PASRelief gerak penghantaran makanan langsung ke Arakan

Dunia
Typography

KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) terus mendokong jihad para penduduk Muslim Rohingya untuk kekal bertahan hidup di kampung halaman mereka dalam negeri Arakan, Myanmar.

Sehubungan itu, PASRelief telah menggerakkan usaha menyalurkan bantuan kecemasan makanan pada November 2017 dan Januari lalu untuk para mustad'afin tersebut agar istiqamah dan sabar menempuh perjuangan mereka.

Terkini, sumbangan buat kali ketiga berjaya sampai ke sasaran serta diagihkan kepada kebanyakan mereka yang berada dalam daerah Buthidaung dan Muangdaw sejak 4 Mac lalu hingga kelmarin.

Menurut Pengarah PASRelief Malaysia, Muhammad Sanusi Md Nor, mereka itu juga memilih bertahan di sana kerana tidak mampu menempuh perjalanan jauh untuk lari ke Bangladesh, selain ketiadaan wang kerana tidak dapat bekerja.

"Sejak (tragedi hujung) Ogos 2017, mereka hidup berkongsi makanan sesama mereka. Bergilir-gilir antara rumah ke rumah dan kampung ke kampung mencari makanan. Bekalan makanan disekat untuk memaksa mereka menjadi pelarian.

"Penghantaran ini dilakukan melalui 'rangkaian' PASRelief yang masih aktif melakukan kerja-kerja kebajikan bekalan makanan di beberapa daerah yang dilanda operasi genocide junta Myanmar dan pelampau Buddha Rakhine," terangnya.

Jelasnya, pada misi kali ini sebanyak RM30,000 disalurkan menerusi dua 'rangkaian' yang diperkenalkan sebagai Ustaz Reazul Haq dan Ustaz Aziz di mana penghantaran itu biarpu sangat sukar, namun sampai kepada sasaran.

Tambah Sanusi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, kiriman dan penghantaran termasuk dari saudara mereka di luar negara sukar sampai dan masuk kerana sekatan yang dibuat oleh pihak polis dan pelampau.

Selain itu menurutnya, kaum Rohingya di sana menerima sumbangan wang pula perlu membeli padi untuk dikisar mendapatkan beras sebelum ianya diagihkan sesama mereka di kampung-kampung.

Orang ramai diseru terus menghulurkan sumbangan yang boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 5640 7061 1352 atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa dan sebarang pertanyaan hubungi Mohd Adram Musa di talian 013-384 5555.-HARAKAHDAILY 9/3/2018