20
Tue, Aug
29 Artikel Baru

Pulau Batu Putih: Kerajaan jangan gopoh

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu tergopoh-gopoh dalam membuat keputusan untuk menarik Malaysia daripada memfailkan semakan semula tuntutan Pulau Batu Putih daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penghakiman Pulau Batu Putih mesti diteruskan kerana perkara terbabit melibatkan maruah dan kedaulatan negara.

"Saya berpandangan kerajaan tidak perlu terlalu gopoh dalam membuat keputusan penting ini, sepatutnya semakan penghakiman diteruskan. Isu Pulau Batu Putih adalah maruah negara dan merupakan wilayah kita.

"Kerajaan Johor telah bertegas, agar semakannya diteruskan sebagaimana titah Sultan Johor satu masa dulu," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan keputusan kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan semakan itu adalah untuk mengambil hati Singapura selepas kerajaan Malaysia mengisytiharkan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura.

"Ia mungkin satu kemungkinan (pembatalan projek HSR), namun soal kedaulatan negara tentu tidak boleh ditukar ganti," katanya yang ditanya keputusan kerajaan ini bertujuan menjaga hati hubungan baik Malaysia dengan Singapura.

Malaysia sebelum ini telah memfailkan semakan semula Pulau Batu Putih pada Februari tahun lalu berikutan penemuan bukti baharu dalam tiga dokumen di Perpustakaan Negara United Kingdom pada 2016. – HARAKAHDAILY 1/6/2018