Air mata duka kem pelarian di Bangladesh

Dunia
Typography

PASRelief terus mengatur langkah menyuburkan kemanusiaan, lanjutan daripada misi-misi sebelumnya, menyalakan obor Islam di mana sahaja diperlukan. Menyelamatkan Muslim Rohingya kini teratas dalam senarai  misi kemanusiaan PASRelief, yang telahpun bermula sejak puluhan tahun lalu.

Misi kali ini rurut disertai oleh Ustazah Nuridah Mohd Salleh (Ketua DMPM), Syarifah Rasyidah Syed Idrus (Ketua DMP Titiwangsa), Shahril Rizal Saidon (Pemuda PAS Selangor)  dan Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (Naib Presiden MAPIM).

Kami tiba di Dhaka jam 11:00 malam waktu Bangladesh (jam 1:00 pagi waktu Malaysia). Polisi kerajaan Bangladesh yang tidak mengalu-alukan misi kemanusiaan kepada Muslim Rohingya menjadi asas bagi urusan mendapatkan visa dan menyusun taktik perjalanan sejak awal.

Mereka ada alasan mereka sendiri atas halangan ini. Kita perlu bersedia, sentiasa diekori dan dipantau pasukan intelligen mereka setiap masa. Ramai yang diarahkan pulang sebaik mendarat di Dhaka, ramai lagi yang gagal memperolehi visa untuk memasuki negara ini.

Sebaik tiba, kami menginap di Dhaka, diuruskan NGO tempatan (rakan MAPIM) dengan rangkaian tempatan mereka sendiri. BDT9,000 hanya untuk 2 bilik (lebih kurang RM496) hotel tanpa bintang, pagar utama hanya dibuka jika ada tetamu sampai - atas faktor keselamatan.

Pasukan polis sibuk ke sana ke mari, memeriksa semua bangunan dan pergerakan. Kata penyambut tetamu hotel apabila ditanyakan sebab begitu ramai polis di sana-sini: "Security matter. Dont worry sir,  our country is very-very safe". Saya senyum saja.

Pagi 4 April, kami ambil penerbangan ke Cox's Bazar, bandar pelancongan yang mendapat nama sempena nama Kepten Hiram Cox, pegawai tentera British yang berkhidmat dalam tentera British India. Dia meninggal pada 1798 sebelum sempat menyelesaikan tugasnya menghentikan pertelagahan berpanjangan antara penduduk Islam dan Buddha di Palongki itu (nama asal Cox's Bazar).

Penduduk Islam diberikan kawasan kampung, penganut buddha ditempatkan di kawasan bukit bukau di pedalaman. Sehingga 1948 (kemerdekaan Burma daripada Inggeris), pentadbiran British India meliputi seluruh India hingga ke Arakan (dimasukkan ke dalam wilayah Burma). Negara Bangladesh hanya wujud selepas pemisahan dengan Pakistan pada 1971.

Pelarian Rohingya bertebaran di seluruh pelusuk desa

Lokasi pertama kami selepas makan tengah hari di kediaman Ustaz Mohamed Aayaz ialah Kampung Gualiya Selatan meninjau kerja pembinaan telaga tiub sumbangan NGO Cakna Palestin untuk kegunaan 20 keluarga di situ. Terletak jauh ke dalam kampung dikelilingi sawah padi, ladang pinang dan sireh.

Terdapat beberapa buah khemah (rumah) pelarian Muslim Rohingya yang baru dibina di sini. Bahannya plastik hitam, buluh, ranting kayu dan tanah liat. Sekali pandang sudah cukup untuk menghidupkan kemanusiaan kita.

Kampung Pembagan di Ramu menjadi lokasi kedua. Kami agak lewat tiba ke lokasi, kerana jarak yang jauh,  namun mereka setia menanti.

Reaksi dan paparan wajah 50 orang penerima sumbangan pakej makanan itu menyerlahkan derita luka yang dalam, dibaluti kain, selendang dan burqa yang lusuh dan koyak.

