Tiga agenda utama 'Deal of The Century'

Dunia
Typography

SELEPAS Asia Barat berjaya dikucar-kacirkan oleh Amerika ketika era Obama, kini fasa ke seterusnya beralih kepada projek pemetaan semula rantau tersebut. Ia kelihatan mirip seperti Perjanjian Sykes-Picot yang telah dijayakan sekitar 100 tahun yang lalu.

Siapa di belakang Trump?

Agenda 'Deal of The Century' digalas oleh Donald Trump. Di belakang Trump terdapat pemikir-pemikir Zionis yang mempengaruhi pendirian dan tindakannya, seperti Michael Richard Pence yang merupakan Timbalan Presiden AS.

Maka tidak hairanlah pentadbiran Trump memperlihatkan komitmen untuk memastikan Palestin diserahkan sepenuhnya kepada Yahudi.

Tiga agenda utama 

Aktivis Zionis yang bernama Daniel Morganstern pada tahun 2017 telah merumuskan bahawa projek 'Deal of The Century' mempunyai tiga agenda utama. Pendedahan ini dikuatkan lagi dengan pengakuan yang dibuat oleh John R. Bolton ketika persidangan Pelobi Yahudi Amerika di New York. Tiga agenda utama tersebut adalah:

●     Projek pemindahan penduduk Gaza ke Semenanjung Sinai, Mesir.

●     Sebahagian Tebing Barat diserahkan kepada Jordan. Sebahagian lagi dimiliki oleh Israel.

●     Ibu negara Israel dipindahkan ke Jurusalem yang membawa kesan penguasaan penuh Israel ke atas bumi Palestin.

Agenda ini dimulakan oleh Amerika dengan memindahkan kedutaan mereka ke Jurusalem.

Negara pelaksana

Demi menjayakan rancangan ini, Mesir dan Saudi perlu memainkan peranan yang cukup besar. Maka tidak hairanlah kedua negara Arab tersebut memerlukan penguasa yang berperwatakan agresif untuk menerajui tindakan nekad 'Deal of The Century'.

Politik Saudi mengalami perubahan drastik yang dibawa oleh Putera Muhammad Bin Salman. Beliau dengan karakter mudanya dilihat cuba menukar gaya Saudi yang konservatif kepada ala-ala Barat. Bahkan di kalangan ulama konservatif di Saudi pun mula tidak mendapat tempat.

Mesir seperti yang diketahui umum, diperintah oleh Sisi yang dilihat cukup anti terhadap gerakan Islam dan lunak dengan agenda 'Deal of The Century'.

Naratif yang membingungkan 

Naratif yang selalu dimainkan bahawa antara Wahabi dan Khalafi saling bertelagah antara satu sama lain. Jika kita masih terperangkap dengan sektarian mazhab tersebut, sudah pasti kita akan merasa bingung hari ini.

Bagaimana Mesir yang dikatakan Khalafi itu kini boleh berbaik sakan dengan Saudi yang dikatakan Wahabi. Itulah politik. Mazhab hanya dijadikan alat propaganda untuk mewajarkan konflik yang direka oleh pencatur politik.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD 
1 April 2018 - HARAKAHDAILY 1/4/2018