Isu iktiraf Baitul Maqdis ibu negara Israel

Dunia
Typography

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan telah memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin Arab termasuk Palestin dan Jordan yang beliau akan meneruskan rancangan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis, dan mengiktiraf bandar ditakluk itu sebagai ibu negara kepada negara haram Israel.

Pemimpin-pemimpin dunia Islam telah memberi amaran agar Trump tidak mengambil langkah mengiktiraf Baitul Maqdis yang dipertikaikan itu sebagai ibu negara Israel, tindakan yang bakal mencetuskan reaksi keras daripada umat Islam seluruh dunia.

Gerakan-gerakan Islam di Syam telah menegaskan penentangan terhadap pemindahan itu, yang sekiranya terlaksana akan menjadikan AS negara pertama meletakkan kedutaan di Baitul Maqdis dan mengiktirafnya sebagai ibu negara entiti Zionis itu, selepas lama menjanjikan perpindahan itu.

Trump sebelum ini telah melengahkan keputusan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis ekoran keterbatasan logistik tetapi telah menunjukkan yang beliau kekal dengan keputusan pemindahan tersebut yang akan dilakukan nanti dan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, yang dijadual diumumkan Rabu ini.

Tindakan Trump ini menunjukkan Zionis Israel semakin berjaya melaksanakan agendanya kebelakangan ini, seiring dengan hubungan yang semakin meningkat dengan beberapa negara Arab yang menjadikan Iran dan gerakan Islam sebagai sasaran untuk diperangi.

Tindakan sebenar daripada pemimpin-pemimpin dunia Islam, yang telah mengeluarkan kenyataan amaran menentang, akan disaksikan selepas pengumuman yang bakal dibuat Trump.

Isu Baitul Maqdis hakikatnya ialah satu lagi isu Palestin yang luas, bermula dengan isu utama rampasan wilayah umat Islam Palestin yang menuntut tindakan yang tegas dan bukan hanya retorik berbentuk amaran. Malah, Zionis telah beberapa tahun meningkatkan usaha menguasai Masjid al-Aqsa, mencabul kawasan masjid dan menghalang orang Islam daripada memasukinya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menegaskan: "Umat Islam adalah pemegang amanah memerintah Baitul Maqdis dan bersamanya Masjid al-Aqsa.

"Hanya pemerintahan Islam yang dapat memberi hak dan keamanan kepada semua pihak mengikut hukum Islam."

Maka tidak sepatutnya pemimpin Islam menunjukkan kemarahan terhadap tindakan Trump tetapi selama ini bersekongkol dengan Zionis, seperti yang juga dikritik oleh Tuan Guru Abdul Hadi: "Adapun kewajipan membebaskan Masjid al-Aqsa mula diperkecilkan dalam senarai keutamaan mereka. Paling buruk lagi adalah tindakan bermusuh dengan kumpulan Islam yang berjihad di Palestin dan secara terbuka atau senyap mengadakan hubungan persahabatan dengan negara haram Israel. Perbelanjaan persenjataan mengatasi keperluan yang lain khususnya keperluan rakyat."

Isu Baitul Maqdis ini, sebahagian daripada isu pembebasan Palestin yang lebih besar, akan menjadi satu lagi isu yang menguji dan menilai kesungguhan atau sikap sebenar pemimpin-pemimpin dunia Islam dalam menghadapi Zionis Israel. – HARAKAHDAILY 6/12/2017