Suara mereka perlahan, senyum yang tawar, mata mereka berkaca  memandang kami, senyap dan sunyi. Demikianlah mereka berterima kasih kepada kewajipan kita yang telah lama tertangguh. Maafkanlah kami wahai ibu ayah dan sanak saudara yang lama dijamah sengsara, kami terleka dibuai dunia kami sendiri.

Mereka semua baru dua bulan tiba dan menumpang di tanah penduduk kampung itu. Rasa bersalah segera menerpa kerana telah membuatkan mereka menanti begitu lama. Majlis sumbangan itu terpaksa dibuat di kawasan yang agak terpencil di atas kawasan berbukit, jauh daripada ramai lagi pelarian yang tidak terpilih sebagai penerima. Apakan daya, itu sahaja yang PASRelief mampu sediakan dalam misi kali ini di kampung itu. Nanti kami pasti kembali lagi.

Salah seorang penerima pada lewat petang itu ialah seorang hafiz al-Quran yang menceritakan pengalaman berjalan kaki selama tiga hari tiga malam dari Mangdaw di Arakan, merentasi bukit bukau dan sungai bersama keluarganya, akhirnya tiba di kampung itu. Beliau tidak lagi mampu menghadapi ancaman kematian dari kekejaman puak rakhine dan tentera kerajaan Myanmar. Rumah dan segala yang dimiliki di kampungnya hangus dibakar.

Insya-Allah, kami akan datang lagi, membawa secebis  kelegaan dari rakyat Malaysia. Kami sampai ke penginapan menjelang waktu Isyak.

Hari Kedua di Cox's Bazar

Pagi 5 April, kami menyusuri jalan-jalan kecil menuju perkampungan di pedalaman,  meninjau pembinaan telaga tiub kedua. Alhamdulillah, ia sudah memuntahkan air untuk kegunaan warganya, Muslim Rohingya.

Perjalanan diteruskan ke Madrasah Khalid Al-Walid, di Kurnia Palong, sebuah madrasah dan rumah anak yatim Rohingya. Ia diusahakan oleh Ustaz Mohamed Aayaz bersama jawatankuasa dari kalangan penduduk tempatan dan muhajirin Muslim Rohingya.

Madrasah Khalid al-WalidSelesai bertemu pelajar dan tenaga pengajar madrasah,  PASRelief menyampaikan bantuan makanan kepada 150 keluarga Muslim Rohingya yang tinggal di sekitar madrasah. 25 kilogram beras, 2 kilogram minyak masak, kacang dan bahan-bahan lain dibungkus dengan guni. Majlis terpaksa dicepatkan kerana dihidu oleh penduduk sekitar yang tidak terpilih sebagai penerima. Bimbang diserbu, kami pun beredar.  

Demikianlah realiti penyampaian bantuan makanan kepada pelarian Muslim Rohingya di mana-mana pun. Memilih penerima sentiasa membelah koyak hati penyusunnya.

Mereka semua sangat terdesak, semuanya setara, sama daif, sama-sama sedang menderita dan layak dibantu. Penghalang utama adalah bekalan yang sedikit berbanding keperluan sebenar. Harapan kami, teruskanlah menderma untuk menyantuni mereka pula.

Selain bekalan makanan, beberapa telaga tiub yang disumbangkan oleh PASRelief dan MAPIM sedang giat dibina di sekitar Kurnia Palong.

Perjalanan dilanjutkan lagi ke kampung yang tidak dapat dimasuki van, sebuah CNG (tut tut) digunakan untuk menyusuri jalan di batas sawah untuk melihat sebuah telaga tiub yang telah siap di sana.

Menuju Ke Teknaf,  pintu masuk muhajirin

Kerana waktu masih jauh menjelang malam,  kami memutuskan untuk ke Teknaf. Beberapa telaga tiub juga sedang dibina dalam kem pelarian Muslim Rohingya di sana.

