Sejarah hubungan Myanmar-Israel: Kenapa Myanmar penting bagi Zionis

Dunia
Typography

MEMANDANGKAN ia dikelilingi jiran-jiran yang dilihat mengancam keselamatannya, Israel sentiasa mencari jalan untuk mempunyai sekutu-sekutu baru biarpun lokasi kedudukan sekutu baharu itu terletak jauh, termasuk di Asia. (Foto: Perdana Menteri Myanmar, U Nu dalam lawatan ke Israel pada 1955, dilihat bersama Perdana Menteri Zionis, Mosge Shareet dan Jeneral Moshe Dayan.)

Burma (kemudian diubah nama kepada Myanmar) yang mencapai kemerdekaan dari British pada 1948, iaitu tahun yang sama negara Israel ditubuhkan melalui pengisytiharan oleh ketua fahaman Zionisnya David Ben-Gurion, kini menjadi sekutu Israel yang memahami kehendak negara tersebut.

Jacob Abadi yang menulis beberapa buku tentang Asia Barat dalam sebuah bukunya, Israel's Quest for Recognition and Acceptance in Asia: Garrison State Diplomacy, "Myanmar berguna sebagai bengkel bagi dasar luar di Asia."

Kedua-dua negara wujud dalam keadaan konflik. Burma berhadapan dengan sengketa perkauman dan pengaruh komunisme yang tercetus selepas kemerdekaan, yang kemudiannya diikuti dengan kemasukan secara bersenjata pasukan kebangsaan China Kuomintang ke negeri Shan di negara tersebut. Dalam jangka masa sama, Israel berhadapan dengan keperluan untuk memastikan kelestarian kewujudannya akibat tercetusnya perang Arab-Israel pada tahun 1948 yang boleh mengancam kedudukan negara tersebut.

Pedagang-pedagang Yahudi juga mula tiba di Myanmar semenjak awal abad ke-19. Sumber-sumber sejarah menggambarkan bahawa jumlah penduduk Yahudi secara umumnya berkembang secara pesat ketika zaman penjajahan British. Tetapi hampir kesemuanya meninggalkan negara tersebut selepas kemasukan tentera Jepun ketika perang dunia kedua.

Sebuah saumaah Yahudi iaitu Musmeah Yeshua juga telah dibina sekitar tahun 1890-an di Rangoon (kemudian dikenali Yangon) , ibukota negara  Myanmar pada masa itu, yang ketika itu terkenal sebagai pusat kepelbagaian bangsa dan agama. Pada hari ini, saumaah itu yang berumur lebih 100 tahun kekal sebagai salah satu mercu tanda yang menonjolsebagai peringatan tentang pengaruh awal masyarakat Yahudi di situ.

Sekutu Israel: U Nu

Selepas perang dunia, U Nu yang menjadi perdana menteri pada masa itu, melawat Israel pada 1955. Beliau menjadi pemimpin Asia pertama yang telah berbuat demikian.

Seorang diplomat Barat menyifatkan U Nu yang pada masa itu menjadi salah seorang pemimpin Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) sebagai satu-satunya jaguh Israel di Asia. Semenjak itu beratus-ratus pelajar-pelajar Myanmar, pegawai-pegawai tentera dan pegawai-pegawai kerajaan yang telah dihantar ke Israel bagi mendapatkan pendidikan dan latihan.

Menurut Abadi, U Nu telah mendesak supaya Israel dijemput ke satu persidangan di Bandung, Indonesia pada tahun 1955 tetapi beliau mengambil keputusan untuk membatalkan desakannya itu kerana bimbang negara-negara Arab lain akan memulaukan negaranya.

Walau bagaimanapun pegawai-pegawai Israel tentunya telah mengambil perhatian terhadap sokongan masyarakat umum terhadap tindakan U Nu tersebut dan semenjak itu hubungan dua hala kedua-dua negara yang baru berputik tersebut berkembang pesat. Kedua-dua negara tidak hanya menjalinkan hubungan ekonomi dan pertanian tetapi juga mengadakan kerjasama ketenteraan.

Semasa pentadbiran U Nu, Myanmar membeli kapal terbang terpakai spitfires dari Israel dan juga senapang sub-mesin beserta peluru. Satu pasukan juruterbang Israel turut dihantar ke Yangon bagi mengadakan latihan.

Solel Boneh, syarikat pembinaan Israel turut terlibat dalam projek-projek pembinaan di Myanmar. Tentulah perkara ini sekali lagi berlaku ketika pentadbiran U Nu.

Membina hubungan

Apa yang menghairankan adalah tiadanya tentangan-tentangan daripada pihak pembangkang dalam negara bagi Myanmar untuk mengeratkan lagi hubungan bersama Israel. Sebaliknya, tulisan-tulisan yang tidak kritikal tentang kehendak negara Israel untuk terus kekal merdeka begitu mudah didapati oleh rakyat tempatan. Pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh agensi perisikan Israel, Mossad, dan menteri pertahanannya ketika itu Moshe Dayan juga amat mudah didapati.

