Konflik Yaman selepas kematian Ali Abdullah Saleh

Dunia
Typography

PERANG di Yaman memasuki fasa baharu selepas bekas Presiden Ali Abdullah Saleh dibunuh, didakwa oleh kumpulan Houthi yang telah melalui sejarah panjang bertempur dan akhirnya berpakat dengan Saleh dan kemudian dikhianati oleh broker kuasa yang telah memerintah Yaman yang bersatu selama 21 tahun, selepas memimpin Yaman Utara sejak 1978.

Saleh mencatat sejarah sebagai pemain politik yang licik dan berstrategi, bekerjasama, bermusuh, dan mempergunakan pelbagai kumpulan di Yaman dan juga kuasa-kuasa asing termasuk Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

Berakhirnya hayat Saleh bermakna seorang tokoh penting dalam politik kompleks Yaman yang mencatur dan menguasai republik itu selama berkuasa dan kembali menggugat pemerintah pada 2014 telah tiada, membuka pelbagai kemungkinan melibatkan pemain-pemain lain yang mungkin tidak selicik dan berpengalaman sepertinya.

Walaupun telah disingkir, Saleh kekal berpengaruh dan peranannya masih boleh diharapkan dalam rundingan melibatkan pelbagai kumpulan di negara itu, selepas menangani pelbagai kumpulan untuk kekal berkuasa selama 33 tahun.

Sehingga tindakannya mengajak Riyadh berdamai dan berunding untuk memulakan kerjasama dan memerangi Houthi, Saleh menjadi punca kepada kesukaran yang dihadapi Saudi dalam usaha memerangi perampas kuasa dan meletakkan kembali presiden disokongnya.

Kepentingan Saleh ini menjelaskan kenapa beberapa bulan lalu, Saudi dengan kerjasama Rusia membantu bekas presiden itu, memberi laluan kepada pasukan perubatan Rusia masuk ke Sanaa untuk merawatnya dan kemudian menerbangkannya ke hospital di Arab Saudi, tindakan yang pada masa itu telah dilihat sebagai usaha Saudi untuk menarik kerjasama dengan Saleh dan memecahkan pakatan dengan Houthi.

Bagi kumpulan Houthi, ia boleh dikira telah mencatat satu kejayaan besar kerana berjaya menghapuskan seorang musuh ketatnya yang telah khianat dan bertanggungjawab membunuh seorang pemimpinnya, Hussein Badreddin al-Houthi pada 2004, dalam salah satu pertempuran kumpulan itu dengan pemerintah diketuai Saleh.

Ia telah berjaya menyingkirkan musuh yang telah berpaling tadah dan bersedia bekerjasama dengan Arab Saudi yang telah memulakan perang di negara itu sejak 2015, sekaligus mengukuhkan penguasaan di sebelah utara Yaman.

Tetapi pada masa sama, kumpulan yang telah menguasai Sanaa sejak 4 tahun lalu itu juga kehilangan seorang sekutu yang paling kuat pernah ia miliki, yang mempunyai hubungan dengan tentera dan pelbagai akses lain yang telah memberi kelebihan hingga memudahkan kemaraannya menguasai ibu negara pada 2014.

Saudi yang bertekad menghapuskan kumpulan yang didakwa disokong Iran itu kini berdepan keadaan agak sukar kerana ketiadaan Saleh yang licik dan dapat diharapkan untuk memerangi Houthi.

Eksploitasi sentimen anti-Houthi atau anti-Iran ekoran pembunuhan Saleh ini dapat dijadikan satu sumber untuk membantu membina sokongan terhadap kempen memerangi Houthi, tetapi ini bergantung kepada sejauh mana Saleh disokong oleh kumpulan-kumpulan lain yang berkepentingan dalam Yaman.

Perkembangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, antaranya pengukuhan Houthi yang menguasai Sanaa, sokongan terhadap pemerintahan Presiden Abdrabuh Mansour Hadi dan peranan kabilah berpengaruh menunjukkan banyak pihak berkepentingan dan pengaruh Saleh tidak sekuat seperti sebelum ini sehingga sentimen sokongan terhadapnya dapat membangkitkan penentangan terhadap Houthi.

Apa yang menyusul selepas pembunuhan Saleh ialah peningkatan serangan udara oleh tentera diketuai Saudi terhadap Sanaa, tindakan yang belum pasti dapat melemahkan Houthi dan mencapai sebarang objektif penting bagi Saudi.

Riyadh berdepan cabaran semakin sukar bukan sahaja disebabkan perkembangan terkini di Yaman, tetapi juga perkembangan lain di Lubnan yang menyaksikan Saad al-Hariri menarik balik perletakan jawatan dan perpecahan dalam Majlis Kerjasama Teluk, GCC, yang menunjukkan pengaruhnya yang semakin terhad dan dicabar.

Operasi ketenteraan diketuainya telah menyebabkan satu bencana kemanusiaan yang dahsyat di Yaman, dan kempen yang disasarkan pada Houthi hanya meningkatkan penentangan kumpulan itu dan juga kumpulan lain yang berkongsi sentimen sama untuk terus memerangi Saudi dan proksinya.

Perang yang telah berlangsung selama 3 tahun ini juga semakin kuat dikecam di peringkat antarabangsa, menelan kos kewangan dan politik yang besar kepada Riyadh, hingga boleh menyukarkan Saudi menggerakkan reformasi dalaman dan rancangan dasar luar lain yang telah diatur.

Pada masa yang sama, Hadi yang didukung Saudi masih kekal sebagai pemerintah yang diiktiraf, tetapi pada masa sama Aden yang dijadikan pusat pemerintahan baharu dikuasai oleh kumpulan pemisah selatan yang berhubungan baik dengan Emiriyah Arab Bersatu.

Pertembungan tokoh disokong Saudi itu dengan Emiriyah, sekutu terkuat Saudi telah menjadikan penyelesaian politik di Yaman semakin sukar, ditambah lagi dengan agenda kedua-dua Riyadh dan Abu Dhabi yang berbeza.

Wilayah selatan yang dikuasai proksi Emiriyah pula secara perbandingan jauh lebih aman dan stabil berbanding Sanaa dan wilayah utara yang menyaksikan persaingan sengit dan terus mendatangkan masalah kepada Arab Saudi.

Yaman selepas kematian Saleh berpotensi menjadi lebih rumit akibat ketiadaan seorang broker berpengaruh, dan reaksi pelbagai kumpulan berkepentingan di dalam dan luar negara sebagai reaksi dan susulan selepas bekas diktator itu tiada lagi dalam perkiraan.

Bencana yang menimpa Yaman tidak menjadi lebih baik selepas kematian Saleh, terutama apabila kuasa-kuasa asing yang terlibat meneruskan agenda peperangan dan perluasan kuasa di negara itu, yang kekal sebagai perang yang paling diabaikan oleh dunia Islam. – HARAKAHDAILY 6/12/2017