang meransang fenomena ini.

Bermulalah intifadhah dan penentangan terbuka rakyat Palestin dengan melontar batu, membakar tayar di jalanan bagi menghalang kenderaan tentera Israel dan melempar Molotov Cocktail ke arah musuh. Rakyat Palestin gagal mendapatkan senjata api kerana sempadan negara ditutup dan dikawal ketat oleh pihak Israel dan Negara-negara Arab yang bersempadan namun gerakan HAMAS berjaya mendapatkannya secara sulit dan menyimpannya dalam gudang khas mereka seperti stor bawah tanah.

Bagi penduduk awam Palestin walaupun tidak memiliki senjata api, mereka keluar ke jalan-jalan raya melontar batu dan melastik pasukan tentera Yahudi. Bagi tentera Yahudi (dalam sejarah Yahudi adalah penakut, suka melakukan secara sembunyi: lihat kisah Rasulullah SAW dalam peristiwa Bani An-Nadhir pada bulan Rabiul Awwal tahun keempat hijrah), walaupun mereka tidak berhadapan dengan senjata api, namun batu-batu itu begitu menggerunkan mereka.

Kebangkitan rakyat Palestin sangat membimbangkan regim Israel. Pada bulan Ogos 1988, tentera Israel menceroboh rumah Sheikh Ahmad Yasin dan melakukan pemeriksaan serta mengugutnya untuk dibuang negeri ke Lubnan bagi mengganggu kebangkitan umat Islam. Namun ugutan itu tidak diendahkan Sheikh Ahmad Yasin dan penyokongnya yang mendambakan mati syahid sebagai citra perjuangan. HAMAS telah meningkatkan operasi membunuh tentera pengganas Israel dengan laungan takbir yang semakin meriah sahut-menyahut di bumi Palestin. Mata-mata Israel dari kalangan bangsa Arab Palestin turut dibunuh oleh pejuang HAMAS yang menganggap mereka sebagai musuh paling merbahaya bagi rakyat Palestin.

HAMAS terus gagah berdada dengan kezaliman regim zionis serta mendapat dokongan kuat ummah.
Pimpinan mereka ramai yang telah menjadi syuhada seperti Sheikh Ahmad Yasin, Solah Syahadah, Dr Abdul Aziz Rantisi, Dr Nizar Abdul Kader Rayyan dan yang lain-lain. Harakah Islam yang berkubu di Gaza ini kini mencapai usia 28 tahun dan mempunyai hubungan akrab dengan seluruh gerakan Islam termasuk PAS. Nuansa perjuangannya jelas, akidah Islam mestilah menunjangi perjuangan dan tiada noktah henti sehinggalah dimerdekakan setiap inci tanah Palestin yang dijarah Zionis semenjak tahun 1948. – HARAKAHDAILY 22/3/2017

PADA Hari Perhutanan Sedunia 21 Mac ini, 200 pertubuhan mengingatkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (Food and Agriculture Organisation - FAO) bahawa definisi hutannya sejak 1948 mengelirukan dan mestilah ditukar. Definisinya membolehkan industri perladangan menyembunyikan kesan buruk ekologi dan sosial daripada perladangan pokok monokultur berskala besar di sebalik imej hutan yang positif.  
 
Definisi hutan FAO membolehkan industri perladangan memanggil ladang monokultur yang menggunakan spesies cepat membesar seperti eucalyptus, pain, getah atau akasia sebagai “hutan” kerana definisi hutannya hanya dengan bilangan, ketinggian dan sudur yang melindungi pokok di sesuatu kawasan. Definisi hutan FAO digunakan sebagai rangka tindakan bagi lebih 200 definisi hutan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan sejak 1948.
 
