14
Mon, Oct
9 Artikel Baru

ICERD: Kenyataan tanpa nama tidak serius

Berita
Typography

KANGAR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menyatakan kenyataan yang jelas di parlimen dan bukan hanya melalui kenyataan akhbar tanpa nama.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, keputusan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sekadar kenyataan media menjelaskan kerajaan tidak serius.

Katanya, kenyataan akhbar yang dikeluarkan atas nama Pejabat Perdana Menteri menggambarkan kerajaan tidak tegas.

“Ada hikmah di sebalik isu ini, di mana orang Melayu Islam bersatu bagi mempertahankan perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat tanpa mengira fahaman politik bersatu menentang ICERD. Kaum lain di Malaysia boleh hidup dengan aman tanpa perlu mengiktiraf konvensyen tersebut,” katanya di sini kelmarin.

Beliau ditemui ketika menghadiri Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden dan Himpunan Jentera Pilihanraya di Madi, Jejawi.

Pada Jumaat lepas Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan menyebut bahawa kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD. - HARAKAHDAILY 26/11/2018