24
Fri, Mar
163 New Articles

PADA Hari Perhutanan Sedunia 21 Mac ini, 200 pertubuhan mengingatkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (Food and Agriculture Organisation - FAO) bahawa definisi hutannya sejak 1948 mengelirukan dan mestilah ditukar. Definisinya membolehkan industri perladangan menyembunyikan kesan buruk ekologi dan sosial daripada perladangan pokok monokultur berskala besar di sebalik imej hutan yang positif.  
 
Definisi hutan FAO membolehkan industri perladangan memanggil ladang monokultur yang menggunakan spesies cepat membesar seperti eucalyptus, pain, getah atau akasia sebagai “hutan” kerana definisi hutannya hanya dengan bilangan, ketinggian dan sudur yang melindungi pokok di sesuatu kawasan. Definisi hutan FAO digunakan sebagai rangka tindakan bagi lebih 200 definisi hutan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan sejak 1948.
 
Atas nama definisi hutan FAO ini, pihak industri mampu untuk berkembang dengan pantas terutama sekali di dunia Selatan, di mana ladang pokok monokultur kini meliputi beberapa puluh juta hektar tanah. Pengembangan ini membawa bencana kepada komuniti luar bandar, petani  dan Orang Asal. Mereka kehilangan tanah dan kehidupan di mana ladang pokok monokultur telah mengambil tanah mereka, memusnahkan cara hidup mereka, mengeringkan sungai dan mata air mereka dan meracuni makanan mereka dengan racun pertanian.
 
“Hampir 70 tahun, definisi hutan FAO yang mengelirukan ini memberikan kelebihan kepada industri perladangan. Mereka menyembunyikan kemusnahan yang disebabkan apabila kepelbagaian hutan, padang rumput dan tanah gambut yang kaya dengan kehidupan ditukar menjadi ‘gurun hijau’ yang terdiri daripada pokok monoklonal dalam barisan yang lurus di sebalik imej hutan positif yang disediakan oleh FAO,” kata Winfridus Overbeek, Penyelaras Antarabangsa World Rainforest Movement.
 
Perbahasan pemulihan hutan sebagai perlindungan iklim menambahkan lagi pentingnya definisi hutan diperbetulkan
 
“Dengan menerima pakai Perjanjian Paris PBB mengenai perubahan iklim, menyemak semula definisi hutan FAO semakin penting,” kata Guadalupe Rodriguez dari Salva la Selva/Rettet den Regenwald, “ia merupakan satu tragedi jika definisi FAO yang mengelirukan ini membolehkan pengembangan monokultur pokok yang memusnahkan ini untuk dana iklim yang diperuntukkan bagi “perhutanan semula” dan “pemulihan hutan”.

Ini bukan hanya menjejaskan lebih banyak komuniti di mana perladangan pokok mengambil alih tanah yang digunakan oleh penduduk tetapi juga menjejaskan perlindungan iklim: Hutan yang kaya dengan karbon akan musnah dan digantikan dengan ladang pokok monokultur dengan negara mendakwa menurut definisi hutan FAO, tiada kawasan hutan yang hilang walaupun berlaku kehilangan karbon yang besar,kemusnahan biodiversiti, sumber air dan kehidupan tempatan apabila hutan digantikan dengan perladangan monokultur.
 
Satu contoh di mana perladangan dikelirukan sebagai hutan yang membolehkan industri perladangan membuka jalan untuk mendapatkan dana iklim ialah ‘African Forests Restoration Initiative” (AFR100). Dilancarkan di mesyuarat iklim PBB 2015, ia mensasarkan untuk meliputi 100 juta hektar yang dianggap oleh kerajaan Afrika yang turut serta dalam mesyuarat itu sebagai tanah “merosot”. Bank Dunia akan memperuntukkan AS$1 billion untuk rancangan ini dan bergantung kepada definisi hutan FAO untuk kelayakan mendapatkan pembiayaan itu.
 
Memeranjatkan, satu daripada syarikat perladangan pokok paling kontroversi yang beroperasi di Afrika, Green Resources yang berpangkalan di Norway (2), antara pembicara utama di persidangan 2016 di Ghana, di mana perlaksanaan inisiatif AFR100 adalah paling menonjol kepada agenda itu.
 
