POSTUR tubuh mereka tegap dengan alis mata yang tebal, rata-rata mereka berkulit putih kemerahan namun dalam rangka tubuh etnik ini menyimpan salju kedukaan yang pilu. Sebagaimana nasib Muslim Uyghur yang dibantai oleh pihak rejim China, begitulah nasib bangsa ini yang pernah merakam sejarah sebagai satu bangsa yang hebat. Penulis kali ini dalam kesempatan kedua menyantuni mangsa peperangan dan pengusiran beruang merah Russia di Poland.

Salju seperti kapas-kapas putih yang sedang runtuh daripada langit saat kami usai solat berjemaah di Blue Mosque yang berada di pinggir bandar Warsaw, Poland. Hari pertama tiba di bandar yang merakam sejarah pertempuran hebat dalam Perang Dunia kedua dan pernah ditawan oleh tentera Jerman itu. Warsaw juga menampung 25,000 etnik Chechen yang terusir, di samping komuniti Islam yang terdiri daripada bangsa Turki dan juga daripada Asia Selatan. Semenjak berlakunya krisis Syria tujuh tahun lepas, negara itu juga menampung segelintir pelarian Syria yang mencuba nasib di tanah Eropah sehingga kewujudan Islamic Center menjadi salah satu keperluan.

Suhu dingin menggigit tulang temulang sehingga mencecah minus dua darjah celcius, anggota misi Muslim Care Malaysia yang sebahagian besar akan meneruskan misi nembantu pelarian Syria di sempadan Turki, tapi perasaan ingin membantu teman-teman seakidah menyebabkan kami terlupa sebentar rasa sejuk menciut itu. Poland bukanlah negara yang bersahabat dengan Islam, fenomena Islamphobia masih merajai negara bekas komunis dan juga negara pertama disergap Perang Dunia Kedua sehingga Kota Warsaw musnah 80 peratus dibaham ledakan skala besar pihak Nazi Jerman. Poland juga antara sketsa berdarah "holocaust" yang dilakukan oleh Adolf Hitler dan bala tenteranya kerana kelompok Yahudi yang masih berbaki di negara yang bersempadan dengan Rusia itu.

Saki baki etnik Yahudi di Poland hari ini juga terkenal sebagai kelompok tegar pembenci Islam termasuk tanpa berselindung menunjukkan rasa jengkel mereka terhadap pelarian Islam dari bumi Chenchen, Rusia. Masjid Biru (Blue Mosque) juga pernah diprovokasi jemaahnya sewaktu solat Jumaat diadakan, pembenci Islam berdemo kononnya membantah kehadiran migran beragama Islam serta mahukan kerajaan Poland tegas menyekat aktiviti-aktiviti Islam. Di kawasan premis Masjid Biru Warsaw juga terletaknya restoran halal dan juga menjual barang keperluan ummat Islam. Uniknya di negara Eropah Tengah ini ialah umat Islam terdiri daripada pelbagai etnik, namun mereka disatukan dengan kalimah syahadah.

Muslim Care santuni pelarian Chechen semenjak 2014

Kisah pilu muslim Chechen agak tersorok jika dibandingkan dengan kisah derita umat Islam di Palestin, Syria, Yaman, Rohingya, Uyghur dan lain- lain peta luka ummat Islam. Ini besar kemungkinan kerana pertempuran dan pengusiran ini berlaku dalam dekad 1990-an dahulu, jarak masa yang panjang sedikit sebanyak mengikis kepedulian ummah kepada Chechen.

Berbeza dengan peta luka umat Islam yang lain, maklumat dan bantuan lebih cepat sampai dan digerakkan oleh NGO-NGO kemanusiaan dari Malaysia, sifat pemurah rakyat Malaysia dan keprihatinan jaringan sivil negara ini antara terbaik di dunia muslim. Derita umat Islam Chechen sangat jarang sampai ke telinga rakyat negara ini, penulis teringatkan sekitar pertengahan tahun 1990-an, beberapa kali demonstrasi membantah kezaliman rejim Russia diadakan. Segelintir pelajar-pelajar dari bumi Grozny dibawa belajar di Universiti Islam Antarabangsa ketika perang semakin memburuk di Chechen. Gerakan perlawanan dan jihad di Chechen juga kurang mendapat liputan media negara ini, berbanding dengan sorotan berita gerakan jihad di Afghanistan, Palestin, Syria dan Bosnia.