Atas nama definisi hutan FAO ini, pihak industri mampu untuk berkembang dengan pantas terutama sekali di dunia Selatan, di mana ladang pokok monokultur kini meliputi beberapa puluh juta hektar tanah. Pengembangan ini membawa bencana kepada komuniti luar bandar, petani  dan Orang Asal. Mereka kehilangan tanah dan kehidupan di mana ladang pokok monokultur telah mengambil tanah mereka, memusnahkan cara hidup mereka, mengeringkan sungai dan mata air mereka dan meracuni makanan mereka dengan racun pertanian.
 
“Hampir 70 tahun, definisi hutan FAO yang mengelirukan ini memberikan kelebihan kepada industri perladangan. Mereka menyembunyikan kemusnahan yang disebabkan apabila kepelbagaian hutan, padang rumput dan tanah gambut yang kaya dengan kehidupan ditukar menjadi ‘gurun hijau’ yang terdiri daripada pokok monoklonal dalam barisan yang lurus di sebalik imej hutan positif yang disediakan oleh FAO,” kata Winfridus Overbeek, Penyelaras Antarabangsa World Rainforest Movement.
 
Perbahasan pemulihan hutan sebagai perlindungan iklim menambahkan lagi pentingnya definisi hutan diperbetulkan
 
“Dengan menerima pakai Perjanjian Paris PBB mengenai perubahan iklim, menyemak semula definisi hutan FAO semakin penting,” kata Guadalupe Rodriguez dari Salva la Selva/Rettet den Regenwald, “ia merupakan satu tragedi jika definisi FAO yang mengelirukan ini membolehkan pengembangan monokultur pokok yang memusnahkan ini untuk dana iklim yang diperuntukkan bagi “perhutanan semula” dan “pemulihan hutan”.

Ini bukan hanya menjejaskan lebih banyak komuniti di mana perladangan pokok mengambil alih tanah yang digunakan oleh penduduk tetapi juga menjejaskan perlindungan iklim: Hutan yang kaya dengan karbon akan musnah dan digantikan dengan ladang pokok monokultur dengan negara mendakwa menurut definisi hutan FAO, tiada kawasan hutan yang hilang walaupun berlaku kehilangan karbon yang besar,kemusnahan biodiversiti, sumber air dan kehidupan tempatan apabila hutan digantikan dengan perladangan monokultur.
 
Satu contoh di mana perladangan dikelirukan sebagai hutan yang membolehkan industri perladangan membuka jalan untuk mendapatkan dana iklim ialah ‘African Forests Restoration Initiative” (AFR100). Dilancarkan di mesyuarat iklim PBB 2015, ia mensasarkan untuk meliputi 100 juta hektar yang dianggap oleh kerajaan Afrika yang turut serta dalam mesyuarat itu sebagai tanah “merosot”. Bank Dunia akan memperuntukkan AS$1 billion untuk rancangan ini dan bergantung kepada definisi hutan FAO untuk kelayakan mendapatkan pembiayaan itu.
 
Memeranjatkan, satu daripada syarikat perladangan pokok paling kontroversi yang beroperasi di Afrika, Green Resources yang berpangkalan di Norway (2), antara pembicara utama di persidangan 2016 di Ghana, di mana pelaksanaan inisiatif AFR100 adalah paling menonjol kepada agenda itu.
 
Tema Hari Perhutanan Sedunia FAO 2017 ‘Hutan & Tenaga’ menunjukkan tindakan segera perlu untuk menukar definisi hutan
 
“Permintaan tenaga tidak lestari negara perindustrian ditambah dengan keperluan tenaga baharu ‘boleh diperbaharui’ mereka telah pun menukar hutan dunia Selatan kepada industri ladang ‘biomass’. Perkataan ‘ladang’ tidak muncul sekali pun dalam “mesej utama” laman sesawang FAO untuk Hari Perhutanan Sedunia 2017,” kata Wally Menne dari Timberwatch Coalition, Afrika Selatan. Contohnya, untuk menyediakan semua keperluan tenaga United Kingdom melaluibiomass berasaskan eucalyptus memerlukan kira-kira 55 juta hektar ladang di Brazil – keluasan kawasannya dua kali ganda saiz United Kingdom.     
          
