16
Wed, Oct
22 Artikel Baru

Kampung etnik Rohingya di Arakan diserang lagi

Dunia
Typography

PERTUBUHAN Hak Asasi Manusia Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) sangat kecewa dengan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan untuk menghentikan pembantaian Rohingya.

Pertarungan antara tentera Arakan dan tentera Myanmar telah berlaku sejak Januari 2019 sehingga kini. Beberapa penduduk Rohingya telah dibunuh oleh kedua-dua tentera Arakan dan tentera Myanmar semasa bertempur.

Dalam kejadian kelmarin, pada petang 3 April, tentera Arakan dan tentera menyerang kampung Rohingya di Buthidaung termasuk Ketuparang, Hamsafara, Sansifara, Dabushong. Tembakan kedua-duanya iaitu tentera Arakan dan tentera Myanmar mengakibatkan lima penduduk Rohingya terbunuh dan 13 orang cedera.

Pagi semalam kami diberitahu bahawa bilangan Rohingya yang meninggal dan cedera telah meningkat. Tambahan pula, dua helikopter tentera telah menjatuhkan bom di Bukit Saintoung di Buthidaung. Kami tidak tahu bilangan rakyat Rohingya yang mati dan cedera dalam letupan bom tersebut.

Masih menjadi persoalan besar adalah mengapa kedua-dua tentera menyerang Kampung Rohingya jika benar pertempuran adalah merupakan pertempuran antara tentera Arakan dan tentera Myanmar. Pertempuran tersebut harus dilakukan di kampung etnik Rakhine. Sejak Januari 2019, kita tidak lagi mendengar etnik Rakhine dibunuh semasa pertempuran. Hanya etnik Rohingya yang dibunuh.

Kami sangat percaya pertempuran antara keduanya adalah pertempuran olok-olok. Pertarungan antara tentera Arakan dan tentera Myanmar adalah sebahagian daripada rancangan sistematik Myanmar untuk menghapuskan Rohingya dari negeri Arakan. Pertempuran antara keduanya adalah rancangan 'Genocide'. Ia sangat pelik apabila kebanyakan pertempuran antara kedua pihak berlaku di kampung Rohingya.

Ini adalah cabaran sebenar untuk pimpinan PBB sebagai badan yang diberi mandat untuk menghentikan 'genocide' Rohingya. Kami telah melihat kesan 'genocide' di seluruh dunia tetapi sehingga kini ia masih lagi diteruskan. Ini bermakna kita tidak belajar apa-apa dari Rwanda.

Kegagalan PBB untuk menghentikannya adalah kegagalan pimpinannya dan seluruh pemimpin dunia di abad ke-21 ini untuk memulihkan keamanan dan kemanusiaan. Dunia akan memerhati siapakah yang akan mengambil cabaran ini dan membuat perbezaan terhadap dunia.

Dalam sesi Parlimen Myanmar pada bulan Mac 2019, Ahli Parlimen dari Rakhine telah membuat kenyataan yang tegas bahawa etnik Rakhine dan tentera Arakan tidak seharusnya bertarung dengan tentera tetapi harus melawan Benggali yang merujuk kepada Rohingya.

Kami menyeru kepada Majlis Keselamatan PBB, pemimpin dunia dan komuniti antarabangsa untuk campur tangan dengan segera seterusnya memulihkan keamanan dan menyelamatkan Rohingya di negeri Arakan terutamanya di Buthidaung.

Kelewatan dalam campur tangan akan menyebabkan lebih banyak Rohingya mati pada tahap terakhir 'genocide' ini.

Berdoa untuk Rohingya, Selamatkan Rohingya.

ZAFAR AHMAD ABDUL GHANI
Presiden
Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) - HARAKAHDAILY 5/4/2019