PAS tidak letak calon PRK P.078 Cameron Highland

Nasional
Typography

MESYUARAT Jawatankuasa Harian PAS Pusat membuat keputusan tidak akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Januari 2019 sebagaimana yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Meskipun demikian sebagai sebuah parti pembangkang, PAS mengharapkan Pilihan Raya Kecil ini turut menghasilkan keputusan bagi menguatkan lagi wakil pembangkang, terutama dalam Parlimen Malaysia. Hal ini penting kerana amalan demokrasi yang baik (good democratic practice) memerlukan proses semak dan imbang (check and balance) dalam pentadbiran sesebuah kerajaan. Dengan kata lain peranan pembangkang adalah amat penting.

Selaras dengan di atas, maka PAS memutuskan akan memberi sokongan kepada calon yang mewakili pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil ini nanti.

Sehubungan dengan itu PAS menyeru dan akan mengarahkan ahli-ahlinya di kawasan ini supaya turun membuang undi sebagaimana pendirian parti.

Terima kasih.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 19 Disember 2018. - HARAKAHDAILY 19/12/2018