Wajarkah diangkat kembali sebagai PM?

Nasional
Typography

KETIKA detik 9 Mei, hari pembuangan undi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 semakin hampir, bekas Perdana Menteri yang pernah memerintah negara ini selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad kini semakin ditolak ke hadapan oleh para penyokongnya.

Selain sokongan kuat daripada para pemimpin dan ahli-ahli partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mahathir juga turut menerima sokongan padu daripada kalangan mereka yang lantang mengkritik dan mengecamnya dahulu yang kini berada dalam parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Demi mengejar kuasa, mereka sanggup menjilat kembali ludah mereka. Dalam sekelip mata, segala kesalahan dan dosa Mahathir sudah dihapuskan. Malah bagi mereka, bekas Perdana Menteri itu bagaikan tidak pernah melakukan sebarang kesilapan dan dosa sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri dulu.

Oleh itu, apa pun halangan yang mendatang, Mahathir jugalah satu-satunya tokoh yang perlu diangkat kembali oleh mereka sebagai Perdana Menteri jika PH menang dalam PRU ke-14 nanti. Apa pun pandangan orang ramai, Mahathir perlu diperlihatkan bersih. Untuk itu, segala pandangan negatif pihak lain terhadap Mahathir perlu dicantas oleh mereka dengan pelbagai cara.

Namun, berjayakah mereka dengan usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan itu? Bersihkah Mahathir pada pandangan orang ramai? Layakkah Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri kembali setelah 22 tahun rakyat pelbagai peringkat menyimpan pelbagai pengalaman pahit ketika beliau berkuasa dahulu?

Sesungguhnya, pada pandangan orang ramai, Mahathir sudah tidak sepatutnya diberi peluang lagi sebagai Perdana Menteri. Pengalaman lalu ketika beliau menjadi Perdana Menteri sudah cukup mengajar rakyat bahawa jika Mahathir juga yang kembali menjadi Perdana Menteri, Malaysia tetap akan berada seperti di zamannya dahulu kerana Mahathir sekarang tetap juga Mahathir dulu. Kalaulah Mahathir, tetap juga Mahathir.

Mahathir pada pandangan orang ramai adalah manusia yang cukup licik, penuh muslihat dan penuh dengan strategi politiknya yang tersendiri. Di sebalik imej bersih yang ditunjukkan, Mahathir sebenarnya tidaklah sedemikian membanggakan. Jika diberi peluang menjadi Perdana Menteri kembali, Mahathir diyakini akan mengulangi kembali segala tindakan yang telah dilakukannya dahulu.

Adalah jelas Dr Mahathir Mohamad sepanjang menjadi Perdana Menteri telah melakukan pelbagai jenayah atau melindungi kegiatan jenayah dengan menyalahgunakan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri apabila dengaan sengaja menyalahgunakan dana awam untuk membantu kroni-kroni, kaum keluarga dan kepentingan-kepentingan BN.

Malah beliau telah melakukan pelbagai penyelewengan dalam pentadbiran termasuk membiarkan berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Sekadar renungan bersama, dana awam yang telah jahanam sepanjang Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun dahulu adalah seperti di bawah:

1)     PKFZ - RM 12 billion. 

2)     Kapal selam Scorpene RM 500 juta.

3)     Simedarby RM 964 juta.

4)     Paya Indah Westland RM 88 juta.

5)     Pos Malaysia (melalui Transmile) kerugian RM 230 juta.

6)     Eurocopter RM 1 billion terbuang dalam perundingan.

7)     Stadium Terengganu runtuh, jahanam RM 292 juta.

8)     Kos baiki MRR2 yang retak RM 70 juta.

9)     Maybank terlebih bayar kepada BII (Indonesia) RM 4 billion.

10)     Tourism - NYY kickback RM 10 juta.

11)     Pembelian 3 karya lukisan oleh Pengerusi MAS, RM 1.5 juta.

12)     Kementerian Sukan terlebih bayar RM 8.4 juta.

13)     Kompleks Sukan London yang jadi gajah putih RM 70 juta.

14)     Kos baiki bangunan Matrade di Jalan Duta RM 120 juta.

15)     Pembelian kapal terbang baru untuk kegunaan Perdana Menteri RM 200 juta.

16)     Hutang InventQ yang tidak dapat dituntut RM 228 juta.

17)     Bayaran saguhati kerana batal pembinaan Jembatan Bengkok di Tambak Johor RM 257 juta.

18)     Kerugian dalam penjualan hak motosikal Augusta RM 510 juta (yang dijual pada harga 1 Euro).

19)     Kerugian angkara pemberian permit AP dalam setahun RM 1.8 billion.

20)     Kapal selam Scorpene yang bakal menjadi bahan muzium RM 4.1 billion.

21)     PSC Naval dockyard RM 6.75 billion.

22)     Dua skandal Bank Bumiputera pada awal 1980 RM 3.2 billion dan pada 2008.

23)     Cubaan Maminco mengepung pasaran bijih timah dunia pada tahun 1980 telah menyebabkan kerugian US$ 500 million (RM 1.6 billion).

24) Pertaruhan Pasaran Hadapan tukaran asing menyebabkan Bank Negara kerugian RM30 billion pada tahun 1990, dengan Nor Yaakop yang memainkan peranannya.

25)     Perwaja Steel yang kerugian US$ 800 million (RM 2.56 billion), sedangkan angka sebenarnya menjangkau RM 10 billion.

26)     Penggunaan RM 10 billion dana awam dalam Valuecap Sdn. Bhd untuk menaikkan harga Saham di pasaran Saham.

27)     Kerugian RM 700 juta oleh Bank Islam.

28)     Penjualan M.V. Agusta oleh Proton 1 Euro menyebabkan kerugian €75.99 million (RM 348 juta).

