KETIKA saya sedang memberi fokus 100 peratus terhadap Rohingya di Bangladesh, saya mengenepikan hal-hal lain. Namun sekembali dari melaksanakan program korban dan akikah di Jammu-Kashmir India, saya tidak dapat lagi menahan suatu perkara yang cuba saya sembunyikan. Berbeza dengan Hyderabad, di mana pelarian Rohingya hidup di tengah-tengah masyarakat Muslim, pelarian Rohingya di Jammu hidup dikelilingi masyarakat Hindu yang sebahagiannya juga adalah ekstremis. (Jammu adalah dibawah kekuasaan India). Keadaan tegang di Jammu kerana eksremis Hindu di sana telah memberi kata dua supaya kerajaan menghalau pelarian Rohingya yang lari ke sana. 
 
Kami sendiri teragak-agak untuk ke Jammu. Tapi memandangkan tidak pernah pihak luar masuk ke kem pelarian Rohingya di Jammu, kami beranikan diri juga masuk ke sana. Selain ibadah korban dan akikah yang telah dijalankan, kami berhasrat menziarahi dan menyantuni pelarian-pelarian ini dan mengetahui keadaan mereka. Selama ini dunia tidak pernah dimaklum bahawa terdapat Rohingya yang lari sebegitu jauh, ke utara India. Di Jammu ini, askar India berkawal merata tempat. Pemeriksaan keselamatan usahlah diperkata. Entah berapa kali kami diperiksa. Seperti sedia maklum, sering berlaku pertembungan antara askar dan Pejuang Kemerdekaan Kashmir.
 
India mendakwa seluruh negeri Jammu dan Kashmir adalah haknya. Pada 2010 India mentadbir 43 peratus wilayah termasuk sebahagian besar Jammu, di Lembah Kashmir, Ladakh, dan glasier Siachen. Negara Pakistan pula menguasai sekitar 37 peratus dari Kashmir, iaitu Azad Kashmir dan wilayah utara Gilgit dan Baltistan. China menguasai 20 peratus dari Kashmir, termasuk Aksai Chin yang diduduki selepas Perang China-India 1962, dan Tran Karakoram (juga dikenali sebagai Lembah Shaksam), yang diserahkan oleh Pakistan pada tahun 1963. Jammu dan Kashmir menjadi lokasi konflik antara Angkatan Bersenjata India , militan, dan pemisah.
 
Walaupun keadaan tegang di Kem Pelarian Jammu, kami tetap berada di sana hingga korban dan akikah telah pun selesai dilaksana. Tetapi belum pun apa-apa, kunjungan kami dihidu kumpulan ektremis. Maulana Yusof, ketua pelarian Rohingya yang bimbang keselamatan kami, segera mengurung kami di pondok buruknya. Pintu dikunci dan lampu ditutup. Keadaan sangat tegang. Berjam-jam kami begitu sambil merancang dan mencari jalan untuk segera keluar dari Jammu. Destinasi kami adalah untuk segera keluar ke Srinagar. Malangnya, tidak ada penerbangan kecuali keesokan hari. 
 
Setelah keadaan reda, kami kembali dan hanya berkurung di hotel dan tidak berani ke mana-mana lagi termasuk untuk keluar makan malam. Arafat, orang perantaraan di sana membawa makanan untuk kami di hotel. Sedih rasanya tidak sempat ziarah kem-kem lain di sekitar Jammu. Esoknya kami terbang keluar dari Jammu ke Srinagar. Balik ke Malaysia, kami mendapat khabar sedih, 12 pelarian Rohingya ditangkap termasuk Maulana Yusof, mereka ditahan. Pembebasan mereka perlukan duit. MAPIM menghantar sedikit duit, sembilan orang dibebaskan manakala tiga masih ditahan hingga saat ini termasuk Maulana Yusof.
 
Dua hari lepas kami dimaklum, pelarian Rohingya telah dipaksa keluar dari Jammu. Semalam 70 telah berpindah dan 10 orang lagi ditangkap.  Ketika saya menaip ini, ratusan lagi sedang bersiap-siap untuk meninggalkan Jammu. Sebahagian akan bergerak ke Hyderabad sejauh hampir 2,000 km.
 
Allahuakbar! Saya kongsikan perkara dan pengalaman ini. Itulah derita Rohingya... Saya tak mampu menyimpannya lagi
 
NADZIR SHAFIE
Aktivis MAPIM/ Group Titian Kasih - HARAKAHDAILY 29/9/2017

SEPANJANG kebangkitan rakyat di Asia Barat dan Afrika Utara yang digelar "Arab spring," satu etnik dan entiti politik telah muncul sebagai satu pemenang, apabila perjuangan kemerdekaan etnik Kurdi untuk memperolehi sebuah negara yang dijanjikan sejak keruntuhan Uthmaniyah kini kelihatan semakin hampir terlaksana melalui kemerdekaan Kurdistan Iraq.

Selepas lama tertangguh, pemerintah Kerajaan Wilayah Kurdistan pimpinan Presiden Masoud Barzani berjaya melaksanakan memorandum pada 25 November lalu, dengan keputusan lebih 92 peratus menyokong.

Wilayah autonomi Kurdistan, dengan ibu negaranya Erbil itu secara efektifnya mula menjadi semakin bersatu ekoran perang tahun 2003 yang akhirnya menamatkan pemerintahan Baath diketuai Saddam Hussein. Perlembagaan baharu Iraq 2005 mengiktiraf wilayah autonomi itu, pimpinan Presiden Barzani daripada Parti Demokratik Kurdistan, parti politik dominan Kurdistan Iraq.

