Erdogan telefon Suu Kyi, kutuk keganasan terhadap Rohingya

Dunia
Typography

PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Selasa lalu bercakap kepada pemimpin Myanmar yang paling berkuasa mengenai pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan terhadap Muslim Rohingya, kata pegawai pejabat presiden.

Menerusi perbualan telefon antara Kaunselor Negeri, Aung San Suu Kyi dan Erdogan, beliau bersedia menghantar Menteri Luar Negeri Turki, Mevlut Cavusoglu ke Bangladesh, di mana ribuan Rohingya telah mencari tempat perlindungan dalam menghadapi tindakan keras oleh tentera Myanmar dan ekstremis Buddha.

Dalam perbualan tersebut, Erdogan memberitahu Suu Kyi bahawa serangan yang semakin meningkat terhadap Rohingya telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara-negara Islam, kata pegawai itu yang tidak mahu namanya didedahkan.

Mereka juga berbincang mengenai jenis bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan dan menyelesaikan krisis, lapor agensi berita Turki, Anadolu Post.

Menurut pegawai itu, Erdogan mengutuk kedua-dua keganasan dan penggunaan kekerasan yang tidak adil.

Erdogan menjanjikan sokongan Turki untuk menamatkan keganasan. Operasi keselamatan yang dilancarkan di bahagian utara negara Rakhine telah mencetuskan gelombang puluhan ribu pelarian Rohingya sudah merebak ke sempadan timur Bangladesh.

Pelarian Rohingya menyifatkan askar dan pengawal Buddha menindas kampung mereka dan membunuh orang awam dalam usaha untuk memaksa mereka keluar.

PBB pada Selasa lalu mengesahkan seramai 123 600 pelarian Rohingya telah melintasi Bangladesh sejak serangan dilakukan pada 25 Ogos.

"Difahamkan Cavusoglu akan terbang ke Bangladesh pada Rabu untuk bercakap dengan pelarian Rohingya. Dia akan melawat kem di Cox's Bazar, sebuah pelabuhan berhampiran sempadan, dan bertemu dengan pegawai Bangladesh," kata pegawai tersebut. - HARAKAHDAILY 6/9/2017