200 kumpulan hari ini turut serta lebih daripada 130 ribu kumpulan dan individu yang menggesa FAO pada 2015 supaya mengubah definisi hutan FAO kerana perladangan pokok bukan hutan.
 
“Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), turut menandatangani surat terbuka ini kepada FAO.” kata S.M. Mohamed Idris, Presiden CAP dan SAM. – HARAKAHDAILY 21/3/2017

DEWAN seminar Hotel Marriott Putrajaya terasa panas membahang walau dialun dengan penghawa dingin kelas lima bintang. Pembentang mengungkapkan dengan penuh simpati dan empati, sarat dengan saranan, mengilas sejarah peta luka umat Islam ini. Arakan adalah Gaza Asia dan Malaysia adalah negara yang diharapkan untuk membantu krisis yang semakin memburuk terutama selepas tragedi pembantaian 2012.

Konferens Antarabangsa mengenai Rohingya yang dianjurkan oleh Yayasan Amal, IPSOM, Kesatuan Ulama SeDunia (IUMS) bertujuan membincangkan dengan teliti solusi membantu muslim Rohingya agar dapat keluar daripada kemelut panjang lebih separuh abad ini.

Konferens Antarabangsa yang menghimpunkan ramai cendekiawan, relawan, pengkaji sosio politik, penjawat awam daripada 13 buah negara ini, bermukim selama tiga hari di sini. Konferens tiga hari ini, setakat ini menjadi mercu tanda kesungguhan rakyat negara ini untuk membantu Muslim Rohingya pasca program "Food Flotilla for Myanmar" bulan Februari yang lepas. Malaysia walaupun agak terlewat memulakan langkah mulia ini, namun paling kurang hari ini disebut di peringkat antarabangsa, menjadi negara paling terkedepan dalam membantu Rohingya, selain kerajaan Turki.

Isu muslim Rohingya perlu digarap dengan berhati-hati, dengan kerapuhan isu agama dan etnik yang sangat mudah memicu kebencian, seterusnya mewabak kepada konflik berdarah di rantau ini. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Kesatuan Ulama melihat isu ini juga jangan sampai membenarkan rantau Asia Tenggara ini bergolak seterusnya mengundang campurtangan Barat. Mengapikan kebencian agama, antara Islam dan Buddha walhal konflik ini boleh diuruskan dengan lebih harmoni.

Setiap negara dalam dunia ini wajib mengambil langkah membantu penduduk Rohingya, memberikan fokus penyelesaian isu penindasan ini. Negara-negara yang menandatangani Perjanjian Hak Asasi atau terlibat dalam konvensyen Geneva, juga negara-negara Islam di bawah payung OIC  serta seluruh aktivis bantuan kemanusiaan wajib mengembleng tenaga untuk menghentikan pembantaian, intimidasi dan perlanggaran terhadap hak etnik minoriti Rohingya.

Kezaliman regim Myanmar sangat sadis apabila separuh daripada muslim Rohingya telah meninggalkan tanah leluhur mereka, ada yang meregang nyawa di lautan atau menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Tiada layanan sebagai warganegara Mynmar kepada muslim Rohingya apabila mereka dinafikan kewarganegaraan. Saya berkongsi kepiluan dengan Ustaz Tarmizi Sulaiman pagi tadi, bagaimana usaha mengusir muslim Rohingya adalah melalui rekayasa pihak regim Mynmar sendiri.

Pada tahun 2012, seorang gadis Buddha kononnya dirogol sehingga mati oleh pemuda Islam Rohingya, kalendar-kalendar dicetak dengan wajah gadis yang dirogol untuk menyalakan api permusuhan antara agama dan etnik. Isu ini digunakan untuk menyulut api perbalahan sehingga muslim Rohingya dibunuh beramai-ramai, pembakaran kampung, pembakaran masjid serta gadis-gadis muslim diperkosa oleh tentera Myanmar.