Rejim Soviet dengan segala kelengkapan perang telah menyerang Grozny dan membunuh serta melakukan pelbagai bentuk kezaliman terhadap umat Islam Chechen. Ribuan terkorban, ribuan muslimah dirogol dan kampung-kampung muslim dikosongkan rejim komunis. Kesannya ramai yang cuba untuk berhijrah keluar negara, termasuk ke Poland yang berjiran dengan Russia. Di pinggir bandar Warsaw, pelarian muslim ini berada di khemah pelarian tertutup di mana mereka tidak dibenarkan untuk menerima tetamu luar serta disekat akses dengan pihak lain. Lebih menyayat hati, makanan haram seperti babi menjadi sumber protein mereka dengan alasan murah dan menjimatkan pihak pengurusan kem.

Pada tahun 2014, Muslim Care Malaysia yang mendapat maklumat tentang keberadaan pelarian Chechen di Poland melalui Persatuan Pelajar, rakyat Malaysia di Poland dan juga mendapat kerjasama yang baik daripada pejabat Mufti Poland akhirnya menggerakkan kempen bantuan musim sejuk. Pelajar-pelajar Malaysia di luar negara juga turut bekerjasama mengadakan kempen membantu pelarian serta merangka bentuk bantuan jangka pendek. Di tanah air kita , selain Muslim Care menggerakkan kempen melalui siber, para pendakwah selebriti seperti Ustaz Ahmad Dasuki Rani, Ustaz Halim Din turut membantu mendapatkan dana kempen. Sebanyak RM100,000 berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada pelarian Chechen dalam kempen misi musim sejuk 2014.

Rombongan Muslim Care akhirnya tiba di Poland setiap tahun untuk pelbagai aktiviti termasuk aktiviti korban, latihan kesukarelawanan mahasiswa, khidmat masyarakat pada pelarian Chechen serta memastikan Islamic Centre diimarahkan dengan baik. Antara mahasiswa kampus yang pernah mengadakan aktiviti di sini ialah daripada USIM, juga pelajar-pelajar kampus Eropah yang berasal dari Malaysia berprogram.

Muslim Care Malaysia telah mengambil langkah membantu jangka panjang muslim tertindas ini dengan mengusahakan pembelian sebuah bangunan untuk dijadikan Pusat dakwah dan kebajikan merangkap masjid yang akan menampung pelbagai aktiviti umat Islam. Mulai tahun 2015 pimpinan Muslim Care, Haji Zulkifli Wahijan telah membentuk panitia pengumpulan derma dan wakaf bangunan sehinggalah sebuah bangunan berharga dua juta ringgit Malaysia berjaya dibeli. Kini telah dua tahun Islamic Centre itu telah beroperasi termasuk diadakan solat Jumaat, diadakan kelas al-Quran dan aktiviti keagamaan yang lain. Kehadiran anggota misi kami pada kali ini juga disertai oleh wakil kerajaan Terengganu, Haji Yahaya Ali dan Hajah Zarani Osman telah mengunjungi khemah pelarian untuk menyampaikan bantuan, mengadakan jamuan makan di Islamic Centre, mengadakan mesyuarat untuk mengukuhkan kolaborasi dengan masyarakat tempatan. – HARAKAHDAILY 27/12/2018

Penulis ialah aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan dan Exco Muslim Care Malaysia.

SETELAH gambar-gambar yang memaparkan mangsa yang dizalimi di Uyghur dihighlightkan, hati kita tidak senang. Perasaan itu mengembalikan imbauan kisah dan sejarah penderitaan yang berlaku kepada minoriti Islam yang lain seperti di Myanmar, Sri Lanka, Kashmir dan seumpamanya. Persoalannya, kenapa mesti umat Islam yang terancam dan akan diancam? Bukankah Islam dikenali sebagai agama perdamaian? Bukankah jalan dakwah ini membawa pendamaian? Dari persoalan-persoalan ini, saya terfikir keseorangan melihat gelagat Muslim yang merasa cukup kuat dakwah apabila boleh berbaik-baik dengan non-Muslim, walaupun selama ini telah timbul kebaikan itu. Apakah kebaikan itu boleh membenarkan Islam boleh diperbincangkan tanpa garis sempadan?