Kejayaan ini boleh dilihat sebagai satu permulaan dalam memenuhi impian "Kurdistan Raya" perjuangan kemerdekaan yang impiannya meliputi seluruh wilayah didiami etnik Kurdi merentasi sempadan empat negara; Turki, Syria, Iraq, dan Iran.

Kemerdekaan Kurdistan Iraq bakal menyuntik semangat kepada etnik Kurdi di tiga negara tersebut, yang memandang kemerdekaan saudara mereka di Iraq sebagai satu petanda positif, permulaan kepada satu pengukuhan kuasa dan pengaruh Kurdi di Asia Barat.

Menurut takrif Kurdi, wilayah Kurdistan, atau Kurdistan Raya, meliputi empat wilayah iaitu rojhalat (timur Kurdistan di Iran), bashur (selatan di Iraq), bakur (utara di Turki), dan rojava (barat Kurdistan di Syria).

Kebangkitan Arab yang membawa kepada perang di Syria dan kekacauan di Iraq yang ditimbulkan oleh militan Daesh telah mengukuhkan dan melebarkan lagi pengaruh Kurdi apabila pasukan bersenjata Kurdi di Syria dan tentera Kurdi Iraq dikenali Peshmerga berjaya mengukuhkan penguasaan dengan menewaskan Daesh dan mengambil alih kawasan dikuasai, meluaskan lagi kawasan di bawah pengaruh Kurdi melepasi sempadan autonomi asal.

1. Bangsa Kurdi dan wilayah Kurdistan Raya

Selain Arab, Turki dan Parsi, Kurdi ialah salah satu bangsa utama rantau Asia Barat. Menurut satu anggaran, etnik Kurdi berjumlah sekitar 30 juta orang, bertebaran di Turki, Syria, Iraq, dan Iran. Kurdi paling berjaya dari segi usaha merdeka ialah Kurdi Iraq.

Di Turki, konflik bersenjata oleh Parti Pekerja Kurdistan, PKK, dengan pemerintah menyukarkan hubungan antara kedua-dua pihak. Kurdi Syria menerima kejayaan memperolehi wilayah dikuasai mereka dan kini menuntut autonomi hasil konflik bersenjata di negara itu.

Kurdi Iran ialah yang paling kurang bermasalah dengan pemerintah, walaupun wujud kumpulan bersenjata di negara itu.

Di Kurdistan Iraq, jumlah mereka ialah sekitar 5 juta orang, kurang 20 peratus daripada semua penduduk Iraq. Mereka ini, bersama Kurdi Iraq diaspora, yang mengundi dalam referendum 25 September lalu.

Iraq merupakan kelompok paling berjaya dalam perjuangan menuntut kebebasan politik, dan telah secara efektif mentadbir wilayah mereka tanpa banyak campur tangan daripada Baghdad, termasuk menjual sendiri hasil petroleum ke pembeli luar hingga mencetuskan pertikaian dan perbalahan dengan kerajaan pusat di Baghdad.

Kurdi mempunyai bahasa dan budaya sendiri yang berbeza daripada Arab dan Turki, dan ini menjadi salah satu agenda penting dalam perjuangan Kurdi merentasi sempadan Turki, Syria, Iraq, dan Iran, walaupun mereka tidak bersatu dari segi politik.

Di Turki, sebelum perkembangan kebelakangan ini yang menyaksikan kemunculan parti politik dikuasai Kurdi dan liberalisasi dalam budaya, kekangan dan halangan terhadap amalan budaya Kurdi dikuatkuasa dengan keras.

Dalam sejarah, pada Januari 1946, sebuah negara Kurdi disokong Kesatuan Soviet berjaya ditubuhkan di utara Iran, dikenali sebagai Republik Mahabad, tetapi berakhir kurang setahun kemudian.

2. Kemerdekaan Kurdistan Iraq

Kurdistan Iraq di utara Iraq ialah satu-satunya wilayah Kurdi yang paling jelas sempadannya dan diiktiraf melalui undang-undang. Sejak awal Kurdistan Iraq dikuasai Barzani, dan disaingi kem Jalal Talabani di sebelah selatan, tetapi Barzani lebih dominan dan tentangan dalaman terhadapnya tidak kuat.

Walaupun masih sebahagian Iraq, pemerintah Kurdistan Iraq dikenali Kerajaan Wilayah Kurdistan, KRG, telah mengendalikan hubungan luar seperti sebuah negara. Banyak konsulat yang dikatakan berperanan sebagai kedutaan sebenar telah tertubuh di Kurdistan Iraq.

KRG juga mencapai persetujuan membangunkan sumber minyak dan gasnya, termasuk dengan syarikat-syarikat multinasional dunia seperti Exxon Mobil dan Rosneft.

Kurdistan Iraq juga mempunyai tentera yang tersusun, Peshmerga, yang berperanan dalam perang menentang Daesh dan hasilnya dapat meluaskan wilayah dikuasai melepasi sempadan wilayah autonomi.

Kurdistan Iraq juga membina hubungan dengan kuasa-kuasa besar terutama Amerika Syarikat dan Rusia yang syarikatnya terlibat dalam pembangunan sumber hidrokarbon Kurdistan Iraq.

Melalui hubungan dengan AS, Kurdistan Iraq menjalankan lobi di peringkat antarabangsa untuk membina sokongan dan gambaran keabsahan sebagai sebuah negara, dengan tumpuannya di Washington dan akhbar-akhbar berpengaruh AS.

Apa pun hasil diperolehi melalui kejayaan referendum 25 September lalu, sama ada KRG dapat menguasahakannya untuk mencapai kemerdekaan dengan segera, hakikatnya Kurdistan Iraq telah mempunyai kuasa dan pengaruh yang kuat hingga meliputi bandar dan wilayah melepasi sempadannya, seperti Kirkuk dan kawasan utara sepanjang sempadan dengan Syria. Semua ini membantu perkembangan politik Kurdistan pada masa depan.

