14
Mon, Oct
9 Artikel Baru

Bekas Pengerusi Bernama ditarik darjah kebesaran

Berita
Typography

KOTA BHARU: Istana Kelantan menarik balik darjah kebesaran Ahli Dewan Negara Perak Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini berkuat kuasa 1 Mac lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad berkata, Sultan Muhammad V mengampuni perkenan menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) daripada individu terbabit.

Katanya pihak berkenaan sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan menerusi surat bertarikh 1 Mac 2019.

“Adapun penarikan balik ini adalah hak Sultan Muhammad V, yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara baginda,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurutnya juga adalah dimaklumkan kerajaan negeri telah mewartakan Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salahguna) (Pindaan) 2015 pada 27 Ogos 2015.

Enakmen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun bagi mana-mana orang yang menggunakan apa-apa Darjah, Tanda Kebesaran, Pingat, Lambang dan Bintang Kebesaran yang pernah dikurniakan Sultan yang telah ditarik balik baginda.

Nazran juga berkata, enakmen itu juga memberi kuasa kepada polis membuat penyiasatan termasuk kuasa memasuki premis dan menggeledah serta menyita apa-apa keterangan atau barang kes yang disyaki berkait dengan kesalahan di bawah enakmen itu.

Mohd Annuar juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak dan juga bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). - HARAKAHDAILY 4/3/2019