Peristiwa serangan 9 oktober 2016 oleh kelompok yang kononnya "jihadis" terhadap sebuah kem tentera kerajaan juga akhirnya menjadi alasan untuk serangan balas yang telah mengorbankan ribuan ummat Islam. Segalanya seolah drama terancang untuk menyudutkan orang Islam di kandang orang salah. Lebih setengah juta muslim Rohingya mengungsi ke Bangladesh, sebuah negara miskin yang tak menjanjikan sinar harapan bahagia buat pelarian.

Konferens Antarabangsa mengenai Rohingya ini juga akan menyalurkan resolusi perbincangan kepada kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan efektif serta seruan kepada seluruh dunia untuk bangkit bersuara serta membantu tragedi kemanusiaan terbesar di Asia Tenggara ini. – HARAKAHDAILY 15/3/2017

PAS sampai di Kampung Perling & Kampung Shan Taung di Mrauk-U, semakin menghampiri Maungdaw.

Misi hari kedua di Arakan adalah di dua perkampungan Rohingya Muslim di Daerah Mrauk-U,  di timur-laut Sittwe. Ia boleh dihubungi melalui jalan darat ataupun separuh jalan dengan bot menyusuri sungai.

Perjalanan ke Mrauk-U dengan van dari Sittwe mengambil masa 4-5 jam, kami bertolak pada jam 7.00 pagi,  dan sampai balik ke penginapan jam 7.00 malam.

Pemandu dan pengurus perjalanan kami daripada etnik rakhine beragama buddha, kedua-duanya baik dan ramah berbahasa 'Inggeris Burma'. Tiga kali diulang,  belum tentu difahami.

Membawa amanah PAS untuk menyampaikan sumbangan di wilayah bergolak seperti Arakan (Rakhine State) tidak semudah sangkaan. Selain perlukan visa dan permit khas dari Bahagian Keselamatan dan Sempadan, penampilan diri yang Islamik dan istilah paling sensitif bagi Myanmar –ROHINGYA - wajib dielakkan. Hampir saja pelekat pada barangan sumbangan tidak boleh digunakan kerana ada istilah itu.

Hanya organisasi berpengalaman dan punyai hubungan baik dengan agensi dan NGO tempatan seperti MAPIM mampu menguruskan pergerakan di sini. Kami beruntung kerana Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (Naib Presiden MAPIM) ada bersama.

Beliau sangat dikenali di kalangan penggerak bantuan untuk Muslim Rohingya di sini. Ini kali ke-9 beliau ke Sittwe.

Kira-kira empat ribu keluarga mendiami Kampung Perling, di kelilingi perkampungan penganut Buddha di sekeliling mereka. Dan 750 keluarga mendiami Kampung Shan Taung, 100 peratus adalah Rohingya Muslim.

Orang Perling dan Shan Taung bersawah padi, tanaman setahun sekali, menternak lembu dan menjadi nelayan. Kami temui 4 orang yang boleh berbahasa melayu dengan baik,  kerana pernah menjadi buruh di Malaysia.

Walaupun kekal di kampung sendiri, kehidupan mereka seperti Rohingya Muslim di tempat lain,  terkurung dalam penjara terbuka, dokumen kerakyatan yang 'dirampas', terhapus semua hak sebagai warganegara, semakin dihimpit dalam kepayahan, dan hari-hari mendatang  penuh ranjau.

Kanak-kanak membesar dalam serba kekurangan dan halangan, hanya proses pendidikan paling minimum, atas inisiatif komuniti mereka sahaja yang ada untuk membentuk diri mereka menjadi dewasa.

Suasana kehidupan mereka seolah-olah di luar bandar Malaya pada tahun 50-an atau 60-an, terhimpit dan terkurung pula. Belum lagi diambilkira hal sanitasi, zat pemakanan, imunisasi, kesihatan, kadar kelahiran dan kematian,  kesihatan bayi dan ibu mengandung, pergigian, penyakit kronik dan rawatan.