Berfikir secara lurus itu baik, tetapi baikkah jika ia berfikir seperti itu dalam konteks strategi dakwah. Menyorot langkah awal dakwah sehingga kejayaan membina kota Madinah semuanya adalah berasaskan strategi dakwah yang jitu. Menyingkap doa Rasulullah SAW kepada dua Umar supaya masuk Islam adalah strategi dakwah. Bolehkah kita berfikir kenapa doa Rasulullah SAW hanya kepada dua Umar bukan kepada sahabat yang lain? Bukankah kita pernah mendengar Rasulullah SAW pernah ditawar bergusti. Saat dan ketika itu, gusti adalah cara dakwah Rasulullah SAW yang terbaik. Tidakkah dengan cara dakwah begini bertujuan menonjolkan kekuatan umat Islam dan mempamerkan kelemahan musuh supaya musuh mengakui kehebatan Islam.

Sekarang, kenapa umat Islam dilihat lemah? Ia kerana umat Islam kurang dihormati. Ini semua kerana salah strategi dakwah. Nilaian dakwah kita tidak kemana dan laluannya agak kurang kena tidak seperti yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Laluan dakwah ada dalam kalangan kita seperti ini iaitu apabila musuh berfikir nak menjatuhkan melalui cara baik, kita kata musuh baik. Kita kata kita berjaya berdakwah, kerana musuh itu baik dengan kita. Kita lupa itu mad’u dalam konteks musuh, kita pun mudah hulur tangan. Tambahan lagi bila musuh minoriti dapat kuasa, musuh buat baik dengan kuasa yang ada. Kita kata patut pun musuh dapat jawatan itu kerana sesuai dengan kelayakan dan musuh buat cara baik. Kita hulur lagi tangan bagi apa yang kita ada tanpa berfikir itu musuh kerana ada benda boleh dapat dari musuh kita.

Jika musuh majoriti seperti di luar negara yang ada kuasa, mereka telah buat cara zalim. Baru sedar bahawa musuh itu boleh buat zalim juga. Bila musuh sedar kita boleh lawan zalim mereka, musuh buat cara lembut balik, kita hulur balik tangan tanpa sedar itu musuh yang pernah buat zalim. Tup-tup musuh buat zalim balik, kita terimbau kezaliman lama, kita mula sedar dan menyesal. Dalam keadaan menyesal tu, musuh datang buat baik, kita sekejap sahaja lupa itu musuh kita, kita kembali hulur tangan.

Kita banyak maafkan musuh dengan kononnya ada dalil dari al-Quran dan hadith meminta kita buat begitu.

Berbeza dengan saudara seagama kita yang tidak dikenal sebagai musuh. Walaupun kita kenal dia saudara seagama kita, kita banyak ambil dalil untuk lebih kuat memusuhi dan memecah belahkan lagi saudara seumat Islam. Dan sangat berkira dengan kesalahan saudara seagama kita dan mengatakan itu dari dalil al-Qur’an dan hadith. Kita cepat membuat perbandingan pula kesalahan saudara seagama dengan kebaikan saudara tidak seagama, kemudian kita melatah dan cepat menuduh yang bukan-bukan kepada saudara seagama. Apakah itu sebenarnya amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW?

Selagi kaedah berfikir kita masih di tahap ini, kita tidak akan ke mana dalam memikirkan kesatuan umat Islam bagi mempertahankan saudara minoriti kita di Uyghur, Rohingnya, Sri Lanka, Palestin dan seumpamanya. Salah-menyalah dan tuduh menuduh antara satu sama lain dalam isu politik dan mazhabiyah banyak menyingkirkan umat Islam dari landasan perpaduan yang sebenar.

Kita takut apabila keadaan itu terus berlaku, doa kita pula tidak dimakbulkan Allah SWT kerana tiada rahmat perbezaan dalam permusuhan. Walau bagaimanapun, jangan berhenti berdoa kerana kita tidak tahu bila Allah akan makbulkan doa kita. Doa kita bukan sahaja untuk Uyghur dan umat Islam yang lain, malah berdoalah agar kesatuan umat Islam semakin utuh terutama di tanah air kita yang tercinta ini agar ia menjadi remedi kepada konflik minoriti umat Islam yang berlaku ketika ini.

Islamic Political Economy
Center for Islamic Development Management Studies,
Universiti Sains Malaysia &
National Centre for Peace and Conflict Studies
University of Otago,
New Zealand – HARAKAHDAILY 22/12/2018

PADA petang semalam, Selasa 13 November 2018 Zionis mengangkat bendera putih dan bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.

Gencatan senjata tersebut yang dipelopori Mesir membuktikan kemenangan jelas buat mujahidin yang sehingga saat akhir terus menghujani tanah haram Israel dengan roket.