Tema Hari Perhutanan Sedunia FAO 2017 ‘Hutan & Tenaga’ menunjukkan tindakan segera perlu untuk menukar definisi hutan
 
“Permintaan tenaga tidak lestari negara perindustrian ditambah dengan keperluan tenaga baharu ‘boleh diperbaharui’ mereka telah pun menukar hutan dunia Selatan kepada industri ladang ‘biomass’. Perkataan ‘ladang’ tidak muncul sekali pun dalam “mesej utama” laman sesawang FAO untuk Hari Perhutanan Sedunia 2017,” kata Wally Menne dari Timberwatch Coalition, Afrika Selatan. Contohnya, untuk menyediakan semua keperluan tenaga United Kingdom melaluibiomass berasaskan eucalyptus memerlukan kira-kira 55 juta hektar ladang di Brazil – keluasan kawasannya dua kali ganda saiz United Kingdom.     
          
200 kumpulan hari ini turut serta lebih daripada 130 ribu kumpulan dan individu yang menggesa FAO pada 2015 supaya mengubah definisi hutan FAO kerana perladangan pokok bukan hutan.
 
“Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), turut menandatangani surat terbuka ini kepada FAO.” kata S.M. Mohamed Idris, Presiden CAP dan SAM. – HARAKAHDAILY 21/3/2017

KEKUATAN umat Islam yang dilindungi oleh kuasa politik kekhalifahan semenjak 632 Masehi telah berakhir dengan pembubaran Khilafah Othmaniyah pada 3 Mac 1924. Kejatuhan Khilafah Othmaniyah menandakan berakhirnya kekuasaan politik umat Islam selama 1,342 tahun semenjak Nabi Muhammad SAW berhijrah meninggalkan Mekah untuk mendirikan negara Islam yang pertama di Madinah pada tahun 622 Masehi. Dengan kejatuhan Khilafah Othmaniyah ini, para ulamak telah bangkit memimpin umat Islam dengan menubuhkan gerakan-gerakan Islam di tempat masing-masing bagi memperjuangkan tertegak semula kekhalifahan umat Islam.

Sepanjang sejarah umat Islam, setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 632, kepemimpinan umat Islam telah digantikan oleh Khulafa ur-Rasyidin sehingga 662. Setelah itu kekhalifahan Islam disambung oleh Daulah Umaiyyah (622-750), Daulah Abbasiyah (750-1512) dan Daulah Othmanitah (1512-1924). Pada zaman Daulah Othmaniyah, wilayah umat Islam terbentang dari barat Afrika hingga ke tenggara Asia, di mana terdapat empat kerajaan utama yang bernaung di bawah Daulah Othmaniyah iaitu Dinasti Saadi (1554-1659) di barat Afrika, Dinasti Safawi (1501-1736) bermazhab Syiah di Parsi dan Asia Tengah, Dinasti Mughal (1526-1857) di Asia Selatan dan Kesultanan Aceh (1496-1903) di Nusantara, selain Daulah Othmaniyah yang menguasai Afrika Utara, Semenanjung Arab, Syam, Anatolia, Balkan dan Eropah Timur.

Kejatuhan Granada pada tahun 1492 telah membuka ruang kepada penjajahan Barat pada abad ke-16 di mana wilayah-wilayah Afrika dan Asia mulai dijajah secara berperingkat terutama selepas penaklukan Portugis ke atas Goa di India pada 1510 dan Melaka pada 1511. Setelah itu, kuasa-kuasa Barat yang lain termasuk Belanda, Perancis, Itali, British dan lain-lain telah menguasai wilayah-wilayah Islam di seluruh dunia terutama wilayah yang jauh dari Istanbul bagi melaksanakan agenda "God, Glory and Gold," yang pada hakikatnya mereka berusaha meruntuhkan kekuasaan politik Islam. Kemuncak kepada proses penjajahan ini, Barat bukan sahaja menguasai perdagangan Timur-Barat, tetapi telah menjatuhkan kerajaan-kerajaan Islam yang wujud di seluruh dunia selepas berjaya menjatuhkan Granada (1492), Goa (1510) dan Melaka (1511).

