20
Tue, Aug
29 Artikel Baru

Tunai kewajipan mengundi – Presiden PAS

Berita
Typography

CAMERON HIGHLANDS: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak pengundi di Cameron Highlands turun menunaikan kewajipan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.078 Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Menurutnya pengundi wajib menunaikan kewajipan mengundi dengan memilih calon mewakili pihak pembangkang, Ramli Mohd Nor.

“Calon yang berpengalaman menjadi pegawai tertinggi polis mempunyai pengetahuan dan berpendidikan tinggi. Orang tempatan bukan orang luar.

“Tunaikan kewajipan mengundi. Kerahkan anak-anak yang berada di luar untuk balik mengundi,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Felda Sungai Koyan 1 di sini malam tadi.

Katanya, rakyat telah menyaksikan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, menjadi pukulan yang dahsyat kepada umat Islam di Malaysia ini.

“Tidak semena-mena umat Islam yang majoriti besar di negeri ini yang menjadi tulang belakang politik Malaysia memilih kerajaan yang di dominasi oleh orang bukan Islam. Sangat malang bagi mereka pemerintah Malaysia sekarang majoriti bukan Islam.

“Silapnya kerana silap memangkah undi. Bak kata orang tua-tua ‘buah salak buah kedondong, sila kumpul dalam baldi; bukan salah ibu mengandung tapi salah pangkah undi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang

Tambahnya, walaupun Perdana Menteri melakukan perubahan membanyakkan menteri kabinet orang Islam, tetapi kuasa politik yang memerintah masih di tangan bukan Islam.

Tegas Tuan Guru Abdul Hadi, Islam mengajar aspek spritual, aspek kerohanian dosa dan pahala menjadi pemimpin.

“Masalah dosa dan pahala tiada dalam DAP, tiada dalam parti bukan Islam. Kita mahu pilih yang Islam ini ada sifat ini. Orang Melayu, orang Islam yang asal beragama Islam, wajib bukan sunat tapi wajib memilih wakil yang membawa suara Islam ini. Orang bukan Islam jangan takut.

“Orang bukan Islam diberi hak di negara ini yang tidak diberi hak oleh negara lain. Di Indonesia tiada sekolah Cina, Tamil. Di Singapura pun tidak ada. Di sini kita beri hak bukan kita pandai-pandai, Islam suruh kita beri hak,” jelasnya.

Beliau membawa perbandingan orang bukan Islam yang minoriti dapat hidup aman di negara Malaysia sedangkan orang minoriti bukan Islam di negara yang majoriti bukan Islam ditindas dan tidak diberi hak.

“Saksikan bagaimana minoriti orang bukan Islam hidup di negeri majoriti orang Islam. Orang Cina dan India bukan Islam boleh hidup di Kampung Melayu.

“Bandingkan orang Islam di negera China, bandingkan orang Islam di negeri lain yang menjadi minoriti. Ini hak yang diberi oleh Islam, sepatutnya mereka mengenang jasa dan budi ini,” ujarnya

Katanya, Orang Melayu beragama Islam perlu menolak parti yang tidak mengenang budi termasuk orang bukan Islam kerana membahayakan mereka sendiri. - HARAKAHDAILY 21/1/2019