Sebahagian yang mendiami kem penempatan lebih rela memilih mati di rumah berbanding menerima rawatan di hospital.

Pergerakan mereka terhad, tidak dibenarkan ke bandar, ke sekolah atau bekerja di luar lingkungan yang dikawal tentera dan polis. Hanya beberapa premis diperbuat daripada buluh, menjual barangan runcit dan keperluan asas harian.

Di sini, barangan yang bernilai RM100 boleh meningkat menjadi RM200 kerana mereka hanya berharap ada yang sanggup datang menghantar pesanan. Wang mereka hanya berputar sesama mereka sahaja.

Saya dapat perhatikan dari dalam van yang sedang bergerak, seorang ibu menggendong anak kecil berusia kira-kira 5 bulan, berjalan kaki merentasi sawah di tengah panas,  beberapa kilometer jaraknya, hanya untuk membeli garam. Ketika sedang makan,  saya dapat melihatnya telah sampai ke 'pekan'. Sambil mundar mandir ke sana sini memerhatikan barangan di beberapa 'kedai',  dia meminta garam di kedai sebelah tempat kami mengalas perut. Muka mereka berdua basah disimbah peluh-panas.

Alangkah sukarnya kehidupan yang sedang dijalani. Dengan bantuan penterjemah,  saya bertanya beberapa soalan, dijawab dengan selamba, 'tanpa rasa' sambil tercungap kepenatan. Anaknya 5 orang, suaminya buruh kasar menggali parit di sawah.  Dia kemudian tersenyum dalam kehairanan menerima jariah  MK5000 (RM15) daripada kami. Dia langsung beredar dengan bungkusan garam di tangan.

Di Kampung Perling, kami melawat sebuah surau yang juga menjadi sekolah 150 kanak belajar menulis dan mengaji. Solat Jumaat juga dilakukan di surau itu. Lantai dan dindingnya daripada anyaman buluh yang kian reput, atapnya daun nipah yang telah usang. Ia perlu dibaiki segera. Mereka memandang penuh harapan.

Di kampung sebelah (saya terlupa mencatat nama kampung itu), MAPIM telah menguruskan pembinaan sebuah sekolah beberapa tahun lalu. Hari ini kami dibawa melawatinya.

Di Shan Taung, juga terdapat bangunan yang diuruskan pembinaannya oleh MAPIM, dana disumbangkan oleh muslim China (Laila dan rangkaiannya)  dijadikan sekolah.

Hari ini kami mengagihkan keperluan makanan berupa beras, gula dan tepung. Sebahagian beras dalam guni 25kg terpaksa dibuka untuk mencukupkan agihan. Bagi yang terlalu dhaif, mereka menerima seguni beras dan barangan dapur. Mata mereka berkaca, wajah mereka terpancar kegembiraan dengan kehadiran dan sumbangan yang disampaikan oleh delegasi PAS pada kali ini.

Kami menanam azam untuk kembali lagi ke sini membawa lebih banyak sumbangan daripada ahli-ahli PAS dan rakyat Malaysia untuk membina semula surau, bangunan sekolah, membaiki madrasah tahfiz, membaiki masjid,  kediaman yang usang, menyarungkan baju dan seluar kepada kanak-kanak yang terlanjang.  

Besarlah harapan agar PAS dapat terus menghulurkan sumbangan untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka di sini, kalaupun tidak berupaya mencapai selesa seperti kita, cukuplah sekadar mereka berasa selamat. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 (Maybank). Inilah nyalaan obor Islam buat mereka yang tertindas dan dizalimi. – HARAKAHDAILY 9/3/2017

Catatan Muhammad Sanusi Md Nor dari Sittwe, Arakan, Myanmar.