Zionis menyebut terpaksa tunduk pada kali ini atas beberapa faktor:

●     Serangan yang terlalu banyak dan tepat daripada pihak mujahidin, khususnya serangan ke atas bas dengan peluru berpandu 'kornet' yang dilaksanakan betul-betul selepas tentera Zionis meninggalkan bas.

●     Serangan yang teratur dan kesatuan jelas di antara kumpulan-kumpulan mujahidin diketuai Briged Izzuddin Al-Qassam melalui "Bilik Urusan Kumpulan-kumpulan Penentang Palestin" yang disebut Zionis bertindak seperti Kementerian Pertahanan.

●     Serangan yang teratur dan mengancam penduduk di penempatan haram, apabila mujahidin melancarkan roket sejauh 20km, kemudian 40km dan 60km, serta mengancam melancarkan serangan yang lebih jauh sekiranya Zionis terus menyerang bangunan awam di Gaza.

Penduduk Zionis keluar berdemonstrasi marah dengan keputusan pemimpin Zionis yang mengangkat bendera putih, sedang rakyat Gaza keluar berarak atas kemenangan kecil tapi bermakna ini.

Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman meletakkan jawatan akibat keputusan Kabinetnya untuk tunduk kepada tuntutan gencatan senjata.

Sebarkan poster ini seluasnya kerana dengan doa dan sumbangan kita telah berjaya menundukkan kuasa terbesar di dunia!

Dan teruskan menyumbang untuk projek-projek di Gaza melalui satu-satunya NGO yang mempunyai wakil rakyat Malaysia di sana di akaun Maybank 5648 1050 7826 atas nama Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

(Buka laman Video Cinta Palestin untuk melihat live video khas rentetan peristiwa yang berlaku sejak 11 November lepas)

NADIR AL-NURI,
Ofis Cinta Gaza Malaysia,
Bangi Sentral. - HARAKAHDAILY 15/11/2018

 FB IMG 1542235484060

KIRA-kira setahun sudah, belum selesai kes pembunuhan abang Raja Korea Utara disyaki dibunuh oleh raja itu di KLIA, kini meletup pula pembunuhan yang serupa, ke atas wartawan Saudi Jamal Khashoggi, ghaib di Konsulat Saudi di Istanbul.

Jamal Khashoggi yang lantang mengkritik Raja Saudi, terutama anaknya Putera Mahkota, menyelinapkan diri ke Amerika kira-kira setahun lalu, menjadi penyumbang tulisan tetap di Washington Post tentang keranggian Raja Salman dan Putera Mahkotanya.

Jika tulisan biasa yang dikira menyinggung keluarga Diraja Saudi boleh menyebabkan penulis tidak lena siang dan malam, maka apa lagi dengan tulisan demokrasi bebas dan berterus terang, nescaya tiada keamanan berada terus dalam negeri.

Maka Khashoggi pun seperti berada pada Nabi Musa lalu lari dari Mesir mengelak dari hukuman Firaun atas kesalahan membunuh tanpa niat seorang Qibti yang sekaum dengan Firaun. Nabi Musa cuba meleraikan perkelahian sesorang Bani Israil dengan seorang Qibti. Ditumbuknya si Qibti itu lalu dia mati.

Demi menyelamatkan diri baginda lari hingga ke bumi Nabi Syuaib. Di situ baginda rasa tidak selamat hingga Nabi Syuaib memberi jaminan tiada kuasa luar boleh menceroboh daerah kedaulatan Nabi Syuaib.

Khashoggi sepatutnya selamat di luar Saudi. Dia masuk konsulat Saudi di Istanbul. Dari segi diplomatiknya konsulat/kedutaan adalah kawasan kedaulatan sebuah negara asing di negara tuan rumahnya. Tiada kuasa Turki boleh masuk tanpa sebab. Siapa masuk dijamin selamat, sama seperti selamatnya Nabi Musa di bumi Nabi Syuaib.

Jamal Khashoggi tidak keluar. Tunangnya yang datang sama menunggu hingga 11 jam. Tiada saksi sedar dia keluar dari situ. Dia bukkan malaikat dan bukan jin yang boleh mengghaibkan diri.

Atas syaki jenayah berlaku kerajaan Turki boleh mentakwil kejadian di kosulat Saudi itu, dan kesnya Khashoggi disyaki dibunuh. Kes ini pecah ke seluruh dunia, lalu semuanya menempelak Saudi.

Apa yang Saudi hadapi sekarang sama dengan pencerobohan Korea Utara apabila ejennya dipercayai membunuh abang pemimpin Korea Utara di KLIA Kuala Lumpur. Abangnya memang dipercayai diburu oleh adiknya. Raja Korea Utara rasa terancam jika sesiapa yang tidak disenanginya bebas di luar negaranya.