Kesan dari gerakan melumpuhkan kekuasaan politik Islam ini, menjelang abad ke-20, kuasa-kuasa politik Islam mulai runtuh bermula dengan runtuhnya Daulah Mongol di India pada 1857, diikuti oleh kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam di Afrika antara 1850 hingga 1900 seperti Toro (1861), Gomma (1886), Harrar (1887), Kong (1894), Jallon (1896), Wassoulou (1898) dan lain-lain. Di Nusantara, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah berjaya memecahkan Kesultanan Johor Riau dan Kesultanan Aceh, sebelum Kesultanan Maguindanao dilumpuhkan pada 1888. Kekuasaan politik Islam di Nusantara berakhir dengan jatuhnya Kesultanan Pattani (1902), Aceh (1903), Tidore (1904) dan Banjar (1905). Kemaraan Revolusi Bolsheviks pada 1917 pula meruntuh saki-baki kerajaan Islam di Asia Tengah apabila Kerajaan Khiva dan Bukhara jatuh pada 1920.

Di wilayah Arab, pendudukan British di Mesir pada 1882 menggantikan Perancis dan penaklukan wilayah Utara Afrika oleh Itali pada 1911 dan Perancis pada 1912 telah melumpuhkan wilayah Khilafah Othmaniyah di Afrika, sedangkan kekuasaan Islam di Afrika Barat berakhir dengan jatuhnya Kerajaan Dendi (1901) dan Sokoto (1903). Kemuncak penguasaan mereka adalah berlakunya perjanjian Sykes-Picot pada 1916 yang memecahkan wilayah Syam dan Iraq sehingga membawa kepada terbentuknya kesultanan baru yang pro Barat dalam usaha memecahkan Khilafah Othmaniyah seperti Hashimiyah Jordan dan Iraq (1921) serta Saudiyah di Semenanjung Arab (1932). Keupayaan Barat menguasai wilayah Arab ini berkait rapat dengan peranan golongan sekular yang melakukan Revolusi Turki Muda pada 1908 sehingga membawa kepada kejatuhan Sultan Abdul Hamid II.

Pemecatan Sultan Abdul Hamid II sebagai khalifah pada 1909 telah mengubah dasar Khilafah Othmaniyah menjadi sekular pada era tiga pemerintah terakhirnya. Disebabkan penglibatan Khilafah Othmaniyah dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), berlakunya Perjanjian Sykes-Picot 1916 yang memecahkan wilayah Arab dan Perjanjian Belfour 1917 yang memulakan pembentukan negara Yahudi di Palestin. Pada 1923, menerusi Perjanjian Lausanne, Sultan Abdul Majid II dipaksa menerima Persyaratan Curzon untuk menghapuskan kekhalifahan dan seterusnya menghapuskan perlembagaan negara berasaskan al-Quran dan Sunnah. Bertolak dari Perjanjian Lausanne 1923 ini, pada 3 Mac 1924, Mustafa Kamal Atarturk telah membubarkan kekhalifahan Othmaniyah yang berdiri sejak 1299, sekali gus meruntuhkan kekuasaan politik Islam di seluruh dunia.

Antara faktor utama pecah dan runtuhnya kekhalifahan Islam adalah kerana penyebaran fahaman sekular (pemisahan politik dari agama) dan nasionalisme (kebangsaan) di kalangan orang Islam. Menangani perpecahan ini, pada 1870-an, Sultan Abdul Hamid II telah melancarkan Pan-Islamism (al-Wehdah al-Islamiyah) untuk menyatukan umat Islam di bawah negara Islam yang dipimpin oleh khalifah. Semangat Pan-Islamism di Nusantara digerakkan oleh Jam'iyatul Khairiyah yang ditubuhkan di Jakarta pada 1905, diikuti oleh Pergerakan Khalifat di India pada 1919 ekoran kemerosotan Khalifah Othmaniyah. Lebih menonjol dari pergerakan ini ialah munculnya gerakan politik Islam yang memperjuangkan tertegak semula khilafah Islamiyah dengan munculnya Sarekat Islam di Indonesia (1905) dan All Indian Muslim League di India (1906), Tanzhim Ittihad Muhammadi di Istanbul (1909) dan Ikhwanul Muslimin di Mesir (1928). Setelah itu, berlaku metamorfosis dengan tertubuhnya Istiqlal di Maghribi (1937), Jamaat Islami di India (1941), Masyumi di Indonesia (1943), serta Hizbul Muslimin (1948) dan PAS (1951) di Tanah Melayu.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Mac 2017

DEWAN seminar Hotel Marriott Putrajaya terasa panas membahang walau dialun dengan penghawa dingin kelas lima bintang. Pembentang mengungkapkan dengan penuh simpati dan empati, sarat dengan saranan, mengilas sejarah peta luka umat Islam ini. Arakan adalah Gaza Asia dan Malaysia adalah negara yang diharapkan untuk membantu krisis yang semakin memburuk terutama selepas tragedi pembantaian 2012.

