17
Tue, Sep
42 Artikel Baru

Tiada alasan Muslim New Zealand jadi target terrorist

Dunia
Typography

PADA tahun 1840, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Raja British dengan penduduk asal Bangsa Maori yang dinamakan sebagai perjanjian Waitangi. Bermula tahun 1907, kemerdekaan diberikan kepada New Zealander untuk mentadbir sendiri negara New Zealand. Walaupun begitu, kerjasama dari sudut pertahanan negara dan keselamatan negara masih ada kerjasama dari kedua-dua negara sehinggalah selepas perang dunia kedua.

New Zealand (Selandia Baru; Dalam Bahasa Maori disebut Aotearoa bererti tanah berawan putih panjang; dalam Bahasa Latin dinamakan Nova Zeelandia) jika dirujuk kepada Global Peace Index 2018 merupakan negara kedua paling selamat di dunia selepas negara Iceland.

Kenapa New Zealand diletakkan dalam kategori negara kedua paling selamat? Mengikut penelitian saya, ia berhubung rapat dengan kadar jenayah yang paling kurang, paling sedikit penyakit berjangkit dan mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang baik. In fact, ular pun tak ada di New Zealand. Hal ini seperti yang dijelaskan dalam salah satu laman webnya www.newzealand.com bahawa “New Zealand is generally a very safe place to travel with a relatively low crime rate, few endemic diseases and a great healthcare system”.

Merujuk kepada Annual Remand Prisoner Population for the Latest Fiscal Years (Populasi Banduan Reman Tahunan untuk Tahun Fiskal Terkini) bagi tahun 2018 hanya 15402 kes jenayah dicatatkan. Jenayah-jenayah ini melibatkan semua kes bukan sahaja kes berat malah termasuk kes kecil. Ini menunjukkan perangkaan yang sangat kecil berbanding dengan negara-negara lain di seluruh negara.

Dengan memiliki penduduk seramai 4.9 Juta mengikut perkiraan dalam bulan March 2019, jika dinilai dari sudut peratusan warganegara mengikut etnik, 74% bangsanya terdiri daripada bangsa Eropah, 14.9 % adalah bangsa Maori (indigenuos people), 11.8% bangsa Asia, 7.4% orang Pasifik, 1.2% dari Timur Tengah dan 1.2% lain-lain bangsa. Daripada peratusan tersebut, tak sampai 2% Muslim berkongsi habitat di New Zealand. Sangat kecil penduduk Muslim di New Zealand.

Jadi, kenapa Muslim New Zealander yang paling kecil skalanya menjadi target pengganas tersebut? Apakah motif sebenar mereka? Saya terbaca beberapa ulasan mengenai Neo-Nazi di New Zealand yang mengaitkan pengganas ini dengan Neo-Nazi. Benarkah warga New Zealand terlibat dengan fahaman Neo-Nazi ini?

Berdasarkan tangkapan yang dibuat, salah seorang pengganas memegang passport Australia, yang lain belum pasti. Dalam pada masa yang sama, petition supaya senator Queensland, Australia, Fraser Anning meletakkan jawatan juga dikatakan kemungkinan ada kaitan dengan Neo-Nazi kerana beliau telah memberikan ucapan seolah mempertahankan serangan yang dibuat itu.

Kata-katanya begini, “The real cause of bloodshed on New Zealand streets today is the immigration program that allowed Muslim fanatics to migrate to New Zealand in the first place” bermaksud “Sebab sebenar yang menyebabkan pertumpahan darah di jalan-jalan New Zealand hari ini kerana program immigration yang membenarkan orang Islam fanatik untuk berhijrah ke New Zealand sebagai tempat hijrahan pertama mereka”.

Maka, tidak ada fakta yang boleh mengaitkan New Zealander dengan Neo-Nazi, walaupun tak dapat dinafikan bahawa New Zealander tak terlepas dari pengaruh fahaman tersebut.

Walaupun terdapat gambar-gambar dari media sosial telah mengetengahkan beberapa penulisan yang diambil dari senjata yang digunakan pengganas yang menjelaskan keterkaitan dengan konspirasi untuk menghapuskan Muslim dan dikaitkan dengan Neo-Nazi, namun bagi saya tidak semestinya tulisan yang dibuat itu adalah seperti yang dijangkakan. Kemungkinan juga ada konspirasi lain yang membelakangi agenda pembunuhan nekad Muslim di masjid hari ini. Musuh tak akan mudah mendedahkan identiti perjuangannya. Mungkin tulisan di senjatanya itu sengaja direka-reka untuk melagakan dua ideologi besar dunia iaitu Neo-Nazi dan Islam.

Terkejut dan tergamam kerana mendengar berita pengganas yang asalnya merancang untuk membuat keganasan di Masjid Huda di Dunedin, masjid berhampiran tempat tinggal saya yang menjadi tempat mingguan saya bersolat Jumaat di sana, tetapi fikiran pengganas berubah untuk melakukan serangan di masjid di Christchurch. Sesungguhnya Allah maha mengetahui.

Mangsa yang syahid meningkat kepada 49 orang, manakala 42 orang cedera, 2 daripadanya kritikal. Daripada latar belakang New Zealand yang dijelaskan sebelum ini, kejadian ini adalah suatu di luar daripada jangkaan. Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern cukup berdukacita dan mengishtiharkan hari ini 15hb Mac 2019 adalah hari paling gelap dalam sejarah New Zealand (Darkest Day). Rakyat New Zealand juga terkejut dengan berita ini kerana selama hidup kejiranan Muslim dan Non-Muslim di New Zealand ini tiada apa-apa isu berbangkit mengenai krisis agama atau bangsa. Semuanya hidup dalam keadaan harmoni dan aman.

Selain itu, merujuk kepada satu pengumuman bahawa ini adalah isu tembak-menembak. Saya amat kesal kerana ia pasti melukakan hati keluarga mangsa yang mengetahui bahawa kejadian ini tidak berlaku sama sekali tembak-menembak, sebaliknya mangsa diserang tanpa belas kasihan oleh pihak pengganas. Mohon pihak berkenaan perbetulkan fakta. Kes ini adalah serangan kepada orang awam yang tidak bersenjata.

حسبنا الله ونعم الوكيل، ولا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم

Wassalam,
University of Otago, New Zealand - HARAKAHDAILY 16/3/2019