Seperti Stalin, pemimpin Soviet Union rasa terancam apabila Leon Trotski, pencetus Revolusi Bolshevik komunis lari ke Latin Amerika mengelak dari buruan Stalin. Ejen Stalin membunuhnya di Amerika Selatan.

Kini Raja Saudi dan Putera Mahkotanya berdepan dengan tekanan dunia bebas, terutama Jamal adalah wartawan. Wartawan adalah raja yang tidak bermahkota di dunia, tidak membenarkan warga wartawan dizalimi di mana saja.

Abang pemimpin Korea utara bukan wartawan. Tekanan terhadap Korea Utara tentang pembunuhan itu cukup teruk. Khashoggi adalah wartawan, maka tekanan alam media mempengaruhi kerajaan masing-masing menghadapi angkara yang dikatakan dilakukan oleh Raja Saudi.

Raja Korea Utara kini kurang tekanan disebabkan dia bermain diplomasi dengan Presiden Trump. Amerika memangnya menjadi peluang bagi memastkan Saudi terus terbelenggu di bawah telunjuk Amerika, Israel dan dunia barat.

Saudi yang selama ini tidaklah intim sangat dengan dunia Islam, dengan tragedi Jamal Khashoggi ini menjadi Saudi tertambah terpencil dalam dunia Islam. Apa lagi imej Raja Saudi sekarang tidaklah seperti raja-rajanya terdahulu. Ia dilihat seranggi orang-orang Korea Utara. Korea Utara mahu keluar dari alamnya, Saudi mahu masuk ke alam itu. – HARAKAHDAILY 21/10/2018

REUTERS melaporkan bahawa parti politik Perdana Menteri India Bharatiya Janata Party (BJP) dan sekutunya menganjurkan pengepungan bandar Ayodhya oleh 100,000 pelampau Hindu pada 25 November.

SMIdrisPengepungan itu bertujuan menekan kerajaan mengadakan undang-undang untuk membenarkan kuil baharu dibina di tapak Masjid Babri. Masjid itu, yang dibina pada 1528, telah dimusnahkan oleh kumpulan perusuh pelampau Hindu pada 1992. 5,000 orang Islam yang tinggal di Bandar itu bimbangakan berlaku pembunuhan beramai-ramai dan sedang berpindah keluar.

Pertikaian berhubung tapak itu kini sedang dibicarakan di Mahkamah Agung tetapi BJP menimbulkan isu untuk menarik pengundi Hindu dalam pilihan raya kebangsaan India yang akan berlangsung pada April 2019. Mereka mengapi-apikan perasaan anti-Muslim untuk memenangi undi Hindu. Strategi ini berkesan dalam pilihan raya 2014 dengan BJP memenangi majoriti kerusi Parlimen. Ia juga membawa kepada pembunuhan orang Islam dan Dalit oleh pelampau Hindu.

Sejak pilihan raya 2014, BJP sedang kehilangan sokongan dalam kalangan pengundi disebabkan harga hasil pertanian yang rendah, pengangguran dan kesukaran yang dihadapi oleh perniagaan kecil dalam mendapatkan kredit. Mengikut pungutan suara dalam beberapa bulan lalu, sebahagian besar meramalkan parlimen tergantung. Terdesak untuk mendapatkan undi Hindu, BJP menggunakan kefanatikan Hindu dan kebencian terhadap orang Islam. Ini perlu dikutuk oleh semua.

BJP adalah sayap politik proto-fasis RSS. Ditubuhkan pada 1925 sebagai pertubuhan sosial, RSS kini berkembang menjadi pergerakan nasionalis Hindu militan yang berkuasa dengan beberapa pertubuhan sekutu, dirujuk sebagai Sangh Parivar. Cengkamannya kini telah merebak ke sekolah, kolej tentera, pertubuhan kebajikan, kelab dan penerbitan untuk mengembangkan ideologi fasis. Aktiviti Sangh Parivar mengajarkan kebencian terhadap minoriti, mencetuskan rusuhan komunal dan menggerakkan sokongan untuk calon BJP ketika pilihan raya.

RSS membenci orang Islam yang dilabelkan sebagai penjajah asing dan sumbangan mereka kepada budaya dan tamadun India dinafikan. Guru ideologi RSS M. S. Golwalkar, yang mati pada 1973, menulis bahawa layanan terhadap orang Yahudi oleh Hitler adalah ‘satu pengajaran yang baik bagi kita di Hindustan untuk mempelajarinya dan mendapat manfaat darinya. Sejak orang Islam pertama kali bertapak di Hindustan, sehingga sekarang, bangsa Hindu ini berjuang menentang perosak ini. Semangat bangsa telah bangkit.”