BantuR 5

BantuR 2

BantuR 1

TURKI kini sedang merancang untuk mengharamkan rancangan televisyen “dating” yang kini popular di negara itu.

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus melalui sumber berita Theguardian, Khamis lalu.

Katanya, rancangan tersebut diharamkan ekoran tidak sesuai dengan adat, tradisi dan kepercayaan Turki.

Numan Kurtulmus dalam masa sama menjelaskan beribu-ribu aduan setiap tahun diterima terhadap tayangan rancangan itu serta menyifatkan program sedemikian akan menghapuskan nilai institusi keluarga.

“Kami sedang berusaha untuk ini (pengharaman rancangan dating).

“Insya-Allah, dalam masa terdekat kami akan menyelesaikannya dan kita akan memenuhi tuntutan masyarakat,” katanya dalam satu temu bual pada Rabu lalu.

Agensi berita Theguardian dalam laporan sama mengulas, komen Timbalan Perdana Menteri Turki itu mungkin menimbulkan kebimbangan pihak lain yang menganggap tindakan itu akan menjejaskan pentadbiran sekular negara Turki.

Kurtulmus berkata, beliau telah diberitahu terdapat 120,000 aduan diterima terhadap program tersebut.

Terdahulu pada September 2016, Turki telah mengarahkan penutupan 20 stesen televisyen dan radio, rentetan penyebaran propaganda pengganas yang berleluasa selepas insiden rampasan kuasa berlaku. (ulamasedunia)

PRESIDEN MAPIM, Cikgu Azmi telah berucap di UN di Geneva pada 8 Mac 2017 dalam forum khas anjuran Islamic Human Rights Commission (IHRC) yang berstatus perundingan (consultative) di bawah Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial, UN.

Beliau diminta berucap mengenai pengelaman dan kesan Food Flotilla for Myanmar. Dalam ucapan lebih 25 minit itu beliau telah menekankan bagaimana komuniti dan agensi dunia gagal mengatasi penindasan ke atas kaum Rohingya sejak lebih enam dekad.

"Ini bukan isu yang kompleks sebagaimana ramai pihak cuba melihatnya. Ia isu yang jelas dan terang. Ia isu penafian hak dan penghapusan etnik," kata beliau di depan wakil pelbagai NGO dan wakil negara.

"Apakah kita nak memberitahu ibu yang diperkosa dan anaknya disembelih oleh tentera Myanmar, bahawa ini isu kompleks dan susah untuk diselesaikan? Sedangkan ia jelas soal keganasan yang didalangi oleh pemerintah Myanmar dan melanggar segala perundangan antarabangsa. Kenapa dunia bertangguh untuk mengambil tindakan ke atas Myanmar yang sudah sekian lama melakukan jenayah ke atas kemanusiaan?" ujar beliau lagi.

Cikgu Azmi telah mendedahkan fakta yang diperolehi dari dalam Maungdaw mengenai keganasan yang telah dilakukan ke atas etnik Rohingya sejak 9 Oktober 2016 di negeri Rakhine/ Arakan utara:
Tentera Myanmar dan Polis Kawalan Sempadan telah melakukan jenayah berikut
•50 perkampungan dibakar
•12,118 rumah dibakar
•118 madrasah dimusnah
•143 masjid dibakar dan dimusnah
•913 kedai muslim dibakar
•1,094 orang (lelaki, wanita, kanak-kanak) hilang
•97,000 orang hilang tempat tinggal
•2,327 orang ditahan
•1,447 orang cedera
•2,287 wanita dan gadis dirogol
•1,234 orang terbunuh
•73,000 melarikan diri ke Bangladesh

"Kami menggerakkan inisiatif flotilla bukan hanya soal menghantar bantuan kemanusiaan semata-mata tetapi adalah untuk menarik fokus dunia. Bahawa jenayah yang dilakukan pemerintah Myanmar tidak boleh dibiarkan berterusan. Dunia mesti melakukan tekanan yang cukup kuat ka atas Myanmar untuk dipaksa menghentikan kezaliman yang dilakukan ke atas minoriti Mulsim Rohingya," tambahnya lagi.

