Seruan kepada negara-negara Islam

Dunia
Typography

TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel adalah satu aksi perisytiharan perang (act of war) dengan seluruh dunia Islam.

titmPerisytiharan melulu oleh Trump sudah tentunya akan mencetuskan tindak balas seluruh dunia Islam dan masyarakat antarabangsa yang mencintai keharmonian.

Umat Islam melihat pengisytiharan Trump ini sebagai satu petaka besar kepada umat ini, setelah Yahudi berjaya menjadikan kuasa besar sebagai alat bagi menghalalkan tindakan mereka ke atas Palestin dan negara Islam seluruhnya.

Apa yang membimbangkan ialah hakikat umum bahawa tindakan melampau hanya akan melahirkan golongan pelampau yang tiada siapa yang dapat mengawal kemunculannya.

Tindakan melampau Trump ini diharap membuka mata seluruh pemimpin dunia Islam untuk bersatu dan berhenti bertelingkah antara satu sama lain.

Pertelingkahan sesama negara Islam hanya menguntungkan musuh Islam malah membuka laluan untuk sesetengah negara Islam untuk menjadi tali barut AS dan digunakan AS untuk menjayakan taktik "menggunakan umat Islam untuk melawan umat Islam" dengan menjadi pembekal senjata kepada kedua-dua pihak yang bertelagah untuk saling membunuh sementara Israel terus dilindungi.

Hentilah pembunuhan sesama sendiri yang menguntungkan negara pembekal senjata. Kerana yang hancur ialah negara umat Islam, yang terkorban ialah umat Islam, yang menjadi pelarian juga umat Islam bahkan negara Islam juga yang terpaksa menerima pelarian. Sedangkan yang mengaut keuntungan ialah negara Barat dan sekutu-sekutu Israel.

Sedarlah. Tidak mustahil tindakan melampau Presiden Amerika ini akan menjadi titik yang menyatukan seluruh umat Islam bagi membela dan membebaskan bumi Palestin dan Masjidil Aqsa dari cengkaman zionis laknatullah.

Oleh itu, PAS menyeru negara Islam yang sedang bersengketa sesama sendiri sama ada di Yaman, Saudi, Syria, Iraq kembali ke meja rundingan. Akui kelemahan sendiri adalah langkah pertama untuk menuju semula ke arah kebangkitan.

Umat Islam perlu bersatu dalam sikap dan tindakan ke atas rejim Yahudi dan AS khususnya.

PAS menyeru seluruh ahli dan mereka yang cintakan keamanan, keharmonian dan cintakan kiblat pertama umat Islam untuk sama-sama hadir dalam Himpunan Aman menentang Perisytiharan AS dan kezaliman zionis pada hari ini, 8 Disember 2017 Jumaat ini sebagaimana arahan Tuan Guru Presiden.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
Madinah al Munawarrah
8 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 8/12/2017

solidariti