RSS mengendalikan 4,000 sekolah di mana minda kanak-kanak diracuni dengan mengajar sejarah India yang direka, mengagungkan sumbangan bangsa Aryan kepada tamadun India dan menanam kebencian terhadap orang Islam. Ia mengajar Hindu “untuk memperkasakan diri sendiri, mengatasi kelemahan, menunjukkan kejantanan mereka dan memadamkan sejarah pahit kesalahan masa lalu. Gesaan kepada penegasan Hindu ini menjadi metafora bagi memerangi orang Islam”. Kerajaan BJP dalam proses menulis semula buku teks sejarah sekolah negeri untuk menyesuaikan dengan ideologi Hindutva.

Kerajaan negeri BJP juga telah menukar nama beberapa kota yang berbau Islam kepada nama Hindu dalam usaha untuk menghapuskan sumbangan besar yang dibuat oleh orang Islam selama lebih 500 tahun. Allahabad, kota yang dibina oleh Maharaja Akhbar, lebih daripada 400 tahun lalu, telah ditukar namanya kepada Prayagraj, pusat ziarah Hindu dan buka kota. Di Assam, kerajaan BJP merancang untuk meminda undang-undang kewarganegaraan untuk mendiskriminasi orang Islam.

Tentang keganasan sektarian Hindu terhadap orang Islam, bekas ketua laksamana tentera laut, Laxminarayan Ramdas, menulis kepada Perdana Menteri Modi membantah: “Hinduisme yang saya kenali dan mengalaminya adalah lemah lembut, inklusif dan penuh dengan kepelbagaian luar biasa. Hari ini, sebagai seorang veteran dalam usia lapan puluhan, saya merasa malu... Orang Islam terpaksa membuktikan kesetiaan mereka, dan mereka berulang kali diletakkan dalam situasi di mana tempat ibadat mereka diserang, begitu juga tabiat makan mereka dan kebebasan asas lain.”

Faham pelampau masyarakat Hindu, dan seterusnya keganasan dan rusuhan komunal, telah membunyikan loceng amaran di India. Economic and Political Weekly telah memberi amaran: “...Pelan jangka panjang ini (bagi Hindu rashtra –Kerajaan Hindu) dilaksanakan secara sistematik sehingga ke peringkat di mana Hindu biasa pun, yang mungkin bukan sebahagian daripada Sangh Parivar, turut terpengaruh dengan kebencian terhadap komuniti lain, terutama sekali orang Islam... Politik kebencian yang dipromosikan setiap hari sedang menukarkan India kepada satu tempat yang merbahaya di mana warganegara yang mematuh kepada undang-undang bimbangkan terhadap keselamatan nyawa mereka dan anak-anakya... Ini mestilah ditentang dan semua bentuk penentangan seharusnya dialu-alukan. Kezaliman dibina di atas sikap acuh tak acuh dan ketiadaan kemanusiaan orang ramai. Hindu rashtra akan hanya menjadi yang tidak dapat dielakkan jika mereka yang percaya sebaliknya tidak melakukan apa-apa.”

Komuniti antarabangsa tidak boleh berpangku tangan dan melihat diskriminasi, penyiksaan dan keganasan yang dilakukan terhadap orang Islam dan golongan minoriti lain, dan penerapan kebencian terhadap mereka di sekolah dan media.

Oleh sebab itu, kami menggesa supaya:

1. Kerajaan Malaysia, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB, kerajaan dan NGO supaya membantah kepada Kerajaan India terhadap pengepungan bandar Ayodhya oleh 100,000 ekstremis Hindu pada 25 November ini, dan mendesak supaya menghentikannya.

2. Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan berkesan untuk mencegah ucapan kebencian, penganiayaan dan keganasan terhadap golongan Dalit, Kristian, Islam, Kaum Asli, pengkritik sekular Sangh Parivar dan minoriti lain.

3. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia (OCHR) supaya mengarahkan Pelapor Khas (Special Rapporteur) mengenai Isu Minoriti supaya menyiasat dan melaporkan situasi golongan minoriti di India. – HARAKAHDAILY 24/11/2018

Penulis ialah Pengerusi Citizens International.

