Peniaga enggan pindah kutip sewa?

Berita
Typography

PASIR PUTEH: Tindakan sekumpulan peniaga yang enggan berpindah ke pasar baru yang dibina kerajaan negeri dilihat seperti ada udang di sebalik batu.

Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Drs Saiful Bahrin Muhammad mendakwa peniaga di pasar lama mengambil tindakan sendiri memasukkan peniaga baru di pasar terbabit.

Katanya, mereka menggunakan ruang yang ditinggalkan peniaga yang sudah berpindah ke Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral dengan mengenakan bayaran tertentu.

“Kita difahamkan mereka mengutip sewa seperti bayaran bakul yang dikenakan MDPP. Ada yang menyebut mereka mengutip sehingga RM15,000 sebulan.

"Tindakan mereka itu tidak sah. Kita akan bawa kumpulan peniaga terbabit kemuka pengadilan kerana ingkar arahan MDPP termasuk notis perpindahan dan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas," katanya di sini.

Pada 29 Mei tahun lepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan injunksi peniaga bagi membolehkan mereka berniaga di Pasar Lama Pasir Puteh.

Ekoran itu Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mengarahkan peniaga pindah berkuatkuasa 19 Julai 2017 selepas perbicaraan kes writ saman terhadap tuntutan ganti rugi.

Bagaimanapun pada 9 Ogos sekumpulan peniaga yang enggan berpindah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. – HARAKAHDAILY 2/4/2018