Teknaf adalah lokasi paling hujung di 'tanjung' wilayah Bangladesh, lokasi utama kemasukan pelarian dari Arakan.

Hanya Sungai Naf memisahkan Bangladesh dengan Myanmar. Mangdaw adalah wilayah di Arakan, terletak di seberang sungai Naf. Sungai itu menjadi pelabuhan perikanan utama bagi Daerah Cox's Bazar. Terdapat bahagian daratan yang menyambung kedua-dua negara, di Teknaf dan Nila, di situlah pintu masuk pelarian dari Arakan.

Walaupun laluan itu dikawal sepanjang masa,  namun ada waktunya pengawal tidur dan alpa dengan helaian Taka,  lima atau enam keluarga akan menyeberang ke kem pelarian setiap hari.

Jumlah mereka yang terpaksa berhijrah semakin ramai. Sejak Oktober 2016, terdapat kemasukan lebih 70,000 pendatang dari Arakan ke Bangladesh yang dicatatkan, menjadikan jumlah mereka kepada 500,000 orang (setengah juta). Tidak menghairankan, dari Puthupalong ke Teknaf, kami terpaksa melepasi empat sekatan tentera dan polis Bangladesh.

Dari Puthupalong, melewati Balukhali di Ukhiya, di sebelah kanan sepanjang jalan, kelihatan ribuan khemah pelarian baru dibina berhimpit-himpit di lereng bukit dan tebing.  Bahannya sama, plastik hitam dan ranting-ranting buluh.  Penempatan pelarian yang berdaftar dan tidak berdaftar semakin bertambah setiap hari.

Pemandangan kami tersorot kepada 'tetamu tidak diundang' mengendong anak kecil dan menjinjing bungkusan di tangan. Dua tiga orang anak mengekori rapat di sisi dan di belakang, bergegas- gegas. Ia boleh dilihat sepanjang laluan. Tidak pasti ke mana arah tuju mereka itu. Berteduh dan bermalam di manakah mereka itu? Tiada siapa boleh menjawabnya. Semoga Allah menganugerahkan mereka kesabaran.

Terdapat juga kelompok-kelompok wanita tua, dengan bungkusan di sisi, bersimpuh di bawah pokok dan di dipinggir jalan, meninjau-ninjau arah untuk pergi. Ada yang terbaring di tanah, dibawah terik matahari. Makanan apa yang mereka jamah hari ini? Berapa lama sudah mereka terperosok dan berlapar di situ? Entahlah... Mereka itu Muslim Rohingya!

Selepas dua jam perjalanan, kami tidak dapat melepasi sekatan keempat (terakhir). Hanya 200 meter jaraknya dengan kem pelarian Teknaf. Tentera yang menyapa kami memaklumkan keadaan agak tegang di kem-kem pada waktu ini, dan kami dinasihatkan berpatah balik. Saya pula cemas terlupa passport.

Kami singgah menyaksikan Sungai Naf, pemisah dan laluan dagang dua negara.  Arakan nampak jelas di seberang sana.

Di sanalah kekejaman - genocide- pembunuhan, pemerkosaan, penyiksaan dan pembakaran ke atas Muslim Rohingya sedang bermaharajalela. Mereka diusir secara terancang, untuk membolot tanah dan wilayah.

Di seberang Sungai Naf ini, mereka tetap dijamah derita juga, bezanya adalah mereka bebas dari ancaman kematian yang menghambat, yang semakin dekat setiap saat, jika terus berada di kampung halaman sendiri. Hijrah mereka hanya untuk menyelamatkan nyawa, bukanlah untuk mencari kesenangan!

Zohor di Jadimura

Kehampaan tidak melepasi sekatan terakhir ke Teknaf terlerai di Kampung Jadimura. Sapaan saya kepada seorang jemaah tertua menjadi perbualan panjang. Semua jemaah zohor tengahari itu adalah pendatang dari Arakan.  