3. Pendirian Iraq

Kerajaan Iraq menganggap pemisahan Kurdistan daripada wilayah Iraq sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan mengancam keselamatan negara itu dan seluruh rantau Asia Barat. Perdana Menteri Haider al-Abadi telah menuntut kerajaan Kurdistan Iraq menghentikan proses referendum yang dijadualkan tetapi tidak diendahkan.

Mahkamah tertinggi Iraq juga mengarahkan referendum ditangguh hingga isu-isu perundangan ditangani. Perdana menteri Iraq itu juga memberi amaran akan menggunakan kuasa ketenteraan sekiranya terancam akibat daripada usaha pemisahan yang dijalankan.

Pemisahan, malah tindakan Kurdistan Iraq kini menggugat kerajaan pusat di Baghdad dan menjejaskan kedudukan Abadi. Iraq kini membina sokongan daripada negara-negara serantau lain untuk menangani isu ini.

Baghdad kehilangan sebahagian sumber pendapatan minyak dan gas apabila KRG menguasai sumber tersebut, dan ini terus menjadi sumber pertikaian antara Baghdad dan Erbil, terutama melibatkan wilayah kaya minyak Kirkuk.

Pemerintah Iraq juga melihat perkembangan ini sebagai satu bentuk campur tangan asing yang menggugat kesatuan wilayah Iraq yang telah dibina semula selepas perang.

Kesan paling jelas dirasai ialah selepas kejayaan menewaskan militan Daesh, apabila Peshmerga menguasai wilayah di luar sempadan Kurdistan Iraq, di kawasan pertikaian antara kedua-dua pihak.

4. Iran, Turki, dan Syria

Iran dan Turki menganggap penubuhan negara Kurdistan di Iraq sebagai sebahagian pemetaan baharu rantau Asia Barat yang akan menguntungkan Israel, kerana kedudukan strategiknya dan sumber-sumber dimiliki terutama minyak dan air.

Israel bakal dapat menjalankan pelbagai bentuk kerjasama dengan lebih mudah sekiranya Kurdistan Iraq merdeka. Iran memperlihatkan sikap paling keras terhadap penubuhan negara baharu Kurdistan Iraq, melihatnya sebagai sebuah "Israel kedua."

Kurdistan yang disokong AS dan Israel bakal menjadi sekutu kuat dua negara tersebut, dan matlamat segeranya ialah digunakan untuk menghadapi Iran, yang sedang meluaskan kawasan dikuasai di Iraq dan Syria untuk memperolehi satu koridor laluan ke Laut Mediterranean. Kejayaan geopolitik Iran ini digugat oleh penguasaan ketenteraan Kurdi di kawasan yang sama.

Turki walau bagaimanapun bersikap pragmatik dalam hal ini, walaupun menunjukkan sikap keras ekoran kejayaan menjalankan referendum. Pada masa sama kenyataan menentang kemerdekaan Kurdistan dibuat, Ankara kekal menjalin hubungan dengan Erbil, dan turut membeli minyak mentah dari Kurdistan.

Walaupun mengugut Kurdistan Iraq melibatkan eksport bekalan minyak, Turki berpotensi menjadi sebuah hab bekalan minyak dan gas dari Kurdistan Iraq.

Di Syria pula, perkembangan baru sejak konflik bersenjata dan kemasukan Daesh memberikan kawasan tambahan kepada Kurdi, apabila kawasan sepanjang sempadan dengan Turki hingga ke laut dapat dikuasai.

Kejayaan memperolehi wilayah di Syria ialah kejayaan terbaharu Kurdi, dan memudahkan laluan ke arah menyatukan wilayah-wilayah mereka sebagai satu Kurdistan Raya.

5. Kepentingan Israel

Israel ialah satu-satunya negara yang telah menyatakan sokongan terhadap penubuhan negara Kurdistan merdeka. Dalam tempoh empat tahun ini, Kurdistan Iraq telah dua kali menerima sokongan terbuka pemimpin Zionis Israel, Benjamin Netanyahu.

Netanyahu membuat kenyataan menyokong kemerdekaan Kurdistan Iraq pertama kali pada Jun 2014, dan sekali lagi pada 12 September lalu. Malah sebelum itu, dalam dekad sebelumnya, Netanyahu pernah bersuara menyokong kemerdekaan Kurdistan Iraq.

Israel mempunyai satu sejarah panjang dengan Kurdi di Iraq sejak awal penubuhannya. Zionis menggunakan Kurdi Iraq sebagai sekutu terutama untuk tujuan perisikan terhadap Iran. Selain perisikan, Israel juga terlibat dalam bantuan ketenteraan termasuk latihan untuk Peshmerga.

Penubuhan Kurdistan merdeka di utara Iraq akan memberikan sekutu yang kuat, yang wujud sebagai sebuah negara merdeka, di tengah-tengah dunia Islam bersempadan Turki, Iraq, dan Iran. Kedudukan strategik ini bakal memberi kelebihan geopolitik yang luas bagi Israel dari segi akses kepada sumber alam dan strategi ketenteraan.

Perkembangan semasa, dari segi pertembungan dengan Iran dan proksi menjadikan Kurdistan yang merdeka semakin penting pada Israel. Penubuhan Kurdistan Iraq sebagai negara merdeka juga akan membangkitkan sentimen Kurdi di negara sekitar, dan sekiranya berlaku ketidakstabilan, Israel akan dapat mengambil kesempatan seperti yang telah disaksikan di Syria. - HARAKAHDAILY 29/9/2017

PENGGUNA media berita yang amat rendah tahap celik media mudah untuk percaya dan menyebarkan berita-berita "clickbait," berita yang sangat jelas elemen gempar, emosi yang kuat, dan retorik yang mencetus sentimen para pembaca.

