Tentera bakar mayat Rohingya untuk hapus bukti

Dunia
Typography

KUMPULAN pemantau hak asasi penduduk Rohingya, Projek Arakan, menyatakan tentera dan warga Myanmar berusaha menutup penyembelihan minoriti Muslim Rohingya dengan membakar mayat mereka.

Pengarah Projek Arakan, Chris Lewa berkata organisasinya telah mendokumenkan sekurang-kurangnya 130 pembunuhan di kawasan Rathedaung.

Beliau berkata laporan di tiga buah kampung lain di mana puluhan muslim Rohingya dibunuh.

"Apa yang kami dapati hari ini adalah selepas Rohingya dibunuh, tentera dan orang awam lain mengumpul mayat mereka dan membakarnya untuk menghapuskan bukti," katanya seperti yang dilaporkan laman web The Independent, semalam.

"Pasukan keselamatan mengelilingi beberapa buah kampung dan menembak penduduk kampung. Kami juga mendapati, berbanding dengan keganasan yang berlaku pada Oktober dan November tahun lepas, kini terdapat lebih banyak penglibatan penduduk Buddha dengan tentera," kata Lewa dipetik portal berita Eramuslim.

Walaupun laporan itu belum disahkan dan Projek Arakan belum lagi mengadakan wawancara terperinci dengan pelarian Rohingya di Bangladesh, namun Lewa mengatakan ia telah memantau dan operasi pembunuhan masih berlaku di Myanmar.