Ramai rakyat Myanmar pada tahun 1970-an juga mengesyaki sesetengah pegawai-pegawai perisikan negara tersebut turut dilatih oleh Mossad. Tetapi tiada bukti-bukti kukuh untuk mengesahkan telahan ini.

Secara realitinya, U Nu tidak mampu bagi mengadakan dasar pro-Israel tanpa perlu berhadapan dengan tekanan-tekanan negara-negara luar termasuk China. China pada ketika itu adalah sebuah negara yang mengadakan hubungan dengan Mesir melalui presidennya Jamal Abdul Nasser.

U Nu secara terbuka menjauhkan dirinya dari Israel ketika krisis terusan Suez pada 1956. Pemimpin Myanmar tersebut mengecam Israel dan kuasa-kuasa Barat termasuk UK dan Perancis. Dia juga menyokong seruan PBB bagi tentera Israel untuk berundur dari Mesir.

Tetapi proses berbulan madu bagi kedua-dua negara tersebut sebenarnya masih belum selesai pada ketika itu.

Pada 1961, Perdana Menteri Israel David Ben-Gurion melawat Myanmar dan bagi mendapatkan sokongan tempatan beliau telah memakai pakaian tradisi Burma dengan mengenakan topi ataupun gaungbaung, semasa majlis-majlis rasmi.

Tokoh-tokoh Israel yang menonjol termasuk Shimon Peres, Moshe Dayan, Yitzhak Ben-Zvi dan Golda Meir kesemuanya telah melawat Yangon sekitar tahun 1960-an.

Peres dan Dayan melawat Burma pada tahun 1958 dan mereka bertemu Ne Win, seorang jeneral nasionalis dan bekas anggota "Tiga Puluh Anggota" yang menjadi terkenal kerana mereka telah dilatih oleh pihak Jepun sebelum kuasa penjajah British diusir keluar dalam peperangan tahun 1941-42.

Keperluan ketenteraan

Pada 1959, Ne Win  yang ketika itu berkhidmat sebagai pemangku perdana menteri dilaporkan telah memberikan gambaran yang baik tentang komitmen Myanmar kepada rakan sejawatannya, ketika melawat negara tersebut. Pada masa itu, Myanmar menghantar kira-kira 80 anggota askar dan bekas-bekas tentera bagi mempelajari cara-cara pertanian yang diamalkan di komuniti masyarakat Kibbutz Israel.

Walau bagaimanapun, tiga tahun kemudian jeneral tersebut telah mengadakan rampasan kuasa tentera dan rakan baik Ben-Gurion iaitu U Nu telah diletakkan dalam tahanan.

Walaupun Ne Win menutup pintu kepada dunia luar dan dasar-dasar luar Myanmar semakin menjadi nasionalistik, tetapi pegawal-pengawal peribadinya masih lagi menggunakan senapang mesin Uzi yang dibekalkan Israel.

Begitu juga walaupun hubungan semakin merosot, pada pertengahan tahun 1980-an pihak kerajaan sosialis Myanmar telah memberikan kontrak berjumlah RM20 juta kepada firma komunikasi Telrad Israel bagi menyediakan jaringan telefon awam di negara tersebut.

Projek tersebut yang turut dibantu Bank Dunia, telah digambarkan Telrad sebagai "kejayaan pertama dalam menembusi pasaran Burma."

Hubungan Israel-Burma sekali lagi menjadi perhatian umum apabila berlakunya rampasan kuasa ketenteraan pada 1988 di Myanmar yang disertai dengan tindakan kejam terhadap protes pro-demokrasi yang berlaku di seluruh Myanmar. Selepas hampir kesemua masyarakat antarabangsa mengenakan sekatan terhadap Myanmar, pembuat-pembuat senjata di Israel dilaporkan telah menjual senapang sub-mesin dan 150mm howitzers kepada rejim tersebut.

Syarikat-syarikat Israel lain juga terus-menerus berurusan dengan jeneral-jeneral yang memerintah Myanmar. Koor Industries Ltd membuka sebuah pejabat di negara tersebut pada 1995 dan Telrad meluaskan operasinya pada tahun berikutnya bagi membekalkan sistem telekomunikasi digital dan bukan digital.

Lawatan ketua tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing ke Israel pada 2015 mengingatkan ramai tentang hubungan rapat Myanmar-Israel yang kadang kala kontroversi terutamanya akhir-akhir ini.

Ketua tentera tersebut bersama-sama dengan pegawai-pegawai atasan lain telah melawat pengkalan laut Ashdod bagi melihat bot pengawal perairan FAC Super Dvora Mark 3. Sejumlah bot tersebut telah dipesan oleh pihak tentera Myanmar dari Israel. Ketua tentera tersebut juga telah melawat pejabat-pejabat pengeluar barangan tentera tempatan.

Semasa bercakap dengan para wartawan dalam satu mesyuarat di Naypyidaw, Min Aung Hlaing menggambarkan lawatan tersebut sebagai satu peluang untuk mengadakan kerjasama antara pihak tentera kedua-dua negara. - Irrawady

Rencana ini diterbitkan oleh majalah Irrawady pada 2015 dan diterjemahkan oleh Harakah.