Elemen gempar, emosi dan retorik ini membina tulisan-tulisan yang kelihatan sangat menarik dan mesti dibaca, kerana hampir pasti, tajuk-tajuknya tidak akan diperolehi dari laman-laman berita lain.

Seperti dijelaskan istilah ini, clickbait ialah tajuk berita yang mengumpan pengguna internet supaya menklik tajuk berita yang menarik itu, bertujuan untuk menambahkan pengunjung laman web mereka, supaya manfaat lain dapat diperolehi hasil populariti laman, seperti iklan.

Dalam usaha menarik pengunjung laman web, pengendalinya mengenal pasti isu-isu yang menarik ramai pembaca, seperti tokoh-tokoh atau negara-negara tertentu yang sedang popular, serta juga retorik yang membangkitkan semangat, cerita-cerita kejayaan dan bencana yang menimpa musuh.

Berita-berita berbentuk sebeginilah yang biasa diulang-ulang dalam pelbagai bentuk, tanpa menceritakan lebih daripada apa yang menarik pembaca. Berita yang diterbitkan tidak menepati kriteria berita seperti yang sepatutnya.

Berita clickbait biasanya jauh berbeza berbanding tajuknya yang penuh shock value. Kejutan ini memberi janji bahawa artikel tersebut ialah sesuatu yang baharu yang tidak diketahui ramai, seperti pendedahan menggemparkan, atau paling biasa, memperbesarkan sesuatu, misalnya mengangkat secara berlebihan dan salah sikap, pendirian, kenyataan dan kemampuan sesebuah negara untuk berdepan negara musuh.

Tajuk berita clickbait menaburkan janji yang tidak dapat dipenuhi oleh berita yang diterbitkan itu, tetapi memberi elemen keseronokan dan memuaskan sentimen tertentu pembaca.

Tajuk-tajuk berita clickbait boleh dikenali biasanya dengan dakwaan berlebihan dan berita selalu kurang penjelasan dan perincian, pada masa sama, sumber-sumber rujukan juga kurang jelas atau palsu sama sekali.

Satu contoh yang biasa ditemukan ialah berita yang memperbesarkan retorik seorang pemimpin Islam, misalnya Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, sejak beliau menjawat jawatan perdana menteri lagi. Beliau digambarkan bersedia berperang dengan Israel, berdasarkan satu kenyataan mengkritik Israel dan memberi amaran. Beliau juga diberitakan bersedia bertindak secara ketenteraan terhadap kerajaan Myanmar dalam isu Rohingya.

Kenyataan beliau ini dikemukakan secara simplistik dan secara mutlak sebagai satu contoh kesediaan seorang pemimpin Islam berdepan dengan Israel, tanpa mengambil kira faktor seperti hubungan diplomatik yang baru dipulihkan, faktor kesediaan untuk berperang dan pelbagai pertimbangan lain.

Bentuk berita seperti ini mengukuhkan lagi mitos dan naratif yang dipegang oleh pembaca yang disasarkan. Inilah faktor yang menyebabkan pembaca memilih untuk klik pada tajuk berita tersebut.

Isu-isu yang lebih sukar dan tidak selari atau berlawanan, misalnya dengan naratif "pembela Islam" yang dikemukakan berita clickbait tentang pemimpin Islam itu diabaikan begitu sahaja, kerana hal itu tidak menarik dan mengganggu usaha membina populariti, iaitu tarikan pembaca terhadap laman tersebut.  

Laman-laman dipenuhi berita clickbait ini hampir pasti dipenuhi dengan pelbagai berita dan artikel sensasi, yang dapat dilihat secara keseluruhan bertujuan untuk menarik pembaca dan pengunjung laman web.

Berita seperti ini mengeksploit emosi, jangkaan, dan harapan pembaca. Dalam keadaan dunia Islam berdepan pelbagai bentuk masalah dalaman, krisis dan konflik sesama sendiri, berita-berita ini menyediakan satu bentuk escapism dengan mengeksploit sentimen pembaca terbabit.

Dalam keadaan krisis seluruh dunia Islam yang tidak berkesudahan dan rasa tidak terdaya yang berleluasa ini, berita-berita clickbait, sama ada yang memperbesarkan sesuatu perkara atau palsu semata-mata, menambahkan lagi krisis umat ini.

Hal ini telah berpanjangan, sekurang-kurangnya sejak perkambangan panas kebangkitan rakyat di dunia Arab, yang telah memburukkan keadaan dengan membina kepercayaan-kepercayaan karut, menyebarkan laporan-laporan palsu dan meningkatkan serta menyebarkan persengketaan antara mazhab dalam kalangan umat Islam.

Berita-berita ini hakikatnya ialah bahan-bahan yang mengkhayalkan, mengeksploit tanpa memberi pemahaman sebenar, malah keliahatan berusaha mengelak daripada menceritakan hal sebenar yang lebih kompleks.

Berita-berita seperti ini tidak menyumbang kepada pemahaman isu-isu penting, melainkan membawa kepada pemahaman menyeleweng dan kepercayaan palsu.

