20
Tue, Aug
31 Artikel Baru

Kenapa dunia terus gagal bertindak ke atas Myanmar?

Dunia
Typography

PRESIDEN MAPIM, Cikgu Azmi telah berucap di UN di Geneva pada 8 Mac 2017 dalam forum khas anjuran Islamic Human Rights Commission (IHRC) yang berstatus perundingan (consultative) di bawah Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial, UN.

Beliau diminta berucap mengenai pengelaman dan kesan Food Flotilla for Myanmar. Dalam ucapan lebih 25 minit itu beliau telah menekankan bagaimana komuniti dan agensi dunia gagal mengatasi penindasan ke atas kaum Rohingya sejak lebih enam dekad.

"Ini bukan isu yang kompleks sebagaimana ramai pihak cuba melihatnya. Ia isu yang jelas dan terang. Ia isu penafian hak dan penghapusan etnik," kata beliau di depan wakil pelbagai NGO dan wakil negara.

"Apakah kita nak memberitahu ibu yang diperkosa dan anaknya disembelih oleh tentera Myanmar, bahawa ini isu kompleks dan susah untuk diselesaikan? Sedangkan ia jelas soal keganasan yang didalangi oleh pemerintah Myanmar dan melanggar segala perundangan antarabangsa. Kenapa dunia bertangguh untuk mengambil tindakan ke atas Myanmar yang sudah sekian lama melakukan jenayah ke atas kemanusiaan?" ujar beliau lagi.

Cikgu Azmi telah mendedahkan fakta yang diperolehi dari dalam Maungdaw mengenai keganasan yang telah dilakukan ke atas etnik Rohingya sejak 9 Oktober 2016 di negeri Rakhine/ Arakan utara:
Tentera Myanmar dan Polis Kawalan Sempadan telah melakukan jenayah berikut
•50 perkampungan dibakar
•12,118 rumah dibakar
•118 madrasah dimusnah
•143 masjid dibakar dan dimusnah
•913 kedai muslim dibakar
•1,094 orang (lelaki, wanita, kanak-kanak) hilang
•97,000 orang hilang tempat tinggal
•2,327 orang ditahan
•1,447 orang cedera
•2,287 wanita dan gadis dirogol
•1,234 orang terbunuh
•73,000 melarikan diri ke Bangladesh

"Kami menggerakkan inisiatif flotilla bukan hanya soal menghantar bantuan kemanusiaan semata-mata tetapi adalah untuk menarik fokus dunia. Bahawa jenayah yang dilakukan pemerintah Myanmar tidak boleh dibiarkan berterusan. Dunia mesti melakukan tekanan yang cukup kuat ka atas Myanmar untuk dipaksa menghentikan kezaliman yang dilakukan ke atas minoriti Mulsim Rohingya," tambahnya lagi.

Turut berucap dalam sessi khas itu ialah Pengerusi ARU (Arakan Rohingya Union), Dr Wakaruddin dan Pengarah IHRC, Massoud Sajareh.

"Bangladesh juga tidak boleh dilepaskan? Kesukaran untuk badan kemanusiaan untuk membantu pelarian ke Bangladesh perlu diatasi segera. Anehnya sementara Bangladesh mengatakan ia tidak mampu menerima ratusan ribu pelarian Rohingya, namun ia juga beralasan jika dibenarkan badan antarabangsa membantu pelarian akan mengalakkan lagi pelarian Rohingya memasukki Bangladesh," kata Cikgu Azmi lagi.

Namun bukankah itu isu Bangladesh untuk bersama komuniti dunia menekan Myanmar supaya menghentikan keganasan ke atas etnik Rohingya. Apakah alasan yang sama boleh diberi kepada negara lain yang menerima pelarian Rohingya?

Pengalaman hanya 25 orang sahaja dari 182 orang delegasi Flotilla yang dibenarkan melawat kem pelarian telah menggambarkan pihak Bangladesh keberatan menerima pihak luar membantu pelarian.

"Padahal ini adalah usaha besar Malaysia yang mahu meringankan bebanan Bangladesh," ujar Cikgu Azmi.

Cikgu Azmi mempersoalkan kenapa komuniti dunia gagal bertindak menyelamatkan etnik Rohingya daripada penindasan yang menderita lebih setengah abad. Apa yang menghalang Myanmar daripada diheret ke mahkamah anatarabangsa atau sekatan dikenakan keatas negara tersebut?
 
Dalam ucapan beliau, perkara yang dituntut dilaksanakan oleh pihak Majlis Hak Manusia PBB (UNHRC) ialah mewujudkan Komisi Penyiasatan Antarabangsa (International Commission of Inquiry) atau badan yang seumpama itu untuk menyiasat pelbagai perlakuan ganas tentera Myanmar.

Operasi Pemusnahan (Clearance Operation) yang dilancarkan oleh tentera Myanmar telah melanggar pelbagai undang-undang hak manusia antarabangsa. Ia termasuk jenayah ke atas wanita dan kanak-kanak, pembunuhan dan penangkapan tanpa bicara, pengusiran, pemusnahan dan perampasan harta benda.

Pejabat UNHRC telahpun mendokumentasikan kes-kes pelanggaran hak manusia oleh tentera Myanmar yang serius terhadap etnik Rohingya ketika operasi tentera Myanmar tersebut yang jelas melakukan jenayah ke atas kemanusiaan. Banyak lagi dokumentasi telah dikumpulkan yang sepatutnya menjadi alasan kukuh untuk mewujudkan badan penyiasatan tersebut.

Pihak Myanmar telah menafikan semua bukti yang dikumpul dan pihak tentera mengguna imuniti berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan 2008 untuk tidak didakwa. Sehingga hari ini tidak ada seorangpun yang didakwa ke atas jenayah yang dilakukan.

Pada Februari 2016, tiga orang pegawai rendah telah dihukum dua bulan penjara dan tiga pegawai tinggi diturun pangkat mengenai kes memukul dan menyiksa tahanan Rohingya yang diviralkan. Sejak Oktober 2016, empat komisi untuk menyiasat ditubuhkan oleh kerajaan Myanar, namun semuanya tidak mempunyai wibawa, kredibiliti, kebebasan dan kepakaran untuk melakukan sisatan yang berkesan dan bebas.

Pada 1 Disember 2016 Presiden Myanmar Htin Kyaw menubuhkan komisi siastan 13 anggota yang dipengerusi oleh Timbalan Presiden,  Myint Swe, seorang bekas jeneral tentera untuk ‘mencari kebenaran’ keganasan tentera. Anggota komisi itu termasuk Ketua Polis Myanmar dan bekas pegawai kerajaan. Rumusan siasatan ialah menafikan sebarang salah guna kuasa oleh tentera Mynamar.

Demikian juga sebuah komisi yang ditubuh oleh parlimen negeri Rakhine pada 24 Oktober 2016 yang dianggotai oleh 11 anggota, namun secara dominan dikuasai oleh etnik Rakhine dari Parti Nasional Arakan (ANP). Komisi ini tidak menyiasat pelanggaran hak manusia, hanya menumpu kepada serangan ke atas pos tentera pada 9 Oktober 2106.

Pengerusi Komisi tersebut seorang ahli Parlimen ANP, Aung Win, menyatakan kepada BBC, bahawa kes merogol wanita Rohingya tidak mungkin terjadi sebab wanita Rohingya adalah "kotor" dan "mereka tidak cantik, jadi tidak ada orang Buddha tempatan mahupun tentera yang mahu merogol mereka". – HARAKAHDAILY 11/3/2017