24
Wed, Jul
34 Artikel Baru

LYNAS: Mana pendirian Kerajaan PH?

Nasional
Typography

SAYA masih ingat lagi perjuangan isu LYNAS yang sebenarnya telah dicetuskan semenjak hujung 2007 atau awal 2008 lagi oleh penduduk Balok serta dipimpin oleh NGO BADAR dari kalangan pemimpin PAS Kawasan dari Dun Beserah dan Dun Kuantan sebelum gerakan ini disertai YB Fuziah selaku Ahli Parlimen Kuantan dari PKR dan beberapa NGO lain seperti SMSL dan Himpunan Hijau yang diketuai oleh Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dari DAP.

Malah pemimpin PAS adalah pihak yang pertama mewakili penduduk Balok untuk berjumpa dan mendesak agar projek yang dibawa masuk oleh pihak Kementerian Industri (MITI) di bawah Kerajaan Umno atau BN ketika itu dibatalkan. Malah kesan dari perjumpaan itu dengan pihak MITI, walaupun projek itu masih gagal dibatalkan, peraturan yang sedia ada telah diubah untuk mewajibkan Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) dilaksanakan terhadap mana-mana industri baru yang berasaskan radioaktif.

Begitu ramai aktivis Anti-LYNAS yang diheret ke penjara semenjak tempoh itu sehingga kilang itu diberi kelulusan untuk memulakan operasinya pada tahun 2012.

Ramai sahabat-sahabat saya dari PAS yang juga terdiri dari kalangan aktivis Anti-LYNAS tertanya-tanya ke mana perginya pendirian YB Fuziah Salleh, YB Wong Tack dan Kerajaan Baru Pakatan Harapan terhadap kedudukan kilang kimia ini? Adakah segala laungan untuk menutup kilang yang didakwa sekian lama mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk setempat akibat kesan radioaktif hanya retorik politik murahan untuk berkuasa semata-mata?

Sebagai Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Dewan Muslimat PAS Pusat, penjelasan isu pelupusan sisa buangan radioaktif yang masih tidak memuaskan sehingga ke hari ini termasuk kedudukan operasi kilang kimia itu perlulah segera diatasi barisan Kabinet Baru Kerajaan Pakatan Harapan khususnya dari YB Fuziah dan YB Wong Tack sendiri jika mereka benar-benar ikhlas dalam setiap tutur kata mereka terhadap LYNAS semenjak dahulu lagi.

Semoga hasrat untuk mewujudkan pengeluar kereta nasional yang ke-3 oleh Tun M yang didakwa akan menggunakan komponen berasaskan nadir bumi yang dikeluarkan kilang LYNAS tidak menjadi kekangan kepada kedua-dua ahli Parlimen itu untuk terus komited dengan pendirian yang mereka ucapkan sebelum ini.

Rakyat sedang menunggu penjelasan mereka berdua. Janganlah terlalu lama kerana 100 hari sudah berlalu.

PAS bukan parti U-Turn dalam isu LYNAS. Adakah Pakatan Harapan sebaliknya? Sama-sama kita nantikan.

(Penulis adalah Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Dewan Muslimat PAS Malaysia) -  HARAKAHDAILY 22/9/2018