29)     Wang Ehsan yang dirembat daripada royalti minyak Terengganu, RM 7.4 billion daripada 2004 - 2007.

30)     Selama 10 tahun Philharmonic Orchestra ditubuhkan telah menelan RM 500 juta. CEOnya sahaja, Kwai-lo, menerima gaji RM 1 juta setahun.

31)     Bagi bayaran khidmat nasihat kepada Dr Mahathir, dibayar RM 180,000. Shahrizat Abdul Jalil (Hal Ehwal Pembangunan Wanita) menerima elaun RM 404,726 dan Abdul Hamid Othman (penasihat agama) menerima RM 549,675 setahun.

32)     Kerajaan turut membelanjakan sekitar RM 3.2 billion bagi pengajaran subjek matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris dalam tempoh 5 tahun lalu. RM 2.21 billion sahaja telah digunakan bagi pembelian peralatan teknologi komputer serta maklumatnya dan tidak digunakan apabila rosak.

33)     Malah kerajaan membayar RM 6,000 bagi sebuah komputer riba yang harga pasarannya cuma RM 3,000 melalui sebuah konsortium yang dibentuk bagi tujuan tersebut. Hingga sekarang tiada maklumat apa-apa tentang matematik dan sains di dalamnya (yang ada di tangan guru dan murid).

34)     Komisen turut dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd dan IMT Defense Sdn Bhd bagi pembelian jet Sukhoi 30MKM (IMT) dan kapal selam Scorpene (Perimekar) yang berjumlah RM 910 juta.

35)     RM 300 juta dibayar kepada Gerbang Perdana dan RM 1.1 bilion "Crooked Scenic Half-Bridge".

36)     RM 1.3 billion terbuang begitu sahaja dengan pembinaan Kompleks Kuarantin Kastam, Imigresen kesan pembatalan The Malaysia-Singapore Scenic Bridge.

37)      RM 100 juta untuk kos ubah-suai bangunan Parlimen yang didapati bocor kemudiannya.

38)      Program Angkasawan negara yang telah menelan belanja RM 40 juta.

39)      Program Latihan Khidmat Negara yang menelan belanja RM 500 juta setahun.

40)      "Eye On Malaysia" berjumlah RM 30 juta serta RM 5.7 juta lagi hasil pemberian tiket percuma.

41)      Pembelian dakwat kekal oleh SPR - yang tidak digunakan bernilai RM 2.4 juta.

42)      Samy Velu mengumumkan pada September 2006 bahawa kerajaan telah membayar sagu hati berjumlah RM 38.5 billion kepada 20 buah syarikat pemegang konsesi lebuhraya. Sementara itu 9 pemegang konsesi lebuhraya menerima durian runtuh kesan kenaikan kadar tol pada tahun 2008.

43)      RM 32 juta kehilangan hasil eksport kayu balak yang melibatkan syarikat yang ada hubungan dengan Ketua Menteri Sarawak serta keluarga.

44)      Dua kes "bail-out" MAS berjumlah RM 7.9 billion. Dalam masa MAS asyik kerugian saban tahun, RM 1.55 juta telah digunakan untuk membeli 3 buah lukisan untuk bilik pejabat Pengerusinya, Dr Munir Majid.

45)     "Bail-out" untuk sistem pengangkutan Putra yang berjumlah RM 4.486 billion.

46)     STAR-LRT turut menerima "Bail-out" berjumlah RM 3.256 billion.

47)     Sistem Kumbahan Negara turut menjahanamkan wang negara berjumlah RM 192.54 juta sebagai "Bail-out".

48)     "Bail-out" lagi untuk Lebuhraya Seremban-Port Dickson, RM 142 juta.

49)     "Bail-out" Penjara Kuching turut melibatkan wang RM 135 juta.

50)      Kajian Makanan dan Gunaan Orang Islam "Bail-out'" melibatkan RM 8.3 juta.

51)     Le Tour de Langkawi "Bail-out" turut mendapat habuan RM 3.5 juta.

52)     Penganugerahan puluhan juta syer di Bursa Saham Malaysia di bawah Dasar Ekonomi Baru kepada anak-beranak, anggota keluarga serta suku-sakat sang penguasa bernilai berbillion ringgit.

53)     Penyelewengan beribu-ribu hektar tanah komersil dan kawasan hutan balak untuk diberikan kepada anak-beranak serta keluarga kerabat anggota BN serta Menteri yang bernilai puluhan bilion ringgit.

54)     Sejak 1997, Petronas memberikan RM 30 billion subsidi gas asli kepada IPP yang telah mengaut keuntungan besar saban tahun. Pasaran hadapan minyak Petronas juga pada 1990 turut memberi kesan pembaziran berikutan penurunan harga minyak (sedangkan ia dibeli sejak awal pada harga yang tinggi). Disebabkan ia cuma untuk tatapan Perdana Menteri, jadi kita tidak pasti berapa besar jumlahnya?

55)     Harga sebuah "Jack" kereta RM5,700 bagi sebuah "Jack" yang cuma berharga RM 50.

56)     Kenderaan milik kerajaan didapati menggunakan RM 113 setangki penuh minyak dalam masa beberapa minit.

57)     Tiang platform yang berharga RM 990 telah dibeli dengan harga RM 30,000.

58)     Satu thumbdrive yang berharga RM 90 telah dibeli dengan harga RM 480.

59)      Kabinet yang berharga RM 1,500 dibeli dengan harga RM 13,500.

60)      Lampu suluh yang berharga RM 35 dibeli dengan harga RM 143.
61)      Perbelanjaan untuk kempen 1 Malaysia dibayar kepada APCO? berjuta-juta. - HARAKAHDAILY 7/5/2018