SEBENARNYA dalam sakit kepala memikirkan Moria pada 11 hari bulan malam yang lepas, apabila post sebelum ini bertajuk "31 Tahun Yang Memenatkan Ditulis", sebenarnya ada sesuatu yang besar sedang berlaku di Gaza.

Pada malam tersebut, sekumpulan pengintip Zionis masuk menembusi benteng murabitin dan sampai sejauh 3km ke dalam Gaza, lalu menghendap di hadapan rumah Komander Al-Qassam di Khan Younis, Syeikh Nur Barakah.

Kehadiran mereka disedari mujahidin yang segera mengejar mereka, sebelum berlaku insiden tembak-menembak yang dahsyat.

Tidak lama kemudian helikopter Zionis hadir melepaskan peluru berpandu di beberapa kawasan bagi membolehkan penyeludup lari semula ke tanah haram Israel, sebelum mengebom kereta yang diguna dan ditinggalkan Zionis bagi menghapuskan bukti.

Dalam insiden tersebut, Syeikh Nur Barakah bersama 6 orang mujahidin syahid.

Sehingga kini, Gaza masih lagi dibom dalam serangan paling dahsyat pernah berlaku sejak Perang 2014.

Sejak jam 10pm waktu Malaysia semalam, lebih 300 roket dilepaskan dari Gaza ke tanah dijajah, dan serangan Zionis ke atas rumah penduduk, kawasan lapang dan stesyen TV utama Gaza, Stesyen Al-Aqsa telah mengorbankan sekurangnya 3 orang penduduk dengan puluhan cedera.

Kami akan membuka Situation Room di pejabat Cinta Gaza Malaysia di Bangi pagi ini bagi mengikut rapat perkembangan di sana, dan akan melaksanakan beberapa perkara:

●     Membuka Tabung Kecemasan Gaza. Pohon sumbangan segera ke akaun rasmi NGO di Maybank 5648 1050 7826 dengan sasaran kita sebanyak RM50,000 pada hari ini.

Wang ini akan dihantar esok ke Gaza untuk tujuan kecemasan.

Pohon masjid, surau, individu, ahli keluarga bertindak segera bagi menghebahkan tabung ini seluasnya.

●     Membuka group broadcast whatsapp hebahan perkembangan terkini di Gaza. Group ini akan dibuat dan dihebahkan segera.

●     Menyeru doa dan solat hajat daripada pembaca dan di program-program serta perkumpulan kalian untuk keselamatan dan ketabahan warga Gaza dalam waktu yang getir ini.

Dan pohon sangat mendoakan anak dan isteri saya di sana.

Sebelum Naeem tertidur tadi pada jam 1am waktu Gaza selepas penat menghantar berita, beliau memaklumkan bahawa Hotel Al-Amal yang berada kira-kira 300m daripada rumah kami di Gaza telah dibom.

Sekolah telah diarahkan bercuti dan keadaan darurat diisytiharkan.

Mereka di sana adalah ibu, ayah, adik, kakak dan anak kalian.

Justeru pohon sangat disebarkan.

NADIR AL-NURI,
13 November 2018,
8.14 pagi.

Postscript: Keterangan ada pada setiap gambar. - HARAKAHDAILY 13/11/2018

 FB IMG 1542076599245FB IMG 1542076601160FB IMG 1542076603464FB IMG 1542076605308

TIADA yang istimewa di tanah bekas jajahan Belanda ini kecuali paduan panorama pantai Malibur dan Gunung Rinjani yang memukau. Kecantikan faunanya hampir ranap setelah gempa bumi berskala 6.4 magnitud pada 29 Julai lalu. Diikuti dengan lima lagi rauman gempa susulan dengan skala yang kuat. Sekali gus menjadikan rakyat Lombok yang belum pernah diganggu  gempa berada dalam keadaan trauma.

Saya berusaha sampai di bumi Lombok ini setelah lebih dua bulan kejadian gampa bumi terjadi. Kerja amal ini tidak putus walaupun kerajaan Indonesia mengisytiharkan fasa menyelamat bencana berakhir pada 25 Ogos lepas.

Kerajaan Indonesia telah membuat kenyataan rasmi bahawa fasa pemulihan (rehabilitation) bermula, namun menghadkan jumlah pasukan luar yang datang untuk membantu. Mungkin atas sebab-sebab sosiopolitik, sekatan ini dikenakan.

