Mu tunggu Malaysia! Kami pulang undi PAS

Dunia
Typography

BAHANG PRU14 sebenarnya tidak hanya dirasai bertempat tetapi lebih dari itu. Ia sebenarnya dijiwai di setiap hati rakyat Malaysia yang patriotik, cintakan tanah air walau di mana mereka berada.

Kecintaan itu dibuktikan oleh sekumpulan warga Malaysia yang menetap di sekitar Timur Tengah, berkumpul di Doha bagi menzahirkan sokongan kepada PAS yang dijangkakan akan memerintah Malaysia atau paling kurang menakluk beberapa lagi buah negeri nanti.

Tidak hanya bercakap, mereka juga telah bersiap sedia mahu pulang mengundi bersama keluarga kerana menyahut seruan Presiden PAS yang memanggil perantau-perantau untuk pulang, membantu PAS dengan undi mereka.

Menurut jurucakap kumpulan ini, Haji Amir Ali yang bertugas di Qatar, pada asalnya, kumpulan yang diberi nama Sahabat PAS Middle East ini, ditubuhkan bagi mengendalikan program-program jika sekiranya ada pimpinan PAS datang ke sekitar Timur Tengah.

“Kami beramai-ramai membantu aktiviti pimpinan PAS di sini dan juga aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain.

"Kami juga pada kebiasaannya akan membuat kutipan derma kepada PAS sebagai tanda kerjasama kami yang tidak dapat banyak membantu PAS di Malaysia kerana kekangan kerja di sini.

"Dan bagi PRU ini, kami sudah beramai-ramai membeli tiket, mengambil cuti untuk pulang ke kampung masing-masing sudah tidak sabar bagi memenangkan PAS.

"Kami yakin dengan barisan calon-calon PAS yang dimaklumkan adalah yang teramai mempunyai kelulusan PhD, sekali gus akan menambah keyakinan pengundi bagi PAS membina Negara Teknokrat selepas ini,” kata Haji Amir yang akan pulang ke Terengganu.

Manakala bagi Azwira Abdul Wahab yang juga berkerja di Qatar pula, PRU ini adalah satu tanggungjawab kepada setiap rakyat Malaysia kerana melalui PRU ini, kita akan dapat membina negara mengikut kepimpinan yang kita mahukan.

“Saya akan balik mengundi di dua tempat iaitu Kota Bharu bagi isteri saya dan saya sendiri akan mengundi di Terengganu.

"Walaupun saya akan berkejar kedua-dua tempat, tetapi memandangkan rasa tanggungjawab saya kepada jemaah yang saya yakini, saya tidak menganggap itu sebagai masalah besar,” tegas beliau.

PAS di Parlimen Indera Mahkota dan Dun Beserah pula akan menerima undi daripada Mohamad Saperi Ab Manan yang akan pulang pada Ahad ini ke kampung di Pahang.

Beliau yang sekarang ini bertugas di Arab Saudi ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp berjanji akan memastikan calon PAS di Beserah, Andasura Rabu akan mengekalkan kerusinya kerana beliau tahu akan kebaikan Andasura selama menjadi Adun di situ.

“Indera Mahkota insyaAllah pula akan juga dimenangi oleh PAS melalui Ustaz Nasruddin Hassan yang saya mahukan dia terus bersuara di Parlimen bagi pihak rakyat.

"Kami pulang ke Malaysia menggunakan belanja kami sendiri, demi untuk melihat perubahan di Malaysia melalui PAS. Jadi apakah alasan anda yang tinggal di Malaysia untuk tidak pulang mengundi,” cabar beliau kepada pengundi luar di Malaysia.

Untuk rekod, di Qatar sahaja, seramai kira-kira 5000 orang penduduk Malaysia yang tinggal bekerja di sini.

MOHD NASIR ABDULLAH - HARAKAHDAILY 6/5/2018