Turut berucap dalam sessi khas itu ialah Pengerusi ARU (Arakan Rohingya Union), Dr Wakaruddin dan Pengarah IHRC, Massoud Sajareh.

"Bangladesh juga tidak boleh dilepaskan? Kesukaran untuk badan kemanusiaan untuk membantu pelarian ke Bangladesh perlu diatasi segera. Anehnya sementara Bangladesh mengatakan ia tidak mampu menerima ratusan ribu pelarian Rohingya, namun ia juga beralasan jika dibenarkan badan antarabangsa membantu pelarian akan mengalakkan lagi pelarian Rohingya memasukki Bangladesh," kata Cikgu Azmi lagi.

Namun bukankah itu isu Bangladesh untuk bersama komuniti dunia menekan Myanmar supaya menghentikan keganasan ke atas etnik Rohingya. Apakah alasan yang sama boleh diberi kepada negara lain yang menerima pelarian Rohingya?

Pengalaman hanya 25 orang sahaja dari 182 orang delegasi Flotilla yang dibenarkan melawat kem pelarian telah menggambarkan pihak Bangladesh keberatan menerima pihak luar membantu pelarian.

"Padahal ini adalah usaha besar Malaysia yang mahu meringankan bebanan Bangladesh," ujar Cikgu Azmi.

Cikgu Azmi mempersoalkan kenapa komuniti dunia gagal bertindak menyelamatkan etnik Rohingya daripada penindasan yang menderita lebih setengah abad. Apa yang menghalang Myanmar daripada diheret ke mahkamah anatarabangsa atau sekatan dikenakan keatas negara tersebut?
 
Dalam ucapan beliau, perkara yang dituntut dilaksanakan oleh pihak Majlis Hak Manusia PBB (UNHRC) ialah mewujudkan Komisi Penyiasatan Antarabangsa (International Commission of Inquiry) atau badan yang seumpama itu untuk menyiasat pelbagai perlakuan ganas tentera Myanmar.

Operasi Pemusnahan (Clearance Operation) yang dilancarkan oleh tentera Myanmar telah melanggar pelbagai undang-undang hak manusia antarabangsa. Ia termasuk jenayah ke atas wanita dan kanak-kanak, pembunuhan dan penangkapan tanpa bicara, pengusiran, pemusnahan dan perampasan harta benda.

Pejabat UNHRC telahpun mendokumentasikan kes-kes pelanggaran hak manusia oleh tentera Myanmar yang serius terhadap etnik Rohingya ketika operasi tentera Myanmar tersebut yang jelas melakukan jenayah ke atas kemanusiaan. Banyak lagi dokumentasi telah dikumpulkan yang sepatutnya menjadi alasan kukuh untuk mewujudkan badan penyiasatan tersebut.

Pihak Myanmar telah menafikan semua bukti yang dikumpul dan pihak tentera mengguna imuniti berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan 2008 untuk tidak didakwa. Sehingga hari ini tidak ada seorangpun yang didakwa ke atas jenayah yang dilakukan.

Pada Februari 2016, tiga orang pegawai rendah telah dihukum dua bulan penjara dan tiga pegawai tinggi diturun pangkat mengenai kes memukul dan menyiksa tahanan Rohingya yang diviralkan. Sejak Oktober 2016, empat komisi untuk menyiasat ditubuhkan oleh kerajaan Myanar, namun semuanya tidak mempunyai wibawa, kredibiliti, kebebasan dan kepakaran untuk melakukan sisatan yang berkesan dan bebas.