Menyedari ancaman penyebaran berita yang menyeleweng dan palsu ini, amat penting umat Islam meningkatkan celik media masing-masing, supaya dapat membuat pilihan yang bijak, tidak mudah tertipu, sama ada tertipu membaca atau lebih buruk lagi, membantu menyebarkan perkara yang sia-sia dan palsu.– HARAKAHDAILY 22/9/2017

MEMANDANGKAN ia dikelilingi jiran-jiran yang dilihat mengancam keselamatannya, Israel sentiasa mencari jalan untuk mempunyai sekutu-sekutu baru biarpun lokasi kedudukan sekutu baharu itu terletak jauh, termasuk di Asia. (Foto: Perdana Menteri Myanmar, U Nu dalam lawatan ke Israel pada 1955, dilihat bersama Perdana Menteri Zionis, Mosge Shareet dan Jeneral Moshe Dayan.)

Burma (kemudian diubah nama kepada Myanmar) yang mencapai kemerdekaan dari British pada 1948, iaitu tahun yang sama negara Israel ditubuhkan melalui pengisytiharan oleh ketua fahaman Zionisnya David Ben-Gurion, kini menjadi sekutu Israel yang memahami kehendak negara tersebut.

Jacob Abadi yang menulis beberapa buku tentang Asia Barat dalam sebuah bukunya, Israel's Quest for Recognition and Acceptance in Asia: Garrison State Diplomacy, "Myanmar berguna sebagai bengkel bagi dasar luar di Asia."

Kedua-dua negara wujud dalam keadaan konflik. Burma berhadapan dengan sengketa perkauman dan pengaruh komunisme yang tercetus selepas kemerdekaan, yang kemudiannya diikuti dengan kemasukan secara bersenjata pasukan kebangsaan China Kuomintang ke negeri Shan di negara tersebut. Dalam jangka masa sama, Israel berhadapan dengan keperluan untuk memastikan kelestarian kewujudannya akibat tercetusnya perang Arab-Israel pada tahun 1948 yang boleh mengancam kedudukan negara tersebut.

Pedagang-pedagang Yahudi juga mula tiba di Myanmar semenjak awal abad ke-19. Sumber-sumber sejarah menggambarkan bahawa jumlah penduduk Yahudi secara umumnya berkembang secara pesat ketika zaman penjajahan British. Tetapi hampir kesemuanya meninggalkan negara tersebut selepas kemasukan tentera Jepun ketika perang dunia kedua.

Sebuah saumaah Yahudi iaitu Musmeah Yeshua juga telah dibina sekitar tahun 1890-an di Rangoon (kemudian dikenali Yangon) , ibukota negara  Myanmar pada masa itu, yang ketika itu terkenal sebagai pusat kepelbagaian bangsa dan agama. Pada hari ini, saumaah itu yang berumur lebih 100 tahun kekal sebagai salah satu mercu tanda yang menonjolsebagai peringatan tentang pengaruh awal masyarakat Yahudi di situ.

Sekutu Israel: U Nu

Selepas perang dunia, U Nu yang menjadi perdana menteri pada masa itu, melawat Israel pada 1955. Beliau menjadi pemimpin Asia pertama yang telah berbuat demikian.

Seorang diplomat Barat menyifatkan U Nu yang pada masa itu menjadi salah seorang pemimpin Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) sebagai satu-satunya jaguh Israel di Asia. Semenjak itu beratus-ratus pelajar-pelajar Myanmar, pegawai-pegawai tentera dan pegawai-pegawai kerajaan yang telah dihantar ke Israel bagi mendapatkan pendidikan dan latihan.

Menurut Abadi, U Nu telah mendesak supaya Israel dijemput ke satu persidangan di Bandung, Indonesia pada tahun 1955 tetapi beliau mengambil keputusan untuk membatalkan desakannya itu kerana bimbang negara-negara Arab lain akan memulaukan negaranya.

Walau bagaimanapun pegawai-pegawai Israel tentunya telah mengambil perhatian terhadap sokongan masyarakat umum terhadap tindakan U Nu tersebut dan semenjak itu hubungan dua hala kedua-dua negara yang baru berputik tersebut berkembang pesat. Kedua-dua negara tidak hanya menjalinkan hubungan ekonomi dan pertanian tetapi juga mengadakan kerjasama ketenteraan.

Semasa pentadbiran U Nu, Myanmar membeli kapal terbang terpakai spitfires dari Israel dan juga senapang sub-mesin beserta peluru. Satu pasukan juruterbang Israel turut dihantar ke Yangon bagi mengadakan latihan.

Solel Boneh, syarikat pembinaan Israel turut terlibat dalam projek-projek pembinaan di Myanmar. Tentulah perkara ini sekali lagi berlaku ketika pentadbiran U Nu.

Membina hubungan

Apa yang menghairankan adalah tiadanya tentangan-tentangan daripada pihak pembangkang dalam negara bagi Myanmar untuk mengeratkan lagi hubungan bersama Israel. Sebaliknya, tulisan-tulisan yang tidak kritikal tentang kehendak negara Israel untuk terus kekal merdeka begitu mudah didapati oleh rakyat tempatan. Pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh agensi perisikan Israel, Mossad, dan menteri pertahanannya ketika itu Moshe Dayan juga amat mudah didapati.

Ramai rakyat Myanmar pada tahun 1970-an juga mengesyaki sesetengah pegawai-pegawai perisikan negara tersebut turut dilatih oleh Mossad. Tetapi tiada bukti-bukti kukuh untuk mengesahkan telahan ini.

Secara realitinya, U Nu tidak mampu bagi mengadakan dasar pro-Israel tanpa perlu berhadapan dengan tekanan-tekanan negara-negara luar termasuk China. China pada ketika itu adalah sebuah negara yang mengadakan hubungan dengan Mesir melalui presidennya Jamal Abdul Nasser.

