Tunjuk perasaan bantah pembunuhan kejam aktivis Palestin

Dunia
Typography

RAKYAT Palestin mengadakan tunjuk perasaan selepas pasukan keselamatan Israel membunuh seorang aktivis mereka Isnin lalu.

Penunjuk perasaan telah berarak di Ramallah Tebing Barat sambil menyeru keadilan diberikan terhadap mereka.

Demikian menurut Al-Jazeera yang melaporkan aktivis Palestin berusia 31 tahun, Basil al-Araj telah dibunuh di sebuah rumah yang terletak di kawasan al-Bireh, pinggir Ramallah.

Selain itu, hospital Palestin memaklumkan dua rakyat Palestin turut cedera akibat tembakan dalam pertempuran berikutnya dengan pasukan keselamatan Israel.

Aktivis Palestin, Mustafa Barghouti selaku ketua parti politik Inisiatif Kebangsaan Palestin, memberitahu Al Jazeera bahawa kematian Araj adalah merupakan satu tindakan di luar undang-undang.

Namun demikian, polis Israel berkata pihak mereka berada di sana untuk menangkap Araj dan kemudian mendapati dua senjata api di dalam rumah tersebut.

Hal demikian menyebabkan tentera Israel menganggap Araj pengganas.

Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld, melalui laman Twitternya menuduh Araj telah merancang serangan terhadap orang awam dan pasukan keselamatan.

Manakala, seorang lagi jurucakap polis Israel berkata, Araj adalah ketua yang merancang serangan serangan terhadap Israel.

Walau bagaimanapun, bapa saudara mangsa, Khalid al-Araj menafikan tuduhan tersebut.

Beliau berkata anak saudaranya adalah seorang intelektual yang menumpukan banyak masa untuk membaca dan membuat kajian, terutama tentang sejarah dan geografi Palestin.

Sementara itu, ahli politik Palestin, Barghouti telah melawat rumah di Ramallah di mana pertempuran tersebut berlaku dan mendapati rumah itu dihujani peluru Israel.

“Terdapat pertarungan dan pertembungan antara mereka, tetapi apa yang saya dapati adalah bahawa satu-satunya pasukan yang menembak adalah Israel

“Jika Araj mempunyai sebarang peluang untuk menembak, dia tidak akan dapat untuk menembak lebih dari satu peluru,” katanya kepada Al Jazeera.

Sejak Oktober 2015, lebih daripada 265 rakyat Palestin terbunuh menurut angka rasmi Palestin. (ulamasedunia)