Dunia Afrika dan Arab meriah meraikan kejayaan Maghribi

Penduduk Tunis di Tunisia, keluar ke jalan raya meraikan kemenangan Maghribi
- Advertisement -

Peminat bola sepak Maghribi yang meraikan pasukan mereka menjadi negara pertama Afrika mara ke separuh akhir Piala Dunia, memenuhi stadium di Qatar dengan sorakan gamat dan seperti berpesta di mana-mana, jalanan dan rumah.

- Advertisement -

Kemenangan 1-0 ke atas Portugal bukan hanya diraikan di Maghribi, malah penyokong bersemangat dari Abidjan di Ivory Coast hingga Riyadh di Arab Saudi, memuji apa yang mereka lihat sebagai kemenangan bersejarah dunia Afrika dan Arab.

“Mereka membuatkan kami gembira dan bangga serta membuktikan bahawa mereka boleh mara ke final. Mengapa tidak? Kami sangat bangga dengan pasukan ini yang disokong oleh Afrika dan Arab,” kata Siham Motahir, seorang wanita di sebuah kafe Rabat, Maghribi, yang dipenuhi peminat untuk menonton perlawanan itu.

Bunyi hon kenderaan yang berirama, orang ramai melompat sambil mengibarkan bendera Maghribi – sebahagian daripada lautan manusia yang memenuhi pusat bandar Rabat, suasana hiruk-pikuk kemenangan.

Kemenangan ke atas Portugal adalah kejayaan ketiga Maghribi terhadap pasukan Eropah yang mempunyai ranking lebih tinggi dalam Piala Dunia, bukan sahaja membawa kegembiraan di Maghribi, malah disambut dengan meluas di Afrika dan Arab.

Gaya pemain Maghribi merayakan kemenangan ke atas Portugal

Presiden Kesatuan Afrika, Macky Sall menulis di Twitter dengan menggunakan huruf besar untuk menyatakan keterujaannya: “BERSEJARAH! DAN HEBAT! SINGA ATLAS LAYAK KE SEPARUH AKHIR PIALA DUNIA! BRAVO MAGHRIBI.”

Pemimpin politik dan sukan Arab serta Afrika memberi penghormatan kepada Maghribi, termasuk tweet daripada Perdana Menteri Libya, Iraq dan Pihak Berkuasa Palestin serta pemerintah Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.

Bekas bintang bola sepak Ivory Coast, Didier Drogba menulis tweet, “Mereka berjaya!!!! Syabas Maghribi untuk pencapaian ini. Hidup Afrika.”

Seorang pelanggan di sebuah kafe Abidjan, Jules Goule, berkata penduduk Ivory Coast berbangga dengan kemenangan Maghribi. “Melalui Maghribi, Afrika membuktikan mampu bersaing dengan benua lain dalam bola sepak,” katanya.

“Wah, wah… Maghribi! Ini sangat menggembirakan! Afrika bersinar!” jerit Agwe Jefferson, 28, seorang pemandu di Yaounde, ibu negara Cameroon.

Peminat Maghribi di Brussels, Belgium turut gembira dengan kejayaan negara itu

Di Libya, orang ramai yang menonton perlawanan di bandar pelabuhan Misrata, menyalakan suar merah dan mengibarkan bendera Libya dan Maghribi, manakala di ibu kota Tunisia, orang ramai turut meraikan kemenangan itu.

“Hari ini, Maghribi memberikan penghormatan kepada orang Afrika dan Arab serta mewujudkan impian yang kita semua miliki,” kata Ameur Souilam di Tunis.

Sementara itu di wilayah Palestin yang diduduki dan Israel, ribuan orang memenuhi kafe, restoran dan stadium bola sepak menayangkan perlawanan itu, bersorak gembira dengan kejayaan Maghribi. Dalam kemenangan sebelum ini, pemain pasukan Maghribi bergambar dengan bendera Palestin.

“Melihat bendera Palestin dikibarkan oleh pemain bola sepak Maghribi membuatkan kami berasa seolah-olah menang,” kata ahli perniagaan Gaza, Imad Joudat.

Di Edgware Road, London, yang merupakan pusat komuniti Arab di bandar raya itu, jalan raya sesak dengan kereta yang membunyikan hon dan mengibarkan bendera, manakala di Paris, laungan dan sorakan peminat Maghribi memenuhi Champs Elysees. – REUTERS

- Advertisement -