20
Mon, May
28 Artikel Baru

PAS santuni Muslim Rohingya di Sittwe

Dunia
Typography

DELEGASI PAS tiba di Sittwe, Rakhine State (Arakan) pada jam 6.30 malam waktu Myanmar, setelah berlepas dengan penerbangan domestik dari Yangon pada jam 5 petang.

Sehari di Yangon, delegasi ini yang dianggotai oleh saya, saudara Zaki Mustaffa, Ustaz Ahmad Tarmizi (MAPIM) dan Mohamad Azwan Kamaruzzaman (Rahmat Care) berjaya menguruskan kebenaran memasuki Sittwe dengan pihak berkuasa Myanmar. Proses ini agak rumit tetapi berjaya diselesaikan dengan bantuan kenalan di sini yang berpengalaman.

Pada hari pertama di Sittwe, misi PAS bermula di kampung Thambi Para, yang terletak lebih kurang 25 kilometer dari pusat bandar Sittwe. 100 set bahan makanan yang mengandungi seguni beras, gula, tepung, minyak masak dan lain-lain diagihkan kepada penduduk kampung. Kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT dan perasaan lega terpancar di wajah penerima,  memandangkan penduduk kampung amat jarang dilawati berbanding mereka yang tinggal di kem-kem penempatan.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah kanak-kanak yang menerima ole-ole ais krim dan gula-gula.

Penduduk Thambi Para sangat berterima kasih dengan kehadiran PAS untuk membantu mereka. Terdapat di antara mereka yang terharu sehingga menitiskan air mata. Kami beredar setelah menerima pelukan persaudaraan daripada jemaah masjid yang bersiap menunaikan solat zohor.

Misi berikutnya di Kem Penempatan Thet Kya Pyin yang dihuni 200,000 orang muslim Rohingya di pinggir sebuah kampung yang hanya berkeluasan kira-kira 4.8 kilometer persegi.

Delegasi PAS menyampaikan sumbangan untuk membina tiga buah telaga tiub (tubewell) di sini. Kami turut dibawa melawat rumah-rumah penempatan sementara yang telah uzur dan dibangunkan semula oleh MAPIM dengan kerjasama Baraka City,  sebuah NGO Perancis.

Menurut Saudara Hashim yang mengaturkan kehadiran delegasi PAS ini, keperluan paling mendesak di kem-kem di Sittwe pada masa ini ialah makanan.

Selain merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada keprihatinan PAS kepada Muslim Rohingya, mereka juga memohon PAS untuk turut membantu dalam usaha menguruskan sistem pendidikan anak-anak Muslim Rohingya termasuk program membina bangunan sekolah dan penyediaan guru-guru terlatih.

Ramai daripada kalangan Muslim Rohingya yang berpendidikan tinggi memilih untuk berkhidmat dengan NGO dan agensi bantuan kerana faktor pendapatan dan gaji. Guru-guru sekolah Rohingya tidak bergaji dan berkhidmat secara sukarela.

Apabila ada peluang lebih baik untuk mencari wang untuk menyara kehidupan,  mereka terpaksa meninggalkan sekolah untuk bekerja di tempat lain. Akibatnya, anak-anak mereka tidak mendapat didikan daripada guru yang memiliki kemahiran, kini bergantung kepada guru berpendidikan rendah dan berkhidmat secara sukarela.

"Saya melihat masa depan kami dan anak-anak yang sangat gelap dengan situasi yang ada pada masa ini." ujar beliau.

Misi seterusnya adalah di beberapa kem penempatan dan beberapa buah kampung yang memakan masa perjalanan 4 hingga 5 jam dari bandar Sittwe.

Sumbangan untuk program bantuan untuk Muslim Rohingya boleh disalurkan ke akaun Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 (Maybank). – HARAKAHDAILY 8/3/2017

Catatan Muhammad Sanusi Md Nor dari Sittwe (Arakan) Myanmar.

sitwe 10

sitwe 11

sitwe 6

sitwe 3

sitwe 1