Modernis: Proksi baru Barat

Dunia
Typography

SALAH satu strategi dalam menangani potensi gerakan Islam adalah dengan mewujudkan kelompok yang kononnya digelar Islam Modernis.

Modernis = Ubah suai agama

Bertentangan dengan kriteria kumpulan Tradisionalis, Modernis merupakan golongan yang kononnya membawa agenda pembaharuan yang ideal, akan tetapi hanya mengikuti aspirasi Barat atau AS.

Dalam tulisan Civil Democratic Islam, Cheryl Bernard mengakui bahawa golongan Modernis sangat menguntungkan Barat.

Hal ini kerana Barat memerlukan golongan moden yang berfungsi menjalankan kempen agar umat Islam meninggalkan ajaran asal agama Islam, termasuk berusaha melakukan pengubah suaian dan mengabaikan elemen Syariat Islam yang asli.

Sokongan Barat terhadap Modernis

Strategi yang disarankan bagi mengangkat populariti Modernis adalah seperti berikut:

●     Menerbitkan dan mengedar produk mereka

●     Memberi galakan agar mereka menulis

Tulisan tersebut pula mestilah disasarkan kepada generasi muda dan audiens secara pukal.

Apabila generasi pelapis berjaya dirosakkan, kumpulan pejuang Islam (digelar Fundamentalis) akan melalui fasa 'vakum'. Ketandusan pemikir dan pemimpin berkaliber yang mampu mendepani cabaran semasa dan mendatang.

●     Menerapkan doktrin-doktrin kelompok Modernis dalam kurikulum Pengajian Islam untuk diLiberalkan

Ajaran Islam yang asli akan dituduh kononnya sebagai ekstrim lagi radikal. Manakala 'Islam beracuan Barat' dipopularkan dengan wajah positif. Kononnya moden, sesuai dengan perkembangan dunia dan lebih harmoni.

Hakikatnya, doktrin tersebut membawa kepada kesesatan berupa Pluralisme dan kecacatan identiti seorang Muslim.

●     Menaja pentas awam dan platform strategik agar mereka dikenali ramai

Semakin mereka popular, semakin mudah umat Islam dipengaruhi walaupun di awal kemunculan kontroversi mereka dilihat sesat.

Lama kelamaan berlaku pelbagai proses normalisasi terhadap kesesatan mereka.

●     Menyebar luaskan serangan dan provokasi mereka yang mencabar golongan Fundamentalis

Dominasi media sangat penting agar idea karut mereka mudah diakses audiens.

Interpretasi baharu mereka terhadap kefahaman beragama mesti dipasarkan secara sistematik.

Sebaran bahan-bahan kempen mereka perlu diperluas agar kumpulan Modernis ini mampu menyaingi kelompok Fundamentalis dan Tradisionalis yang mempunyai kelebihan tersendiri dari sudut laman web, syarikat penerbitan, sekolah, institusi dan lain-lain instrumen sebaran idea.

●     Memposisikan Modernisme sebagai "Counter Culture" atau arus baharu. Alternatif ini disediakan untuk mengubah norma sosial umat Islam

Setelah aktivis mereka berjaya diprojekkan sebagai figura, maka kerja menarik golongan muda agar menyambut 'Islam versi sesat' ini akan menjadi semakin mudah.

Anak muda yang memberontak dan kecewa terhadap penyelewengan pihak berautoriti dalam Institusi Agama Islam sangat mudah terjerat dengan strategi ini.

●     Memperbanyakkan penceritaan sejarah kegemilangan pemerintahan bukan Islam atau Tamadun Jahiliah agar kisah tersebut menjadi sebutan umat Islam

Apabila kejayaan bukan Islam sering diulang-ulang, umat Islam mudah melupakan sejarah kehebatan Islam sekali gus meragut keyakinan terhadap masa depan Islam.

●     Promosi dan bantuan kepada Institusi atau program kesenian, kebajikan, kemanusiaan dijalankan dengan giat 

Apa sahaja aktiviti yang dijalankan badan-badan Sekular ini mesti diberi sokongan.

Antara organisasi yang mendapat tajaan dan dana untuk menjalankan perkara-perkara tersebut adalah seperti:

•     Islamic Renaissance Front (IRF)

•     Malaysiakini

•     Projek Dialog

•     BERSIH

•     Merdeka Center

Serius memperjuangkan Islam

Strategi ini ditulis dan disebarkan melalui badan kajian Amerika Syarikat sendiri, antaranya adalah RAND Corporation.

Mereka memuat naik laporan kajian mereka di alam maya dengan begitu santai. Seolah-olah mengejek kemalasan kita membaca dan mengkaji.

Atau sebenarnya kini umat sedang lali dibius pelbagai fantasi. Menjadikan perjuangan Islam yang kita bawa tidak lebih sekadar gimik.

Acah-acah memperjuangkan Islam, tetapi leka terhadap perancangan musuh.

SOFIA ALWANI ALI 
22 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 23/5/2018

FB IMG 1527026472597