Warga emas berusia 83 tahun itu baru dua bulan tiba dari Arakan, menumpang di tanah penduduk tempatan.  Kampungnya di Arakan musnah sama sekali. Anak-anak kecil dicampak ke dalam api yang sedang marak, membaham rumah-rumah usang menjadi abu. Ibu-ibu diperkosa, dibunuh dan hangus bersama rumah yang dinyalakan.

Orang dewasa diikat, didera akhirnya tewas di hujung senjata tajam pengganas Rakhine. Warga emas seperti beliau melintasi sempadan berjalan kaki selama berhari-hari, menyelamatkan sisa umur di tanah seberang,  menumpang di tanah saudara seaqidah, sekadar apa yang ada.

Sewaktu meminta diri beredar, air mata membuak dari seorang warga emas berusia 78 tahun, benar-benar meruntun meluluhkan jiwa.

Setelah berbincang dengan imam dengan bantuan seorang penterjemah yang mampu berbahasa Melayu, kami menyerahkan USD500 (RM2,250 wang bekalan kecemasan kami) untuk mereka beli dan agihkan beras kepada 50 keluarga yang baru tiba di situ.

Jadimura nama kampung itu. Mereka semuanya adalah bapa-bapa kita, yang merenung wajah kita seperti anak-anak mereka yang baru pulang dari perantauan berpuluh tahun. Tiba-tiba ingin pergi semula. Dengan renungan itu, hati mana yang tega berpaling pergi begitu saja. Rezeki mereka rupanya datang dari Malaysia. Rasa lega di Jadimura mengubati rasa berdosa.

Bendang garam

Perjalanan pulang ke Cox's Bazar melintasi sawah-sawah (bendang) garam di kiri kanan jalan. Plastik-plastik hitam dihampar dipetak-petak sawah. Air masin dipam ke hamparan itu dan dijemur menjadi garam. Garam yang dikumpulkan berlori-lori banyaknya. Selain padi, pinang dan sireh dalam sektor tani, garam dan batu bata merah adalah industri mereka.

Rupa-rupanya, plastik hitam hamparan bendang garam itulah menjadi dinding dan atap khemah-khemah pelarian. Plastik-plastik yang telah koyak dijual di tepi jalan untuk dikitar semula menjadi 'istana' pelarian.

Kem Puthupalong menyimpan sejuta luka

Lokasi: Kem Puthupalong, Ukhiya Cox's Bazar.
Populasi: Lebih 80,000 orang
Jumlah keluarga: Lebih 16,000
Status tanah: Persendirian

Menyantuni anak-anak Rohinhya dalam surau yang dijadikan kelas belajar di Puthupalong
6 April 2017 adalah hari 'bertuah' bagi misi PASRelief. Kem-kem pelarian adalah kawasan larangan, sukar sekali menembusi pintu masuknya. Ia dikawal polis tanpa seragam, dipantau cawangan khas (SB) setiap masa. Alasan mereka ialah jika bantuan subur di situ, pandatang baru akan tumbuh membiak.

Alhamdulillah, kami berjaya masuk dan 'menikmati' sengsara penghuninya. Kem Puthupalong didiami lebih 80,000 pelarian di ladang mempelam dan sawah seluas-luas pandangan mata. Penghuninya kini mencecah lebih 16,000 keluarga sejak ia wujud. Sebelum wujud kem, mereka menumpang berselerak di kampung warga tempatan. Apabila krisis di Arakan memuncak,  Puthupong menjadi kem pelarian swasta.

Tanah ladang yang dilingkari laluan sepanjang 5 kilometer itu milik Encik Bakhtiar, warga tempatan yang bersimpati, merelakan ladangnya didiami pelarian. Di celah-celah pokok mempelam dibuat teres sebagai tapak khemah, berhimpit-himpit 16,000 keluarga tanpa sebarang kemudahan asas. Beliau sendiri yang mengendalikan kawasan berpenghuni padat serba kekurangan itu.  

