Kemenangan Sisi langsungkan 'Deal of The Century'

Dunia
Typography

GENERAL Abdul Fattah Sisi sekali lagi dipilih memenangi pilihan raya Presiden Mesir dengan meraih undi sebanyak 92 peratus meninggalkan pencabarnya Musa Mustafa. Jurang angka yang terlalu aneh tersebut menggambarkan realiti kepincangan demokrasi di negara Arab. Sementara itu terdapat 2 juta undi rosak sebagai isyarat protes dari rakyat yang kecewa dengan senario politik di Mesir.

Mengapa Sisi perlu menang? 

Mesir merupakan negara yang berjiran dengan Israel. Ia juga sebagai negara yang terlibat dalam plan pemetaan semula Asia Barat. Terutamanya dalam projek perluasan Israel dan pemindahan Palestin.

Untuk melangsungkan agenda tersebut, sudah pasti Sisi diperlukan untuk terus menguasai Mesir. Ini memandangkan beliau terlibat dalam perundingan projek tersebut sejak fasa awal. Jika tampuk kepimpinan Mesir diganti dengan presiden lain, sudah pasti membantutkan kelangsungan usaha jangka panjang tersebut.

Apa khabar 'Deal of The Century'

Plan yang cukup besar ini telah termeterai sejak 2017, membabitkan negara-negara Arab dan Eropah. Ia juga merupakan projek besar-besaran Amerika yang dilaksanakan oleh Trump.

Plan ini turut mengingatkan kita apa yang telah diagendakan oleh Theodor Herzl sekitar 100 tahun yang lalu, bahawa Zionis mahukan perluasan kawasan Israel dari sungai Furat hingga ke sungai Nil.

Fasa awal kepada projek tersebut adalah pemindahan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Jurusalem. Ia disokong penuh oleh Amerika dan kini sedang berlangsung.

Gaza dihalau ke Sinai 

Di sinilah menampakkan signifikan Mesir dalam menjayakan 'Deal of The Century'. Pendirian Sisi yang cukup tajam dengan kumpulan Islam dan lunak dengan Israel bukanlah satu pertikaian. Ia amat dimaklumi.

Tahun 2018 merupakan tahun Mesir menunjukkan komitmen penuh dengan 'menyapu' halangan-halangan yang berada di Sinai. Ia sebagai persediaan.

H. R McMaster selaku Pegawai Tinggi Tentera Amerika telah membuat perakuan terhadap projek besar ini. Seramai 9 juta penduduk Palestin akan dipindahkan secara beransur-ansur ke Semenanjung Sinai yang telah dikerat dua.

Keluasan Semenanjung Sinai adalah 60,000 km persegi. Wilayah baharu bagi Palestin di Sinai akan dibahagikan separuh, iaitu seluas 30,000 km persegi.

Infrastruktur Palestin baharu  

Demi menjayakan projek perluasan Israel, negara-negara yang bersekongkol dengan agenda 'Deal of The Century' telah berkongsi komitmen menyuntik dana buat masa ini sebanyak USD 2.5 billion.

Negara-negara teluk menyumbang USD 1.5 billion. Kesatuan Eropah dan Amerika menyumbang USD 700 juta. Sementara Korea Selatan dan Jepun menyuntik USD 300 juta.

Projek menyediakan infrastruktur bagi Palestin Baharu dijangkakan memakan masa selama 30 tahun. Ia kelihatan baik kononnya untuk memberi penempatan baharu buat warga Palestin. Namun hakikatnya ia merupakan operasi menghalau mereka secara beransur-ansur dan meluaskan sempadan Israel.

Sisi sebagai antara pelaksana kepada projek besar ini. Beliau akan sentiasa dipastikan menang untuk terus menerajui Mesir walau dengan apa cara sekalipun.

Saudaraku yang tersepit 

Saudara-saudara seiman kita di Gaza sedang bergelut dengan agenda celaka ini. Semalam (30 Mac 2018), mereka melancarkan 'The Great Return March' sebagai reaksi terhadap kepungan berpanjangan.

Sementara Amerika tetap berdegil meneruskan nekad mereka bersama Israel, memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Jurusalem. Apakah kita masih tidak nampak agenda sebenar di sebalik segala apa yang berlaku di Asia Barat?

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD 
31 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 31/3/2018