K'jaan bertanggungjawab tragedi tanah runtuh

Nasional
Typography

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dan marah berikutan satu lagi tragedi tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang yang sudah meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa, di mana ramai lagi pekerja dipercayai masih tertimbus di bawah tanah.

Sehubungan dengan projek pembinaan yang membabitkan kawasan bukit, kami menggesa kerajaan negeri supaya menghentikan kesemuanya sehingga pemeriksaan keselamatan dan alam sekitar yang teliti dijalankan bagi memastikan semua langkah-langkah pengawasan telah diambil bagi mengelak tragedi seumpamanya berulang.

Insiden di Bukit Kukus menjadi suatu tragedi bagi mangsa-mangsa yang maut dan tercedera serta kaum keluarga mereka. Selain itu ia juga menjadi satu lagi tanda amaran bahawa penduduk di sekitar kawasan di mana pembangunan bukit sedang dijalankan berada dalam persekitaran yang tidak selamat.

Ianya amat memeranjatkan bahawa tidak satu pun tapak pembinaan di Pulau Pinang mematuhi pelan mitigasi hakisan tanah seperti yang termaktub di dalam kelulusan projek mereka, yang dilaporkan dalam satu akhbar berbahasa Inggeris,

Lebih mengejutkan projek lebuh raya berkembar Paya Terubong di sepanjang Bukit Kukus ini merupakan projek Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), seperti yang dijelaskan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dalam sidang akhbar semalam. Ini mencerminkan kerajaan negeri tidak dapat menjamin keselamatan projeknya sendiri.

Sungguhpun arahan menghentikan kerja dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) beberapa hari lalu berikutan kejadian palang tumbang di sepanjang projek jalan berkenaan, ia jelas menunjukkan tidak ada langkah-langkah keselamatan dan pencegahan diambil di tapak berkenaan untuk melindungi pekerja dan mencegah sebarang bencana.

Ketika mengunjungi tapak tragedi runtuhan semalam, kami melihat terdapat kerja-kerja pembersihan besar-besaran dan cerun curam yang botak dengan kecerunan hampir 90 darjah di sepanjang tapak projek. Tidak terlihat langsung langkah-langkah diambil untuk melindungi cerun atau menstabilkan tanah di tapak berkenaan, yang jelas mengundang bencana untuk berlaku.

Kerajaan negeri dan pihak berkuasa kerajaan tempatan tidak seharusnya mengatakan ini adalah “takdir Tuhan” berikutan hujan lebat padahal kita sedia maklum, jika cerun dibiarkan terdedah tanpa sebarang perlindungan atau langkah-langkah untuk menstabilkan tanah tidak diambil, ia cenderung menjadi gelongsoran tanah.

Jelas sekali, pihak berkuasa kerajaan tidak mengambil iktibar daripada tragedi runtuhan tanah baru-baru ini, termasuk tragedi gelongsoran tanah yang meragut 11 nyawa di kawasan Tanjung Bunga tahun lalu.

Kerajaan negeri dan MBPP perlu mengakui kesilapan dan bertanggungjawab kerana kurang berpandangan jauh, kurang melakukan pengawasan yang teliti dan kurangnya langkah-langkah penguatkuasaan hingga membawa kepada tragedi ini, iaitu projek kerajaan sendiri.

Tambahan pula, MBPP mempunyai unit geoteknikal, dengan pakar-pakar yang sepatutnya menyemak semua projek cerun bukit dan memastikan segala langkah-langkah yang sempurna telah diambil. Ia sepatutnya diteliti oleh Jawatankuasa Pembangunan Tanah Berisiko Peringkat Negeri bagi projek-projek berisiko tinggi, seperti yang termaktub di dalam Garis Panduan Pembangunan Lereng Bukit Pulau Pinang (2012).

Garis panduan tersebut menghendaki pemantauan dan penguatkuasaaan yang tegas oleh pihak berkuasa berkenaan, termasuk MBPP, untuk semua projek yang ada kaitan dengan kawasan bukit, termasuk projek milik kerajaan sendiri seperti di Bukit Kukus.

Namun tragedi terbaharu berlaku, tidak lama selepas runtuhan tanah di Tanjung Bunga tahun lalu, dan selepas palang tumbang di Bukit Kukus beberapa hari lalu.

Kesemua ini menunjukkan kerajaan negeri dan MBPP tidak berupaya memastikan projek-projek di cerun bukit termasuk projek jalan seperti ini boleh dilaksanakan dengan cara yang selamat.

Kesemua jaminan yang sebelum ini diberikan oleh pelbagai pihak berkuasa negeri dan tempatan serta wakil-wakil kerajaan negeri dan sebagainya kini ternyata mengelirukan.

Sehubungan itu, CAP menggesa agar langkah-langkah berikut diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MBPP:

- Tindakan segera mesti diambil untuk menjalankan langkah-langkah pembaikan di lebuh raya Bukit Kukus untuk mencegah tanah runtuh dan kegagalan cerun.

- Berikutan kurangnya pemantauan dan penguatkuasaan di pihak berkuasa negeri dan kerajaan tempatan, sudah tiba masanya kerajaan Pulau Pinang menghentikan kelulusan selanjutnya projek-projek yang membabitkan tanah bukit dan cerun, sekalipun untuk projek kerajaan, termasuk projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

- Berikutan kerapnya kes tanah runtuh dan laporan yang menyatakan tapak-tapak pembinaan di negeri ini tidak mematuhi pelan mitigasi hakisan tanah yang ditetapkan, kerajaan negeri perlu menghentikan kerja bagi kesemua projek yang ada sehingga pemeriksaan dijalankan bagi memastikan kerja-kerja itu dilaksanakan dengan selamat. Pihak berkuasa perlu menjalankan pemeriksaan segera di tapak pembinaan dan memastikan langkah-langkah telah diambil untuk mencegah kegagalan cerun dan gelongsoran tanah sebelum menyambung kerja mereka. Memandangkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak berupaya, bantuan perlu didapatkan daripada kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain untuk memeriksa, memantau dan menguatkuasakan peraturan sedia ada.

- Kerajaan negeri perlu berupaya dan memperuntukkan dana bagi membetulkan semua corak pembangunan yang tidak sempurna di bahagian cerun dan kawasan berbukit yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu. Bukit Bendera sahaja mempunyai kira-kira 200 kes tanah runtuh, di mana masih banyak yang belum diperbaiki. Kerajaan Negeri tidak seharusnya menjadikan alasan kurang dana, tetapi sebaliknya mengubah keutamaannya agar dana diperuntukkan untuk perkara penting, termasuk melindungi bukit-bukau dan memantau pembangunan di kawasan bukit.

- Kerajaan negeri dan pihak majlis bandaran perlu bertanggungjawab terhadap tragedi di Paya Terubong dan memastikan pegawai-pegawai utamanya bertanggungjawab. Di negara-negara lain, pegawai-pegawai utama agensi terlibat akan mengaku bertanggungjawab dan meletakkan jawatan serta sanggup dipersalahkan akibat gagal bertindak.

- Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan projek-projeknya tidak seharusnya diteruskan, memandangkan pembangunan berlebihan yang akan terlibat, dan kurangnya kapasiti pihak berkuasa untuk mengawas dan memantau pelaksanaannya.

- Keluarga mangsa gelinciran tanah perlu dibayar pampasan sewajarnya, dan proses serta jumlah pampasan perlu telus demi memastikan kebajikan mereka dijaga.

S.M. Mohamed Idris
Presiden CAP - HARAKAHDAILY 23/10/2018