Konferens Antarabangsa mengenai Rohingya yang dianjurkan oleh Yayasan Amal, IPSOM, Kesatuan Ulama SeDunia (IUMS) bertujuan membincangkan dengan teliti solusi membantu muslim Rohingya agar dapat keluar daripada kemelut panjang lebih separuh abad ini.

Konferens Antarabangsa yang menghimpunkan ramai cendekiawan, relawan, pengkaji sosio politik, penjawat awam daripada 13 buah negara ini, bermukim selama tiga hari di sini. Konferens tiga hari ini, setakat ini menjadi mercu tanda kesungguhan rakyat negara ini untuk membantu Muslim Rohingya pasca program "Food Flotilla for Myanmar" bulan Februari yang lepas. Malaysia walaupun agak terlewat memulakan langkah mulia ini, namun paling kurang hari ini disebut di peringkat antarabangsa, menjadi negara paling terkedepan dalam membantu Rohingya, selain kerajaan Turki.

Isu muslim Rohingya perlu digarap dengan berhati-hati, dengan kerapuhan isu agama dan etnik yang sangat mudah memicu kebencian, seterusnya mewabak kepada konflik berdarah di rantau ini. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Kesatuan Ulama melihat isu ini juga jangan sampai membenarkan rantau Asia Tenggara ini bergolak seterusnya mengundang campurtangan Barat. Mengapikan kebencian agama, antara Islam dan Buddha walhal konflik ini boleh diuruskan dengan lebih harmoni.

Setiap negara dalam dunia ini wajib mengambil langkah membantu penduduk Rohingya, memberikan fokus penyelesaian isu penindasan ini. Negara-negara yang menandatangani Perjanjian Hak Asasi atau terlibat dalam konvensyen Geneva, juga negara-negara Islam di bawah payung OIC  serta seluruh aktivis bantuan kemanusiaan wajib mengembleng tenaga untuk menghentikan pembantaian, intimidasi dan perlanggaran terhadap hak etnik minoriti Rohingya.

Kezaliman regim Myanmar sangat sadis apabila separuh daripada muslim Rohingya telah meninggalkan tanah leluhur mereka, ada yang meregang nyawa di lautan atau menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Tiada layanan sebagai warganegara Mynmar kepada muslim Rohingya apabila mereka dinafikan kewarganegaraan. Saya berkongsi kepiluan dengan Ustaz Tarmizi Sulaiman pagi tadi, bagaimana usaha mengusir muslim Rohingya adalah melalui rekayasa pihak regim Mynmar sendiri.

Pada tahun 2012, seorang gadis Buddha kononnya dirogol sehingga mati oleh pemuda Islam Rohingya, kalendar-kalendar dicetak dengan wajah gadis yang dirogol untuk menyalakan api permusuhan antara agama dan etnik. Isu ini digunakan untuk menyulut api perbalahan sehingga muslim Rohingya dibunuh beramai-ramai, pembakaran kampung, pembakaran masjid serta gadis-gadis muslim diperkosa oleh tentera Myanmar.

Peristiwa serangan 9 oktober 2016 oleh kelompok yang kononnya "jihadis" terhadap sebuah kem tentera kerajaan juga akhirnya menjadi alasan untuk serangan balas yang telah mengorbankan ribuan ummat Islam. Segalanya seolah drama terancang untuk menyudutkan orang Islam di kandang orang salah. Lebih setengah juta muslim Rohingya mengungsi ke Bangladesh, sebuah negara miskin yang tak menjanjikan sinar harapan bahagia buat pelarian.

Konferens Antarabangsa mengenai Rohingya ini juga akan menyalurkan resolusi perbincangan kepada kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan efektif serta seruan kepada seluruh dunia untuk bangkit bersuara serta membantu tragedi kemanusiaan terbesar di Asia Tenggara ini. – HARAKAHDAILY 15/3/2017

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengalu-alukan dengan positif perkembangan terkini proses gencatan senjata yang dipersetujui di kalangan pihak yang bertempur di Syria sebagaimana yang dilaporkan agensi media antarabangsa.