U Nu secara terbuka menjauhkan dirinya dari Israel ketika krisis terusan Suez pada 1956. Pemimpin Myanmar tersebut mengecam Israel dan kuasa-kuasa Barat termasuk UK dan Perancis. Dia juga menyokong seruan PBB bagi tentera Israel untuk berundur dari Mesir.

Tetapi proses berbulan madu bagi kedua-dua negara tersebut sebenarnya masih belum selesai pada ketika itu.

Pada 1961, Perdana Menteri Israel David Ben-Gurion melawat Myanmar dan bagi mendapatkan sokongan tempatan beliau telah memakai pakaian tradisi Burma dengan mengenakan topi ataupun gaungbaung, semasa majlis-majlis rasmi.

Tokoh-tokoh Israel yang menonjol termasuk Shimon Peres, Moshe Dayan, Yitzhak Ben-Zvi dan Golda Meir kesemuanya telah melawat Yangon sekitar tahun 1960-an.

Peres dan Dayan melawat Burma pada tahun 1958 dan mereka bertemu Ne Win, seorang jeneral nasionalis dan bekas anggota "Tiga Puluh Anggota" yang menjadi terkenal kerana mereka telah dilatih oleh pihak Jepun sebelum kuasa penjajah British diusir keluar dalam peperangan tahun 1941-42.

Keperluan ketenteraan

Pada 1959, Ne Win  yang ketika itu berkhidmat sebagai pemangku perdana menteri dilaporkan telah memberikan gambaran yang baik tentang komitmen Myanmar kepada rakan sejawatannya, ketika melawat negara tersebut. Pada masa itu, Myanmar menghantar kira-kira 80 anggota askar dan bekas-bekas tentera bagi mempelajari cara-cara pertanian yang diamalkan di komuniti masyarakat Kibbutz Israel.

Walau bagaimanapun, tiga tahun kemudian jeneral tersebut telah mengadakan rampasan kuasa tentera dan rakan baik Ben-Gurion iaitu U Nu telah diletakkan dalam tahanan.

Walaupun Ne Win menutup pintu kepada dunia luar dan dasar-dasar luar Myanmar semakin menjadi nasionalistik, tetapi pegawal-pengawal peribadinya masih lagi menggunakan senapang mesin Uzi yang dibekalkan Israel.

Begitu juga walaupun hubungan semakin merosot, pada pertengahan tahun 1980-an pihak kerajaan sosialis Myanmar telah memberikan kontrak berjumlah RM20 juta kepada firma komunikasi Telrad Israel bagi menyediakan jaringan telefon awam di negara tersebut.

Projek tersebut yang turut dibantu Bank Dunia, telah digambarkan Telrad sebagai "kejayaan pertama dalam menembusi pasaran Burma."

Hubungan Israel-Burma sekali lagi menjadi perhatian umum apabila berlakunya rampasan kuasa ketenteraan pada 1988 di Myanmar yang disertai dengan tindakan kejam terhadap protes pro-demokrasi yang berlaku di seluruh Myanmar. Selepas hampir kesemua masyarakat antarabangsa mengenakan sekatan terhadap Myanmar, pembuat-pembuat senjata di Israel dilaporkan telah menjual senapang sub-mesin dan 150mm howitzers kepada rejim tersebut.

Syarikat-syarikat Israel lain juga terus-menerus berurusan dengan jeneral-jeneral yang memerintah Myanmar. Koor Industries Ltd membuka sebuah pejabat di negara tersebut pada 1995 dan Telrad meluaskan operasinya pada tahun berikutnya bagi membekalkan sistem telekomunikasi digital dan bukan digital.

Lawatan ketua tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing ke Israel pada 2015 mengingatkan ramai tentang hubungan rapat Myanmar-Israel yang kadang kala kontroversi terutamanya akhir-akhir ini.

Ketua tentera tersebut bersama-sama dengan pegawai-pegawai atasan lain telah melawat pengkalan laut Ashdod bagi melihat bot pengawal perairan FAC Super Dvora Mark 3. Sejumlah bot tersebut telah dipesan oleh pihak tentera Myanmar dari Israel. Ketua tentera tersebut juga telah melawat pejabat-pejabat pengeluar barangan tentera tempatan.

Semasa bercakap dengan para wartawan dalam satu mesyuarat di Naypyidaw, Min Aung Hlaing menggambarkan lawatan tersebut sebagai satu peluang untuk mengadakan kerjasama antara pihak tentera kedua-dua negara. - Irrawady

Rencana ini diterbitkan oleh majalah Irrawady pada 2015 dan diterjemahkan oleh Harakah.

SALAH satu misi utama Condoleezza Rice, setiausaha negara Amerika Syarikat semasa pentadbiran George W Bush ialah menyatukan dunia Arab bersama Israel untuk terus memerangi Hizbullah, sebagai satu langkah mencantas pengaruh Iran di Syam, bersempadan Israel.

Beliau dalam satu ucapan dalam misi itu pada 2006 menegaskan bahawa Hizbullah perlu dihapuskan, dan hasilnya akan mencetuskan Asia Barat baharu, yang bermaksud Asia Barat baharu yang lebih menepati kepentingan musuh-musuh Islam.

Masa itu, pada Julai 2006, Israel sedang memerangi Hizbullah di selatan Lubnan, dan sekutu termasuk AS memberi sokongan kepada Israel dan berharap Lubnan akan bebas daripada pengaruh pakatan Iran-Syria-Hizbullah.

Rancangan melukis peta baharu dunia Islam Asia Barat dan Afrika Utara ini muncul di AS daripada kalangan pemimpin dan pemikir ketenteraan dan dasar luar, yang salah satu matlamat utamanya ialah memastikan dunia Islam terus berpecah menurut garis etnik, mazhab dan politik, yang bermakna mengukuhkan kedudukan musuh utama Islam, Zionis Israel.

