25
Tue, Apr
26 Artikel Baru

Perantau Indonesia gembira Ahok kalah

Dunia
Typography

WARGA Indonesia yang bekerja di luar negara turut bersolidariti bersama majoriti penduduk Jakarta, di atas kemenangan Anies Baswedan yang menewaskan lawannya, tokoh kontroversi, Ahok pada pusingan kedua Pemilihan Gabenor Jakarta, kelmarin.

Ahok atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama tewas sebagai penyandang jawatan Gabenor Jakarta dengan kiraan 42 peratus berbanding Anies 58 peratus.

Rata-rata yang ditemui menganggap kemenangan ini adalah kemenangan kepada Islam yang mereka lihat semakin ditekan oleh golongan liberal termasuk juga tokoh-tokoh agama yang cenderung menyokong Ahok.

Walaupun Ahok dianggap oleh mereka sebagai seorang yang bagus bekerja bagi pembangunan, namun mereka tetap menjulang tinggi Islam dan penghinaan Ahok terhadap al-Quran tempoh hari, tidak dapat mereka maafkan.

yayatYayat Ruhiyat, 43, yang tinggal di Qatar, ketika diminta mengulas kekalahan Ahok itu berkata, beliau sangat gembira dengan kejayaan Anies ini kerana Ahok baginya dilihat sebagai seorang yang kurang ajar terhadap Islam.

“Ini kemenangan untuk Islam kerana Ahok itu didukung (sokong) berbagai macam konglomerat Cina ataupun para pembawa saham atau pemodal yang besar, tetapi itu semua tiada apa-apanya kalau Allah bertindak.

"Di samping itu berusaha untuk meliberalkan Islam kerana dia kepinginnya Islam itu bukan Islam fundamental,” tegas beliau.

Bagi Yayat, Anies itu lebih disukai kerana tidak membuat janji-janji yang sembarangan dan semuanya itu masih boleh diterima oleh akal fikiran, di samping Anies turut disokong oleh Partai Keadilan Sosial (PKS).

muhdManakala bagi Muhammad Nurkholis, 37, pula berpendapat orang Islam yang menyokong Ahok adalah golongan liberal, iaitu mereka yang menggunakan akal tanpa berpandukan al-Quran.

“Mereka melihat bukan dengan neraca Islam, melihat dengan pandangan sendiri, materi (material) dan tidak dengan buku panduannya (al-Quran).

"Mereka berfikir bahawa si Ahok ini boleh mengatasi segala-galanya walaupun dengan cara yang kasar, mereka fikir asal itu berkebaikan, padahal dari kebaikan itu banyak timbul hal-hal keburukan dan otomatisnya mahu mendapatkan sesuatu,” jelas beliau.

Muhammad juga berkata, majoriti yang beliau kenali, menyokong Anies berbanding Ahok kerana khalayak yang mengenali beliau adalah dari kalangan orang yang berpelajaran yang mahukan Islam menang.

Secara jujur, beliau menyatakan bahawa pembangunan mungkin akan dapat dinikmati jika Ahok menang sebagai gabenor, tetapi beliau menyedari akan ‘ada udang di sebalik batu’ atas kemajuan dan pembangunan itu.

Yang paling dikhuatirkan ialah kemungkinan besar Islam akan lebih rosak jika Ahok menduduki tampuk kuasa itu berdasarkan apa yang telah Ahok lakukan sekarang ini.

Antaranya dakwa beliau, Ahok membina masjid, tetapi dengan diterapkan ciri-ciri kristian seperti lambang menyerupai salib dalam binaan itu yang kemudiannya disedari oleh orang Islam.

Beliau mengharapkan semoga dengan kemenangan ini akan menyedarkan orang Islam di seluruh Indonesia agar terus berjuang mempertahankan agama Islam ini daripada diperolok-olokkan oleh orang lain.

Pemilihan pusingan kedua ini diadakan setelah pada pusingan pertama Februari lalu, tiada calon yang menang melebihi 50 peratus undi daripada kira-kira 7.1 juta pengundi Jakarta. - HARAKAHDAILY 21/4/2017