Pun begitu rakan NGO kami daripada PKS menyatakan semakin banyak santunan yang wajib mereka dilakukan. Kerja-kerja pembersihan, pemeriksaan kesihatan, bantuan makanan asas dan pembinaan semula kehidupan rakyat Lombok harus diteruskan. Relawan PKS sudah hampir dua bulan berkampung di setiap penjuru Lombok. Boleh dikatakan setiap Posko (Pusat Operasi Bencana) yang dibangunkan oleh PKS terdapat 10 orang relawan.

Lombok adalah salah satu dari tiga pulau utama di bawah penguasaan pentadbiran Nusa Tenggara Barat Indonesia. Pulaunya sejajar dengan Bali dan Sumbawa. Tetapi tiga juta daripada lima juta penduduk bangsa Sasak ini tertumpu di Pulau Lombok. Ini kerana mungkin Pulau Lombok lebih nyaman dan mendamaikan. Sesuai dengan gelaran Negeri Lombok adalah negeri Sejuta Masjid dan Sejuta Maling.

Majoriti penduduknya adalah muslim. Apabila masuk waktu solat, laungan azan akan bertali-talian. Sesiapa sahaja yang hadir di bumi Lombok ini akan termaling (curi) hatinya. Di samping keindahan bahasa yang digunakan, rakyatnya amat penyantun.

Seluruh kepulauan Indonesia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik. Dengan makna, bila-bila masa sahaja titik tumpu gunung merapi boleh meletus dan akhirnya boleh mengakibatkan gempa bumi dan tsunami.

Berlakunya siri gempa bumi di Lombok dan Sulawesi ini akan memberi kesan iklim yang buruk seluruh dunia. Manusia secara keseluruhannya dijangka akan menghadapi perubahan cuaca yang melampau. Pergerakan angin dan arus lautan juga terkesan sehingakan bongkah ais di kutub dunia akan mencair.

Kehadiran kami seramai 18 orang sukarelawan gabungan terdiri daripada Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan dan Perlis, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), wakil daripada Iman Care, Warga Cakna dan beberapa NGO lain lagi bertujuan menyampaikan sedikit bantuan yang telah diamanahkan untuk santunan rakyat Lombok.

Seperti yang dijanjikan, kami tiba di Lombok Tengah, Barat, Timur dan utara selama tiga hari berturut-turut itu dengan bekalan makanan harian. Saya, Dr Zuraizi Jaafar dan Dr Afiq Fahimy mewakili Papisma juga turut membuat rawatan kesihatan sekadar mampu. Terima kasih kepada pihak PKS yang telah pun menyediakan keperluan ubat-ubatan kepada mangsa kejadian gempa. Bekalan ubatan yang telah tersedia itu digunakan untuk rawatan pesakit.

Namun, hasil daripada penilaian yang dilakukan, mereka sudah tiada rintihan yang ketara tentang penyakit fizikal. Sakit badan, sakit sendi itu tidak terlalu mendesak kehidupan mereka. Begitu juga dengan luka kecil, demam selsema dan rengat seluruh badan tidak mematahkan semangat mereka untuk terus hidup.

Penyakit fizikal ini berlaku mungkin kehidupan yang tidak menentu, siang hari penuh dengan kerja-kerja pembersihan puin-puin bangunan yang roboh, badan mereka sakit sana sini. Jauh dalam renungan anak mata setiap penduduk Lombok ini sama ada tua mahupun muda, adalah kerencaman dan apakah kesudahan nasib hidup mereka pada masa mendatang.

Mereka seolah-olah putus harap dengan pihak lain yang hanya datang untuk mengolah ceria serta cerita bahagia yang sementara. Kemudian selfie sana sini dan lambai pulang ke negeri masing-masing. Tiada satu kata jaminan ajaib yang membolehkan mereka bangkit semula daripada trauma gegaran gempa ini. Apa lagi yang harus kita lakukan?

Akhir sekali, Saudara Abdul Hamid Seman, Pengerusi Yayasan Amal Cawangan Kelantan mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan relawan yang terlibat. Yayasan Amal Malaysia hanya sebagai perantara.

Kejayaan misi kemanusiaan selepas gempa bumi ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak termasuk para penyumbang tabung kemanusiaan gempa bumi Lombok. Beliau meletakkan azam untuk terus mengatur pelan bantuan ke Palu, Sulawesi yang baharu sahaja berlaku gempa bumi dan tsunami.

Catatan misi kemanusiaan #CintakuDiBumiLombok 2018.

Dr Suhazeli Abdullah
Kg Senggigi, Lombok Tengah
1.10.2018 – HARAKAHDAILY 1/10/2018

lb1

lb2

lb3

lb5

lb7

lb12

lb14

More Articles ...

Page 1 of 4