Beberapa versi pemetaan baharu itu dihasilkan, tetapi secara umumnya semua memisahkan negara Islam dan mewujudkan negara baharu berdasarkan etnik dan mazhab, dengan sempadannya merentasi negara sedia ada.

Pada masa ini, perancangan peta baharu itu sedang dilaksanakan, yang dapat disaksikan ialah Kurdistan Iraq yang sedang berusaha memisahkan diri daripada Iraq, membentuk sebuah negara yang disokong Israel.

Di bawah pemerintahan Presiden Donald Trump di AS, rancangan menyatukan Arab untuk menghapuskan pakatan Iran dan mengukuhkan Israel ini dilakukan sekali lagi.

Tidak lama selepas memegang pemerintahan AS, Trump mengajak negara-negara Arab bersatu dalam satu pakatan ketenteraan dengan Israel, mensasarkan Iran yang sedang mengukuhkan pengaruh ekoran kesan kebangkitan Arab.

Selepas era pentadbiran Obama yang mengambil pendekatan mengelak dilihat negara-negara Arab sebagai menyebelahi Iran, cadangan ini segera disambut oleh sekutu AS yang pro-Arab.

Ini paling utama disebabkan Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan sekutu kuat Saudi yang lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin bimbang terhadap pengaruh Iran, akibat perang Syria yang akhirnya menyaksikan proksi anti-Iran tewas.

Akibat perang Syria, Iran akhirnya lebih kuat berusaha mengukuhkan pengaruh di negara Syam itu dan Rusia turut sama meletakkan kuasa tenteranya, pada masa sama Turki yang sebelum ini mahu menjatuhkan Bashar al-Assad berpaling dan merapat kepada Rusia.

Israel yang mahu melihat pangkalan proksi Iran di Syria musnah kini berhadapan dengan pengaruh Iran yang lebih kuat di Syria akibat rancangan menjatuhkan Bashar gagal.

Pada masa sama, Syria juga semakin menerima kemasukan tentera dan militia yang disokong Iran, mengukuhkan cengkaman Iran.

Cadangan Trump menubuhkan pakatan digelar "Nato Arab" ini nampaknya diterima apabila Adel al-Jubeir, menteri luar Saudi mengatakan Iran ialah ancaman kerana menjadi pendana terorisme antarabangsa semasa persidangan keselamatan Munich di Jerman beberapa hari selepas cadangan Trump itu dilaporkan.

Banyak yang berlaku sejak itu, termasuk krisis diplomatik Qatar - yang akhirnya mendorong Doha lebih rapat dengan Tehran - dan usaha Saudi untuk memulihkan hubungan dengan Iraq bagi mengimbangi pengaruh Iran di negara itu.

Di pihak Israel, persediaan untuk berperang dengan Hizbullah semakin ditingkatkan. Mereka berharap perang kali ini akan menghapuskan Hizbullah dan hab pengaruh Iran di Syam itu.

Sekiranya perang antara Israel dengan Hizbullah berulang, kesannya akan jauh lebih besar, dan dijangka melibatkan peranan aktif negara-negara Arab yang semakin berhubungan baik dengan Israel dan berkongsi agenda memerangi Iran.

Perdana Menteri Zionis, Benjamin Netanyhu telah beberapa kali bercakap tentang ancaman Hizbullah, pada masa sama memberi amaran tentang pengaruh Iran.

Pihak Israel juga memperbesarkan perluasan pengaruh dan agenda Iran di rantau Asia Barat, termasuk menguasai Yaman dan merancang menubuhkan pangkalan tentera di Syria.  

Kedua-dua pihak telah meningkatkan kemampuan ketenteraan masing-masing sebagai persediaan untuk perang yang dijangka akan memberi kesan sangat besar kepada seluruh Asia Barat.

Beberapa minggu lalu, pada awal bulan September, Israel mengadakan latihan tentera besar-besaran, terbesar dalam tempoh 20 tahun melibatkan 30,000 orang tentera.

Latihan itu ialah satu simulasi berdepan Hizbullah, menunjukkan persediaan lebih rapi Israel untuk berperang sekali lagi dengan kumpulan bersenjata Lubnan itu.

Sekitar masa yang sama perang dengan Hizbullah menjadi perbincangan hangat, AS juga mengumumkan penubuhan pangkalan tentera baharu di Israel.

Hizbullah pula didakwa telah menempatkan 10,000 orang pejuang di Syria sebagai persediaan berhadapan dengan Israel.

Sekiranya perang berlaku lagi antara Zionis Israel dengan Hizbullah, seluruh umat Islam bakal terlibat sama secara langsung, dan tidak langsung melibatkan perang propaganda.

Umat Islam wajar menjadikan konflik di Asia Barat sejak lebih enam tahun lalu sebagai sumber pengajaran agar tidak sekali lagi tertipu dengan propaganda, dan dapat melihat apa yang berlaku dari kaca mata yang mengutamakan kepentingan umat. – HARAKAHDAILY 25/9/2017

ADIK Nurul Hasan bin Nurul Husain (16 tahun) sampai di Teknaf bersama ayahnya dari Maungdaw 14 September selepas berjalan kaki dan menaiki bot selama 4 hari. 
 
Dalam perjalanan, Nurul Hasan mengalami serangan strok dan seluruh badannya menjadi kaku dan kejang. Dia tak dapat minum dan makan sejak tiga hari sebelumnya kerana serangan strok itu menyebabkan mulutnya tidak dapat dibuka.
 
