26
Sun, May
20 Artikel Baru

Pemuda PAS Selangor selar ucapan Anwar

Nasional
Typography

PEMUDA PAS Selangor menyelar ucapan biadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) berkempen di PRK Semenyih yang menimbulkan persepsi jahat ke atas Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang khususnya.

Ucapan beliau jelas menunjukkan kebiadapan kerana tanpa rasa hormat memekik nama Tuan Guru Presiden PAS dengan diburukkan imej buruk seolah-olah tindakan PAS bersekongkol dalam isu 1MDB.

shukrisngorPemuda PAS Selangor yakin tindakan DSAI adalah menunjukkan DSAI sedang dalam keadaan gelabah semenjak PAS menyatakan sokongan secara zahir kepada PM Tun Mahathir sekiranya wujud undi tidak percaya.

Masakan tidak, DSAI sentiasa alih isu berkaitan undi tidak percaya dengan mengaitkan PAS dan isu RM90 juta apabila diajukan soalan mengenai pendirian DSAI terhadap kepimpinan Tun M. Sedangkan mudah sahaja, jika DSAI tidak ada niat dan perancangan tersebut, maka nafikan sahaja. Tidak sangka batang tubuh yang kononnya ceramah bergegar, sekarang dalam keadaan cemas dan gelabah!

Mengapa DSAI marahkan sangat PAS berkawan dengan Umno? Dahulu semasa Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, PAS boleh sahaja berkawan dengan seseorang yang dituduh peliwat. Jadi, apa masalahnya PAS nak berkawan dengan Umno atas isu kesepakatan pembangkang pada isu bersama yang disepakati?

Jika dahulu PAS berkawan dengan 'yang dituduh peliwat' untuk menolak kediktatoran PM ke-4 yang kini juga PM ke-7, jadi sekarang PAS berkawan dengan "perompak" seperti tuduhan DSAI, adalah untuk mengajar kerajaan PH yang penuh dengan penipuan. Penipuan manifesto, penipuan sijil akademik dan sebagainya.

PAS berkawan dengan sesiapa atas dasar prinsip. PAS meletakkan asas kepentingan Islam. Maka sesiapa sahaja yang memberikan kepentingan pada Islam pada satu-satu isu, maka di sana adanya kerjasama dengan PAS. Inilah taawun yang digariskan oleh al-Quran iaitu kerjasama atas dasar kebajikan dan taqwa.

Mungkin DSAI boleh minta ustaz dalam kerajaan PH ajarkan mengenai ayat taawun tersebut iaitu firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [Surah Al-Ma'idah: 2]

Akhir bicara, Pemuda PAS Selangor memberi amaran kepada DSAI agar jangan sesekali "menyentuh" nakhoda parti kami yang kami anggap beliau sebagai bapa kami! DSAI kena ingat sewaktu DSAI dituduh peliwat, bapa kami inilah yang menulis buku mengenai qazaf.

DSAI mungkin lupa kerana mabuk kuasa namun kami selaku anak-anak beliau tidak pernah lupa. Sikap yang ditunjukkan oleh DSAI mengingatkan kepada peribahasa "ibarat melepaskan anjing tersepit, sudah lepas dia menggigit". - HARAKAHDAILY 27/2/2019

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor.