PASRelief kembangkan pendidikan untuk Rohingya

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) terus giat memastikan umat Islam Rohingya diberi perhatian yang sewajarnya dan membina semula masa depan mereka.

Sehubungan itu, selain menyalurkan sumbangan berupa keperluan makanan dan pakaian, usaha turut dilakukan untuk menyediakan rumah sementara disamping kemudahan telaga tiub, musolla dan tandas.

Paling penting, dalam mengembalikan semula hak dan maruah mereka yang terjajah menjadi pelarian di tanah air sendiri adalah menerusi pembinaan sekolah bagi memberi pendidikan terutama kepada kanak-kanak.

Pada ketika ini terdapat 35 sekolah telah didirikan dari sumbangan disalurkan PASRelief yang berkolaborasi bersama NGO lain di mana beroperasi sejak pertengahan tahun lalu di kem-kem pelarian.

Sesi pembelajaran telah dimandatkan kepada 70 guru terdiri daripada mahasiswa kaum Rohingya yang mewakili NGO Ittihad Tullab Muslimin dengan pembiayaan gaji RM380 sebulan kepada setiap mereka.

Bermakna PASRelief dalam usahanya memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung dengan jaya memerlukan sekurang-kurangnya RM320,000 setahun bagi menggaji para guru yang istiqamah itu.

Pun demikian menurut Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor, jumlah tersebut masih terlalu jauh dari mencukupi kerana ia belum termasuk kos lain melibatkan keperluan seperti alat tulis, buku dan penyelenggaraan.

Malah, kesedaran dan permintaan tinggi juga wujud dalam kalangan ibu bapa, namun terpaksa disyaratkan untuk satu keluarga menghantar seorang anak sebagai pelajar di sekolah yang didirikan itu.

Sedangkan maklumnya, setiap daripada keluarga kaum Rohingya yang menghuni di kem-kem pelarian tersebut memiliki purata anak seramai tujuh orang, menjadikan keperluan pendidikan sangat mendesak.

Sehubungan itu sebagai menyokong dan mendukung usaha ini rakyat Malaysia yang prihatin diseru menghulurkan sumbangan kepada PASRelief bagi meneruskan kelangsungan telah diasaskan.

Sumbangan boleh terus disalurkan ke akaun Maybank PASRelief 5640 7061 2333 atau Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 dan sebarang pertanyaan hubungi 012-596 9220 (Sanusi) atau 013-384 5555 (Mohd Adram Musa) - HARAKAHDAILY 25/12/2018  

IMG 20181225 WA0003

IMG 20181225 WA0004

IMG 20181225 WA0005