Senario politik Turki pasca PRU Presiden

Dunia
Typography

KENAPA Turki menjadi perhatian?

Sekali lagi politik Turki menjadi perhatian dunia. Tidak pelik, ini kerana Turki adalah sebuah negara yang sangat penting dari sudut sejarah, geografi, sosial dan masa depan politik Dunia Islam. Kepentingannya kerana beberapa faktor.

Pertama; kedudukannya yang strategik menghubungkan antara Benua Asia dan Eropah dan menjadi pintu kepada negara-negara yang sedang bergolak pada hari ini.

Kedua; sejarah politiknya yang sangat hebat menjadi Pusat Pemerintahan Khilafah Islam Uthmaniyyah selama ratusan tahun.

Ketiga; tenteranya yang kuat menjadi alat untuk menjaga kepentingan Barat di Timur Tengah melalui keahliannya di dalam NATO.

Keempat; rakyatnya yang rajin, produktif dan tidak mengalah bukan sahaja di dalam Turki bahkan di serata dunia khususnya di beberapa buah Negara Eropah seperti Jerman yang mempunyai lebih 4 juta bangsa Turki Muslim yang bekerja dan bermastautin di sana.

Oleh kerana kedudukan Turki yang sangat penting kepada Dunia Islam ini, menyebabkan ianya diikat kiri dan kanan untuk menghalang kebangkitannya semula sebagai kuasa besar yang telah menyaksikan kegemilangannya di era Khilafah Islam Uthmaniyyah. Selepas jatuhnya Khilafah dan terbentuknya Negara Turki moden, ianya diikat dengan sistem sekularisma di setiap sendi dalam sistem pemerintahannya. Sekularisma dijadikan sebagai aqidah negara, setiap yang bercanggah dengannya akan diperangi habis-habisan. Turki juga diikat dengan perjanjian-perjanjian ketenteraan khususnya dengan NATO selepas Perang Dunia Kedua.

Kronologi politik Turki pasca 08/16 (Kegagalan rampasan kuasa)

Selepas kegagalan rampasan kuasa pada Ogos 2016, politik Turki telah melalui perubahan dengan begitu drastik sama ada politik dalaman mahupun luaran. Pada April 2017 satu referendum telah diadakan bagi merubah sistem politik baru. 50 juta pengundi daripada 55.3 juta pengundi telah keluar untuk mengundi iaitu sebanyak 86 peratus. Daripada jumlah itu sebanyak 24.763 juta yang menyokong sementara 23.54 juta lagi membangkang.

Ini bermakna kumpulan penyokong memperolehi sebanyak 1.3 juta undi majoriti. Pembuangan undi diadakan di 167 pusat mengundi di 81 wilayah. Referendum diadakan bertujuan untuk merubah 18 fasal dalam perlembagaan khususnya yang paling asas ialah mengubah sistem pemerintahan daripada Sistem Parlimen kepada Sistem Presiden. Perubahan ini akan memberikan kuasa yang lebih besar kepada Presiden untuk mengurus pemerintahannya.

Pilihan Raya Umum dan Presiden 2018

Rakyat Turki baru sahaja selesai mengundi Rejab Tayyib Erdogan sebagai Presiden Turki yang baru dan partinya AKP terus mengukuhkan kuasa. Erdogan mencipta sejarah menjadi Presiden pertama dalam sistem baru yang bertukar dari Sistem Parlimen kepada Sistem Presidensi. Beliau memperolehi sebanyak 52.72 peratus. Antara kuasa yang diperolehi oleh beliau sebagai Presiden:

●     Kuasa eksekutif yang lebih luas khususnya memberi arahan kepada tentera mengikut keadaan yang memerlukan.

●     Boleh mengeluarkan arahan untuk merubah perlembagaan melalui referendum rakyat.

●     Boleh mengisytiharkan darurat dengan syarat-syarat.

●     Boleh membentang Bajet Tahunan dalam Parlimen.

●     Presiden dan Parlimen boleh melantik sekurang-kurangnya 4 orang hakim.

Beberapa senario pasca pilihan raya 2018

Sebelum pilihan raya, parti-parti pembangkang berjanji akan mengekalkan Sistem Parlimen jika mereka berjaya mengalahkan Erdogan dan parti AK. Akan tetapi keputusan pilihan raya adalah sebaliknya. Justeru beberapa senario mungkin berlaku:

Parti AK dan parti MHP (National Movement Party) memerintah bersendirian. Walaupun begitu parti AK akan menghadapi kesukaran kerana kemenangannya bergantung kepada rakan kongsinya iaitu parti MHP. Jika dibuat perbandingan pada pilihan raya 2015, parti AK memperolehi sebanyak 316 kerusi daripada 600 kerusi, manakala parti MHP memperolehi sebanyak 35 kerusi. Adapun pada pilihan raya 2018 jumlah kerusi yang diperolehi oleh parti AK menurun iaitu sebanyak 293 kerusi, manakala parti MHP pula memperolehi sebanyak 50 kerusi.

Dengan erti kata lain parti MHP menjadi penentu atau ‘King Maker’ kepada kemenangan Erdogan sebagai Presiden dan parti AK untuk menguasai Parlimen.

Jumlah undi dan kerusi yang diperolehi oleh parti-parti pembangkang tidak boleh dipandang ringan. Justeru tidak mustahil Erdogan dan parti AK akan cuba mengajak untuk bersama-sama dalam kerajaan. Akan tetapi ianya mungkin tidak berlaku kerana kekuatan pembangkang juga penting untuk menjadi penimbang dan penasihat kepada kerajaan.

Antara perkembangan menarik yang berlaku juga ialah sikap yang diambil oleh parti Saadat yang bekerjasama dengan parti pembangkang terbesar di Turki iaitu CHP (Republican People Party). Sikap ini telah menyebabkan berlakunya konflik dalaman kerana sebahagiannya melihat parti Saadat harus bersama-sama dengan parti AK dan menyokong Erdogan sebagai Presiden dengan alasan polisi-polisinya sudah berbeza dengan sebelum ini yang pro-Amerika Syarikat.

Walaupun begitu parti Saadat memutuskan untuk menjadi pembangkang dan tidak mengundi Erdogan bahkan mencalonkan Presidennya sebagai Temel Karamullahuglo sebagai Presiden dengan alasan perubahan Sistem Presiden ini akan membahayakan Turki untuk jangka masa panjang kerana kuasa yang diberikan kepada Presiden sangat besar. Bagi mereka situasi sekarang ini tidak menjadi masalah kerana yang memimpin Turki adalah Erdogan. Akan tetapi apa akan berlaku jika yang menjadi Presiden selepas ini seorang yang anti-Islam.

Bagi umat Islam di seluruh dunia, perkembangan politik di Turki ini sangat menarik dan kita berdoa mudah-mudahan Turki dipelihara oleh Allah dari segala keburukan.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
12 Syawal 1439 / 26 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 26/6/2018

FB IMG 1530012366692