15
Sun, Sep
29 Artikel Baru

Lantik ahli politik kontroversi undang masalah

Nasional
Typography

PELANTIKAN ahli-ahli politik daripada parti komponen PH diletakkan untuk menerajui institusi atau badan penting negara dan awam dilihat bukan lagi langkah intervensi untuk kepentingan sosial dan mencapai tujuan organisasi. Sebaliknya pelantikan sepenuhnya melibatkan kalangan ahli politik di kedudukan berkaitan jelas menunjukkan perlumbaan rakus membolot jawatan antara parti-parti berkenaan.

Sikap ‘kebulur’ jawatan dengan memfaraidkan kedudukan yang ada ternyata bersifat untuk memenuhi keperluan dan kepentingan parti. Natijahnya, diyakini usaha ke arah menggerakkan urus tadbir yang profesional dan mencapai matlamat penubuhan institusi berkenaan akan terkandas. Hanya akan membiakkan lagi kronisme, nepotisme dan kleptokrasi yang ditentang kembali berulang.

Harapan rakyat bagaikan musnah melihat segala janji dan komitmen dinyatakan dahulu semuanya adalah kepalsuan dan penipuan. Hasrat melihat institusi atau badan berkenaan bebas dari pengaruh politik, berintegriti dan diyakini awam, profesional dan cemerlang, kini hanya tinggal kenangan. Sedangkan, ianya dinyatakan sendiri oleh pemimpin-pemimpin yang sedang memegang tampuk kuasa ketika ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika di Langkawi pada November tahun lalu menjamin bahawa kerajaan tidak akan melantik penyokong parti memegang jawatan dalam jabatan atau institusi di bawahnya. Sebaliknya tegas beliau, mahukan ia dianggotai kalangan mereka yang terlatih dan cekap bagi mengembalikan pentadbiran terbaik dan menjamin masa hadapan.

Nada seumpama pernah disuarakan juga Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadiq Syed Abd Rahman dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menolak lantikan ahli politik ke jawatan berkaitan sukan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Namun kini, pelantikan yang sedang dilakukan mencabuli pendirian sendiri dan hasrat banyak pihak khususnya rakyat atas impian perubahan diharapkan.

Sekali gus, reformasi institusi yang dilaungkan PH hanyalah retorik manis memperdayakan rakyat. Malang lagi, bukan sahaja dilantik dalam kalangan ahli politik, tetapi juga mereka yang terkenal dengan kontroversi. Paling ketara adalah kelayakan profesionalisme dan kepakaran individu yang dilantik itu. Hampir pasti, mereka itu sebenarnya dilihat sebagai proksi mewakili motif parti masing-masing.

Demikian itu, campur tangan secara eksklusif bakal berlaku. Paling dirisaukan terkini atas Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang menyaksikan ‘penguasaan’ langsung ahli politik PAN dan DAP, sedangkan ia institusi berkaitan kepentingan Islam. Apakah kredibiliti DAP terhadap hal ehwal Islam di negara ini, sedangkan PAN pula bukan lagi rahsia adalah ‘khadam’ yang mengikut telunjuknya.

Apakah tiada lagi kalangan pakar dalam negara ini sesuai dilantik di kedudukan berkenaan? Atau inilah petunjuk bahawa PH mengenepikan mereka yang berkelayakan? Atau sebenarnya PH gagal mendapat kepercayaan golongan tersebut? Mungkin inilah sebabnya dapat dilihat berlaku peletakan jawatan ramai profesional dan pakar dari institusi atau badan berkaitan sejak PH memerintah.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia  - HARAKAHDAILY 30/1/2019