24
Sat, Aug
21 Artikel Baru

Bahana kemasyhuran terhadap agamawan

Nasional
Typography

BAHAYANYA Abdullah Ubai kerana merosak dari dalam, bahayanya ar-Rajal bin Unfuwah kerana terjun ke seberang.

Abu Hurairah pernah menyebutkan:

"Fitnah ar-Rajal jauh lebih bahaya daripada fitnah Musailamah al-Kazzab."

Musailamah mendakwa dirinya Nabi selepas pulang dari bertemu dengan Nabi S.A.W. Manakala ar-Rajal pula terpesona dengan kemasyhuran dan ramainya pengikut Musailamah, walhal beliau diutus untuk mengajar rakyat Yamamah akan Islam.

Akibat perasaan mahukan kemasyhuran dan ramai pengikut, ar-Rajal menggadaikan imannya. Lalu beroleh kesenangan dan jawatan. Itulah bahayanya kebendaan dan cintakan kemasyhuran terutama agamawan, hanya mahu menjaga periuk nasi sendiri, iman menjadi taruhan.

Dr Raghib Sarjani menyebutkan, hari ar-Rajal isytihar bersama Musailamah, hampir 40 ribu umat Islam murtad. Dengan alasan yang ampuh, bahawa ar-Rajal diutus Nabi S.A.W ke Qabilah Hanifah untuk memperakui bahawa Musailamah adalah sejawat dengan Muhammad! (Iaitu Nabi). Sebab itu apabila agamawan kecundang, ramailah umat Islam yang keliru akan mengikut di belakangnya. Sebab itu jugalah kemurkaan Allah terhadap Ahli Kitab yang mengetahui kandungan Taurat, Injil dan Nabi akhir zaman, namun mereka menyeleweng demi sesuap nasi:

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا يَكْسِبُونَ

[al-Baqarah 79]

Orang yang memang sesat seumpama Musailamah, nyata ia menyulitkan kerja dakwah, namun apabila agamawan pula menyebelahi kesesatan, nyata ia lebih menyulitkan kerja dakwah!

Duhai agamawan, perkemaskanlah jati dirimu!

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
26 September 2018 - HARAKAHDAILY 26/9/2018