Surau tempat solat dan kanak-kanak belajar terlalu sempit, padat sendat dibina dari sumbangan orang ramai. Sudah lama beliau berharap ia dapat diperbesarkan. Apabila ditanya berapa keperluan telaga tiub yang mencukupi sebagai sumber air minuman kepada warga kem. Spontan saja jawapannya, "Kami perlukan minimum 100 unit lagi telaga tiub".

Sebagai ganti kehilangan tanahnya, Bakhtiar mengenakan sewa tapak BDT200 (RM11) sebulan untuk sebuah kediaman, sebagai wang komitmen penghuni. Tidak ramai yang mampu membayarnya. Dia menanggung risiko 'kehilangan' tanah itu selama mereka tidak dapat pulang ke Arakan.

Dalam kepadatan itu yang semakin meningkat setiap hari itu, penghuni kem tidak dapat bekerja, ramai yang sedang sakit tanpa rawatan, ibu-ibu melahirkan bayi dalam khemah berlantai tanah.

Balu-balu bersama anak-anak kecil, anak-anak yatim yang menumpang keluarga lain, yang cacat, yang tercedera, warga tua - siang berpanas, malam bergelap - segelap pekat masa depan mereka. Makan minum hanya dari sumbangan pihak luar yang diuruskan oleh Bakhtiar. Berat mata memandang,  berat lagi bahu memikul.  

Pemilik hati tisu bisa lemas dalam air mata sendiri. Hanya yang melegakan mereka di kem ini adalah kebebasan daripada ancaman kehilangan nyawa di tangan pelampau rakhine dan tentera Myanmar. Derita selainnya adalah sama saja. Kemiskinan dan kelaparan seperti sudah tiada makna.  Wajah-wajah mereka hambar dan tawar, kering tandus daripada ceria dan gembira memendam sejuta luka.

PASRelief membina tiga telaga tiub dan bilik mandi wanita di sini selain menyampaikan 50 guni beras untuk 50 keluarga yang dipilih oleh Bakhtiar.  

Penghuni yang beratur di pintu masuk kem, menunggu di pintu setor IOM (International Organization For Migration), berdiri di sepanjang laluan bersama anak-anak, tepi di tepi jalan, mundar mandir tanpa tujuan-tidak mampu kami santuni.

Kami segera beredar sebaik selesai menyampaikan sumbangan, mengelak diserbu ribuan penghuni lain yang sedang kesempitan.

Hati yang luluh hanya mampu memanjatkan doa supaya gambaran ini sampai ke pintu hati para dermawan untuk menyumbang sebagai penawar derita mereka.

Kem Balukhali menanti kita bermurah hati

Penghuni: Lebih 22,000
Keluarga: 3,200 keluarga
Status tanah: Milik kerajaan

Kem Balukhali yang berbumbung plastik bekas garam

Kem Balukhali terletak beberapa kilometer sahaja daripada kem Puthupalong.  Semua penghuninya adalah muhajirin baru, memasuki Bangladesh selepas operasi genocide Myanmar pada Oktober 2016. Tidak ada sebarang kemudahan asas, hanya sebuah telaga tiub sedang dibina di lereng bukit. Bekalan air diambil dari telaga tiub lama di sebuah surau di kampung warga tempatan di hadapan kem.  

Sewaktu kami memasukinya,  terdapat agensi UNICEF sedang mengadakan klinik rawatan kepada ibu dan kanak-kanak di sebuah khemah. Sebuah khemah lagi seperti sedang membuat bancian.

Tiada surau atau khemah sebagai tempat belajar untuk kanak-kanak seperti di Puthupong.  Mereka berkeliaran sesama sendiri, mengangkut air, membantu keluarga membina khemah, berkubang dalam debu dan 'berkelahi'.