Umat Islam juga mestilah cermat memahami bahawa apa yang berlaku adalah campurtangan strategik kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga kepentingan keselamatan Israel di rantau itu. Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam. Negara-negara Arab dipergunakan sebagai proksi dengan cagaran mempertahankan takhta kerajaan masing-masing sebagai umpannya dan seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah. Percaturan kompleks geo-politik sebegini memerlukan kefahaman di kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan kepentingan mereka.

Secara umumnya PAS melihat keadaan yang tegang dan berdarah di bumi Syria sememangnya perlu dihentikan segera, kesejahteraan rakyat awam dikembalikan, dan pada masa yang sama sebarang cubaan provokasi jahat untuk menggagalkan gencatan ini mestilah dihalang dari berlaku terutamanya pada masa yang sangat kritikal ini. Formula ini adalah antara syarat awal dalam memastikan gencatan ini dapat dipertahankan.

Apabila keadaan keselamatan lebih terpelihara,  maka baharulah  isu berkaitan dengan kezaliman dan pembunuhan semasa tragedi berdarah ini berlaku mestilah disiasat dan diambil langkah konstruktif seterusnya yang bersesuaian dengan protokol undang-undang yang diterima di peringkat antarabangsa.

"Inilah Penyelesaian Kita"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
30 Rabiul Awwal 1438H / 30 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 30/12/2016

PRESIDEN MAPIM, Cikgu Azmi telah berucap di UN di Geneva pada 8 Mac 2017 dalam forum khas anjuran Islamic Human Rights Commission (IHRC) yang berstatus perundingan (consultative) di bawah Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial, UN.

Beliau diminta berucap mengenai pengelaman dan kesan Food Flotilla for Myanmar. Dalam ucapan lebih 25 minit itu beliau telah menekankan bagaimana komuniti dan agensi dunia gagal mengatasi penindasan ke atas kaum Rohingya sejak lebih enam dekad.

"Ini bukan isu yang kompleks sebagaimana ramai pihak cuba melihatnya. Ia isu yang jelas dan terang. Ia isu penafian hak dan penghapusan etnik," kata beliau di depan wakil pelbagai NGO dan wakil negara.

"Apakah kita nak memberitahu ibu yang diperkosa dan anaknya disembelih oleh tentera Myanmar, bahawa ini isu kompleks dan susah untuk diselesaikan? Sedangkan ia jelas soal keganasan yang didalangi oleh pemerintah Myanmar dan melanggar segala perundangan antarabangsa. Kenapa dunia bertangguh untuk mengambil tindakan ke atas Myanmar yang sudah sekian lama melakukan jenayah ke atas kemanusiaan?" ujar beliau lagi.

Cikgu Azmi telah mendedahkan fakta yang diperolehi dari dalam Maungdaw mengenai keganasan yang telah dilakukan ke atas etnik Rohingya sejak 9 Oktober 2016 di negeri Rakhine/ Arakan utara:
Tentera Myanmar dan Polis Kawalan Sempadan telah melakukan jenayah berikut
•50 perkampungan dibakar
•12,118 rumah dibakar
•118 madrasah dimusnah
•143 masjid dibakar dan dimusnah
•913 kedai muslim dibakar
•1,094 orang (lelaki, wanita, kanak-kanak) hilang
•97,000 orang hilang tempat tinggal
•2,327 orang ditahan
•1,447 orang cedera
•2,287 wanita dan gadis dirogol
•1,234 orang terbunuh
•73,000 melarikan diri ke Bangladesh

"Kami menggerakkan inisiatif flotilla bukan hanya soal menghantar bantuan kemanusiaan semata-mata tetapi adalah untuk menarik fokus dunia. Bahawa jenayah yang dilakukan pemerintah Myanmar tidak boleh dibiarkan berterusan. Dunia mesti melakukan tekanan yang cukup kuat ka atas Myanmar untuk dipaksa menghentikan kezaliman yang dilakukan ke atas minoriti Mulsim Rohingya," tambahnya lagi.

Turut berucap dalam sessi khas itu ialah Pengerusi ARU (Arakan Rohingya Union), Dr Wakaruddin dan Pengarah IHRC, Massoud Sajareh.

"Bangladesh juga tidak boleh dilepaskan? Kesukaran untuk badan kemanusiaan untuk membantu pelarian ke Bangladesh perlu diatasi segera. Anehnya sementara Bangladesh mengatakan ia tidak mampu menerima ratusan ribu pelarian Rohingya, namun ia juga beralasan jika dibenarkan badan antarabangsa membantu pelarian akan mengalakkan lagi pelarian Rohingya memasukki Bangladesh," kata Cikgu Azmi lagi.