Pada 1 Disember 2016 Presiden Myanmar Htin Kyaw menubuhkan komisi siastan 13 anggota yang dipengerusi oleh Timbalan Presiden,  Myint Swe, seorang bekas jeneral tentera untuk ‘mencari kebenaran’ keganasan tentera. Anggota komisi itu termasuk Ketua Polis Myanmar dan bekas pegawai kerajaan. Rumusan siasatan ialah menafikan sebarang salah guna kuasa oleh tentera Mynamar.

Demikian juga sebuah komisi yang ditubuh oleh parlimen negeri Rakhine pada 24 Oktober 2016 yang dianggotai oleh 11 anggota, namun secara dominan dikuasai oleh etnik Rakhine dari Parti Nasional Arakan (ANP). Komisi ini tidak menyiasat pelanggaran hak manusia, hanya menumpu kepada serangan ke atas pos tentera pada 9 Oktober 2106.

Pengerusi Komisi tersebut seorang ahli Parlimen ANP, Aung Win, menyatakan kepada BBC, bahawa kes merogol wanita Rohingya tidak mungkin terjadi sebab wanita Rohingya adalah "kotor" dan "mereka tidak cantik, jadi tidak ada orang Buddha tempatan mahupun tentera yang mahu merogol mereka". – HARAKAHDAILY 11/3/2017

SEJAK sesi debat calon presiden 2016 lagi, Donald Trump berhasrat untuk meletak senjata nuklear Amerika di Korea Selatan dan Jepun. Kenyataan tersebut mengejutkan Hillary Clinton dan menjadi perdebatan panas antara Trump dan Clinton.

Namun, strategi sebenar tidak diberitahu kepada pihak media. Walaupun beberapa kali pihak media menanyakan soalan kepada Trump mengenai strategi Trump yang beliau pernah perkatakan dalam debat calon presiden. Trump sering mengulangi, “I’m not gonna to tell you what I wanna to do”.

Logiknya, strategi Trump meletakkan senjata nuklear di Jepun dan Korea Selatan sangat besar kesan dan implikasinya di Laut Jepun. Ia bukan hanya menggugat Korea Utara tetapi bakal menggugat Rusia dan China (Lihat peta yang dilampirkan).

Oleh demikian, rasional meletakkan senjata nuklear bakal menimbulkan reaksi panas jikalau benar Amerika berbuat demikian. Melainkan, Amerika mempunyai alasan yang munasabah untuk merasionalkan perlumbaan senjata nuklear di rantau ini.

Kini, suasana ketegangan di Laut Jepun sangat memuncak apabila Korea Utara melepaskan lima peluru berpandu balistik jarak 1,000 kilometer. Ia sudah menyediakan rasional yang munasabah untuk Amerika bergerak meletakkan senjata nuklear di rantau ini. Empat peluru berpandu sudah dilepaskan ke Laut Jepun dan mengenai zon Jepun. Perlumbaan senjata nuklear sudah tidak dapat dielak.

Sebelum ini, Amerika sudah memberhentikan perjanjian janakuasa Nuklear Iran. Dalam masa yang sama, Emariah Arab Bersatu (UAE) melaungkan bahawa negaranya bakal menjadi negara yang mempunyai senjata nuklear pada tahun 2018.

Begitu juga, Arab Saudi dilaporkan bakal memperolehi senjata nuklear. Tidak syak lagi, kedatangan Raja Salman ke Indonesia dan Malaysia sangat berkaitan dengan langkah bagi menyemarakkan konflik perlumbaan senjata nuklear.

Oleh demikian, ketegangan antara pro-Amerika dan anti-Amerika akan bakal panas dengan perlumbaan senjata nuklear. Semuanya seakan-akan memberi lampu hijau untuk negara-negara pro-Amerika memiliki senjata nuklear yang sangat berbahaya.

Terutamanya Laut Jepun yang sangat membimbangkan dan bakal menjadi zon perang senjata nuklear apabila negara-negara sekitar Laut Jepun tidak meredakan ketegangan. (ulamasedunia)

jepun

More Articles ...

Page 4 of 4