Keluarga ini tidak tahu hendak tuju ke mana selepas tiba di Teknaf dan mereka duduk di tepi jalan raya (sebelum Pekan Teknaf)  sehingga ke petang Jumaat, 15 September. Ibunya tidak melepaskan usapan tangan di atas kepala Nurul Hasan sambil berdoa untuk kesembuhannya. 
 
Kelihatan ayahnya semakin sugul tetapi tenang diwajahnya memegang tangan Nurul Hasan yang tidak lagi dapat berkata-kata sambil dikelilingi tiga adiknya.
 
Bersama keluarga ini juga, 4 adik beradik lain dan salah seorangnya bernama Sumayyah (sama nama dengan anak ketiga saya) kelihatan membisu duduk bersimpuh di atas alas guni di tepi jalan ini dengan keluarga Nurul Hasan. 
 
Rupanya dua keluarga ini datang jauh bersama dari Maugdaw dan mereka adalah jiran di kampung halaman sana. 
 
Saya bertanya di mana ibu ayah kamu? Sayu, sedih... dalam linngan air mata, anak sulung keluarga ini menceritakan. Rumah mereka diserang tentera Myanmar, kedua ibu ayah dibunuh dan dibakar. Innalillah, Allahuakbar! Saya tidak mampu berkata apa-apa lagi, habis bicara di situ.
 
Sahabat saya, Zulhanis Zainol (MAPIM)  dan Mohd Hakim Md Nor (Serantau Muslim) juga kaku dan terkedu sambil saya melihat mata mereka juga terpejam seketika kepiluan. Sayu dan sedih tidak dapat lagi disembunyikan.
 
Saya meminta Ustaz Mohd Ayas (Penasihat Cooperation for Humanitarian Activities - CHA) yang bersama saya sepanjang misi di sini supaya beliau segera bertanya warga tempatan (Bangladesh) yang semakin ramai mengilingi kami, jika ada sesiapa yang punya kenderaan van untuk disewa supaya menghantar segera Nurul Hasan ke klinik terdekat iaitu di Khutupalong. 
 
Selepas 15 minit kemudian, datang sebuah van seorang penduduk tempatan dan anak-anak muda warga tempatan segera mengangkat Nurul Hasan masuk ke dalam van dan segala barang yang dibawa kedua keluarga ini. Kedua keluarga ini bersama-sama menaiki van tersebut dan terus di bawa ke klinik Khutupalong.
 
Ustaz Mohd Ayas juga menghubungi, sukarelawan CHA, Ismail untuk menguruskan keluarga ini menumpang tidur di Kem Pelarian Khutupalong yang sudahpun menempatkan ratusan ribu pelarian Rohingya lama dan baru berlindung di situ. Mereka lari dari wilayah Arakan apabila kampung halaman dimusnahkan dan kaum keluarga mereka dibunuh atau di tangkap oleh rejim tentera Myanmar dalam tindakan penghapusan etnik ke atas warga Rohingya sejak sekian lama.
 
Pembersihan etnik warga muslim Rohingya ini terus bermaharajela dan kemuncaknya bermula 25 Ogos lalu selepas dunia terus diam membisu, membutakan mata dan memekakkan telinga atas keganasan rejim Myanmar itu.
 
Kami bergerak pulang menyusuri di belakang van yang membawa adik Nurul Hasan di laluan jalan sempit perbatasan dan pesisir Sungai Naf yang telah menjadi saksi kesengsaraan, tangisan dan kepiluan saudaraku Rohingya sejak sekian lama.
 
AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Teknaf, Bangladesh - HARAKAHDAILY 17/9/2017

KESATUAN Ulamak Islam Sedunia (KUIS) mengeluarkan fatwa wajib menyatakan sokongan terhadap umat Islam Rohingya dengan segala cara yang ada serta menyatakan penentangan dan sokongan secara terang-terangan.

KUIS menegaskan supaya para pemerintah yang terlibat dalam urusan ekonomi dan politik agar memboikot mereka yang melakukan keganasan.

Selain itu, KUIS turut menekankan peranan para wartawan media massa, para ulama, serta badan-badan kebajikan agar melaksanakan tugas mereka secepat mungkin.

AliDaghiSetiausaha Agung KUIS, Sheikh Dr Ali Mohyiddin Qurra Daghi dalam kenyaatan terbaru beliau menggesa supaya nasib umat Islam Rohingya terus dipertahankan.

Beliau menyeru seluruh umat Islam menjadikan khutbah Jumaat sebagai medan saluran mengenai isu kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya.

Beliau menambah, penindasan yang berterusan ke atas umat Islam Rohingya memalukan seluruh dunia.

“Situasi yang berlaku di Arakan merupakan perkara yang memalukan ke atas seluruh dunia yang terdiri daripada badan kerajaan, institusi-institusi, ahli politik, para intelektual, para ulamak dan ahli sains, di mana ribuan umat Islam telah terbunuh dan menjadi pelarian.

“Namun tidak ada sesiapa yang menangis untuk mereka.

“Seruan ini diucapkan di tengah-tengah rasa kesedihan yang mendalam yang diperlukan dunia di atas apa yang sedang berlaku ke atas mereka yang tidak mempunyai sebarang dosa melainkan hanya kerana mereka berpegang dengan akidah Islam.

“Lalu, orang-orang Buddha yang fanatik ini melakukan pembunuhan serta penyembelihan yang telah membuatkan tubuh-tubuh kita bergoncang disebabkan mereka: saudara-saudara kita di dalam agama (Islam),” katanya.

Di akhir kenyataan, Sheikh Qurra Daghi mengucapkan terima kasih di atas setiap penentangan serta sokongan yang diberikan terhadap saudara-saudara Muslim di Myanmar. (http://ulamasedunia.org)

More Articles ...

Page 3 of 4