Namun bukankah itu isu Bangladesh untuk bersama komuniti dunia menekan Myanmar supaya menghentikan keganasan ke atas etnik Rohingya. Apakah alasan yang sama boleh diberi kepada negara lain yang menerima pelarian Rohingya?

Pengalaman hanya 25 orang sahaja dari 182 orang delegasi Flotilla yang dibenarkan melawat kem pelarian telah menggambarkan pihak Bangladesh keberatan menerima pihak luar membantu pelarian.

"Padahal ini adalah usaha besar Malaysia yang mahu meringankan bebanan Bangladesh," ujar Cikgu Azmi.

Cikgu Azmi mempersoalkan kenapa komuniti dunia gagal bertindak menyelamatkan etnik Rohingya daripada penindasan yang menderita lebih setengah abad. Apa yang menghalang Myanmar daripada diheret ke mahkamah anatarabangsa atau sekatan dikenakan keatas negara tersebut?
 
Dalam ucapan beliau, perkara yang dituntut dilaksanakan oleh pihak Majlis Hak Manusia PBB (UNHRC) ialah mewujudkan Komisi Penyiasatan Antarabangsa (International Commission of Inquiry) atau badan yang seumpama itu untuk menyiasat pelbagai perlakuan ganas tentera Myanmar.

Operasi Pemusnahan (Clearance Operation) yang dilancarkan oleh tentera Myanmar telah melanggar pelbagai undang-undang hak manusia antarabangsa. Ia termasuk jenayah ke atas wanita dan kanak-kanak, pembunuhan dan penangkapan tanpa bicara, pengusiran, pemusnahan dan perampasan harta benda.

Pejabat UNHRC telahpun mendokumentasikan kes-kes pelanggaran hak manusia oleh tentera Myanmar yang serius terhadap etnik Rohingya ketika operasi tentera Myanmar tersebut yang jelas melakukan jenayah ke atas kemanusiaan. Banyak lagi dokumentasi telah dikumpulkan yang sepatutnya menjadi alasan kukuh untuk mewujudkan badan penyiasatan tersebut.

Pihak Myanmar telah menafikan semua bukti yang dikumpul dan pihak tentera mengguna imuniti berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan 2008 untuk tidak didakwa. Sehingga hari ini tidak ada seorangpun yang didakwa ke atas jenayah yang dilakukan.

Pada Februari 2016, tiga orang pegawai rendah telah dihukum dua bulan penjara dan tiga pegawai tinggi diturun pangkat mengenai kes memukul dan menyiksa tahanan Rohingya yang diviralkan. Sejak Oktober 2016, empat komisi untuk menyiasat ditubuhkan oleh kerajaan Myanar, namun semuanya tidak mempunyai wibawa, kredibiliti, kebebasan dan kepakaran untuk melakukan sisatan yang berkesan dan bebas.

Pada 1 Disember 2016 Presiden Myanmar Htin Kyaw menubuhkan komisi siastan 13 anggota yang dipengerusi oleh Timbalan Presiden,  Myint Swe, seorang bekas jeneral tentera untuk ‘mencari kebenaran’ keganasan tentera. Anggota komisi itu termasuk Ketua Polis Myanmar dan bekas pegawai kerajaan. Rumusan siasatan ialah menafikan sebarang salah guna kuasa oleh tentera Mynamar.

Demikian juga sebuah komisi yang ditubuh oleh parlimen negeri Rakhine pada 24 Oktober 2016 yang dianggotai oleh 11 anggota, namun secara dominan dikuasai oleh etnik Rakhine dari Parti Nasional Arakan (ANP). Komisi ini tidak menyiasat pelanggaran hak manusia, hanya menumpu kepada serangan ke atas pos tentera pada 9 Oktober 2106.

Pengerusi Komisi tersebut seorang ahli Parlimen ANP, Aung Win, menyatakan kepada BBC, bahawa kes merogol wanita Rohingya tidak mungkin terjadi sebab wanita Rohingya adalah "kotor" dan "mereka tidak cantik, jadi tidak ada orang Buddha tempatan mahupun tentera yang mahu merogol mereka". – HARAKAHDAILY 11/3/2017

Page 1 of 3