Rentapan tangan-tangan kecil untuk sebiji gula-gula.

Bekalan gula-gula dan buah yang kami beli semalam untuk menceriakan kanak-kanak diagihkan. Agihan gula-gula ini tiba-tiba bertukar menjadi pesta rebut merebut olak menolak, sambar menyambar, sehingga pijak memijak. Ia sangat mencemaskan! Anak-anak kita di rumah juga berebut,  tapi bukan seperti ini. Tidak pernah sampai ke tahap ini.

Saya berlari dan rebah di parit, mereka tetap mengejar dan menerkam. Saya memanjat tebing, supaya senang mengagihkan mereka di bawah,  mereka tetap memanjat mengekori, merentap kaki, tangan, pakaian, dan terus menyambar. Saya mendaki tebing yang lebih tinggi, mereka muncul pula di depan. Akhirnya tewas dengan serbuan itu, saya leparkan bungkusan gula-gula kepada seorang warga kem yang sedang berdiri di luar khemah bersama isterinya.  Dia pula diserbu.

'Ragutan di tangkai hati'

Ragutan gula-gula oleh tangan-tangan kecil yang keras dalam hela tangisan dan rengekan,  menusuk tepat kelubuk hati. Rentapan mereka bisa memutuskan tangkai nurani. Ia meremukkan jiwa, meruntun keinsanan. Tanpa segan silu, tanpa takut dan bimbang,  mereka menerkam.

Kanak-kanak yang lebih kecil dan rendah tenggelam lenyap dalam himpitan, tangan mereka terkapai-kapai ditepis tangan yang lebih tinggi. Belum sempat gula-gula di tangan kita sampai ke tangan kecil itu,  ia disambar hilang. Ia hanya sebiji gula-gula berperisa mangga.

Gambaran saya untuk pembaca: Senarionya lebih dahsyat daripada menyaksikan sekelompok ikan dalam takungan, melonjak melepasi permukaan air,  bernafas di daratan untuk merebut secebis roti.

Allahu Rabbi! Mungkin ini manisan pertama mereka dalam tempoh bertahun-tahun. Entahlah. Ragutan Balukhali akan diingati sampai mati.

Kem Balukhali menerima 100 pakej makanan untuk 100 keluarga daripada PASRelief. Dua buah telaga tiub PASRelief juga akan dibina di sini,  terlalu jauh daripada keperluan.

Kami mengidamkan sebuah bangunan sementara dibina untuk dijadikan tempat kanak-kanak belajar membaca, mengira dan mengaji al-Quran. Mereka jugak meminta surau untuk berjemaah di beberapa lokasi sekitar kem itu. Telaga tiub untuk sumber air minuman dan makanan adalah keperluan paling mendesak untuk terus hidup. Kami memohon diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk kembali lagi ke sini,  merungkai derita 22 ribu penghuni Kem Balukhali.

Kami beredar dari Cox's Bazar menuju ke Cittagong menjelang tengahari, menempuh tujuh jam perjalanan dengan van. Selamat tinggal lembah penuh luka, medan yang telahpun padat dengan manusia,  ditambah pula kebanjiran muhajirin Rohingya.

Suasananya menjadi kelat dan pekat, murung dan mendung seperti tiada lagi perasaan untuk mendorong tangis mahupun katawa. Berkat kesabaran dan ketabahan mereka yang datang dan yang menerima seadanya, semoga Allah SWT menganugerahkan mereka syurga. – HARAKAHDAILY 9/4/2017

Catatan Misi Kemanusiaan PASRelief Ke Bangladesh 3-8 April 2017oleh Muhammad Sanusi Md Nor.

Telaga tiub

Agihan di Kampung Pembagan

Serahan sumbangan di Kg Jadimura unutk 50 pakej makanan keluarga

Ketua DMPP menyantuni warga emas Rohingya yang buta dan tidak mampu berjalan.